Archive for August, 2007

22-08-07

Cahaya Cinta

Posted in rasa by fajr'

Seingat aku, kali pertama aku memandang dirinya adalah sewaktu aku dipanggil untuk sesi temuduga di tempat kerja aku sekarang. Masih aku ingat, dia berbaju kebarung berwarna hijau dengan tudung krim. Nampak cantik dan bergaya. Saat melihatkan dirinya, hati terdetik, manis sungguh gadis ini. Namun selalunya, gadis yang secantik dan semanis orang ini tidak akan jatuh hati kepada lelaki seperti aku. Sungguh, bila berbicara tentang soal hati dan cinta, aku bukanlah seorang jaguh di dalam medan ini. Lalu, pandangan pertama itu hanya terakam di dalam irisan hati.

Takdir mempertemukan kami sekali lagi. Rupa-rupanya, itu bukanlah perjumpaan yang pertama kerana selepas itu kami seringkali bertemu dan berselisih muka. Percaya atau tidak, kami jarang bertegur sapa. Apatah lagi berbual mesra dan bergelak ketawa. Paling tinggi, sekadar senyuman di hujung bibir. Masing-masing dibaluti rasa malu. Atau dalam kata lain, jual mahal.

Tidak dinafikan, pada masa itu aku sedang mencari. Tapi entah kenapa, dia bukanlah antara orang yang aku cari. Barangkali aku sudah mendengar cerita bahawa dirinya sudah dimiliki oleh seseorang. Tambahan pula, dia merupakan orang yang agak popular pada waktu itu. Ramai saja jejaka yang cuba mengambil hatinya dan aku tidak begitu berminat untuk menambah. Seringkali aku berkata, aku tidak mahu jodoh yang berasal jauh dari negeri kelahiran aku. Di samping berpandukan apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW, aku juga mahukan bakal isteri aku pandai memasak. Bukan sekadar masak nasi, goreng telur dan benda yang sudah biasa bagi aku.

Manusia hanya merancang, namun Tuhan jugalah Maha Mengetahui pada setiap perkara. Meskipun sebelum ini aku menafikan kehadirannya di depan mata, namun secara tiba-tiba, hati yang tidak pernah terbuka untuknya, telah disingkap tanpa aku sedari. Sesuatu telah mengusik kalbu. Rasa cinta datang perlahan-lahan. Lalu bermulalah sebuah cerita cinta antara aku dan dia.

Ironi sekali, sebelum ini aku menyatakan aku tidak mahu orang dari Kelantan. Tetapi jodoh sudah meletakkan aku dan dia yang berasal dari Kelantan. Cuma, aku begitu bertuah kerana si dia memang benar-benar berkemahiran memasak. Masih aku teringat, masakan pertama yang dihantar kepada aku untuk ujian rasa adalah laksa penang. Yang kelakarnya, kuah laksa yang dibuat adalah kuah yang diubahsuai buat pertama kalinya oleh dirinya. Rasanya begitu lain dari laksa yang pernah aku makan seumur hidup aku. Pada waktu itu, aku berkata di dalam hati, biar betul.

Namun, hantaran masakannya selepas itu telah menutup kelemahan percubaannya yang pertama. Bahkan telah memikat aku dan seluruh keluarga aku. Sehinggalah pertemuan antara dua keluarga yang mengikat kami berdua.

Sebenarnya, kisah cinta kami telah dirahsiakan dari pengetahuan umum. Tidak ramai yang tahu tentang percintaan kami. Tidak pernah kami tunjukkan sebarang tanda kemesraan, lebih-lebih lagi di kalangan rakan sekerja. Tidak seorang yang mengetahui langsung bahawa kami berdua bercinta dan telah bertunang. Lama sungguh kami membawa rahsia cinta ini. Dan ianya menjadi begitu istimewa.

