29-06-07

Strawberi dan kucing

Posted in bicara by fajr'

Tanpa disedari, sudah seminggu Najla berada di sini bersama aku. Rasanya, Najla sudah mengadaptasikan dirinya dengan cuaca di sini. Syukur, dia tidak mengalami apa-apa - baik demam mahupun selsema. Cuma, ada sesekali hidungnya berair. Mungkin itu perkara normal kerana aku juga kerap begitu. Sejuk.

Di awal pertemuan di lapangan terbang minggu lepas, Najla lebih banyak mendiamkan diri. Malu barangkali. Tapi, pada esoknya, dia sudah mula bermanja-manja dengan aku. Terus tidak mahu lekang dari diri aku. Ada saja perkara yang ingin diceritakan kepada aku. Apabila aku sedang berbicara dengan ibunya, dia turut sibuk cuba mengambil perhatian dari aku. Hinggakan dia ingin merajuk kerana aku khusyuk mendengar cerita dari ibunya. Cepat-cepat aku pujuk.

Kini, dia akan sentiasa ingin bersama aku. Ke mana saja aku pergi akan dia ekori. Kalau aku hilang sekejap dari matanya, mulutnya mula memanggil, ‘Ayah, ayah’.

Apabila tiba masanya aku mahu keluar dari rumah seperti biasa, aku berkata kepadanya, “Najla, ayah nak pergi kerja”.

Cepat-cepat dia menyambut, “-Taknak!”. Bagaikan satu tanda, bahawa dia takut untuk melepaskan aku pergi lagi. Takut kalau-kalau aku pergi jauh darinya dan berpisah lagi. Rasa terharu menyelubungi jiwa.

Sejak tiba di sini, Najla seringkali lapar. Bangun pagi, sudah mahu makan nasi. Setengah jam kemudian, mahu Nestum. Mungkin kerana cuaca yang sejuk begini menjadikan dia lapar. Dan kini, dia meminati buah strawberi. Setiap kali keluar atau duduk berehat, buah itulah yang dipintanya. Mujur jugalah buah ini murah di sini. Habis sudah baju Najla berbau manis buah strawberi. Harapnya, kalau pulang ke Malaysia nanti, jangan minta sangat buah ini selalu.

[+]

Semalam, kucing kesayangan Najla hilang. Mungkin tercicir sewaktu keluar bersama ibu. Kucing itu adalah barang wajib menemani Najla sewaktu tidur. Hingga lunyai jadinya. Sebelum datang ke sini, sudah puas ibunya mencari pengganti kucing Najla yang baru tapi tidak bertemu. Kucing ini, Najla panggil sebagai Cek Mek.

Dan malam tadi, sebelum tidur, Najla sudah pun meminta Cek Mek. Aduhai.

Hari ini, terpaksa ayah cari melalui internet bagi mendapatkan Cek Mek yang baru. Mujur juga ada walaupun warnanya tidak sama. Warna kucing Najla adalah kelabu. Itupun kucing kedua. Yang pertama berwarna coklat. Dan nampaknya, yang ketiga berwarna hitam.

Nota: Kalau ada sesiapa terjumpa kucing ini dijual di mana-mana kedai, tolong belikan boleh? Segala kos akan ditanggung. Nampaknya, terpaksa buat koleksi kalau-kalau kucing Najla sudah lunyai dan busuk atau hilang, bolehlah diganti dengan yang baru.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

6 comments

  1. aliff says:

    alahai, comelnya kucing najla!

    29-06-07 at 7:46 pm

  2. kosong says:

    anak buah aku baru je membacakan sebuah sajak.

    “Oh kucingku,
    miau miau miau…”

    baru sampai situ aku dah gelak-gelak.

    nanti aku cuba tengok kat kedai ek kucing najla tu

    01-07-07 at 10:17 am

  3. rudy says:

    ko beli dulu kucing tu kat mana? bleh gak aku survey2 kan. Hiro plak suka spongebob. mudah sket nak carik.

    01-07-07 at 11:19 am

  4. rasso says:

    alahai kucing….

    01-07-07 at 11:33 am

  5. Chentahati says:

    Anak saya…semua jenis patung dia takut… Perg! Selamat duit poket..!

    02-07-07 at 9:25 am

  6. MEERO says:

    cek mek?! pergh nama?! kiut jer walopun nampak ganaz- :D

    02-07-07 at 8:25 pm

Leave a comment