12-06-07

Bristol

Posted in kembara by fajaril

Pada 30 dan 31 Mei, aku telah berpeluang ke Bristol. Oh, jangan buat spekulasi yang aku ke sana untuk makan angin. Datang ke sana pun kerana memenuhi tuntutan daripada supervisor aku untuk menghadiri seminar satu hari di sana. Kepercayaan yang diberikan kepada aku dirasakan cukup bermakna. Maklum sajalah, aku belum pun cukup sebulan di sini, sudah diberi keutamaan untuk mengikuti seminar di salah sebuah bandar yang agak jauh dari Scotland. Mujur juga, segala perbelanjaan ditanggung olehnya. Apa yang perlu aku lakukan adalah siapkan barang-barang dan juga diri aku sendiri.

Sebenarnya, aku sendiri tidak begitu tahu di mana letaknya Bristol. Nasib baik aku tidak ke sana keseorangan, tetapi ditemani oleh rakan kumpulan penyelidikan aku. Masuk saja ke pintu berlepas, rakan aku sudah ditahan kerana di dalam begnya mengandungi beberapa barang terlarang, seperti cecair yang melebihi 100ml. Nampaknya dia tidak boleh bercukur kerana krim pencucinya telah dirampas. Tapi apa yang mengejutkan aku, di dalam begnya ada paku sepanjang 3 inci! Dia nak buat apa pula dengan paku ni?, getus hati aku. Pelik juga. Selepas itu dia berkata, bahawa dia jarang menggunakan beg itu. Maka dia pun tidak tahu dari mana datangnya barang-barang itu.

Maka, kami pun bersama-sama terbang ke Bristol menaiki penerbangan EasyJet, antara penerbangan yang agak popular di sini kerana harganya yang begitu kompetetif. Begitulah kata orang. Tiba saja ke Bristol, kami terus mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar bandar sebelum menuju ke destinasi. Baru aku tahu, Bristol agak dekat dengan Bath dan London. Maklum sajalah, aku tidak pernah mengikuti kelas Geografi yang mengutamakan peta England. Didikan Malaysia. Kami berdua sama-sama menjejaki Bristol dengan berpandukan peta percuma di pusat pelancongan di situ. Segalanya terasa mudah sedikit.

Secara umumnya, Bristol merupakan bandar yang agak moden. Kebanyakan bangunan di sini agak baru dan urban. Kalau di Glasgow, hampir kesemua bangunan agak berusia. Bandar ini kelihatan cantik. Malah, perjalanan dari lapangan terbang Bristol menuju ke bandarnya, mata aku hanya melihat kehijauan bumi England. Seperti yang aku lihat di dalam filem atau dokumentari. Melihat kemodenan dan kecantikan bandar ini, membuatkan hati aku terdetik, mengapa pula aku tidak ke sini? Tapi, itu hanya selintas fikiran. Sudah tentu aku punya banyak sebab mengapa aku ke Scotland.

Bristol hujan. Cuaca agak sejuk. Kami berjalan di dalam hujan. Hingga kasut aku menjadi basah di bucunya. Untuk berjalan-jalan di sekitar bandar Bristol, kami boleh berjalan, menaiki bas atau bot. Bot? Rakan aku pula kepingin sungguh untuk menaiki bot. Dengan 2 pound seorang, maka kami dibawa ke hentian di hujung bandar Bristol, iaitu berdekatan dengan Clifton Suspension Bridge yang terkenal di sini. Melalui sungai itu, aku dapat melihat banyak bot yang dijadikan rumah. Menarik sungguh. Ada juga yang sanggup hidup begini.

Hujan renyai-renyai. Namun itu tidak mematahkan semangat rakan aku yang ingin menaiki jambatan itu. Sedangkan aku pula berada dalam kepenatan dan ingin terkencing! Sudahlah begitu, aku terpaksa pula mendaki jalan yang curam, berliku dan berbukit untuk ke sana. Melihat jambatan itu dengan dekat tidak langsung memberikan aku sebarang rasa. Tetapi, sebaik saja melihat tandas awam yang berdekatan, hati aku terus girang. Lega!

Setelah beberapa ketika menyusuri jambatan itu, barulah rakan aku ingin menuju ke mana-mana destinasi di bandar Bristol. Memandangkan aku pun tidak punya sebarang perancangan, maka kami menuju ke bandar utama. Di sini, beberapa tempat yang menjadi tumpuan kami jejaki. Termasuklah gereja-gereja yang ada di sini. Dan buat pertama kalinya aku masuk ke dalam gereja. Jangan salah faham, sekadar ingin menjadi sebahagian daripada pelancong dan menyaksikan sendiri apa yang ada di dalamnya. Binaan di dalamnya begitu gah dengan ukiran dan stain glass. Tidak lupa juga dengan kubur-kubur di dalamnya!

Sebenarnya, pada waktu ini, aku bukan mahu berjalan sangat. Aku lapar dan mahu makan!

Tapi, apa yang menarik perhatian aku adalah semasa melalui pokok yang berdekatan dengan salah satu gereja di sini. Kenapa? Di pokok ini ada banyak tergantung dengan kasut! Ya, kasut. Kelakar pula melihatnya. Mungkin ada sesuatu yang cuba dilakukan, atau semacam tujuan mereka membaling kasut ke atas pokok ini. Tiada sebarang deskripsi berkenaan dengan ini.

Lewat petang, barulah kami menuju ke destinasi utama kami, iaitu Swindon. Setelah menaiki keretapi, bas dan juga berjalan kaki, akhirnya kami tiba juga di hotel Holiday Inn. Alangkah seronoknya dapat mandi dan berehat. Dan malam itu, aku tidur dengan lena sekali.

Untuk gambar yang lain, sila lawati flickr ini.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

4 comments

  1. elaira says:

    superb! catatan bergambar begini memang mengasyikan… thanks fajar sudi berkongsi pengalaman dan pemandangan. huhu… tetap jeles dgn gambar2 dia…

    13-06-07 at 1:31 pm

  2. napang says:

    hehehe.. seronok kan…

    begitulah kehidupan

    15-06-07 at 9:44 am

  3. spyz says:

    bukukan travelog kau ni nanti.

    kasut. pernah tgk ‘wag the dog’?

    20-06-07 at 7:16 am

  4. ayobkelubi says:

    bandar bristol segi empat petak tepatkan?.kalau ko perasanlah. :P

    rindu aku nak gie shopping kat bristol

    21-06-07 at 10:08 pm

Leave a comment