Cuma, kali pertama kami keluar berdua, pertemuan itu telah membawa kami kepada perhatian kepada golongan pelajar-pelajar kami. Maka, heboh dan kecohlah kisah kami di kalangan mereka. Di sana sini, mereka sibuk bercerita hingga ada yang datang ke bilik untuk bertanya kesahihan cinta kami itu. Seperti biasa, kami cuba menafikan. Tapi, maklum sajalah, budak-budak muda zaman sekarang sudah begitu arif dengan apa yang dinamakan cinta. Biarpun takrifan cinta itu begitu luas sebenarnya. Mujur juga, mereka semua begitu sporting dan menyokong rasa cinta yang baru bermula. Dan cinta itu, masih menjadi rahsia pada mereka yang tidak mengetahuinya, kecuali di kalangan rakan-rakan rapat kami berdua.

Akhirnya, tibalah detik yang kami nantikan. Sibuk dengan pelbagai urusan dan persiapan. Dan kad jemputan mula diedarkan. Pada waktu itu, begitu ramai kalangan rakan sekerja yang menjadi terkejut. Sungguh-sungguh terkejut. Ada pula yang siap bertanya, adakah pasangan aku itu orang yang sama atau mempunyai nama yang kebetulan sama dengan orang yang dikenalinya. Berita yang diterima bagaikan satu kejutan yang tidak mungkin dilupakan pada waktu itu. Dalam masa yang sama, satu laman web khusus dibina oleh seorang rakan sebagai jemputan rasmi kepada rakan-rakan di siber.

Tidak dapat kami lupakan kemesraan dan kemeriahan di hari yang penuh bermakna itu. Masih terbayang di ingatan, sanak saudara, rakan taulan dan jiran tetangga yang memenuhi ruang laman. Seakan masih baru dan segar jika meninjau pada gambar-gambar yang terakam pada detik itu. Mengimbau kembali kenangan sebegitu, seolah dapat merasakan betapa merahnya rasa cinta itu. Dan betapa luasnya rasa cinta itu.

Tiga tahun berlalu, detik itu dikenang kembali. Dalam penuh rasa sayang dan cinta. Begitu banyak onak dan duri yang kami lalui. Pahit dan manis sama diharungi. Tambah rasa bahagia apabila menerima anugerah tanda cinta dari-Nya, seorang puteri yang menyeri suasana. Menyejuk mata dan jiwa.

Buatmu sayang, selamat ulangtahun. Moga cinta seluas angkasa itu tetap dirasa di bumi orang ini. Sama-sama kita harungi detik-detik kehidupan ini bersama rasa cinta yang menyala.

“Kerinduan
tak akan menghilang
kan selalu kurasa
tak mampu ku menghindar
kau berikan apa yang ku pinta
kau mengikatku dalam cinta
temaniku dalam setia…”

- Kerinduan, Sheila Majid -

21-08-07

Kudrat

Posted in kerja ii by fajr'

cleaner2.jpg

Hidup di dalam suasana dan persekitaran yang memerlukan kos yang tinggi kadangkala memberi tekanan yang bukan sedikit. Berada di negara orang dengan bergantung kepada elaun yang kecil seolah-olah menjadikan diri sebagai pendatang yang miskin. Aku sedar jumlah perbelanjaan melebihi dari apa yang diterima, walaupun sudah cuba berjimat cermat. Apatah lagi, aku sudah diberitahu bahawa tiada sebarang perubahan pada rayuan yang telah aku usulkan kepada pihak yang sepatutnya. Kecewa? Bohonglah jika aku berkata tidak. Namun aku harus kuatkan semangat untuk meneruskan hidup di bumi orang ini.

Oleh yang demikian, aku sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa mencari kerja sambilan di sini. Meskipun aku tahu, sedikit sebanyak ianya turut mengganggu jadual harian aku yang sudah sedia penuh dan ketat. Kudrat ini meletakkan diri untuk mencari pendapatan sampingan bukan untuk kemewahan tapi kerana keperluan. Biarlah aku terpaksa bersusah demi rezeki kami sekeluarga di sini.

