Archive for
July, 2007
31-07-07

Hari ini sudah masuk beberapa minggu aku berada dalam keadaan yang baru. Terasa lama pula berada dalam keadaan yang lain dari kebiasaan.
Buat pertama kalinya dalam hidup aku, aku mencukur rambut di kepala aku - beberapa minggu yang sudah. Sebelum ini aku tidak punya keberanian langsung untuk berbuat demikian. Pada mulanya, memang terasa agak janggal berada dalam keadaan ini. Sejak kecil lagi, rambut yang tumbuh di kepala aku adalah apa yang aku miliki sejak lahir. Kalau nakal-nakal, mak aku akan ugut untuk botakkan rambut aku. Entah kenapa aku seakan takut memiliki kepala yang tiada rambut.
Rudy pernah berpesan kepada aku, jangan botakkan kepala - sejuk kepala nanti. Memang sejuk sungguh. Hingga aku terpaksa memakai sarung kepala setiap masa untuk memastikan kepala aku terasa hangat dan juga mengelakkan orang bertanya kenapa dan mengapa.
Tiada sebarang nazar mahu pun sebab untuk aku membotakkan kepala ini. Saja ingin melihat diri dalam wajah yang berbeza.
26-07-07

Keberadaan jauh dari keluarga dan teman tersayang membuatkan kami menjadi sangat berdikari. Saling bergantung antara satu sama lain. Susah dan senang ditanggung bersama. Kejauhan ini membina satu ikatan yang jarang kami perolehi sebelum ini.
Kami mohon dari-Nya, agar cekal, tabah dan kental dalam mengharungi dugaan di sini. Kadangkala, terdetik juga rasa di hati, terasa begitu lemah dan kerdilnya diri ini.
* Tiba-tiba jadi emosional bila mengenangkan sakit belakang yang ditanggung oleh isteri di malam hari hingga terdengar esakannya. Mungkin kerana menahan sakit yang teramat atau barangkali bercampur dengan perasaan betapa jauhnya untuk meminta bantuan dari keluarga. Sabarlah sayang.
24-07-07

Rasanya, ramai telah sedia maklum tentang mata wang yang digunakan di UK, iaitu Pound Sterling. Antara nilai mata wang yang tertinggi di dunia. Not wang kertas yang digunakan menampilkan wajah Queen Elizabeth yang dikeluarkan oleh Bank of England. Tetapi, ada satu fakta yang amat menarik untuk dikongsikan. Sebelum ini pun, aku tidak tahu langsung akan kewujudan not kertas yang lain, berkenaan dengan not wang kertas Pound Sterling ini. Ramai yang tidak tahu bahawa mata wang kertas yang digunakan di Scotland khususnya, tidak semata-mata menggunakan not ini, iaitu wang kertas yang dikeluarkan oleh Bank of England ini.

Pada mulanya, aku sendiri agak terkejut kerana terdapatnya wang kertas lain yang digunakan sebagai transaksi urusniaga di sini. Selain daripada wang kertas yang dikeluarkan oleh Bank of England, orang-orang di sini - di Scotland khususnya, turut menggunakan wang kertas yang dikeluarkan oleh Royal Bank of Scotland, Clydesdale Bank dan juga Bank of Scotland. Maka, secara umumnya, terdapat 4 jenis wang kertas yang berbeza boleh diperolehi di sini. Menarik bukan?
Kesemua not wang kertas yang dikeluarkan adalah sah dan boleh digunakan di mana-mana kedai di sini. Meskipun begitu, hingga sekarang, masih terdapat ramai orang di luar daripada Scotland tidak tahu tentang perkara ini dan mereka enggan untuk menerima bayaran melalui wang kertas ini. Contohnya, kalau berada di England tidak semua kedai dapat menerima not kertas yang tidak dikeluarkan oleh Bank of England. Dan di Malaysia khususnya, sudah tentu not wang kertas ini tidak dapat diterima untuk ditukar di Money Changer walaupun pada not berkenaan tertera simbol pound, £.

Not wang kertas yang dikeluarkan oleh Royal Bank of Scotland memaparkan wajah Gabenor pertama bank berkenaan. Pada paparan bahagian belakang not berkenaan, dipaparkan pula gambar istana seperti Edinburgh Castle, Culzean, Glamis dan sebagainya, bergantung kepada nilaian not berkenaan. Jangan tanya aku tentang kesemua istana ini kerana aku sendiri tidak begitu arif dan tahu mengenainya.

