24-07-07

Yang Bernama Pound

Posted in kembara by fajr'

Rasanya, ramai telah sedia maklum tentang mata wang yang digunakan di UK, iaitu Pound Sterling. Antara nilai mata wang yang tertinggi di dunia. Not wang kertas yang digunakan menampilkan wajah Queen Elizabeth yang dikeluarkan oleh Bank of England. Tetapi, ada satu fakta yang amat menarik untuk dikongsikan. Sebelum ini pun, aku tidak tahu langsung akan kewujudan not kertas yang lain, berkenaan dengan not wang kertas Pound Sterling ini. Ramai yang tidak tahu bahawa mata wang kertas yang digunakan di Scotland khususnya, tidak semata-mata menggunakan not ini, iaitu wang kertas yang dikeluarkan oleh Bank of England ini.

Pada mulanya, aku sendiri agak terkejut kerana terdapatnya wang kertas lain yang digunakan sebagai transaksi urusniaga di sini. Selain daripada wang kertas yang dikeluarkan oleh Bank of England, orang-orang di sini - di Scotland khususnya, turut menggunakan wang kertas yang dikeluarkan oleh Royal Bank of Scotland, Clydesdale Bank dan juga Bank of Scotland. Maka, secara umumnya, terdapat 4 jenis wang kertas yang berbeza boleh diperolehi di sini. Menarik bukan?

Kesemua not wang kertas yang dikeluarkan adalah sah dan boleh digunakan di mana-mana kedai di sini. Meskipun begitu, hingga sekarang, masih terdapat ramai orang di luar daripada Scotland tidak tahu tentang perkara ini dan mereka enggan untuk menerima bayaran melalui wang kertas ini. Contohnya, kalau berada di England tidak semua kedai dapat menerima not kertas yang tidak dikeluarkan oleh Bank of England. Dan di Malaysia khususnya, sudah tentu not wang kertas ini tidak dapat diterima untuk ditukar di Money Changer walaupun pada not berkenaan tertera simbol pound, £.

Not wang kertas yang dikeluarkan oleh Royal Bank of Scotland memaparkan wajah Gabenor pertama bank berkenaan. Pada paparan bahagian belakang not berkenaan, dipaparkan pula gambar istana seperti Edinburgh Castle, Culzean, Glamis dan sebagainya, bergantung kepada nilaian not berkenaan. Jangan tanya aku tentang kesemua istana ini kerana aku sendiri tidak begitu arif dan tahu mengenainya.

Pada not wang kertas yang dikeluarkan oleh Bank of Scotland pula, ia menampilkan lakaran yang menerangkan tentang industri minyak dan tenaga (5 pound), pendidikan (20 pound), seni dan budaya (50 pound), pelancongan (100pound) dan sebagainya di bahagian belakang. Pada bahagian depan pula terpapar wajah Sir Walter Scott, ikon yang dikatakan mendapatkan hak pada bank di Scotland untuk mengeluarkan not kertas mereka.

Akhir sekali, not kertas yang dikeluarkan oleh Clydesdale Bank. Setiap not kertas, untuk nilai yang berbeza, mereka menampilkan gambar yang berbeza. Sebagai contoh, pada not 20 pound ini, diletakkan gambar seorang pahlawan, Robert the Bruce dan pada bahagian belakang pula ditampilkan pula istana Stirling.

Secara umumnya, corak not kertas yang dikeluarkan oleh setiap bank mempunyai variasi yang berbeza. Kadangkala, mereka turut menghasilkan not wang kertas komemoratif bergantung kepada sesuatu peristiwa penting. Walaupun terasa janggal pada mulanya, tetapi selagi wang kertas ini sah digunakan untuk transaksi di sini, maka tiada sebarang masalah. Melainkan kalau terasa ingin keluar dari Scotland, adalah lebih baik menggunakan not kertas Bank of England.

Aku difahamkan di Ireland turut mempunyai wang kertas yang berbeza mengikut keluaran daripada bank-bank yang tertentu.

Bayangkan, kalau di Malaysia, not wang kertas dikeluarkan sebegini rupa. Sudah tentu ada bermacam-macam gambar dan paparan yang diketengahkan.

Walau apapun, nilai pound ini adalah sangat besar. Sebagai contoh, dengan nilai wang sebanyak 20 pound, kita boleh membeli barangan dapur seperti makanan dan sebagainya penuh satu troli di pasaraya Asda atau pun Tesco. Bayangkan pula, berapa banyak barang yang boleh kita perolehi kalau kita membeli belah sebanyak RM20?

Untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan perkara ini, anda boleh membacanya di sini.

Nota: Kesemua gambar di sini adalah diambil melalui Google. Mahu snap sendiri, tidak berkesempatan untuk mengumpul kesemua not dalam masa yang sama. Maklumlah, memegang duit di sini terasa begitu sekejap sahaja. Ada sahaja barang keperluan yang harus dibeli.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

12 comments

  1. tipahlawa says:

    Wah.. menariknya..
    TQ fajar, atas ilmu yang dikongsikan…

    25-07-07 at 9:55 am

  2. Abu Bazli says:

    robert the bruce??? oh tu kawan william wallace tuh…

    25-07-07 at 12:59 pm

  3. JIMI says:

    Betul, money is so LIQUID.

    25-07-07 at 8:26 pm

  4. kosong says:

    oh aku rindu pada ireland! (baca: org di ireland)

    ngeh ngeh ngeh

    26-07-07 at 11:44 am

  5. rasso says:

    Perkongsian yang menarik.. Thanks :D

    27-07-07 at 7:19 am

  6. ayobkelubi says:

    iskhh,3 tahun aku dok sana dulu,aku pun tak perasan. oooohh, a very good article indeed, leh calon dalam AWET 2007 nanti :D

    27-07-07 at 4:32 pm

  7. WaWa says:

    kat Irelend bukan pakai Euro ke? hoho. tapi serius, kalo bukan kerana entri ini, memang saya tak tahu. tak pernah sampai Scotland lagi.

    28-07-07 at 4:25 am

  8. Semua Jadi Satu #1 -- FaWaRidotNet says:

    [...] yang dikeluarkan oleh Bank of England. Mahu tahu lebih lanjut? Mari, layari blog encik Fajar di Fajar Seluas Angkasa. The Semua Jadi Satu #1 by FaWaRidotNet, unless otherwise expressly stated, is licensed under a [...]

    29-07-07 at 1:57 am

  9. shutterspeaks says:

    dan aku baru tahu scotland pakai pound. scotland di bawah jajahan england ke? aku ingatkan ireland je.

    29-07-07 at 9:22 am

  10. Azhar Ahmad says:

    Wahhhh, menariknya. Hummmm, kamu patut lihat pula matawang china. Ada yang gunakan Yuan biasa, dan pelancong asing gunakan matawang yang berbeza…

    Apapun, salam perkenalan dari Treatak Nurani. Bloghopping dari Fawari!!!

    29-07-07 at 4:43 pm

  11. Aini says:

    dulu aku ingatkan duit Bank of Scot tu duit tipu HAHAHAHAHAHA

    30-07-07 at 3:18 pm

  12. arip says:

    Do u know Ilse of Man pon ada duit sendiri jugak. I still keep those notes, plus unspent scottish pounds in my dusty collection.

    Excellent pictures of Scotland u have there on flickr. Refreshes my fond memories when i was back there 96-98. Thanks man.. good work.

    31-07-07 at 9:57 pm

Leave a comment