02-08-07

Tentang Sahabat

Posted in memori by fajr'

grad2.jpg

Hari ini aku ingin bercerita sesuatu yang sedikit peribadi. Tulisan yang jarang-jarang aku lakarkan sejak beberapa tahun. Mungkin kerana ingin berkongsi sesuatu di sini setelah aku simpan sekian lama. Namun begitu, bercerita tentang semua ini bagaikan membongkar semula segala kenangan silam yang terlukis segala pahit dan manis.

Dulu, aku banyak hidup dengan kenangan. Aku begitu menghargai setiap orang yang hadir dalam hidup aku, terutamanya mereka yang begitu rapat dan menjadi sahabat dan teman di saat suka dan duka. Tetapi, masa telah membawa setiap insan pada laluan yang tersendiri. Masing-masing sibuk dengan keadaan semasa - dengan tanggungjawab yang menjadi keutamaan. Maka, adalah tidak aneh jika kebanyakan mereka sudah berubah. Dari mentah menjadi lebih matang. Dari jenis yang tidak ambil kisah menjadi golongan yang serius.

Apabila mengenangkan hanya aku yang bergantung kepada kenangan, maka aku tutup segala apa kenangan yang ada. Aku simpan dengan baik. Setiap kenangan manis yang ada pada suatu masa dulu belum pasti menpunyai manis yang sama pada saat ini. Segalanya sudah berubah dan aku harus menerima hakikat itu. Dan pada ketika ini, hampir sebahagian besar kenalan rapat aku sudah jarang mengirimkan berita. Aku faham keadaan itu kerana aku juga termasuk dalam kumpulan yang begitu sibuk menguruskan kehidupan yang aku lalui sekarang. Dan aku juga turut jarang mengirimkan berita sendiri. Tapi, ada juga kawan yang dulu cukup rapat dan aku anggap sebagai sahabat baik sudah hilang terus. Atau dengan kata lain, seakan melarikan diri dari aku. Kenapa pula ya? Sering aku bertanya, apakah kesalahan yang aku lakukan? Aku sedikit terasa, tapi aku biarkan masa yang menentukan.

bmb.jpg

Tidak aku nafikan, aku begitu bahagia dengan kehidupan yang aku lalui sekarang. Namun, adalah tidak adil membiarkan tali silaturrahim yang pernah terjalin erat suatu ketika dulu terlerai begitu saja.

Meskipun begitu, masih ada yang setia berkongsi cerita dari dulu hingga kini. Satu perkara yang masih mewarnai hidup aku dalam bayangan yang sama.

Seingat aku, sahabat aku yang seorang ini mempunyai ciri yang hampir sama dengan aku. Bermula dari cita-cita di awal dulu ingin menjadi pilot hinggalah berkongsi CGPA yang sama sewaktu di sekolah menengah. Tetapi, dalam persamaan itu, ada juga bezanya. Dia lebih hebat bersukan, sedangkan aku lebih menghabiskan masa dengan benda-benda seni. Dan aku pernah merasa cemburu kerana dia mendapat markah tertinggi di dalam kelas untuk matapelajaran Fizik. Wajar juga kerana aku memang begitu lembab dengan subjek tersebut pada ketika itu. Maklumlah, late bloomer. Apa yang pasti, dia adalah orang yang sangat popular di sekolah kami pada waktu itu. Mungkin kerana dia seorang yang memiliki jawatan terpenting di sekolah, atau barangkali kerana ‘kehenseman’ dia yang sering menjadi cerita. Dia jugalah yang mengubah persepsi aku terhadap orang-orang Pantai Timur.

Sepanjang sesi persekolahan, aku tidak selalu menghabiskan masa dengan dia. Walaupun dikatakan kami sering mengadakan sesi ’study group’, aku banyak meluangkan masa dengan kawan-kawan yang lain. Satu kumpulan yang mempunyai ‘kepala’ dan minat yang sama. Namun begitu, di waktu malam, aku akan sering berkunjung ke biliknya - mencari tempat untuk study. Hingga pernah pada suatu ketika, kami dituduh mengintip pelajar perempuan kerana biliknya berada di hujung blok dan berhadapan dengan asrama perempuan. Pelik sungguh dan aku begitu tertekan pada waktu itu. Dipanggil pada waktu malam oleh warden perempuan kerana menjadi mereka yang tertuduh - aku, dia dan beberapa teman yang lain. Kemudian aku terfikir, siapa yang intip siapa sebenarnya ini? Ironi sekali.

Kemudian, kami terpisah kerana masing-masing mengikut haluan yang tersendiri. Aku menghabiskan masa untuk mendapatkan ijazah kejuruteraan di sebuah universiti di selatan tanahair, manakala dia jauh di benua lain - UK. Meskipun terpisah oleh jarak yang jauh, kami tidak pernah terputus hubungan. Surat sering dikirimkan. Dan pada waktu itu, kawan-kawan yang rapat sebelum ini jarang pula mengutus khabar. Lalu kami sering saja bertukar cerita antara kami - tentang bermacam kisah. Dalam masa yang sama, kami berhubung melalui emel yang masih dikatakan baru pada waktu itu. Dia dengan masalah yang dihadapi di negara orang. Dan aku dengan masalah sendiri. Masih tidak dapat aku lupakan ketika dia mengirimkan not Pound dari sana kerana ingin membantu aku yang sedang mengalami masalah kewangan pada waktu itu. Sungguh, aku menjadi begitu terharu menerima kejutan sebegitu.

