£100
Sebenarnya aku belum mendapat rumah lagi walaupun aku sudah menyatakannya pada entri sebelum ini. Pencarian rumah itu belum berakhir. Kenapa? Rumah yang sebelum ini bukanlah tidak begitu cantik, cuma agak jauh sedikit dari universiti dan juga komuniti orang Malaysia. Bukanlah bermakna aku ingin melekat sangat dengan komuniti sebangsa, cuma ingin memudahkan kami kalau ingin menghantar Najla sebelum ke universiti. Kalau rumah ini yang aku pilih, maka aku terpaksa naik turun bas. Kalau cuaca baik, mungkin tiada masalah lagi. Bagaimana pula kalau hujan atau di musim sejuk? Tidak dapat aku bayangkan.
Rumah yang terletak agak jauh itu dimiliki oleh seorang Pakistan. Pada mulanya, memang dia agak baik dan nampak seperti mahu menolong. Kali pertama aku dibawa ke rumah itu pun melalui BMW 3 seriesnya. Naik kereta, memang terasa dekat. Apatah lagi pada aku yang tidak tahu sangat jalan di situ. Tangga di flat itu saja belum begitu memberangsangkan aku. Kotor. Rumah itu pun belum dikemas sebaik sahaja penghuni sebelumnya meninggalkan pergi. Tetapi, entah apa jampi yang digunakan, aku seakan terpanggil atau tergerak untuk menyewa flat kecil itu. Maka, sebagai perjanjian, £100 aku berikan.
Masalahnya satu, hati aku tidak begitu gembira dengan transaksi ini. Jauh? Tidak begitu cantik? Kecil? Mahal sangat? Memang banyak yang bermain di fikiran. Malam itu, hati aku berkira-kira. Lalu akhirnya aku membuat keputusan, untuk membatalkan penyewaan itu. Tetapi, aku bakal menerima satu dugaan baru.
Sudah tentu tuan rumah itu tidak begitu gembira dengan keputusan aku. Semalam berkata ya, hari ini berkata tidak. Katanya, aku telah memungkiri janji. Maka, aku harus menerima padahnya, iaitu kehilangan £100. Banyak sungguh £100. Kalau RM100, mungkin aku tidak ambil peduli sangat. Darabkan dengan 7, sudah RM700!
Puas keluar segala teknik memujuk. Dan merayu. Tetapi agak hampa. Tuan rumah ini pun satu, kata-katanya berputar belit. Hinggakan ada yang marah kerana aku membuat keputusan yang terburu-buru dengan rumah ini. Masakan tidak. Aku adalah golongan yang terdesak ingin mendapatkan rumah secepat mungkin. Silap aku sendiri.
Moralnya, jangan terburu-buru. Sabar.
Oh ya, minggu lepas, tiba-tiba saja tuan rumah itu menelefon aku dan menukar fikirannya. Dia ingin pulangkan duit aku! Gembira sungguh. Lembut juga hatinya. Tapi, hingga saat ini, aku masih menantikan dia untuk menunaikan janjinya itu. £100. Bermacam benda boleh dibeli dengan jumlah wang sebanyak itu. Apatah lagi ketika berada di negara orang ini.
bear says:
Bertatih lah dengan kesabaran..
Semoga segalanya dipermudahkan…
22-05-07 at 4:52 pm
saharil says:
memang landlord pakistan selalu begitu - berkira. kerana itu diorang mudah jadi usahawan berjaya - sifat shrewd itu.
22-05-07 at 11:39 pm
Hazlina says:
Salam,
Ingat lagi tak akak?…masa Lego Robotic Championship.
buleh bagi email add fajar tak?
Insyaallah akak sekeluarga akan ke Glasgow lagi 2-3 bln nanti…ada banyak benda nak tanya…
Bila org rumah nak menyusul? Kesian duk sana sorang…be strong InsyAllah you’ll be OK.
04-06-07 at 5:14 pm