29-05-07
“Kalau Qistina perlukan hati, ambillah semua hati ayah ini… Ayah pun dah puas hati hidup… Lega dan senang hati ayah jika Qistina sihat…”
www.qistina.org
Demikianlah luahan hati seorang ayah. Dan jika itu yang dirasakannya, maka aku cukup mengerti. Pengorbanan demi anak tercinta.
Diharap kita sama-sama dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh sahabat saya ini. Sumbangan kecil kita dapat memberi makna yang cukup besar untuk keluarga ini. Insya Allah.
26-05-07
Setelah beberapa minggu di negara ini, banyak juga yang dapat aku pelajari. Kalau ikutkan, bukanlah hebat sangat negara orang ini. Di sini, sebahagian tempat aku labelkan sebagai tempat yang bersih dan cantik. Tapi, ada juga bahagian-bahagian tertentu yang cukup menyenakkan mata. Sampah berada di mana-mana. Itu belum lagi dengan serpihan kaca yang berserakan di tepi jalan. Kebanyakannya berwarna hijau dan datangnya dari botol arak.
Tapi, ini hanyalah berpandukan dari mata aku yang memerhati. Tidak semua daripada orang sini berada dalam keadaan sivik yang tinggi. Ada juga yang begitu rendah tahap pemikiran mereka walaupun dikatakan mereka di dalam suasana yang dikatakan maju. Namun, aku masih cukup tertarik dengan sikap peramah orang di sini. Begitu mesra walaupun tidak pernah kenal.
Bayangkan, satu hari aku singgah ke sebuah kedai kamera kerana terdapat sedikit masalah pada kamera aku. Pemilik kedai berkenaan, David, menyambut aku dengan cukup mesra. Dari topik tips diberikan untuk menjaga kamera aku hingga masuk kepada kisah Scotland dan Malaysia. Bercerita dengannya bagai tiada ruangan yang besar di antara aku dan dia. Dia memberikan satu keadaan yang aku rasakan begitu mesra, dihormati dan diterima dengan begitu baik. Seronok sungguh bertemu dengan orang seperti ini. Tidak hairanlah jika ramai orang mengatakan kepada aku sebelum ini bahawa kebanyakan Scottish adalah peramah dan mesra. Begitu juga dengan sebahagian Irish barangkali (kerana supervisor aku pun baik juga!).
Di akhir pertemuan, dia memberikan aku sebuah kalendar yang dipenuhi dengan gambar-gambar pemandangan di salah sebuah pulau yang cantik di Scotland - percuma! Terdetik di hati aku, dan merumuskan bahawa, David begitu baik orangnya. Dan sudah pasti, selepas ini, urusan aku berhubung masalah kamera akan aku rujuk kepadanya terus. Atau mungkin mencari peluang pekerjaan dengannya suatu masa nanti? Segalanya mungkin.
[+]
Aduh, aku sudah mula merasakan kesibukan. Otak aku sudah giat memproses pelbagai maklumat penyelidikan yang aku temui. Baca, baca, baca dan baca lagi. Kalau setakat membaca buku fiksyen, aku dapat menjiwai sepenuhnya apa yang cuba disampaikan oleh pengarang. Segala rasa yang ada. Tapi, perasaan itu hilang ketika membaca buku-buku kejuruteraan ini. Penuh dengan teori, persamaan dan bermacam lagi di dalamnya. Yang diinginkan adalah untuk memahami semua itu!
Maka, itu adalah perbezaan yang cukup ketara apabila membaca buku ilmiah dan cereka.
22-05-07
Apa agaknya reaksi kau kalau mengetahui bahawa supervisor kau rupanya pernah berlakon dalam filem dan menjadi salah seorang produser untuk filem berkenaan? Hari ini baru aku sedar dan tahu bahawa supervisor aku berlakon dalam filem ini, Wilderness. Bukanlah sebuah filem yang popular pun, tapi sudah menjentik keinginan untuk aku menonton aksinya. Patutlah aku terlihat poster filem ini di pantri. Promosi.
Sebaik saja aku tahu tentang filem lakonan dia, cepat-cepat aku cari maklumat di internet. Kisah filem ini secara umumnya bertemakan thriller. Penuh dengan darah. Kalau tinjau di laman web pengarah filem ini, penuh dengan gambar dari filem berkenaan.
