19-06-07

Pertemuan

Posted in favourite, rasa by fajr'

Sekian lama aku menantikan detik ini. Hingga dibawa ke alam mimpi. Akhirnya, saat itu muncul juga. Lain benar rasanya sewaktu aku bangkit pada pagi itu. Seolah-olah satu semangat baru menyimbah ke dalam jiwa ini.

Segera aku persiapkan rumah sewa aku itu. Walaupun semalam sudah aku belikan sejambak bunga dari M&S, tapi aku masih tidak begitu berpuashati. Lalu, aku terus keluar dari rumah dan berjalan ke pasaraya Asda yang berdekatan dengan rumah aku. Tiba di sana, pada awal pagi, bunga-bunga baru dan segar telah tersedia. Nah, pening aku dibuatnya untuk memilih jambangan mana yang menawan hati. Lantas, aku capai sejambak bunga lili berwarna merah jambu. Aku tahu, bunga lili adalah antara bunga kegemaran isteri aku. Di tanahair, bunga itu jarang dibeli kerana harganya yang agak mahal.

Tiba di rumah, terus aku letakkan bunga itu di dalam pasu kaca yang aku beli kelmarin. Banyak persediaan yang aku lakukan demi menyambut hari ini. Itu belum lagi dengan pelbagai permainan untuk Najla yang aku beli di carboot pada setiap minggu. Sedang sibuk mengemas dan menghias, tiba-tiba mesej menerpa ke telefon bimbit.

“Sayang, dah sampai”. Hah, sebegitu awal? Mereka tiba sejam awal dari jadual yang sepatutnya!

Tiba-tiba, aku jadi kalut. Aku cuba hubungi rakan aku yang sepatutnya bersama mengambil mereka. Tapi, dia masih ada urusan di universiti. Mungkin lewat sejam lebih. Tapi, aku tidak sanggup menanti lagi. Lalu, aku putuskan untuk pergi ke lapangan terbang menaiki bas.

Aku capai jaket, kunci pintu rumah dan terus turun ke bawah. Udara sejuk menampar pipi aku. Kebas dirasakan. Tapi, segera aku langkahkan kaki ke hentian bas yang terletak beberapa ratus meter dari rumah aku. Aku tidak berjalan, tapi berlari.

Tiba di hentian, sebuah bas yang sepatutnya aku naiki sudah pun berlalu pergi. Aku cuba mengejarnya, tapi tidak kesampaian. Maka, aku terpaksa menanti beberapa minit lagi. Ironi sekali, saat aku ingin cepat, aku terasa seperti lambat. Sabar sabar sabar. Akhirnya, bas yang aku tunggu kunjung tiba.

Sebaik sahaja sampai ke bandar Glasgow, aku segera turun di Bath Street dan menyambung larian aku ke Buchanan Bus Station. Peluk memercik di hujung jemari. Segera tangan aku bertambah sejuk. Tidak aku pedulikan kalau ada mata yang memandang seorang lelaki berjaket tebal berlari-lari. Mungkin tiada siapa ambil peduli.

Syukur, bas ke lapangan terbang antarabangsa Glasgow masih menanti penumpang. Setelah membayar £3.50, aku terus duduk dan mengambil nafas. Tiba-tiba saja, aku terasa panas. Lantas aku buka jaket yang membaluti tubuh. Meninggalkan hanya tshirt di dalam. Cepatlah bergerak. Tapi, bas masih terus menanti. Terbayang di mata, apakah yang sedang mereka lakukan. Risau seandainya Najla berjalan ke sana sini sedangkan isteri aku sibuk dengan bagasi yang besar. Seperti apa yang dilaporkan kepada aku melalui sms, semasa transit di Amsterdam, Najla benar-benar menguji kekuatan dan kesabaran ibunya. Tambah-tambah rungsing aku dibuatnya. Sebaik bas bergerak, aku cuba memujuk hati. Tiba di highway M8, aku rasakan bas bergerak dengan laju. Seolah-olah cuba menzahirkan apa yang aku rasa. Melihatkan saja lapangan terbang Glasgow, hati aku sudah berdebar-debar. Berbunga sudah rasa gembira yang tidak keruan.

Lambat pula bas ingin berhenti. Kaki ini sudah seakan mahu melompat. Bagaikan menanti tiupan wisel untuk memecut. Pintu dibuka, dan aku tidak terus melangkah pergi. Sebaliknya, aku menolong seorang warga tua yang tidak berdaya mengangkat beg bagasinya. Namun, sejurus kaki aku menginjak lapangan terbang, aku terus dibawa masuk ke dalam. Mata aku tercari-cari di mana mereka. Balai kemasukan sarat dengan orang beratur yang ingin mendaftar masuk. Di mana pula balai ketibaan antarabangsa? Papan menghala ke sebelah kiri.

Cepat aku berjalan ke arah sana. Ada banyak kerusi rehat yang diduduki orang yang menanti. Lalu, mata aku terus terpaku ke satu sudut, seorang perempuan bertudung putih sedang tunduk membelek telefon bimbitnya dan selang satu kerusi pula seorang kanak-kanak kecil sedang duduk termenung sambil melunjurkan kakinya. Masakan mata ini tidak mengenali siapa mereka. Aku terus meluru ke arah mereka.

Mata bertemu mata. Melerai rindu dalam pelukan dan tangisan. Sungguh, rindu itu terlalu bermakna. Sudah terlalu lama aku pendamkan seksa yang menjerut rasa aku selama ini. Air mata rindu berguguran.

