Archive for
July, 2007
17-07-07

Apabila ayah dan ibu sama-sama mempunyai komitmen, satu persoalan akan muncul - siapa pula yang akan menjaga anak?
Antara perkara yang agak susah di sini, bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak adalah untuk mendapatkan pengasuh atau orang menjaga anak. Setelah beberapa lama di sini, peluang berkenalan dengan ramai orang Malaysia di sini belum menjanjikan tempat untuk meletakkan Najla khususnya di dalam jagaan mereka sementara kami pergi ke universiti. Tambahan pula, kami ini jenis orang yang tidak suka untuk menyusahkan orang. Penyelesaian yang mudah adalah mendapatkan pengasuh dari Malaysia dan dibawa ke sini. Masalahnya, mendapatkan orang yang mahu menjaga anak kami dan dia dibawa jauh dari kampung halaman adalah satu perkara yang agak sukar dan sedikit merumitkan.
Oleh yang demikian, kami terpaksa mengambil jalan yang terakhir, iaitu menjaga Najla secara bergilir. Satu pengorbanan yang cukup besar memandangkan kedua-duanya mempunyai komitmen yang tersendiri. Dugaan yang cukup besar. Dan diharapkan juga masalah ini dapat diatasi dan tidak mengambil masa yang lama.
Namun demikian, kami tetap berusaha untuk menghantar Najla ke nurseri. Walaupun bayaran nurseri di sini adalah amat tinggi, setidak-tidaknya Najla dapat diberikan pendedahan awal pendidikan di sini. Setaraf dengan bayaran yang dikenakan, nurseri di sini mempunyai staf yang terlatih di samping kurikulum khusus yang menekankan pelbagai aspek untuk kanak-kanak. Moga nanti, Najla dapat bertutur bahasa Inggeris dengan lancar dan berinteraksi dengan kanak-kanak bangsa lain dengan baik.
Kami tidak dapat menghantar Najla secara penuh kerana tidak mampu. Apa yang dapat kami lakukan adalah menghantar Najla selama dua hari, pada sesi petang dalam seminggu. Itupun sudah berharga 30 pound. Untuk sebulan, kami terpaksa menyediakan 120 pound! Bayangkan pula kalau kami menghantarnya untuk sebulan secara sepenuh masa?
Dan pada hujung minggu, kami sekeluarga keluar ke bandar untuk mencari uniform. Baru 2 tahun ke nurseri sudah mempunyai uniform khas. Itu termasuklah keperluan lain seperti kasut untuk bermain di playground, seluar dan sebagainya. Kami mengunjungi sebuah kedai khas yang menjual uniform sekolah. Segala t shirt, uniform, blazer, baju dan kelengkapan untuk semua jenis nurseri dan sekolah ada dijual di sini. Harga untuk tshirt dan kasut Najla sahaja sudah mencecah 10 pound. Selebihnya, kami beli di tempat lain dengan harapan mendapat harga yang lebih murah. Seluar Najla, kami beli di Asda, baru 2 pound. Kalau di kedai berkenaan, sudah berharga 7 pound. Jauh benar bezanya.

