Archive for August, 2007

31-08-07

Tanahairku

Posted in puisi by fajr'

flag_my.jpg

Jauh di mata,
namun begitu dekat di hati,
setiap masa di sanubari.

Jauh darimu,
menimba emas di negeri orang,
sesekali tidak kulupa titis hujanmu,
yang sangat kurindu.

Jauh di rantau,
mengecap alam indah,
dalam iklim berbeza,
namun masih kudamba rasa terik mentari,
setiap masa.

Jauh begini,
membuatku rasa berharga,
lahir di bumimu.

Photo by: Jon Hicks / Corbis

30-08-07

Loch

Posted in kembara by fajr'

Biru. Hijau. Tenang.

Sedikit koleksi gambar-gambar di Ross Priory & Loch Lomond.

29-08-07

Aduhai Ayam

Posted in bicara by fajr'

food.jpg

Ada orang pernah berkata pada aku, tentu seronok hidup di UK kerana boleh selalu makan makanan Barat yang sedap. Namakan apa saja, baik dari makanan eksklusif, eksotik dan makanan ringan. Ya, tidak dinafikan memang terlalu banyak makanan yang nampak begitu sedap dan menyelerakan. Tapi yang menjadi persoalannya adalah tentang isu halal dan harganya. Setiap kali ingin membeli makanan, kami di sini terpaksa meneliti kandungannya samada ianya sesuai untuk Muslim. Paling tidak, mestilah sesuai untuk vegetarian. Aku pernah berutus emel dengan pihak Wall’s Ice Cream untuk mendapatkan kesahihan samada ais krim Magnum keluaran di UK ini sesuai untuk diet umat Islam. Nampaknya, balasan emel dari mereka jelas membuktikan hampir 80-90% tidak sesuai untuk vegetarian dan mengandungi alkohol.

Lupakan seketika tentang aiskrim kerana ia bukanlah makanan utama. Mana aku mahu mencari steak yang sedap di UK, melainkan ianya jelas halal. Maka, makanan yang selalu aku makan di sini masihlah sama seperti di Malaysia. Bukan seperti yang dijangka oleh sesetengah kenalan - setiap hari aku makan steak, burger dan sebagainya. Aduh, jiwa dan selera Melayu, sudah tentu mahukan nasi berlauk - yang pastinya mengenyangkan dan menyelerakan.

Bercerita tentang masakan dan lauk di sini, boleh dikira dengan jari berapa kali kami sekeluarga menikmati ikan segar. Untuk makluman, ikan di sini adalah mahal dan sukar untuk mendapatkan variasi seperti di pasar Malaysia. Ikan yang sering dijual adalah ikan salmon, haddock, mackerel dan sewaktu dengannya. Cuma, pada tiga minggu lepas, ada keluarga di sini yang bermurah hati memberikan seekor ikan segar apabila kami menyatakan keinginan untuk memakan ikan. Bayangkan, sekian lama kami tidak menikmati ikan sejak datang ke sini. Kalau ada, mungkin ikan yang sudah diproses untuk menjadi fillet, sardin dan sebagainya.

Oleh yang demikian, lauk kami lebih banyak berasaskan ayam memandangkan harga ayam adalah murah dibandingkan dengan makanan yang lain. Selalunya, kami akan membeli ayam di kedai Pakistan yang terletak berdekatan dengan rumah kami. Selain ayam, mereka turut menjual daging lembu dan kambing. Tapi harganya sedikit mahal jika dibandingkan dengan ayam, yang hanya sekitar 1.50 pound sekilo. Maka, setiap hari bersilih ganti, ayam menjadi asas utama untuk dijadikan lauk.

Dengan ayam, ianya dijadikan untuk masakan tomyam, masak lemak, masak kurma, masak merah, masak pedas, percik, ayam panggang, masak kicap, sup dan sebagainya. Segalanya berasaskan ayam. Jika tidak peha ayam, kepak ayam, pedal atau hati ayam. Jika tidak daging ayam, maka telur ayam akan digunakan sebagai ganti.

Satu perkara yang begitu memeningkan kami adalah mencari idea untuk memasak ayam. Sudah puas rasanya kami mencuba pelbagai resepi berasaskan ayam. Pernah juga kami memasak ayam tika ala Karachi, resepi berasal dari Pakistan. Tapi, setidak-tidaknya rasa bersyukur kerana masih dapat menikmati daging ayam yang halal dan mudah pula untuk mendapatkannya.

Semalam, tiba-tiba saja kami teringat dan teringin menikmati tomyam ketam. Aduhai. Atau barangkali sotong masak nyonya. Atau ikan siakap masak stim. Kecur air liur dibuatnya! Seakan, apabila mahu pulang ke Malaysia nanti, mahu menikmati masakan Malaysia sebaik mungkin.