Dan, aku seakan tidak percaya. Cool juga supervisor aku rupanya.
“Going out into the woods to get your throat cut. Very smart!†- Wilderness, 2006 - UK.
21-05-07
Sebenarnya aku belum mendapat rumah lagi walaupun aku sudah menyatakannya pada entri sebelum ini. Pencarian rumah itu belum berakhir. Kenapa? Rumah yang sebelum ini bukanlah tidak begitu cantik, cuma agak jauh sedikit dari universiti dan juga komuniti orang Malaysia. Bukanlah bermakna aku ingin melekat sangat dengan komuniti sebangsa, cuma ingin memudahkan kami kalau ingin menghantar Najla sebelum ke universiti. Kalau rumah ini yang aku pilih, maka aku terpaksa naik turun bas. Kalau cuaca baik, mungkin tiada masalah lagi. Bagaimana pula kalau hujan atau di musim sejuk? Tidak dapat aku bayangkan.
Rumah yang terletak agak jauh itu dimiliki oleh seorang Pakistan. Pada mulanya, memang dia agak baik dan nampak seperti mahu menolong. Kali pertama aku dibawa ke rumah itu pun melalui BMW 3 seriesnya. Naik kereta, memang terasa dekat. Apatah lagi pada aku yang tidak tahu sangat jalan di situ. Tangga di flat itu saja belum begitu memberangsangkan aku. Kotor. Rumah itu pun belum dikemas sebaik sahaja penghuni sebelumnya meninggalkan pergi. Tetapi, entah apa jampi yang digunakan, aku seakan terpanggil atau tergerak untuk menyewa flat kecil itu. Maka, sebagai perjanjian, £100 aku berikan.
Masalahnya satu, hati aku tidak begitu gembira dengan transaksi ini. Jauh? Tidak begitu cantik? Kecil? Mahal sangat? Memang banyak yang bermain di fikiran. Malam itu, hati aku berkira-kira. Lalu akhirnya aku membuat keputusan, untuk membatalkan penyewaan itu. Tetapi, aku bakal menerima satu dugaan baru.
Sudah tentu tuan rumah itu tidak begitu gembira dengan keputusan aku. Semalam berkata ya, hari ini berkata tidak. Katanya, aku telah memungkiri janji. Maka, aku harus menerima padahnya, iaitu kehilangan £100. Banyak sungguh £100. Kalau RM100, mungkin aku tidak ambil peduli sangat. Darabkan dengan 7, sudah RM700!
Puas keluar segala teknik memujuk. Dan merayu. Tetapi agak hampa. Tuan rumah ini pun satu, kata-katanya berputar belit. Hinggakan ada yang marah kerana aku membuat keputusan yang terburu-buru dengan rumah ini. Masakan tidak. Aku adalah golongan yang terdesak ingin mendapatkan rumah secepat mungkin. Silap aku sendiri.
Moralnya, jangan terburu-buru. Sabar.
Oh ya, minggu lepas, tiba-tiba saja tuan rumah itu menelefon aku dan menukar fikirannya. Dia ingin pulangkan duit aku! Gembira sungguh. Lembut juga hatinya. Tapi, hingga saat ini, aku masih menantikan dia untuk menunaikan janjinya itu. £100. Bermacam benda boleh dibeli dengan jumlah wang sebanyak itu. Apatah lagi ketika berada di negara orang ini.
17-05-07
Hari itu, aku telefon mak dari jauh. Waktu itu, mak baru saja pulang dari masjid menunaikan solat Subuh. Terasa pagi di sana begitu sayup menyelubungi hingga ke bumi asing ini. Sejenak berbual bersama bapak, gagang telefon berpindah tangan kepada mak. Salam disambut dengan tangisan.
Berderu rasa sayu dari jauh.
Apatah lagi, setiap bicara dan jawapan diiringi dengan sendu dari seorang ibu. Sebutir ditanya, sebutir itulah yang terjawab.
Doakanlah anakmu ini wahai ibuku. Kalau tidak kerana kutahankan diri ini, sudah pasti air mata di sini turut berguguran.