Perjuangan yang baru bermula
Rasa terasing dan kesunyian kadangkala membawa diri kita ke dalam satu daerah yang amat jauh. Tiba-tiba saja, semangat terbang entah ke mana. Lalu bertanya kepada diri sendiri, apakah benar ini yang dimahukan?
Aku masih lagi mencari rumah. Menumpang di rumah orang untuk sementara waktu bukanlah satu pilihan. Terpaksa. Rumah-rumah di sini bagaikan pisang goreng. Baru saja dipaparkan di internet, sudah pun menjadi pilihan. Banyak juga perkara yang terpaksa aku ambil kira untuk memilih rumah di sini. Silap pilih, aku mungkin tinggal di kawasan yang tidak selamat atau sukar mendapatkan pengangkutan awam.
Benar, satu masa aku rasa hilang semangat apabila berdepan dengan beberapa masalah di negara orang. Tapi, apabila terasakan cabaran itu dapat diselesaikan dengan baik, maka aku yakin bahawa setiap sesuatu itu dipermudahkan dari-Nya.
Pertemuan pertama dengan supervisor aku adalah cukup mendebarkan. Sebelum ini aku hanya mengenalinya melalui emel dan gambar yang terpapar pada laman web universiti. Baikkah dia? Bolehkah aku bekerja dengan dia? Garangkah dia? Pelbagai persepi awal muncul di kotak fikiran. Namun, apabila pertama kali berbual dengannya, aku merasakan diri aku cukup bertuah kerana mendapatkannya sebagai supervisor aku. Orangnya cukup friendly, baik hati dan amat membantu. Mudah juga untuk dibawa berbincang. Semua pelajar yang pernah berada di bawah penyeliaannya lulus dengan baik, kecuali seorang. Gurlp. Tapi seorang itu tidak menghabiskan pengajiannya kerana pulang ke negaranya.
Rakan-rakan kumpulan penyelidikan ini agak baik juga. Ramai dari Pakistan dan Arab. Kadang-kadang aku merasakan berada di dalam filem Hindi kerana mereka sering berkata dalam bahasa Hindi. Lama-lama mungkin aku turut mampu berbahasa seperti mereka. Kuch, kya?
Hari ini, pertemuan kedua bersama supervisor untuk membincangkan hala tuju penyelidikan yang bakal aku jalankan. Di akhir pertemuan, nah, aku diberikan 9 tesis untuk dibaca dan mendapatkan maklumat dari internet. Phew!
Cabaran dunia baru. Mungkin tidak begitu baru. Tapi, melalui pendekatan yang lebih mesra aku kira berbanding di tempat lama suatu ketika dulu.
Dunia ini adalah sesuatu yang cukup mencabar. Aku mengambil masa yang agak lama untuk keluar dari kepompong keselesaan untuk terjun ke bidang ini. Apabila mengenangkan tentang keutamaan, maka aku kira ini adalah salah satu daripadanya. Berjuang dan terus berjihad kerana menuntut ilmu. Setiap impian memerlukan pengorbanan. Dan setiap pengorbanan memerlukan ketabahan hati.
cik kosong says:
fajar,
bukankah kau sukakan hindustan…
balik dari scotland nanti kau boleh kuasai satu lagi bahasa… keh keh keh
14-05-07 at 6:40 pm