19-08-08

Sayang

Posted in bicara by fajr'

Selalu ayah dan ibu bergurau tentang sedalam mana rasa sayang itu. Meskipun, ayah dan ibu begitu mengerti sayang itu tidak mampu diukur. Yang terzahir belum tentu sama dengan apa yang tersimpan. Namun, apa yang pasti kasih sayang yang dicurahkan dengan penuh keikhlasan memberikan sinar cahaya yang begitu bermakna.

Suatu ketika, sewaktu Najla sedang tidur kepenatan, ibu bertanya kepada ayah,

“Sayang tak pada dia?”

Satu soalan yang begitu menduga, meskipun sudah diketahui apa jawapannya. Sudah tentu sayang. Begitu sayang. Meskipun kadangkala karenahnya begitu menguji kesabaran, namun setiap kali Najla terlena, terasa damai dan ketulusan wajahnya begitu menyejukkan. Bahkan, adakalanya diri ayah dihambat rasa kesal dan bersalah sekiranya waktu itu ayah ada memarahi Najla.

Pernah juga ayah bertanya soalan yang sama kepada ibu, sewaktu Najla lena di pangkuan. Dengan nada tegas, ibu berkata, sudah tentu sayang!

Ayah dan ibu mengerti, soalan itu begitu mengada-ngada. Lantaran jawapannya sudah dimaklumi.

Satu petang di hospital, ayah duduk di sisi ibu. Di dalam dakapan ibu, Amir Yusuf sedang lena beradu. Melihatkan wajahnya seakan menghembuskan rasa bahagia yang luar biasa. Setiap hari, wajahnya tampak indah di pandangan kami.

Lalu ayah bertanya kepada ibu,

“Sayang tak pada dia?”

Kali ini, ibu tidak segera membalas. Seakan cuba mencerna jawapan di kepala. Tiba-tiba saja, air mata ibu berguguran membasahi pipi. Begitulah jawapan dari ibu. Ternyata sekali, sayang itu bukan sekadar dilafaz dari bibir. Kata sayang itu tidak mampu diluahkan. Barangkali hati ibu terusik melihatkan Amir Yusuf yang berjuang untuk mengecapi cahaya kehidupan.

Tiada bezanya Najla dan Amir Yusuf. Kedua-duanya adalah zuriat yang telah dianugerahkan Tuhan kepada kami. Namun begitu, dugaan yang diberikan kepada kami adalah seakan menguji sejauh mana kasih sayang itu. Sedalam mana ketulusan dan keikhlasan di dalam mencari kebahagiaan.

Ayah begitu percaya, kasih sayang itu akan terus mengalir. Moga ia akan mencipta rasa bahagia buat selamanya.

13-08-08

Lena Dalam Dakapanku

Posted in rasa by fajr'

Angin petang yang bertiup menebar rasa sejuk. Sejak kebelakangan ini, cuaca kembali suram. Langit mendung dan kadangkala hujan turun membasahi. Dan seperti biasa, waktu petang begini adalah masa yang sesuai untuk ayah dan ibu bertandang ke hospital. Seperti selalu, untuk melepas rindu. Setiap masa, terlintas di fikiran apakah yang sedang dilakukan oleh Amir Yusuf. Menangiskah dia? Tidurkah dia?

Kadangkala ayah dan ibu datang agak lewat sedikit kerana sibuk dengan urusan harian. Namun kesibukan itu tidak langsung menghilangkan bayang putera kami yang jauh dari sisi. Jika datang terlalu awal, jalan agak sibuk dan sukar mencari tempat meletakkan kenderaan. Setiap hari melalui jalan yang sama. Setiap hari melangkah ke bangunan yang sama. Dan setiap masa datang bersama harapan.

Sebaik tiba di wad, ayah melirik ke arah bekas yang meletakkan Amir Yusuf. Kebiasaannya pada waktu petang begini, Amir Yusuf masih lagi berjaga. Tangisannya jarang sekali kedengaran. Dirinya nampak tenang sambil matanya memandang ke depan, mengikut posisi tidurnya. Barangkali Amir Yusuf menanti ayah dan ibu datang. Bagaikan tahu, waktu sebegini akan ada suara manja yang memujuk dan bermain. Lantas, Amir Yusuf tidak mahu terus tidur.

Terlebih dahulu, ayah dan ibu akan membersihkan tangan dengan sabun antiseptik yang disediakan. Setelah tangan dikeringkan dengan kertas, losyen antiseptik juga disapukan di sekitar jari bagi memastikan tiada kuman dan bakteria melekat. Demikianlah prosedur yang harus dilalui setiap kali masuk ke dalam wad ini. Sesudah itu, barulah ayah dan ibu akan mendekati bekas yang menempatkan putera kami ini.