Pada not wang kertas yang dikeluarkan oleh Bank of Scotland pula, ia menampilkan lakaran yang menerangkan tentang industri minyak dan tenaga (5 pound), pendidikan (20 pound), seni dan budaya (50 pound), pelancongan (100pound) dan sebagainya di bahagian belakang. Pada bahagian depan pula terpapar wajah Sir Walter Scott, ikon yang dikatakan mendapatkan hak pada bank di Scotland untuk mengeluarkan not kertas mereka.

Akhir sekali, not kertas yang dikeluarkan oleh Clydesdale Bank. Setiap not kertas, untuk nilai yang berbeza, mereka menampilkan gambar yang berbeza. Sebagai contoh, pada not 20 pound ini, diletakkan gambar seorang pahlawan, Robert the Bruce dan pada bahagian belakang pula ditampilkan pula istana Stirling.
Secara umumnya, corak not kertas yang dikeluarkan oleh setiap bank mempunyai variasi yang berbeza. Kadangkala, mereka turut menghasilkan not wang kertas komemoratif bergantung kepada sesuatu peristiwa penting. Walaupun terasa janggal pada mulanya, tetapi selagi wang kertas ini sah digunakan untuk transaksi di sini, maka tiada sebarang masalah. Melainkan kalau terasa ingin keluar dari Scotland, adalah lebih baik menggunakan not kertas Bank of England.
Aku difahamkan di Ireland turut mempunyai wang kertas yang berbeza mengikut keluaran daripada bank-bank yang tertentu.
Bayangkan, kalau di Malaysia, not wang kertas dikeluarkan sebegini rupa. Sudah tentu ada bermacam-macam gambar dan paparan yang diketengahkan.
Walau apapun, nilai pound ini adalah sangat besar. Sebagai contoh, dengan nilai wang sebanyak 20 pound, kita boleh membeli barangan dapur seperti makanan dan sebagainya penuh satu troli di pasaraya Asda atau pun Tesco. Bayangkan pula, berapa banyak barang yang boleh kita perolehi kalau kita membeli belah sebanyak RM20?
Untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan perkara ini, anda boleh membacanya di sini.
Nota: Kesemua gambar di sini adalah diambil melalui Google. Mahu snap sendiri, tidak berkesempatan untuk mengumpul kesemua not dalam masa yang sama. Maklumlah, memegang duit di sini terasa begitu sekejap sahaja. Ada sahaja barang keperluan yang harus dibeli.
21-07-07

Salah satu sikap Najla adalah dia begitu mesra dengan orang-orang di sini. Tidak kira lelaki atau perempuan. Kalau terserempak orang tua terutamanya di mana-mana, dia akan memulakan dulu bicara dengan menjerit kuat, “Hi!”, tanpa rasa segan. Di dalam bas, di taman, di tepi jalan atau di mana saja, dia seakan seronok memanggil ‘kenalan barunya’. Dan ternyata, reaksi spontannya turut mendapat sambutan.

