Archive for May, 2007

17-05-07

Langit cemerlang

Posted in bicara by fajr'



Building

Originally uploaded by fajaril.


Percayalah, melihatkan langit cerah sebegini di Kota Glasgow adalah satu perkara yang cukup istimewa. Selalunya langit mendung dan dibelenggu dengan kesejukan. Tapi, pada waktu ini, matahari menyeluruhi bumi kota ini.

Seorang teman berpesan kepada aku, berada di Scotland kita boleh menghadapi 4 musim sekaligus dalam masa satu hari! Mungkin ada benar pada katanya itu. Sekejap saja, tiba-tiba Kota Glasgow ini diselubungi dengan awan. Terus gelap. Lalu hujan rintik membasahi.

Saat itu, hati kecil berbisik, alangkah seronoknya kalau berada di Malaysia. Mengharap panas yang berpanjangan.

14-05-07

Rumah

Posted in bicara by fajr'

Akhirnya, syukur aku kepada Tuhan. Hari ini pencarian mencari rumah telah pun berakhir. Sebuah rumah yang bersaiz comel, telah pun aku temui. Bukanlah rumah yang besar, tetapi flat. Aku kira, kalau orang di sini menetap di Malaysia, nescaya sebesar-besar rumah mereka boleh dapat di negara kita.

Syukur. Maka, setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan. Itulah yang aku pegang.

13-05-07

Menangis

Posted in bicara by fajr'

Percaya atau tidak, pada hari ketiga di Scotland, aku seperti mahu menangis dan ingin balik ke Malaysia!

Sabar, sabar. Kuatkan semangat. Tapi hari ini, aku tempuh dengan kecekalan. Insya Allah, aku cukup yakin bahawa kemudahan itu pasti ada.

11-05-07

Perjuangan yang baru bermula

Posted in kembara by fajr'

Rasa terasing dan kesunyian kadangkala membawa diri kita ke dalam satu daerah yang amat jauh. Tiba-tiba saja, semangat terbang entah ke mana. Lalu bertanya kepada diri sendiri, apakah benar ini yang dimahukan?

Aku masih lagi mencari rumah. Menumpang di rumah orang untuk sementara waktu bukanlah satu pilihan. Terpaksa. Rumah-rumah di sini bagaikan pisang goreng. Baru saja dipaparkan di internet, sudah pun menjadi pilihan. Banyak juga perkara yang terpaksa aku ambil kira untuk memilih rumah di sini. Silap pilih, aku mungkin tinggal di kawasan yang tidak selamat atau sukar mendapatkan pengangkutan awam.

Benar, satu masa aku rasa hilang semangat apabila berdepan dengan beberapa masalah di negara orang. Tapi, apabila terasakan cabaran itu dapat diselesaikan dengan baik, maka aku yakin bahawa setiap sesuatu itu dipermudahkan dari-Nya.

Pertemuan pertama dengan supervisor aku adalah cukup mendebarkan. Sebelum ini aku hanya mengenalinya melalui emel dan gambar yang terpapar pada laman web universiti. Baikkah dia? Bolehkah aku bekerja dengan dia? Garangkah dia? Pelbagai persepi awal muncul di kotak fikiran. Namun, apabila pertama kali berbual dengannya, aku merasakan diri aku cukup bertuah kerana mendapatkannya sebagai supervisor aku. Orangnya cukup friendly, baik hati dan amat membantu. Mudah juga untuk dibawa berbincang. Semua pelajar yang pernah berada di bawah penyeliaannya lulus dengan baik, kecuali seorang. Gurlp. Tapi seorang itu tidak menghabiskan pengajiannya kerana pulang ke negaranya.

Rakan-rakan kumpulan penyelidikan ini agak baik juga. Ramai dari Pakistan dan Arab. Kadang-kadang aku merasakan berada di dalam filem Hindi kerana mereka sering berkata dalam bahasa Hindi. Lama-lama mungkin aku turut mampu berbahasa seperti mereka. Kuch, kya?

Hari ini, pertemuan kedua bersama supervisor untuk membincangkan hala tuju penyelidikan yang bakal aku jalankan. Di akhir pertemuan, nah, aku diberikan 9 tesis untuk dibaca dan mendapatkan maklumat dari internet. Phew!

Cabaran dunia baru. Mungkin tidak begitu baru. Tapi, melalui pendekatan yang lebih mesra aku kira berbanding di tempat lama suatu ketika dulu.

Dunia ini adalah sesuatu yang cukup mencabar. Aku mengambil masa yang agak lama untuk keluar dari kepompong keselesaan untuk terjun ke bidang ini. Apabila mengenangkan tentang keutamaan, maka aku kira ini adalah salah satu daripadanya. Berjuang dan terus berjihad kerana menuntut ilmu. Setiap impian memerlukan pengorbanan. Dan setiap pengorbanan memerlukan ketabahan hati.

11-05-07

Rindu darinya

Posted in rasa by fajr'

“Sayang, terharunya, Najla asyik sebut ayah, tanya mana ayah?.

“Sampai rumah tadi, Najla terus meluru ke muka pintu memanggil ayah. Rindu bertamu dalam hatinya barangkali. Sebak naluri ini”

Begitulah pesanan sms yang hinggap ke telefon bimbit aku. Sungguh, mata aku terus berkaca. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa mahunya aku memeluk tubuh kecilnya itu. Saat ini juga!