Perlahan-lahan ayah mengintai Amir Yusuf di dalam bekas. Tubuh kecilnya bergerak-gerak. Matanya terkedip-kedip. Entah apa yang dilihat oleh anak ayah ini. Mungkin sedang menafsir segala cahaya dan warna yang ada di depannya.

Dengan perlahan, ayah memberi salam. Lalu memanggil dengan lembut,

‘Amir Yusuf, Amir Yusuf. Ayah ibu datang, sayang’.

Sebaik terdengar suara ayah, kepala Amir Yusuf bergerak dan mencari. Dari keadaannya yang sebentar tadi diam, dia terus menangis dalam nada suara yang begitu halus. Betapa ayah dan ibu mengerti, bahawa Amir Yusuf mahu diangkat dan dipujuk. Amir Yusuf sudah mengenal apa itu rindu. Jika Amir Yusuf pandai berbicara, tentu saja dia bertanya mengapa lewat mengunjunginya. Atau memberitahu betapa beza sekali tangan-tangan yang menyentuhnya selama ketiadaan ayah dan ibu.

Syukur, setelah melalui pembedahan pertama yang lalu, sebahagian sistem dalaman Amir Yusuf sedang mencuba untuk berfungsi secara normal. Walaupun ada komplikasi lain yang harus diperhati, sekurang-kurangnya pembedahan awal ini membolehkan Amir Yusuf dapat menerima makanan secara perlahan-lahan, iaitu susu. Sebelum ini hanya nutrisi dan ubat saja yang disalurkan ke dalam tubuhnya melalui tiub. Kali ini, susu diberikan tidak langsung. Sedikit demi sedikit, tiub-tiub yang melingkari tubuh dan tangan Amir Yusuf ditanggalkan.

Sekian lama ayah dan ibu menantikan detik ini. Saat Amir Yusuf dapat menikmati susu ibu. Meskipun susu itu tidak mengalir melalui mulut dan kerongkongnya kerana disalurkan terus melalui dua tiub kecil. Setidak-tidaknya ada kasih sayang ibu yang sentiasa mengalir di dalam tubuhmu.

Sebelum ini, ayah dan ibu hanya mampu menyentuh Amir Yusuf di dalam bekas. Kini, Allah telah memberikan peluang untuk ayah dan ibu selalu mendakap tubuhmu, biarpun terpaksa berhati-hati dengan tiub yang masih melekat. Dengan perlahan dan cermat, ayah angkat dan letakkan Amir Yusuf di pangkuan ibu. Takut sekali kalau-kalau menyakitkan. Sesekali mesin pernafasan berbunyi tanda amaran.

Sebaik berada dalam dakapan ibu, Amir Yusuf terus berhenti dari tangisan. Inilah yang selalu diharapkannya. Bermanja pada yang kasih. Setiap hari, setiap masa. Di waktu petang begini.

Hati ayah begitu terusik sewaktu kali pertama Amir Yusuf disuakan dengan susu ibu di mulutnya. Terkial-kial dia untuk menerima. Sejak lahir, inilah kali pertama rasa susu itu melekat di lidahnya. Ada ketikanya, dia tersedak. Mungkin juga terkejut dengan kehadiran cecair baru yang mengalir di tekaknya. Tetapi, susu yang ada pada ibu semakin berkurangan lantaran tekanan dan ketidakseimbangan di dalam badan. Titis-titis susu yang ada sekadar untuk membasahkan lidah Amir Yusuf.

Lama-kelamaan, Amir Yusuf menjadi selesa. Bahkan seakan memahami kehangatan yang ada pada ibu mengalir kepadanya dengan penuh kasih sayang. Tangan kecilnya menyentuh dada ibu. Bagai mendengar denyutan jantung ibu. Adakah kita serentak ibu?

Melihatkan mata Amir Yusuf laksana satu panahan yang menusuk ke dalam jiwa. Bagaikan memohon simpati dan pengertian. Tulus dan murni. Ayah mengelus kepala Amir Yusuf perlahan-lahan. Sambil membisikkan kalimah suci dan nada-nada sayang. Moga putera kami ini akan terus kuat. Moga cahaya kehidupan akan terus bersamamu.

Perlahan-lahan, mata Amir Yusuf terpejam. Dia terus lena dalam dakapan ibu. Wajahnya begitu tenang. Seakan menafikan segala kesakitan yang dikurniakan kepadanya. Kekuatan yang ada pada tubuh kecil itu memberi semangat luar biasa.

Sungguh, ayah dan ibu berjanji untuk menjagamu sebaik-baiknya. Begitu juga kakak Najla yang tidak sabar menanti kepulanganmu. Selagi hayat dan kudrat ini masih bersama, kita bersama akan merimbunkan taman kasih sayang. Biar nanti, kasihnya akan berterbangan ke setiap jiwa insan yang lain. Dan ayah selalu berdoa, agar Tuhan memperkenan permintaan hamba-Nya.