Hari ini, hari pertama ibu Najla mendaftar di universiti. Oleh yang demikian, ayah Najla terpaksa berkorban untuk menjaga Najla di rumah. Di samping itu, masih ternanti-nanti jurutera dari British Gas untuk membaiki sistem pemanas air. Semalam berjanji untuk datang pada hari ini. Tidak kunjung tiba pula. Susah juga untuk membuat kerja kerana Najla amat berminat sekali meninjau apa yang ayah sedang buat. Lebih-lebih lagi apabila ayahnya membuka laptop dan memulakan tugas. Terasa ada sesuatu yang menarik minatnya. Mulalah dia menarik kerusi dan duduk di sebelah ayah sambil menyanyi A-B-C. TV di rumah terpasang dvd Winnie The Pooh sudah tidak lagi dihiraukannya. Masakan tidak, sudah berpuluh kali dipasang.
Bagaimana agaknya mahu mendapatkan konsentrasi dalam keadaan begini? Dugaan.
12-07-07
Mencari rumah untuk disewa di tempat orang adalah satu perkara yang cukup mencabar. Apatah lagi mencari tempat yang mempunyai keserasian dengan diri kita seperti kebersihan, kemudahan, pengangkutan dan sebagainya. Dan yang penting, menjanjikan keselamatan. Peluang selama sebulan pertama di UK, memberikan aku ruang untuk memilih dan mencari lokasi dan flat yang sesuai untuk disewa. Hampir setiap hari jugalah aku berada dalam proses mencari rumah di internet sehingga aku rasa mahu termuntah kerana pening. Bukan mudah mencari rumah yang baik dan berada dalam lingkungan budget.
Jika ingin mendapatkan rumah yang murah, selalunya ramai yang terus berurusan dengan landlord Pakistan. Tapi, tidak semua tuan rumah sebangsa dengan mereka bertimbang rasa. Ada saja putar belit yang diberikan. Bukanlah aku mahu bersikap prejudis, tetapi aku menjadi sedikit skeptikal. Namun begitu, ada juga yang begitu prihatin dan menjaga kebajikan penyewa mereka. Dan untuk mendapatkan tuan rumah sebegitu bukanlah mudah. Bergantung kepada tuah. Dan aku tidak sebertuah itu. Mujur juga rumah yang aku peroleh ini tiada melalui orang tengah seperti agen. Maka, segala urusan adalah mudah dan tidak melibatkan kos yang banyak.
Rumah yang ditawarkan oleh agen perumahan pada kebiasaannya adalah baik, cantik dan bersih. Tetapi, sewanya adalah sedikit tinggi. Tambahan pula, bayaran yang dikenakan seperti deposit, yuran dan sebagainya agak membebankan. Itu tidak termasuk dokumen seperti kedudukan kewangan dan sebagainya. Sungguh merumitkan.
Secara umumnya, kebanyakan rumah di sini adalah terdiri dari moden dan tradisional. Kebiasaannya, struktur luar bangunan atau flat tradisional adalah terdiri dari bata berwarna merah seperti gambar di bawah. Gambar ini bukan aku ambil, tetapi aku ambil dari laman web agen sewaan rumah. Dan rumah aku pada luarnya, lebih kurang begitu. Hampir semua bangunan rumah di sini mempunyai bentuk yang sama. Tetapi, ini tidak termasuk dengan rumah-rumah yang memang cantik dan dibina khusus seperti banglo, semi-d dan sebagainya. Hajat di hati, memang teringin untuk tinggal di rumah sebegitu - dihiasi dengan laman yang penuh dengan rumput menghijau dan bunga-bungaan. Tapi, tidak mampu. Cukuplah sekadar menjadi impian.

Namun begitu, syukur juga aku mendapat rumah yang aku duduki kini. Rumah ini berada di dalam bangunan tradisional. Meskipun, hampir kebanyakan flat sama di luar, tetapi ruangan dalam dan tangganya adalah berbeza. Bergantung kepada penghuni flat berkenaan. Mujur juga, semua penghuni flat di pintu rumah kami boleh aku kategorikan sebagai jiran yang baik dan pembersih. Ada beberapa flat di bangunan yang sama, selang beberapa pintu, tangganya agak tidak terjaga dan kotor. Sedangkan ia berada di dalam bangunan yang sama, tetapi pintu yang berbeza.
Dan seperti yang dijanjikan, kini aku selitkan beberapa gambar rumah kami di sini. Sebenarnya, gambar ini diambil sewaktu Najla dan ibunya baru sampai ke Glasgow. Jam baru saja menunjukkan pukul 6 petang. Tapi, oleh kerana kepenatan dan berada dalam keadaan jetlag, maka kedua-duanya keletihan lalu terus dibuai mimpi hingga keesokkan paginya! Apatah lagi kali pertama melawan kesejukan cuaca di sini, lalu terus berada di dalam duvet. Merasakan nikmat kehangatan.

Ini adalah ruang lounge. Bertemakan warna merah. Susunan perabot adalah berada dalam keadaaan sepertimana aku mula-mula masuk ke rumah ini. Kecuali, bunga itu. Satu perkara yang tidak aku sukakan tentang rumah ini adalah ketiadaan carpet yang memaksa aku mengeluarkan sedikit wang untuk membelikannya sendiri. Lagipun, rumah orang di sini, mereka biasa masuk ke rumah dengan memakai kasut. Tidak sanggup rasanya apabila memikirkan apa yang telah mereka pijak di luar rumah. Harapnya, rumah ini masih bersih dan suci. Oh ya, aku tidak tahu rupanya tv itu bersambung dengan pemancar di luar rumah. Setelah seminggu lebih di rumah ini, baru aku tahu yang tv itu berfungsi.

