you + me = love

Bersama denganmu,
hidupku menjadi sempurna.
Original photo: at my flickr.

Bersama denganmu,
hidupku menjadi sempurna.
Original photo: at my flickr.
Pada 30 dan 31 Mei, aku telah berpeluang ke Bristol. Oh, jangan buat spekulasi yang aku ke sana untuk makan angin. Datang ke sana pun kerana memenuhi tuntutan daripada supervisor aku untuk menghadiri seminar satu hari di sana. Kepercayaan yang diberikan kepada aku dirasakan cukup bermakna. Maklum sajalah, aku belum pun cukup sebulan di sini, sudah diberi keutamaan untuk mengikuti seminar di salah sebuah bandar yang agak jauh dari Scotland. Mujur juga, segala perbelanjaan ditanggung olehnya. Apa yang perlu aku lakukan adalah siapkan barang-barang dan juga diri aku sendiri.

Sebenarnya, aku sendiri tidak begitu tahu di mana letaknya Bristol. Nasib baik aku tidak ke sana keseorangan, tetapi ditemani oleh rakan kumpulan penyelidikan aku. Masuk saja ke pintu berlepas, rakan aku sudah ditahan kerana di dalam begnya mengandungi beberapa barang terlarang, seperti cecair yang melebihi 100ml. Nampaknya dia tidak boleh bercukur kerana krim pencucinya telah dirampas. Tapi apa yang mengejutkan aku, di dalam begnya ada paku sepanjang 3 inci! Dia nak buat apa pula dengan paku ni?, getus hati aku. Pelik juga. Selepas itu dia berkata, bahawa dia jarang menggunakan beg itu. Maka dia pun tidak tahu dari mana datangnya barang-barang itu.

Maka, kami pun bersama-sama terbang ke Bristol menaiki penerbangan EasyJet, antara penerbangan yang agak popular di sini kerana harganya yang begitu kompetetif. Begitulah kata orang. Tiba saja ke Bristol, kami terus mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar bandar sebelum menuju ke destinasi. Baru aku tahu, Bristol agak dekat dengan Bath dan London. Maklum sajalah, aku tidak pernah mengikuti kelas Geografi yang mengutamakan peta England. Didikan Malaysia. Kami berdua sama-sama menjejaki Bristol dengan berpandukan peta percuma di pusat pelancongan di situ. Segalanya terasa mudah sedikit.

Secara umumnya, Bristol merupakan bandar yang agak moden. Kebanyakan bangunan di sini agak baru dan urban. Kalau di Glasgow, hampir kesemua bangunan agak berusia. Bandar ini kelihatan cantik. Malah, perjalanan dari lapangan terbang Bristol menuju ke bandarnya, mata aku hanya melihat kehijauan bumi England. Seperti yang aku lihat di dalam filem atau dokumentari. Melihat kemodenan dan kecantikan bandar ini, membuatkan hati aku terdetik, mengapa pula aku tidak ke sini? Tapi, itu hanya selintas fikiran. Sudah tentu aku punya banyak sebab mengapa aku ke Scotland.

Bristol hujan. Cuaca agak sejuk. Kami berjalan di dalam hujan. Hingga kasut aku menjadi basah di bucunya. Untuk berjalan-jalan di sekitar bandar Bristol, kami boleh berjalan, menaiki bas atau bot. Bot? Rakan aku pula kepingin sungguh untuk menaiki bot. Dengan 2 pound seorang, maka kami dibawa ke hentian di hujung bandar Bristol, iaitu berdekatan dengan Clifton Suspension Bridge yang terkenal di sini. Melalui sungai itu, aku dapat melihat banyak bot yang dijadikan rumah. Menarik sungguh. Ada juga yang sanggup hidup begini.

Hujan renyai-renyai. Namun itu tidak mematahkan semangat rakan aku yang ingin menaiki jambatan itu. Sedangkan aku pula berada dalam kepenatan dan ingin terkencing! Sudahlah begitu, aku terpaksa pula mendaki jalan yang curam, berliku dan berbukit untuk ke sana. Melihat jambatan itu dengan dekat tidak langsung memberikan aku sebarang rasa. Tetapi, sebaik saja melihat tandas awam yang berdekatan, hati aku terus girang. Lega!


Setelah beberapa ketika menyusuri jambatan itu, barulah rakan aku ingin menuju ke mana-mana destinasi di bandar Bristol. Memandangkan aku pun tidak punya sebarang perancangan, maka kami menuju ke bandar utama. Di sini, beberapa tempat yang menjadi tumpuan kami jejaki. Termasuklah gereja-gereja yang ada di sini. Dan buat pertama kalinya aku masuk ke dalam gereja. Jangan salah faham, sekadar ingin menjadi sebahagian daripada pelancong dan menyaksikan sendiri apa yang ada di dalamnya. Binaan di dalamnya begitu gah dengan ukiran dan stain glass. Tidak lupa juga dengan kubur-kubur di dalamnya!