Agaknya, bolehkan berikan idea kepada kami di sini untuk mempelbagaikan masakan ayam di sini?

27-08-07

Degil

Posted in kerja ii by fajr'

Kalau bukan kerana keperluan kewangan di sini, jangan harap aku mahu bersusah payah untuk bekerja sambilan. Tapi mengenangkan duit itu nanti akan digunakan untuk membeli makanan, susu, lampin dan bayaran nurseri Najla, maka aku terpaksa korbankan masa dan tenaga. Sungguh, memang terasa penat.

Sebenarnya, aku masih lagi bekerja sebagai pencuci lantai di tempat yang sama. Walaupun aku diarahkan untuk tidak perlu datang kerja lagi, aku tetap berdegil untuk datang seperti biasa. Berani kan?

Aku ditawarkan bekerja di tempat itu oleh salah seorang kenalan. Kiranya, aku menggunakan khidmat orang dalam untuk bekerja sambilan di situ. Aku terpaksa bekerja selama 7 hari seminggu selama 2 jam lebih pada waktu pagi. Dalam masa 7 hari itu, setiap orang akan mendapat cuti sehari secara bergilir. Walau bagaimanapun, aku hanya boleh bercuti pada hari Isnin sahaja. Hari itulah aku terpaksa menjaga Najla sebelum menghantarnya ke nurseri memandangkan ibu Najla sudah mempunyai komitmen untuk membuat pembentangan mingguan kepada supervisornya.

Supervisor aku (di tempat bekerja) seakan tidak puas hati dengan permintaan aku - untuk bercuti pada hari Isnin sahaja. Sedangkan perkara itu sudah aku maklumkan kepada pihak pengurusan. Ternyata mereka tidak mempunyai masalah tentang itu. Aku akan mendapat cuti pada setiap hari Isnin. Tapi, tidak menyenangkan kepada supervisor aku di situ.

Aku dapat rasakan kadangkala supervisor aku sengaja mencari salah aku. Di mana kawasan yang perlu aku bersihkan, di situlah dia akan membuat tinjauan. Ada tempat yang sudah aku bersihkan, disuruhnya aku bersihkan. Kadang-kadang bukan tempat aku pun, diminta aku bersihkan. Maka, aku menjawab sebagai mempertahankan diri. Atau protes.

Pada hari pertama aku bekerja, terdapat 2 orang baru yang turut sama memulakan kerja di situ. Apabila aku dimaklumkan untuk tidak perlu datang lagi, aku seakan tersentak. Kenapa aku yang dipilih? Kenapa bukan lagi 2 orang yang sama-sama masuk bekerja?

Aku seakan tidak puas hati dengan alasan terlalu ramai pekerja di tempat itu. Apabila aku dibuang sebegitu saja, fikiran aku berputar dengan ligat. Atas alasan itu, maka aku dibuang kerja? Apa hak dia untuk membuang aku sesuka hati? Dia bukan layak untuk memberitahu sebegitu saja. Maka, aku telefon pihak atasan untuk penjelasan. Mereka benarkan aku bekerja seperti biasa. Dan pada hari-hari berikutnya, supervisor aku di tempat itu seakan ‘berbulu’ melihat kehadiran aku.

Aku tidak ambil peduli. Buat masa sekarang, ini sahaja jalan yang aku ada. Mungkin nanti, aku akan ikhtiarkan untuk mencari pekerjaan yang lain. Bukan senang untuk mendapatkan kerja di sini. Setidak-tidaknya, mereka memerlukan satu ID untuk membolehkan kita bekerja. Dan ID berkenaan mestilah dipohon mengikut prosedur yang tertentu. Walau bagaimanapun, kerja sebagai pencuci lantai ini bukanlah seteruk mana. Nilai gaji sebulan kalau ditukar kepada RM sudah menyamai gaji jurutera di Malaysia.

Di sini, aku harus belajar untuk menjadi ’survivor’. Aku harus belajar untuk jadi kental. Moga rasa pahit ini akan menjadi satu perkara yang manis dalam satu bentuk yang lain. Aku begitu yakin dan pasti akan kekuasaan Tuhan.

24-08-07

Lari

Posted in kembara by fajr'

loch1.jpg

Semalam, aku lari dari kesibukan. Dari kepenatan. Dari tekanan. Dan aku ke sini. Loch Lomond. Loch dalam bahasa gaelic, yang bermaksud tasik. Tempat ini memang cantik. Mendamaikan. Aku sempat menunaikan solat di bawah sepohon pokok, sejadah beralaskan rumput di bumi.

loch2.jpg

Selepas itu, aku masuk ke dalam taman ini. Terasa bagai terbawa ke sebuah tempat yang begitu asing. Laksana sebuah taman rahsia. Sungguh, aku jadi terkedu melihat betapa indahnya ciptaan Tuhan.

ross1.jpg