27-06-07

Sejuk

Posted in bicara by fajr'

Musim panas menjelma. Mengikut jangkaan, seharusnya pada minggu ini adalah minggu yang penuh dengan matahari. Tapi itu hanyalah ramalan. Nama saja musim panas, tapi aku merasakan sejuk sahaja. Kadang-kadang, hujan turun dengan lebat. Hingga ada sekali, aku pulang dalam kebasahan. Hebat juga penangan air hujan di UK ini. Rasa sejuk, deru angin dan air bersatu mewujudkan satu suasana yang dramatik. Namun, orang-orang di sini sudah seperti biasa dengan keadaan sebegini. Teringat pula aku kepada lagu ‘Summer Rain’, Belinda Carlisle.

Walaupun sepatutnya kami berada dalam keadaan yang panas, tapi memandangkan keadaan cuaca yang sukar dijangka, maka suhu adalah rendah. Sejuk menguasai. Air di pili saja sejuk - seakan baru dikeluarkan dari peti sejuk. Belum pun sampai seminggu Najla dan isteri berada di Glasgow, pemanas air di rumah kami tiba-tiba saja rosak. Kasihan pula aku melihat mereka berdua kesejukan sebaik saja menyentuh air di pili. Kebas tangan dibuatnya. Maka, berkali-kali pula aku mengadakan temujanji bersama British Gas untuk mendapatkan bantuan daripada mereka.

Mengenangkan air yang begitu sejuk, maka adalah berat sekali untuk mandi. Tapi, ada ketikanya, terpaksa juga memanaskan air di dapur dan diisi ke dalam baldi untuk mandi. Mana mungkin asyik ponteng mandi selama 4 hari?

Bayangkan, masuk temujanji ke-5, barulah aku berjaya mendapatkan seseorang datang ke rumah. Temujanji sebelum ini mengatakan bahawa aku tiada langsung di rumah sedangkan kami ternanti-nanti mereka datang. Huh, rupa-rupanya, buzzer rumah aku pula yang bermasalah. Patutlah kalau sesiapa menekan, tidak akan kedengaran bunyi langsung.

Sudahlah begitu, tiba-tiba saja, telefon bimbit aku rosak. Tanpa sebarang amaran, paparan pada LCDnya yang sepatutnya memaparkan imej tertentu hilang sebegitu. Piksel-piksel kecil bergabung menjadi imej yang langsung tidak boleh dibaca. Geram juga dibuatnya. Mahu dibetulkan, aku terpaksa menghabiskan 60 pound, hanya semata-mata ingin menukar LCD berkenaan. Tidak berbaloi langsung. Nampaknya terpaksa juga menukar telefon baru di sini. Mujur ada banyak promosi yang menarik.

Promosi talian telefon di sini memberikan banyak variasi kepada pengguna. Ada banyak pilihan yang terbentang. Dengan bayaran 20 hingga 30 pound sebulan, kontrak selama 12 bulan, pengguna akan mendapat telefon percuma! Bukankah menarik kalau perkara yang sama ini dilaksanakan di Malaysia?

Meskipun banyak perkara yang terpaksa aku uruskan, namun setidak-tidaknya segala masalah yang aku hadapi tidak lagi secara bersendiri. Yang penting, aku dapat sentiasa bersama mereka, walaupun bukan pada setiap masa dan ketika. Tapi, rasa dekat secara fizikal membuatkan aku terasa lebih sempurna.

Dan hari-hari yang aku lalui dirasakan hangat disimbah matahari, walaupun hujan kerap turun membasahi bumi Glasgow.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

4 comments

  1. zzd says:

    so i was right about the buzzer! haha

    28-06-07 at 5:34 am

  2. Chentahati says:

    Sian Najla…!

    28-06-07 at 8:18 am

  3. salwa a.k.a tipahlawa says:

    Hikss… Kebahagiaan mu terserlah sahabat.. Dugaan yang bertimpa itu seperti kecil bgmu.. dengan adanya yg tersayang disisi… Hatimu berbunga sekali.. :)

    28-06-07 at 9:54 am

  4. WaWa says:

    nampaknya, rakan-rakan blogger saya yang mahu membaca cerita kehidupan hari-hari di uk, boleh baca di blog ini dengan lengkap. haha.

    yeah~ suka baca ttg en fajar dan keluarga di uk. sebab entah kenapa, saya pun boleh merasainya. mungkin sebab, kita sama-sama di tempat orang, kan?

    04-07-07 at 1:25 am

Leave a comment