Sebenarnya, pada waktu ini, aku bukan mahu berjalan sangat. Aku lapar dan mahu makan!

Tapi, apa yang menarik perhatian aku adalah semasa melalui pokok yang berdekatan dengan salah satu gereja di sini. Kenapa? Di pokok ini ada banyak tergantung dengan kasut! Ya, kasut. Kelakar pula melihatnya. Mungkin ada sesuatu yang cuba dilakukan, atau semacam tujuan mereka membaling kasut ke atas pokok ini. Tiada sebarang deskripsi berkenaan dengan ini.

Lewat petang, barulah kami menuju ke destinasi utama kami, iaitu Swindon. Setelah menaiki keretapi, bas dan juga berjalan kaki, akhirnya kami tiba juga di hotel Holiday Inn. Alangkah seronoknya dapat mandi dan berehat. Dan malam itu, aku tidur dengan lena sekali.
Untuk gambar yang lain, sila lawati flickr ini.
Hari ini genap sebulan aku berada di bumi orang. Selama satu bulan ini, pelbagai pengalaman yang telah aku rasa. Pahit dan manis bersatu. Kadangkala aku begitu sukar untuk menterjemah apa yang aku alami dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi sesuatu yang terlalu peribadi. Atau aku sahaja yang berperasaan begitu.
Selama satu bulan aku berada di sini, sudah 4 kali aku berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain. Bukan rumah yang aku sewa sendiri, tetapi rumah orang lain. Itu pun atas belas ehsan orang. Bayangkan, 4 kali berpindah randah dengan beg bagasi yang besar dalam masa satu bulan! Mujur juga, rumah persinggahan yang terakhir adalah rumah seorang rakan yang cukup aku kenali dan baik semasa aku berkursus dengannya suatu ketika. Maka, tidak begitu terasa halangan di antara kami. Walaupun menumpang, aku terasa lebih diterima.
Hari ini, biar aku letakkan di dalam blog ini. Aku mahu ia diingati kerana pada hari ini aku akan masuk ke rumah sewa aku sendiri. Terasa penat sudah mencari rumah untuk disewa. Akhirnya, pencarian itu berakhir apabila semalam aku menandatangani surat perjanjian dan menyerahkan wang deposit berserta sewa sebulan. Kini, kunci rumah berkenaan telah pun aku miliki. Dalam masa yang sama, segala penat jerih mencari rumah hilang apabila akhirnya aku berjaya mendapatkan rumah yang baik, cantik dan bersih. Tambahan pula, tuan rumah ini seorang English atau barangkali Scottish. Maka, tidak perlu aku bersusah payah berurusan dengan golongan yang sering berputar belit (seperti kes sebelum ini). Satu bonus buat aku, tuan rumah aku mempunyai citarasa hiasan dalaman yang cukup tinggi. Kemasan dalaman rumah dia cukup menarik hinggakan kali pertama aku melihat rumah itu, aku sudah ingin menyewa terus.
Berminggu lamanya aku berada dalam misi pencarian rumah. Melalui internet, semua laman web aku jelajahi hingga kepala aku menjadi pening. Puas juga aku berjalan dan menghafal jalan-jalan yang ada di sekitar kawasan rumah yang aku cari. Pernah sekali, aku berjalan hingga kaki aku melecet. Ada ketikanya aku berada dalam kebasahan kerana hujan. Ada juga masanya aku tersesat. Setiap kali terjumpa iklan ‘house to let’, cepat-cepat aku tulis maklumat pada kertas yang hampir lunyai. Banyak juga nilai pound aku habiskan kerana menelefon setiap iklan rumah untuk disewa.
Namun, tidak semua iklan yang aku terima begitu berguna. Hampir kesemuanya sudah pun ditempah oleh orang atau mahal. Mahal kerana memiliki bilik yang banyak. Waktu itu, kesabaran sajalah yang cuba disemai di dalam hati. Aku tidak menyangka bahawa pencarian rumah di sini mengambil masa yang agak lama. Ada orang kata, aku terlalu memilih.
Barangkali, ada juga kebenaran pada katanya.
Bagaimana aku mahu memilih rumah berkenaan kalau rumah yang ditawarkan kotor? Aku memang menolak kalau rumah itu tidak sempurna atau kotor. Begitu kotor. Sudahlah bersusah payah membayar sewa, sudah menjadi satu kerja pula untuk membersihkannya. Lebih-lebih lagi kalau kotor di persekitaran. Bayangkan, kalau kau berjalan mata terpaksa tunduk ke bawah. Bukan kerana malu atau cuba menjadi sopan, tetapi kerana ingin mengelakkan dari terpijak najis anjing yang bersepah-sepah!
Ada juga kawasan yang terlalu kotor dan mempunyai penyewa yang datangnya dari negara luar tidak mengamalkan budaya hidup yang baik. Bising dan membuang sampah merata-rata. Ada juga rumah yang ditawarkan tidak setimpal dengan harganya. Rumah kecil, tapi mahal. Sedangkan, pada harga yang sama aku boleh mendapatkan rumah yang lebih baik dan besar. Bagi aku, biar kecil tetapi selesa.
Mungkin aku agak cerewet. Tetapi, kalau hanya aku saja yang duduk di rumah itu, mungkin tidak menjadi satu soal yang besar. Memandangkan aku mencari rumah untuk keluarga aku, maka sudah pasti banyak perkara yang harus aku titikberatkan. Bukan untuk kepentingan aku, tetapi kepentingan keluarga aku. Keselesaan keluarga aku.
Syukur, akhirnya misi pencarian rumah ini akan berakhir.
Maka, hari ini, aku akan masuk ke rumah aku sendiri. Rumah yang telah aku cari sendiri. Aku sudah tidak ambil peduli apa yang orang akan kata. Susah senang, aku yang tanggung. Dan apa yang pasti, akan aku hiaskan rumah itu menjadi rumah yang bersih dan cantik bagi menyambut orang yang begitu aku rindu walaupun rumah itu sudah pun terhias cantik.
Kebetulan pula, ianya jatuh genap sebulan aku berada di bumi Scotland. Syukur pada-Mu.
Segeralah datang anak ayah. Ayah setia menanti. Dan juga kamu, sayangku.
Entri ini merupakan entri yang tertangguh. Sudah lama ingin aku kongsikan, tetapi kerana kesibukan tugas dan misi mencari rumah, maka apa yang ingin aku kongsikan tidak begitu menjadi. Segala kata hanya tersimpan di dalam kepala. Barangkali sebahagian rasa sudah pun menjadi tawar.
Beberapa minggu sudah, aku pergi berjalan bersendirian mencari sebuah tasik yang diceritakan oleh kenalan aku di sini. Katanya, kalau aku ingin menikmati pemandangan yang cantik dan mengambil gambar burung angsa yang cantik, maka aku harus ke tempat itu. Hogganfield Park.