Percaya atau tidak, bunga ini bertahan sehingga lebih 2 minggu. Tapi, setelah seminggu berada di dalam pasu, semua kudup yang ada berkembang sepenuhnya. Sekarang ini pun, ianya masih belum dibuang. Yang tinggal sekarang hanyalah daunnya saja. Di sini, setiap jambangan bunga yang dibeli disertakan bersama dengan sedikit ramuan yang seharusnya dicampur dengan air untuk menjadikan bunga tersebut tahan lama.

Kebanyakan rumah di sini mempunyai tempat pembakar api. Amat berguna sewaktu musim sejuk. Buat masa ini, aku tidak berhajat untuk membakar apa-apa pun. Lagipun, ruangan pembakar itu sudah dihiasi dengan sesuatu. Aku lupa pula apa nama hiasan berkenaan. Benih yang jatuh dari pokok pine? Yang selalu digunakan sebagai hiasan pokok krismas.

Antara ruangan yang penting - dapur. Setelah puas mencari, akhirnya dapat juga rumah yang mempunyai ruang dapur yang besar. Sebenarnya, saiz dapur rumah ini hampir menyamai ruang lounge. Yang aku suka, adalah keadaan dapur yang bersih dan mempunyai tingkap yang besar menghala pandangan ke taman di belakang rumah. Boleh dijadikan inspirasi dan idea untuk rumah sendiri nanti.

Koleksi tumbuh-tumbuhan yang aku beli bagi menghiasi ruang dapur. Menyambung hobi sewaktu di Malaysia - menanam pokok. Yang tiada di dalam gambar adalah pokok serai, daun kesum lengkuas dan halia yang dibawa khas dari tanahair untuk ditanam.

Ini pula adalah gambar bunga lavender yang aku beli sehari sebelum Najla dan ibunya tiba. Lebih kurang 3 pound sepasu (jangan tukar ke RM, memang mahal). Memandangkan ianya begitu cantik dan mewangikan persekitaran, maka terus aku beli. Bila lagi ingin memiliki bunga lavender yang segar di dalam rumah?

Dan ini pula adalah pintu menghala ke bilik air. Bagaikan stained glass. Sebenarnya, gambar bunga itu dilukis di atas kaca. Pintu masuk ke rumah aku pun mempunyai gaya yang sama, cuma corak yang berbeza. Memang unik.

Beginilah ruangan ‘istirehat’ yang berkonsepkan warna biru. Yang penting, ianya dilengkapi dengan air panas. Dan juga begitu bersih. Mandi dengan air panas dalam cuaca yang sejuk adalah satu nikmat - hingga terasa tidak mahu keluar dari bilik air dibuatnya!