Sebaik dia pulang dari UK, dia membawa satu berita yang tidak diduga. Dia ingin mendirikan rumahtangga dengan pilihannya. Memang tindakan di luar jangkaan - kerana terlalu cepat semua itu berlaku, tetapi aku yakin itulah kebahagiaan yang dicari. Masih aku ingat kiriman emel darinya yang menjelaskan kenapa dan mengapa dia ingin menamatkan zaman bujangnya. Antara kandungan emelnya mengisyaratkan bahawa hubungan persahabatan kami tidak mungkin sama seperti dulu kerana dia mempunyai tanggungjawab yang lebih utama. Aku akur, tapi tetap menghargainya.

Baru beberapa bulan bertugas di tanahair, dia ditugaskan pula ke Jepun. Masih aku ingat betapa sibuknya dia untuk mempelajari bahasa Jepun. Tapi, aku yakin dengan kemampuan dia kerana dia bukan calang-calang orangnya. Ternyata, dia boleh melakukan setiap cabaran yang mendatang. Aku sempat menghantarnya ke lapangan terbang sebelum dia berlepas ke sana. Ketika aku berhempas pulas dengan dunia aku, dia sibuk dengan kehidupan kerjaya di sana. Namun, kami masih lagi terus berutusan. Tanpa rasa jemu. Dan aku tidak merasa langsung akan kejauhan persahabatan kami ini.

Dia, antara sahabat aku yang cukup istimewa. Kawan yang diperlukan di saat suka dan duka. Ketika aku berada dalam kesusahan, dia sanggup memberikan kepercayaan untuk membantu aku. Dan kerana kepercayaan itulah, aku begitu merasakan dia adalah sahabat yang baik.

Kini, kami berdua terpisah lagi di antara dua benua. Seorang di UK, seorang lagi di US. Hakikat meletakkan kami pada suasana kerja yang berbeza dan kehidupan yang tersendiri. Tetapi hakikat bahawa persahabatan itu akan tetap subur adalah sesuatu yang tidak mungkin dinafikan.

Tidak semua orang mampu menjadikan ikatan persahabatan itu berada pada tahap yang maksimum. Setiap orang mempunyai cabaran hidup yang berbeza, lalu menjadikan mereka dalam ruang yang berlainan. Setidak-tidaknya mereka masih lagi sahabat aku. Oleh kerana ruang masa dan jarak yang terhad, maka kegembiraan pada suatu ketika dulu tidak dapat dizahirkan pada masa sekarang. Masakan tidak, ramai sahabat-sahabat aku melalui cabaran hidup yang tersendiri. Salah seorang darinya adalah antara orang yang terpenting kepada pemimpin negara kita. Kadang-kadang terselit juga wajahnya di kaca tv sewaktu PM berucap dan sebagainya. Aku masih lagi bertuah kerana masih mempunyai kalangan sahabat baik yang dipertemukan di alam maya lalu dibawa ke dunia realiti.

grad2.jpg

Rasanya kata-kata yang pernah aku karangkan suatu ketika dulu mungkin dapat menzahirkan semua ini.

Keindahan sering berubah mengikut masa dan waktu. Namun keindahan di hati akan indah dan berseri andainya terus dihargai“.

Bukan mudah untuk menghargai apa yang pernah kita lalui dulu bukan?

Terima kasih buat semua sahabat-sahabatku.

Dan kepada ‘dia’ - sahabat yang aku maksudkan, terima kasih atas segalanya. Masihkah kau ingat segala kenangan kita lalui bersama sejak dulu lagi?

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

10 comments

  1. enaikay says:

    Fajar, i’m totally speechless…

    03-08-07 at 12:11 am

  2. rasso says:

    ya.. me too…

    03-08-07 at 1:35 am

  3. aliff says:

    sahabat sejati sahabat dimasa susah dan senang..

    03-08-07 at 9:11 am

  4. rudy bluehikari says:

    Tersentuh!

    Sesunggunya berbahagialah dua sahabat ini dalam RahmatMu Tuhan.

    Jarr, macam yang pernah aku katakan dahulu, “bukan mudah mencari sahabat sejati kerna dalam terang ianya tersembunyi”.

    03-08-07 at 12:14 pm

  5. Abu Bazli says:

    errr pertama, jelas. kedua, clear. ketiga… yg mana satu kau? belakang 2 dari kanan eh?

    03-08-07 at 11:56 pm

  6. Epong says:

    ckp pasal nikfa ke ni?

    21-08-07 at 1:49 pm

  7. fajrul says:

    Epong, seperti kata-kata yang ditulis oleh Abang Pat, ‘rahsia yang sudah diberitahu, bukanlah lagi rahsia’. Ahaks.

    But i think, u know it well. Hehehe.

    22-08-07 at 5:31 pm

  8. Aini says:

    hahaha.. aku pun tau dah siapa mamat tuh… :)

    28-08-07 at 5:28 pm

  9. Epong says:

    fajar,

    he is indeed a nice guy.

    sori.. heheh! it’s just.. the clues are a little bit too obvious.. i can’t help but try guessing.. muahahahahah!

    lagi2 sebab ade familiar moniker kat atas tuu! muahahahahaha!

    btw, to-whom-it-may-concern.. apa cerrr???

    30-08-07 at 4:39 pm

  10. nana says:

    Mendapat sahabat untuk ketawa memang mudah sekali, tapi shabat untuk sama2 menangis sukar sekali, 1 dalam sejuta, kalau ada sahabat spt ni alangkah bagusnya, tapi biar sahabat yang boleh sama2 membentuk diri menjadi insan berguna, tak ubah spt bersahabat dengan penjual minyak wangi makan akan wngilah kita, tapi kalau bersahabat dgn pengangkut taik maka berbau taik lah kita….lu pikirlah sendir..!!!!

    04-07-08 at 1:05 am

Leave a comment