08-08-08

Kau Selalu Ada

Posted in bicara by fajr'

Setelah sebulan lebih, barulah ayah dapat kembali ke universiti seperti biasa. Itupun kalau ayah mampu katakan ia ‘biasa’. Kali ini rutin ayah bertambah satu setiap hari, iaitu menuju ke hospital pada sebelah petang untuk melawat Amir Yusuf. Mana mungkin ayah sengaja tidak bertemu denganmu. Biar penat, biar susah. Ayah ibu pasti berusaha untuk bertemu dengan putera kami ini.

Hari ini, ayah bersolat Jumaat di masjid universiti. Seakan rindu sudah meninggalkan suasana solat Jumaat di sini memandangkan sejak kebelakangan ini ayah sekadar bersolat berdekatan dengan rumah. Di Masjid Al-Farouq. Bukan tidak suka, tetapi ayah tidak dapat menghayati khutbah yang diberikan dalam bahasa Urdu. Meskipun ayah dapat menangkap beberapa butir perkataan yang selalu didengar melalui filem Hindustan.

Usai solat Jumaat, ayah duduk berteleku dan berzikir. Ayah menadah tangan bermohon kepada-Nya agar Dia perkenankan melimpahkan rahmat buat kita semua. Terutama sekali buat anak ayah, Amir Yusuf.

Ayah sekadar duduk menanti. Tidak mahu terburu-buru bangun. Di muka pintu, masih ramai lagi yang berasak-asak untuk keluar. Ayah lebih terkenangkan anak ayah.

Tiba-tiba, deria hidung ini terbaukan sesuatu di luar jangkaan ayah. Ayah tercium bau Amir Yusuf. Bau yang sama sewaktu ayah memegang Amir Yusuf. Sewaktu ayah mengucup dahi dan kepala anak ayah. Benarkah ini? Atau ayah yang berilusi?

Dua kali bau itu datang dan pergi. Ayah tidak pasti dari mana datangnya. Serentak dengan itu, hati ayah terus diterpa kerinduan. Seakan saat ini ayah mahu pergi kepadamu. Dan memeluk tubuhmu!

07-08-08

Hikmah

Posted in bicara by fajr'

Mendapat kesusahan itu merupakan satu dugaan. Mendapat kesenangan itu pula merupakan ‘dugaan kuasa dua’ untuk melihat samada kita bersyukur ataupun kita kufur dengan nikmat Allah. Ingatlah, jika kita diduga di dalam dunia ini, itu merupakan sebagai perkara biasa. Tetapi bagaimana jika hidup kita sentiasa merasa senang dan tidak pernah merasa susah? Adakah kita akan terus bermimpi diulit kesenangan ataupun mula berfikir mungkin terdapat suatu yang tidak kena pada diri kita?

Kita hidup dalam hari ini. Kita tidak tahu apakah yang akan terjadi pada hari esok kerana semua itu di dalam rahsia Allah. Hari ini dirimu menangis kerana Anakanda Amir Yusuf. Mana tahu di dalam perancangan Allah, di keesokan hari, dirimu akan berbahagia dan berbangga memiliki Amir Yusuf.

Andainya kau mengerti sahabatku, bahawa kata-katamu ini bagaikan satu semangat dan azimat yang cukup melekap. Di kala kesedihan dan kemuraman mengundang, hadirmu memberi kekuatan.

Seperti katamu, tiada perlu berterima kasih kepada sahabat. Cukup sekadar pengertian.

Sungguh, betapa pengertian darimu membuatkan aku rasa begitu terharu.

[+]

Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan, kenalan dan semua yang sudi meninggalkan komen di sini. Segala kata-kata semangat dan doa yang dipanjatkan, adalah amat dihargai. Setiap bingkisan adalah doa. Sudah tentu ianya begitu bernilai. Zahirnya, kami berusaha untuk menjadi ‘biasa’. Namun di dalam hati, rasa itu selalu bergelora. Kadangkala tercari-cari pegangan untuk kami bertahan bagi meneruskan kehidupan. Semoga Tuhan memberkati dan membalas ketulusan kalian.

Tabah dan sabar. Kata-kata ini seakan besar sekali maknanya. Kepada-Nya, kami bermohon agar diberi kekuatan.

05-08-08

Dekat Padamu

Posted in puisi by fajr'

[+]

Aku ingin
dekat selalu padamu

Akan ku elus tanganmu
ku usap kepalamu
dan ku belai tubuhmu
dalam rasa kasih
yang terindah

Cahaya matamu
menusuk sanubari
membenam rindu
yang tidak terperi

Betapa aku mahu
selalu denganmu

Bersama
kita cipta bahagia
dan bermohon
agar kekal buat selamanya

10.25am