Gambar siapa pula yang sesat ini. Sila abaikan.
Kalau ditukar ke dalam RM, nilai rumah yang aku sewa sekarang boleh digunakan untuk menyewa lebih kurang 6 buah rumah teres di Malaysia! Mungkin nanti, apabila tiba masa yang sesuai, aku akan keluar dan mencari rumah yang lebih baik dan sewanya murah berbanding sekarang. Oh, rindu pula rumah di Malaysia. Entah bagaimana pula keadaannya semenjak ditinggalkan.
11-07-07
Masih aku ingat ketika mula-mula berada di UK, aku berada dalam keadaan kejutan budaya. Dasar keterbukaan di sini adalah sesuatu yang harus aku terima dengan rela hati dengan minda yang terbuka. Inilah salah satu penyumbang keruntuhan moral dan akhlak di benua yang dikatakan maju. Sedang aku khusyuk menyelak sebuah akhbar di sini, terpapar satu iklan yang menonjolkan gambar perempuan yang tidak memakai apa-apa pada tubuh badannya. Wow, itu satu kejutan yang amat besar. Bayangkan, kalau di Malaysia, terdapat iklan yang sebegitu di akhbar perdana.
Apa yang aku katakan tentang dasar keterbukaan di sini bukanlah sekadar dari ucapan dan kritikan yang sering dihebahkan melalui media massa. Tapi termasuklah bersama grafik dan foto yang melampaui batas-batas yang telah biasa kita tetapkan. Di sini, setakat gambar bogel (menunjukkan keseluruhan bahagian atas tubuh badan) seakan satu perkara biasa. Mungkin bagi sesetengah orang merasakan itu adalah satu nikmat. Tapi, ada ketikanya kita akan merasa rimas dan lemas.
Walaupun tidak semua akhbar perdana menyiarkan gambar sebegitu, kemudahan untuk mendapatkan gambar-gambar sedemikian begitu mudah. Lebih-lebih lagi dalam majalah. Salah satu industri yang mengeksploitasikan tubuh badan.
Begitu juga dengan iklan-iklan yang sering dipaparkan melalui tv. Iklannya adalah minyak wangi, tapi yang dipaparkan adalah aksi erotik antara seorang lelaki yang hanya memakai seluar mandi yang cukup kecil dan seorang wanita dalam baju renangnya. Perlukah pula aksi menyapu-yapu tubuh badan yang telanjang dalam keadaan yang begitu berahi untuk iklan krim pelindung matahari? Dan oleh kerana kebiasaan beginilah, mereka tidak segan sila memaparkan filem yang menunjukkan tubuh manusia yang tidak ditutup. Mungkin juga aku ini lelaki konservatif. Pencemaran budaya sebegini memerlukan perlindungan yang begitu tinggi dalam membentuk seorang anak yang kecil.
Kalau setakat menonton aksi kucupan di khalayak, itu adalah sesuatu yang cukup biasa. Menunjukkan betapa sayang dan cintanya mereka, di antara lelaki dan perempuan. Dan semalam, kami dipertontonkan pula dengan aksi pelukan dan kucupan mesra antara dua perempuan di tepi jalan. Segera mata dialihkan ke tempat lain kerana tidak sanggup untuk melihatnya terus.
“Duduk di sini, boleh gelap hati dibuatnya”, kata isteri aku sebaik melihat iklan-iklan yang dipertontonkan pada suatu malam. Dalam masa yang sama, menutup mata Najla sekiranya terdapat aksi yang tidak sepatutnya ditonton oleh kanak-kanak kecil. Jika sempat, tv ditukar ke siaran yang lain.
Ya, terimalah seadanya kemajuan yang mereka kagumi. Tidak semua yang ditawarkan di sini penuh dengan kehebatan dan kemuliaan.
05-07-07