Gambar ini benar-benar mencuit hati aku. Dari jauh lagi dia memanggil wanita tua ini, yang seakan bergegas ke suatu tempat bersama pasangannya. Tapi, wanita ini sempat singgah dan menyapa Najla.
Pernah sekali, sewaktu kami pulang ke rumah, Najla cukup mesra melambai seorang nenek tua yang sedang duduk berehat di dalam rumahnya. Melihat reaksi Najla, nenek tua itu turut melambai mesra. Tidak cukup dengan itu, nenek tua itu sanggup bergegas keluar dari rumah dan berdiri di depan pintu semata-mata untuk menampakkan dirinya dengan lebih jelas walaupun sekadar berkata “Hello”.
20-07-07
Seperti selalu, aku pulang ke rumah menaiki bas. Jam sudah pun melewati angka 6 petang, tapi langit masih cerah. Tetapi perut aku sudah tidak keruan. Rasa lapar sudah menguasai. Sewaktu menanti bas nombor 12 muncul, kepala aku terbayang-bayang donut bersalut coklat yang dibeli beberapa hari yang lepas. Alangkah nikmatnya kalau ianya berada di tangan aku sekarang.
Lebih kurang 10 minit menanti, bas yang dinanti tiba di hentian. Aku terus masuk dan mencari tempat duduk yang kosong. Mujur juga tiada ramai penumpang. Kebanyakannya adalah terdiri dari warga tua. Aku terus duduk di bahagian tengah bersebelahan dengan tingkap. Kebiasaannya, telinga aku akan disumbat dengan earphone supaya kebosanan berada di dalam bas dapat dihilangkan dengan sedikit koleksi hiburan muzik di telefon bimbit aku. Tapi, hari ini aku seperti penat mendengarnya. Aku selak surat khabar percuma tinggalan orang di tempat duduk aku. Tiada berita yang menarik sangat. Lantas, aku lemparkan pandangan ke luar tingkap. Melihat jalan dan pemandangan yang sama. Kepala sudah terasa berat. Pening kerana penat berfikir atau lapar.
Perjalanan bas bukanlah lancar kerana kesibukan waktu petang - ramai orang yang pulang dari bekerja pada waktu ini. Tambahan pula, bas sering sahaja berhenti mengambil dan menurunkan penumpang. Aku terasa bas bergerak perlahan. Perjalanan yang selalunya mengambil masa yang singkat terasa begitu lambat dan membosankan.
Tiba di satu hentian, bas 12 ini menurunkan penumpang dan mengambil penumpang yang lain. Beberapa penumpang masuk ke dalam bas yang terdiri dari beberapa orang wanita dan seorang lelaki. Mungkin kerana tempat di depan aku penuh, maka lelaki berkenaan mengambil tempat duduk di sebelah aku sambil memberikan senyuman. Aku sekadar membalas senyuman dia dan terus melihat ke luar tingkap bas.
Sewaktu bas sudah mula bergerak, tiba-tiba sahaja lelaki itu menghulurkan tangannya kepada aku. Aku jadi kaget. Bukan kerana terkejut kerana dia ingin bersalam dengan aku. Cuma aku terasa pelik kenapa dia ingin bersalam dengan tangan kiri. Dengan sedikit teragak-agak, aku hanya menghulurkan tangan kanan aku sebagai balasan. Dan aku pula yang terasa janggal sendiri. Lelaki itu hanya tersenyum.
Tidak lama kemudian, dia menghulurkan tangannya sekali lagi untuk bersalam. Kali ini dengan tangan kanannya pula. Isk, dia ini biar betul.
Sebagai tanda hormat, aku pun menghulurkan tangan aku bagi menyambut salam keduanya. Kali ini, dia tersenyum sambil berkata sesuatu. Ternyata, aku tidak dapat menangkap langsung kata-kata darinya. Mungkin kerana loghat Scottishnya yang pekat, atau aku sendiri yang tidak dengar dengan jelas. Berada di negara ini, aku sudah boleh menerima kebiasaan mereka yang kadangkala mesra dengan orang lain walaupun orang asing.
Tiba-tiba, tangannya memeluk bahu aku. Sambil mengucapkan sesuatu, dia terus memegang kepala aku dan mencium sisi dahi aku!
Aku terus menjerit sekuat-kuatnya - tetapi hanya di dalam hati. Maka, ia tidak kedengaran langsung.
Apa kena dengan mamat ini?, bisik hati aku. Aku jadi terdiam, tergamam dan terkaku. Bolehkah aku tolak lelaki yang tingginya lebih kurang 2 meter ini? Akal aku jadi beku. Terkejut barangkali menerima reaksi sebegini. Aku terus jadi malu yang teramat dengan penumpang yang lain. Sudah tentu penumpang lain dapat melihat dengan jelas adegan yang dilakukan olehnya. Mahu saja aku melompat ke luar bas. Malunya membuatkan aku tidak keruan. Membuatkan aku tidak mampu memandang kanan dan kiri.
Mujur juga lelaki itu terus berdiri dan bersedia untuk berhenti pada hentian yang seterusnya. Aku hanya memandangkan pada lirik mata tanpa mengerakkan kepala. Rasa kejutan itu masih kekal.
Sewaktu berjalan ke muka pintu bas, dia sempat memandang ke penumpang yang lain sambil tersenyum. Saat bas sudah hampir mahu berhenti, dia memandang tepat ke arah aku sambil melambaikan tangan. Dengan senyuman dan pandangan yang begitu mesra.
Gila!
Saat dia turun daripada bas, baru aku tersedar sesuatu tentang lelaki itu. Kemungkinan besar, lelaki itu mabuk. Menghilangkan separuh dari pertimbangan yang ada dalam dirinya. Mungkin menjadikan dia seakan berhalusinasi.
Ketika bas bergerak semula dan dia hilang dari pandangan mata, rasa malu itu masih melekat. Aku mahu turun cepat-cepat. Dapat aku bayangkan aksi tadi dari pandangan mata penumpang yang lain. Sudah tentu pelik sekali.
Akhirnya, bas tiba ke destinasi yang seharusnya aku berhenti. Segera aku bunyikan loceng bas dan segera melangkah ke muka pintu. Sebaik sahaja bas berhenti dan pintu bas dibuka, aku terus melangkah keluar dengan membawa rasa malu yang masih melekat.