Aku bergerak ke arah Najla. Dia hanya diam membisu. Seolah-olah terkedu melihat aku.

“Najla, ayah ni sayang. Ayah”. Lalu aku peluk tubuh kecilnya. Butir butir air mata sudah pun membasahi pipi. Syahdu aku rasakan. Aku leraikan pelukan dan terus melihat mata Najla. Dia hanya terdiam, mengalihkan pandangannya ke arah lain. Barangkali malu atau terkejut melihat ayahnya yang selama ini ‘hilang’ dari matanya untuk sekian lama. Atau, mungkin ‘merajuk’ kerana ayah tidak muncul di muka pintu rumah seperti selalu.

“Kenapa sayang? Ayah ni. Tak kenal ayah ke sayang?”.

“Peluk ayah sayang”. Tangan kecil itu memaut tubuhku.

“Cium ayah sayang”. Mulut kecilnya merapati pipiku. Dan segera aku rangkul lagi tubuhnya itu. Sungguh, aku tidak mahu melepaskan dia lagi selepas ini. Rindu itu menjadi cukup bermakna. Dan pertemuan ini menzahirkan segala rasa yang telah kami simpan selama ini. Syukur, akhirnya kami disatukan dan dipertemukan lagi. Melerai rindu yang begitu bermakna.

Dan tanpa aku sedari, begitu ramai mata memandang aksi kami bertiga.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

17 comments

  1. salwa a.k.a tipahlawa says:

    Tahniah Fajar…
    Akhirnya segala perasaan yang terpendam.. dapat dileraikan dengan penyatuan ini…

    Semoga bertambah semangat untuk mengharungi kehidupan di negera org..

    Selamat berjuang sahabat! :)

    20-06-07 at 9:56 am

  2. Abu Bazli says:

    hahaha ya Allah, alhamdulillah, this is happiness. absorb it! absorb it!

    20-06-07 at 11:20 am

  3. chentahati says:

    ha…tau… wife fly hari ahad hari tu..kita tau.. he he…semoga berbahagia..kim salam najla..cakap ngan dia.. baby pempuan yang dia selalu enjut dalam buaian kat taska tu dah berusia 10 bulan…!

    20-06-07 at 12:46 pm

  4. applephye says:

    ..menitik airmata bila baca entri ni.. :(

    20-06-07 at 3:39 pm

  5. bear says:

    Alhamdulillah…
    Hadirnya kekuatan dan sumber inspirasi…

    20-06-07 at 7:24 pm

  6. Epong says:

    darn it man! you are so good at writing this stuff i swear you have my eyes blurred with.. huhuuu.. tears, i think..

    it’s good to be a father, ain’t it?

    21-06-07 at 9:56 am

  7. rudy bluehikari says:

    dan…fajar..airmata aku berkaca-kaca sejurus noktah entri kau yang ini. Bersyukurlah Allah memberi kita nikmat punya keluarga yang sebegini indah dan dipertemukan selepas beberapa ketika.

    Lily indah menyambut kalian nanti di rumah. Selamat bersatu kembali. Aku rasai kebahagiaan itu :)

    21-06-07 at 10:02 am

  8. aliff says:

    dan air mataku berguguran di tubir mata! jazakallah, semoga abang fajar dan famili berbahagi. Amin!

    21-06-07 at 4:19 pm

  9. kosong says:

    fajar,
    i luv this entry…
    mcm novel…

    eh ko tulis novel kan ni?

    21-06-07 at 4:42 pm

  10. ayobkelubi says:

    aduh bang,mata aku berkaca beb baca entri ko nie. membuatkan aku rasa rindu pada anak aku juga
    (aku tgh kursus kat penang)….nak balikkkk!

    apa-apa pun selamat mengeksplorasi tempat orang dan bawa pulang segulung PHD!

    21-06-07 at 10:10 pm

  11. elaira says:

    uwaaaa… walau tak de gambar tapi entri ni mmg kejam aa buat aku nangih pepagi… so happy for 3 of you… smthg that i dont have…:)

    22-06-07 at 9:29 am

  12. Nisah Haron says:

    Alangkah indahnya sebuah pertemuan, apatah lagi setelah dihalangi seribu cabaran.

    Alhamdulillah, akhirnya bersatu semula sebuah keluarga bahagia. Semoga kehadiran sumber inspirasi tidak akan disia-siakan.

    22-06-07 at 1:28 pm

  13. JIMI says:

    alhamdulillah.bertemu jua ya. tumpang gembira , Fajar.

    22-06-07 at 6:13 pm

  14. fajar says:

    terima kasih semua. sungguh, tidak sangka rupanya ramai yang berkongsi perasaan sebegini. sebenarnya, entri ini ditulis secara spontan. dan dalam masa yang sama menahan mata daripada basah.

    22-06-07 at 11:39 pm

  15. akak_fkekk says:

    Selamat merantau ke negeri org. nantikan kami di sana….

    27-06-07 at 3:00 pm

  16. fajar seluas angkasa » Setahun Berlalu says:

    [...] sebab yang utama adalah hati aku yang terasa kosong tanpa Najla dan ibunya. Justeru itu, saat kehadiran mereka, aku menjadi manusia yang cukup gembira pada waktu itu. Satu pertemuan yang cukup bermakna. [...]

    13-05-08 at 1:14 pm

  17. mal says:

    sian tak dpt raya…..sabar

    22-11-08 at 2:29 pm

Leave a comment