Akhbar hari ini masih lagi menceritakan tentang terroism. Lapan orang telah ditangkap di sekitar UK, termasuklah dua orang doktor. Semuanya adalah Muslim. Entah mereka benar-benar bersalah, aku sendiri tidak pasti. Barangkali ianya adalah satu provokasi Barat terhadap umat Islam. Berita Metro yang diberikan percuma di dalam bas yang aku naiki setiap kali berulang alik dari rumah ke universiti - hari ini mencatatkan sebanyak 40 laporan polis yang melibatkan insiden perkauman di sekitar Strathclyde sejak berlakunya peristiwa serangan di lapangan terbang Glasgow pada hari Sabtu yang lalu. Pihak polis menyatakan lapan kes daripadanya mempunyai perkaitan dengan percubaan letupan kereta yang berlaku baru-baru ini. Namun, serangan ganas secara tidak langsung terhadap orang Muslim di sekitar bandar semakin meningkat.
Dalam masa yang sama, aku jadi geram. Kenapa orang yang tidak bersalah turut menjadi sasaran? Sukar juga untuk percaya apa yang dipaparkan oleh media di sini yang kadangkala berat sebelah. Kalau dikatakan tentang ancaman terrorist, yang dituding adalah orang-orang Islam.
Biarpun begitu, masih terdapat keyakinan terhadap Islam. Cahayanya tidak akan hilang meskipun pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas agama agung ini.
Hari ini, aku pergi ke masjid di universiti untuk menunaikan solat Zohor berjemaah. Masjid universiti ini bukanlah sebuah masjid yang boleh kita gambarkan seperti di Malaysia. Besar dengan khutbah dan ruang solat yang besar. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada bangunan di universiti ini. Setelah usaha daripada beberapa pihak sebelum ini, maka sebuah ruang dapat digunakan oleh orang-orang Islam untuk menjalankan ibadah kepada-Nya, di samping aktiviti untuk persatuan pelajar Islam universiti. Itupun, ruangan solat yang dapat diperoleh betul-betul di bawah gereja. Ironi bukan?
Usai solat jemaah, imam yang memimpin solat membuat sedikit pengumuman. Satu majlis makan akan diadakan bersempena seorang jemaah yang baru mendirikan rumah tangga. Tapi, sebelum itu, satu majlis yang lebih bermakna akan berlangsung. Majlis untuk menyambut dan mengislamkan seorang saudara baru. Ini adalah satu perkara yang sungguh baru bagi aku. Di tanahair, aku tidak punya peluang langsung untuk bersama atau mengikuti proses pengislaman saudara baru. Secara kebetulan, aku turut bersama-sama menjadi sebahagian daripada sejarah hidup saudara baru ini.
Biarpun berlainan kulit, latar belakang dan warganegara, seluruh jemaah sama-sama menanti detik yang bersejarah ini. Dia, berkulit gelap, berasal dari Perancis. Rambutnya ikal. Dengan berbaju putih dan bercermin mata, dia duduk bersila di hadapan mengadap para jemaah, di sisi imam. Wajahnya tertunduk, bagaikan menyembunyikan seribu satu perasaan yang mengetuk pintu hatinya. Getarannya singgah ke jiwa aku juga. Dan aku turut sama berdebar.
Sebelum ucapan suci kalimah syahadah dilafazkan, imam bertanyakan sesuatu kepada saudara itu. Memohon agar saudara itu menjawab dengan jujur dan ikhlas, bersaksikan dengan para hadirin yang sama-sama sepi menanti setiap butir kata dari mereka berdua.
“Adakah kamu percaya, bahawa tiada kuasa lain melainkan Yang Satu?”, tanya Imam dalam bahasa Inggeris.
“Ya, saya percaya”.
“Adakah kamu percaya bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah?”
“Ya”.
“Adakah kamu percaya kepada malaikat?”
“Ya”.
“Adakah kamu percaya kepada segala kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah?”
“Ya”.
“Adakah kamu percaya semua nabi bermula Adam hinggalah Muhammad?”
“Ya, saya percaya”.
“Adakah kamu dipaksa untuk memeluk Islam ini?”
“Tidak. Dengan rela hati”.
“Syukur Alhamdulillah. Maka, ikutlah apa yang saya lafazkan ini”. Maka Imam memulakan lafaz kalimah suci syahadah patah demi patah, diikuti oleh saudara yang baru ini.
Suasana menjadi cukup hening di dalam ruang solat. Setiap jemaah khusyuk dan sama-sama mengikuti tiap butir kata yang terlafaz dari mulut saudara baru ini.
Sebaik sahaja kalimah syahadah itu sempurna diucapkan, air mata saudara itu terus mengalir. Mungkin kerana kegembiraan kerana menerima satu anugerah yang amat bermakna. Menerima seorang saudara baru, dalam suasana yang kami alami di sini adalah sesuatu yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Rasa keharuan terus menyelubungi kami semua. Melihat air mata yang gugur dari matanya turut menerbitkan rasa gembira dan syukur pada kami semua.
Apabila dia diminta untuk mengucapkan sesuatu kepada hadirin, dia hanya mampu berkata terima kasih dan kemudiannya tersedu-sedu menahan sebak dan tangisan. Aku turut sama terharu. Namun, dalam masa yang sama turut merasa gembira. Alangkah bertuahnya dia menerima hidayah dari Yang Maha Esa. Dan pada hari ini, dia menjadi seorang yang suci, seperti baru dilahirkan tanpa sebarang dosa.
