Satu purnama… akhirnya
Hari ini genap sebulan aku berada di bumi orang. Selama satu bulan ini, pelbagai pengalaman yang telah aku rasa. Pahit dan manis bersatu. Kadangkala aku begitu sukar untuk menterjemah apa yang aku alami dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi sesuatu yang terlalu peribadi. Atau aku sahaja yang berperasaan begitu.
Selama satu bulan aku berada di sini, sudah 4 kali aku berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain. Bukan rumah yang aku sewa sendiri, tetapi rumah orang lain. Itu pun atas belas ehsan orang. Bayangkan, 4 kali berpindah randah dengan beg bagasi yang besar dalam masa satu bulan! Mujur juga, rumah persinggahan yang terakhir adalah rumah seorang rakan yang cukup aku kenali dan baik semasa aku berkursus dengannya suatu ketika. Maka, tidak begitu terasa halangan di antara kami. Walaupun menumpang, aku terasa lebih diterima.
Hari ini, biar aku letakkan di dalam blog ini. Aku mahu ia diingati kerana pada hari ini aku akan masuk ke rumah sewa aku sendiri. Terasa penat sudah mencari rumah untuk disewa. Akhirnya, pencarian itu berakhir apabila semalam aku menandatangani surat perjanjian dan menyerahkan wang deposit berserta sewa sebulan. Kini, kunci rumah berkenaan telah pun aku miliki. Dalam masa yang sama, segala penat jerih mencari rumah hilang apabila akhirnya aku berjaya mendapatkan rumah yang baik, cantik dan bersih. Tambahan pula, tuan rumah ini seorang English atau barangkali Scottish. Maka, tidak perlu aku bersusah payah berurusan dengan golongan yang sering berputar belit (seperti kes sebelum ini). Satu bonus buat aku, tuan rumah aku mempunyai citarasa hiasan dalaman yang cukup tinggi. Kemasan dalaman rumah dia cukup menarik hinggakan kali pertama aku melihat rumah itu, aku sudah ingin menyewa terus.
Berminggu lamanya aku berada dalam misi pencarian rumah. Melalui internet, semua laman web aku jelajahi hingga kepala aku menjadi pening. Puas juga aku berjalan dan menghafal jalan-jalan yang ada di sekitar kawasan rumah yang aku cari. Pernah sekali, aku berjalan hingga kaki aku melecet. Ada ketikanya aku berada dalam kebasahan kerana hujan. Ada juga masanya aku tersesat. Setiap kali terjumpa iklan ‘house to let’, cepat-cepat aku tulis maklumat pada kertas yang hampir lunyai. Banyak juga nilai pound aku habiskan kerana menelefon setiap iklan rumah untuk disewa.
Namun, tidak semua iklan yang aku terima begitu berguna. Hampir kesemuanya sudah pun ditempah oleh orang atau mahal. Mahal kerana memiliki bilik yang banyak. Waktu itu, kesabaran sajalah yang cuba disemai di dalam hati. Aku tidak menyangka bahawa pencarian rumah di sini mengambil masa yang agak lama. Ada orang kata, aku terlalu memilih.
Barangkali, ada juga kebenaran pada katanya.
Bagaimana aku mahu memilih rumah berkenaan kalau rumah yang ditawarkan kotor? Aku memang menolak kalau rumah itu tidak sempurna atau kotor. Begitu kotor. Sudahlah bersusah payah membayar sewa, sudah menjadi satu kerja pula untuk membersihkannya. Lebih-lebih lagi kalau kotor di persekitaran. Bayangkan, kalau kau berjalan mata terpaksa tunduk ke bawah. Bukan kerana malu atau cuba menjadi sopan, tetapi kerana ingin mengelakkan dari terpijak najis anjing yang bersepah-sepah!
