Kudrat
Hidup di dalam suasana dan persekitaran yang memerlukan kos yang tinggi kadangkala memberi tekanan yang bukan sedikit. Berada di negara orang dengan bergantung kepada elaun yang kecil seolah-olah menjadikan diri sebagai pendatang yang miskin. Aku sedar jumlah perbelanjaan melebihi dari apa yang diterima, walaupun sudah cuba berjimat cermat. Apatah lagi, aku sudah diberitahu bahawa tiada sebarang perubahan pada rayuan yang telah aku usulkan kepada pihak yang sepatutnya. Kecewa? Bohonglah jika aku berkata tidak. Namun aku harus kuatkan semangat untuk meneruskan hidup di bumi orang ini.
Oleh yang demikian, aku sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa mencari kerja sambilan di sini. Meskipun aku tahu, sedikit sebanyak ianya turut mengganggu jadual harian aku yang sudah sedia penuh dan ketat. Kudrat ini meletakkan diri untuk mencari pendapatan sampingan bukan untuk kemewahan tapi kerana keperluan. Biarlah aku terpaksa bersusah demi rezeki kami sekeluarga di sini.
Maka, secara tidak langsung, status aku sudah bertambah lagi, iaitu sebagai seorang pencuci atau pembersih lantai di sebuah pusat membeli belah. Roda kehidupan aku berputar di sini. Meletakkan diri ke status yang sebaliknya. Ironi sekali, sebelum ini aku hanya merasa kasihan melihat makcik-makcik tua yang bertungkus lumus membersihkan lantai di tempat aku bekerja. Dan kali ini, tugas itu diambilalih oleh aku. Bukan mudah rupanya untuk membersihkan tempat yang sering kotor pada setiap hari. Tidak dinafikan, kerja ini agak memenatkan lebih-lebih dilaksanakan di awal-awal pagi. Maka, ketika orang lain sedang enak beradu di dalam kehangatan duvet, aku sudah bergegas keluar dari rumah dan menanti bas pada masa fajar sudah mula berlalu pergi di dada langit.
Hari pertama bekerja - kelam kabut aku dibuatnya! Terlalu banyak yang harus aku siapkan dan bersihkan dalam masa yang begitu singkat. Tambahan pula, aku sedikit kekok kerana sudah lama tidak memegang kayu mop dan sebagainya. Mesin pembersih lantai yang aku gunakan pula tidak banyak membantu, bahkan menyusahkan saja kerana span pembersihnya sering tanggal dan meninggalkan kotoran pada lantai yang sudah sedia bersih. Geram sekali. Itu belum lagi dengan arahan supervisor yang asyik menyuruh aku buat itu dan ini, seolah-olah aku ini mempunyai tangan yang banyak seperti sotong - boleh membuat semua kerja dengan serentak. Mulutnya juga jarang berhenti dari mencarut.
Susah juga menjadi seorang yang cerewet, hinggakan lantai yang aku bersihkan pun aku mahu pastikan ianya benar-benar bersih tanpa kotoran. Nampaknya aku terpaksa mengurangkan tahap standard aku ini. Jika tidak, sudah tentu tidak siap kerja dibuatnya. Selalu saja aku menjadi orang yang terakhir membersihkan dan menyiapkan kawasan aku. Itu belum lagi dengan terpaksa memakai tshirt yang entah bila agaknya kali terakhir ianya dibasuh. Baunya cukup menyeksakan.
Ketika tangan dan kaki sibuk bekerja, fikiran aku mula menerawang tentang kepayahan hidup di negara orang. Dan aku mula menghargai apa yang pernah aku kecapi di bumi sendiri.
Dan belum pun cukup seminggu bekerja, hari ini aku telah diberitahu oleh supervisor tidak perlu datang lagi - berhenti. Katanya, jumlah pekerja sudah terlalu ramai dari bilangan yang sepatutnya. Nampaknya, bukan rezeki aku. Mungkin juga aku dipilih kerana aku salah seorang pekerja yang cukup berani menjawab!

chentahati says:
wa..sudah sedih…
sedih…sedih sangat-sangat…!!!!
tak per..sabar…sabar yer..
21-08-07 at 5:07 pm
chentahati says:
apa kata cari keje book store ker??
21-08-07 at 5:08 pm
xis says:
Fajar…
such an awesome blog.. keep on writing okay..
21-08-07 at 6:27 pm
aliff says:
sabar abang fajar! dalam setiap kesusahan ada kesenangan.
21-08-07 at 8:11 pm
Abu Bazli says:
fajar, amalkan zikir nabi Yunus. alhamdulillah membantu aku sewaktu
‘dalam perut ikan’ kat bangla dulu…
22-08-07 at 12:09 am
nurshi says:
Banyakkan sabar dan tabahkan hati..BUKAN SENANG NAK SENANG..so, kuatkan semangat, cahiyok!
22-08-07 at 8:53 am
azeel says:
seperti kata teman2 yang lain, aku harapkan kamu bersabar.
rezeki ada di mana-mana, dan aku sarankan kau mencari pekerjaan yang mungkin membebankan tetapi dapat mengembirakan kamu.
aku doakan kamu sentiasa menerima kelapangan dan ketenangan dariNya.
22-08-07 at 1:33 pm
Azhar Ahmad says:
Sabar ye…. Ia mendewasakan minda…
22-08-07 at 2:37 pm
JIMI says:
Hmm alahai fajar. kesiannya. sabarlah ye.
22-08-07 at 4:20 pm
napang says:
hehehe.. tahniah kerana sanggup untuk merasai apa yg org susah rasa… maksud aku …. berani mencuba diluar yg sepatutnya.. ko mesti mengiyakan dan mengimbas kembali cerita aku hantar surat kahbar… hehehe…
lex le fajar, sekali sekala kita perlu lagi tunduk dan lagi ke bawah untuk melakukan sendiri apa yg org di bawah rasa…
bukan keje partime apa yg penting, asal leh menampung ko kat sana n boleh teruskan idup untuk melaksanakan matlamat utama, aku rasa kita patut bersyukur…
aku yakin ko mampu untuk tabah melakukan…
jinsei iro iro
-begitulah kehidupan-
25-08-07 at 8:02 am
nana says:
kalau di mana sekali pun, kita kena banyak bersabar, semangat kena kuat, cita2 tinggi perlu ada, berusahalah bersungguh untuk berjaya…
07-07-08 at 12:47 am