Api di Glasgow
Sejak semalam, muka depan akhbar di sini penuh dengan kisah yang berlaku baru-baru ini - sebuah jip merempuh lapangan terbang Glasgow dan terbakar. Berita di tv sentiasa memberi laporan terkini berikutan peristiwa itu. Daripada apa yang aku dengar dan baca, jip berkenaan dinaiki oleh dua orang lelaki yang dengan sengaja melanggar terminal utama lapangan terbang berkenaan. Dan di dalam jip tersebut telah terisi dengan tong gas. Orang ramai yang sedang menanti di luar terminal dapat menyaksikan bagaimana jip berkenaan terbakar.
Seorang saksi dapat melihat bagaimana seorang lelaki dengan badannya terbakar dari jip berkenaan keluar dan cuba diselamatkan oleh seorang petugas di situ. Tetapi, lelaki yang terbakar itu seakan menolak daripada ditolong dan hanya menyebut, Allah Allah.
Banyak kemungkinan kenapa semua ini berlaku. Dalam masa yang sama, ianya turut mengecewakan aku. Sudah pasti, selepas ini banyak perkara yang sepatutnya mudah akan menjadi sedikit susah kepada kumpulan minoriti di sini, termasuklah aku. Tahap keselamatan telah pun dipertingkatkan ke paras yang tinggi. Mereka menjangkakan serangan daripada pengganas bakal menjelma lagi. Apatah lagi, ia dikaitkan dengan serangan yang berlaku di London.
Lapangan terbang berkenaan bukanlah sebegitu besar. Separuh daripadanya sedang berada dalam proses penambahbaikan. Sudah tentu, aku dapat mengingati suasana di situ dengan jelas memandangkan sudah banyak kali urusan yang aku laksanakan di sana sepanjang aku berada di Glasgow. Mengenangkan kemusnahan pada hadapan terminal sudah tentu mencacatkan lagi pandangan di situ. Dan yang terkini, orang yang melaksanakan tragedi berkenaan adalah orang Asia.
Aku bukanlah mahu menjadi penganalisis kenapa dan mengapa semua ini terjadi. Namun, apabila berada negara orang, ke mana saja aku pergi, muka ini sudah dicop sebagai orang Asia dan Islam secara khususnya. Meskipun tragedi yang berlaku tidak mengorbankan nyawa, tetapi ia telah memberikan kesan yang amat besar kepada komuniti Islam. Aku jamin, ramai penumpang yang telah bersedia untuk memulakan percutian musim panas menyumpah kerana terkandas disebabkan peristiwa tersebut.
Kadang-kadang, ada juga berita yang menceritakan tentang gangguan yang dikenakan kepada orang Islam di sini. Ada sekali, seorang perempuan diserang secara fizikal ketika sedang dalam perjalanan pulang. Bayangkan, perempuan itu sedang menolak kereta sorong anaknya tiba-tiba dihalang oleh sekumpulan pemuda. Tudung kepala ditarik dan dibuang. Bukankah itu satu penghinaan namanya. Perasaan risau dan takut itu tetap muncul, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bahawa aku juga punya seorang isteri dan anak. Keselamatan mereka adalah menjadi satu perkara yang amat penting.
Berjauhan dari keadaan yang membuatkan kita rasa selamat dan terjamin adalah sesuatu yang sukar untuk dirasa. Selama ini, aku dapat rasakan suasana yang tenang dan tanpa ancaman. Kini, segalanya adalah kemungkinan.

JIMI says:
Bila terdengar dan terbaca berita ini, terus teringat engkau Fajar. Again, seperti mana cerita terrorism yang lain, pasti menyebabkan sekali lagi nama suci Islam tersisih dan terpinggir.
03-07-07 at 7:27 am
chentahati says:
Fajar dan Anis jaga diri bebaik. Jaga Najla bebaik. Tetiba rasa risau pulak dibuatnya…
03-07-07 at 8:17 am
bear says:
Serahkan segala2 nye pada-Nya… Insyaallah dipermudahkan.
04-07-07 at 1:36 pm
rudy bluehikari says:
begitulah stigma islam fobia dikalangan org2 di sana. dan aku mengutuk juga sikap org islam yg berbuat begitu tanpa usul periksa. aduhai…
05-07-07 at 2:40 pm