Dan pada hari Ahad itu, aku berada dalam tahap kebosanan yang teramat. Lemas berada di dalam rumah. Aku perlukan udara segar! Kebetulan pula, hari itu cuaca agak baik. Maka, aku berjalan ke arah taman yang dimaksudkan walaupun pada hakikatnya aku tidak tahu langsung di mana letaknya. Aku hanya menurut naluri aku sendiri.

Berjalan seorang diri terasa lain sekali. Tiada teman untuk berbicara. Tempat yang ditujui pula terasa jauh. Memang jauh pun! Hampir 45 minit aku berjalan, barulah sampai ke taman berkenaan. Aku sudah hampir berputus asa dan mahu berpatah balik. Banyak persimpangan yang aku lalui. Dan juga melepasi satu tanah perkuburan yang cukup luas. Mujur juga tanah perkuburan itu tidak dilitupi dengan pokok-pokok besar seperti yang aku lihat di dalam filem seram. Kawasan perumahan di situ pun tidak menyakitkan mata kerana banyak rumah yang dijaga rapi, dengan pokok-pokok bunga di sekitar laman.

Sebaik sahaja melihat bayangan tasik dari kejauhan, hati aku kembali girang. Semangat terasa disuntik-suntik.

Hadirnya aku di taman itu disambut dengan itik-itik yang begitu comel dan jinak. Dan juga burung angsa yang cantik. Melihatnya berenang dengan begitu lembut terasa seakan satu pesona pula. Apabila melihatkan terdapat begitu banyak angsa di tasik ini, teringat pula aku kepada muzik Tchaikovsky, Swan Lake. Untuk menterjemahkan apa yang aku lihat, maka aku kongsikan pula gambar-gambar yang telah aku ambil. Bergembiralah!

Tiba-tiba hati berbisik, kalaulah Najla ada di sini sekarang…
Rindu ini,
menusuk sanubari,
hingga wajahmu,
ku bawa ke dalam mimpi.
Malam itu,
aku melihat dirimu,
tersenyum manja seperti selalu,
dan hati ini makin sayu,
dihambat rindu,
yang semakin bertalu-talu.