Aku percaya, pasti banyak yang dirasakan apabila melangkah ke dunia yang baru. Dalam masa yang masa, mungkin dia bakal menerima tentangan dan dugaan yang tidak dapat dijangkakan. Semoga Allah akan bersamanya selalu. Menetapkan hati penuh istiqamah.
Sejurus kemudian, semua jemaah bangun untuk bersalaman dengannya. Menyambut dan memeluknya sambil kedengaran sedu sedan darinya. Moga dia tidak rasa keseorangan. Hadirnya dia disambut dan dirai - tanpa prejudis, biarpun berlainan kulit rupa. Aku datang ke arahnya sambil bersalam dan memeluknya. Dia hanya terdiam tanpa berkata apa. Mungkin kerana menyimpul segala perasaan dan disimpan terus ke dalam hatinya.
“Semoga Allah akan terus bersamamu selalu, saudaraku”, bisikku perlahan. Dan dia hanya menganggukkan kepalanya perlahan.
Sungguh, aku benar-benar rasa terharu dan bersyukur dengan kebesaran Allah yang diperlihatkan di depan mata aku. Meskipun, suasana di sini sedikit tegang dengan pelbagai tekanan dan cerita tentang Islam, Allah masih melimpahkan cahaya kepada insan-insan yang cukup terpilih untuk merasai keindahan Islam. Keberanian itu adalah sesuatu yang cukup istimewa. Keberanian untuk menghadapi dugaan hidup yang baru sebagai seorang Muslim. Tapi aku percaya, nikmat yang bakal dilalui adalah lebih bermakna di dunia dan akhirat.
Jauh di sudut hati, aku mengucap rasa syukur. Syukur kerana aku memang dilahirkan sebagai Islam. Bagailah agaknya kalau takdir hidup aku adalah sebaliknya. Pasti apa yang dikejar adalah fatamorgana semata-mata. Rasa kosong dalam kehidupan. Syukur pada-Mu.
04-07-07
Satu perkara yang aku rindukan semasa aku bekerja adalah untuk kembali sebagai seorang pelajar semula. Merasai dan menikmati untuk datang ke makmal, kuliah dengan membawa buku catatan. Tanpa perlu memikirkan atau memutuskan segala perkara yang besar - yang melibatkan hal ehwal sesuatu jabatan khususnya. Yang perlu difikirkan adalah bagaimana ingin menyelesaikan masalah diri sendiri, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan urusan penyelidikan.
Namun, berada semula dalam dunia ini bakal mendepankan diri aku dengan satu cabaran yang lebih besar. Sungguh besar. Kadangkala, aku menjadi kabur dengan apa yang aku baca. Dua tiga kali mentelaah, barulah terang sedikit jalannya. Kadangkala, aku hilang langsung dalam perjalanan pembacaan itu. Tidak faham langsung! Waktu begini, mulalah terasa bosan dan segala tumpuan teralih kepada perkara-perkara lain yang tidak sepatutnya - seperti surfing internet tidak henti-henti.
Sekarang aku berada dalam mode ‘pening-pening’ demi untuk memahamkan segala algoritma dan rumus yang telah dibentangkan oleh sekalian pakar yang ada di dalam bidang ini. Semakin banyak yang aku baca, semakin banyak benda yang aku tidak tahu. Dan rasanya semakin banyak juga rambut aku yang terkorban dek kepanasan kepala aku ini. (Kalau aku banyak sangat berfikir, aku terasa panas pula kulit kepala ini. Normal’kan?). Pernah juga aku terfikir, kalau aku tidak terus-terusan berfikir sangat, sudah tentu aku masih mampu menyelamatkan rambut aku dari terus-terusan gugur dan menipis. Tapi, kalau aku tidak mahu berfikir sebegitu, bagaimana pula aku mampu mencari idea yang ‘novel’* sebagai salah satu sumbangan aku ke dalam dunia akademik? Satu harga yang terpaksa aku bayar.
Rasanya, sukar untuk aku percaya kalau ada manusia terpandai atau terbijak dalam dunia ini. Kalau dia pakar sekalipun, sudah tentu dia hanya pakar dalam bidang yang diceburinya, samada matematik, kejuruteraaan, sastera, linguistik dan sebagainya. Mana mungkin dia dapat mengetahui segala macam benda dalam masa yang sama. Mungkin boleh, kalau dia hidup untuk seribu tahun lamanya dan otaknya dapat berfungsi dengan baik dengan izin Tuhan. (Mungkin ada, seseorang yang telah Allah pilih dan limpahkan anugerah)
Semakin lama menimba ilmu, aku semakin terasa, betapa kurangnya dan sedikitnya ilmu yang aku dapat jika dibandingkan dengan jutaan ilmu yang Allah kurniakan di muka bumi ini. Apa yang bakal aku jalankan, adalah sumbangan yang signifikan pada satu aspek bidang yang aku ceburi. Dan semoga Allah mempermudahkan jalan yang aku lalui serta memberi kefahaman atas setiap perkara yang aku cari.
p/s: Mana mahu aku cari idea yang ‘novel’* ini? Kadang-kadang aku rasa susah menjadi orang yang begitu optimis. Lebih-lebih lagi dalam hal sebegini.
* Not the same as what was previously known or done: different, fresh, innovative, inventive, new, newfangled, original, unfamiliar, unprecedented.