Ada juga kawasan yang terlalu kotor dan mempunyai penyewa yang datangnya dari negara luar tidak mengamalkan budaya hidup yang baik. Bising dan membuang sampah merata-rata. Ada juga rumah yang ditawarkan tidak setimpal dengan harganya. Rumah kecil, tapi mahal. Sedangkan, pada harga yang sama aku boleh mendapatkan rumah yang lebih baik dan besar. Bagi aku, biar kecil tetapi selesa.
Mungkin aku agak cerewet. Tetapi, kalau hanya aku saja yang duduk di rumah itu, mungkin tidak menjadi satu soal yang besar. Memandangkan aku mencari rumah untuk keluarga aku, maka sudah pasti banyak perkara yang harus aku titikberatkan. Bukan untuk kepentingan aku, tetapi kepentingan keluarga aku. Keselesaan keluarga aku.
Syukur, akhirnya misi pencarian rumah ini akan berakhir.
Maka, hari ini, aku akan masuk ke rumah aku sendiri. Rumah yang telah aku cari sendiri. Aku sudah tidak ambil peduli apa yang orang akan kata. Susah senang, aku yang tanggung. Dan apa yang pasti, akan aku hiaskan rumah itu menjadi rumah yang bersih dan cantik bagi menyambut orang yang begitu aku rindu walaupun rumah itu sudah pun terhias cantik.
Kebetulan pula, ianya jatuh genap sebulan aku berada di bumi Scotland. Syukur pada-Mu.
Segeralah datang anak ayah. Ayah setia menanti. Dan juga kamu, sayangku.
rasso says:
Selamat sepurnama di sana bro..
07-06-07 at 12:27 am
salwa a.k.a tipahlawa says:
Tahniah Fajar..
Biarlah apa org kata.. Tindakan dan perhitungan itu mmg batul.. Rumah itu untuk keluarga.. Dan mmg menjadi tanggungjawabmu kawan, sebagai ketua.. suami dan ayah.. memastikan si isteri dan zuriatmu menerima yang TERBAIK!
Tahniah… Saya kagum!!
07-06-07 at 8:44 am
Abu Bazli says:
untuk rumah… yup, tak sia-sia kalau berkira.
07-06-07 at 11:03 am
aliff says:
tulisan anda sekemas rumah itu, tahniah selamat duduk di rumah baru!
07-06-07 at 1:14 pm
isteri says:
Sabarlah sayang…ku kan datang bersama cinta
07-06-07 at 4:47 pm
rudy bluehikari says:
fajar, semasa nak akad nikah kita dulu, tok kadi ada khutbah, salah satu tggjwb suami ialah menyediakan rumah tempt berteduh kuarga yang sempurna dan baik. Luar, persekitaran, dan dalamnya. Tahniah Fajar. Aku nantikan berita gembira bilamana anak dan isteri berkumpul nanti. Tabahkan hati.
08-06-07 at 12:03 pm
anonahmous says:
fajar! kau di scotland! masyaAllah sungguh aku tak sangka. I was just across the border for a month there and just head back to London last week and kalau tau kau kat Scotland, sanggup aku redah and pi visit jumpa kau.
email me please, I’d send you PP for free :). Hopefully soon wifey and daughter will join you soon in Scotland ok.
email fajar, email!
(ok ok mcm harassment plak but aku bley jadi visitor pertama kau he he he.)
10-06-07 at 4:44 am
azeel says:
selamat merantau bro di negeri asing …
10-06-07 at 2:26 pm
Jimi says:
tahniah. put some pictures of ur idaman house ya.
11-06-07 at 12:21 pm
Epong says:
Assalamualaikum bro..
at last..dapat gak ek? heheh..
baca blog ko ni buat aku rindu kat uk daa.. huuu..
12-06-07 at 11:54 am
fajar says:
terima kasih semua. Insya Allah, gambar rumah akan diupload. Nantikan saja ye
12-06-07 at 6:28 pm
Kak Lin says:
Tahniah!!!
Insyaallah hidup Fajar akan kembali bersinar….
14-06-07 at 11:06 am