Maka, secara tidak langsung, status aku sudah bertambah lagi, iaitu sebagai seorang pencuci atau pembersih lantai di sebuah pusat membeli belah. Roda kehidupan aku berputar di sini. Meletakkan diri ke status yang sebaliknya. Ironi sekali, sebelum ini aku hanya merasa kasihan melihat makcik-makcik tua yang bertungkus lumus membersihkan lantai di tempat aku bekerja. Dan kali ini, tugas itu diambilalih oleh aku. Bukan mudah rupanya untuk membersihkan tempat yang sering kotor pada setiap hari. Tidak dinafikan, kerja ini agak memenatkan lebih-lebih dilaksanakan di awal-awal pagi. Maka, ketika orang lain sedang enak beradu di dalam kehangatan duvet, aku sudah bergegas keluar dari rumah dan menanti bas pada masa fajar sudah mula berlalu pergi di dada langit.

Hari pertama bekerja - kelam kabut aku dibuatnya! Terlalu banyak yang harus aku siapkan dan bersihkan dalam masa yang begitu singkat. Tambahan pula, aku sedikit kekok kerana sudah lama tidak memegang kayu mop dan sebagainya. Mesin pembersih lantai yang aku gunakan pula tidak banyak membantu, bahkan menyusahkan saja kerana span pembersihnya sering tanggal dan meninggalkan kotoran pada lantai yang sudah sedia bersih. Geram sekali. Itu belum lagi dengan arahan supervisor yang asyik menyuruh aku buat itu dan ini, seolah-olah aku ini mempunyai tangan yang banyak seperti sotong - boleh membuat semua kerja dengan serentak. Mulutnya juga jarang berhenti dari mencarut.

Susah juga menjadi seorang yang cerewet, hinggakan lantai yang aku bersihkan pun aku mahu pastikan ianya benar-benar bersih tanpa kotoran. Nampaknya aku terpaksa mengurangkan tahap standard aku ini. Jika tidak, sudah tentu tidak siap kerja dibuatnya. Selalu saja aku menjadi orang yang terakhir membersihkan dan menyiapkan kawasan aku. Itu belum lagi dengan terpaksa memakai tshirt yang entah bila agaknya kali terakhir ianya dibasuh. Baunya cukup menyeksakan.

Ketika tangan dan kaki sibuk bekerja, fikiran aku mula menerawang tentang kepayahan hidup di negara orang. Dan aku mula menghargai apa yang pernah aku kecapi di bumi sendiri.

Dan belum pun cukup seminggu bekerja, hari ini aku telah diberitahu oleh supervisor tidak perlu datang lagi - berhenti. Katanya, jumlah pekerja sudah terlalu ramai dari bilangan yang sepatutnya. Nampaknya, bukan rezeki aku. Mungkin juga aku dipilih kerana aku salah seorang pekerja yang cukup berani menjawab!

17-08-07

Pasrah

Posted in bicara by fajr'

Sejujurnya, pagi ini aku rasa cukup kecewa apabila menerima satu emel dari Malaysia yang menerangkan tentang kedudukan elaun yang kami sekeluarga perolehi di sini. Mengikut jadual yang dikeluarkan, kami sepatutnya menerima bantuan sewa rumah bagi kadar pegawai, pasangan dan seorang anak. Tapi, apa yang kami terima adalah kadar untuk pegawai dan pasangan sahaja. Puas aku kirimkan emel bertanyakan status yang sebenar. Susah betul kalau orang yang menguruskan bahagian ini asyik bertukar-tukar.

Hasilnya, aku dimaklumkan bahawa elaun yang diberikan kepada kami melebihi dari yang sepatutnya. Lebih? Lebih bahagian yang mana? Aku keliru dan pening. Akhirnya, aku jadi pasrah. Menerima apa yang ada.

Mungkin aku akan ambil peluang untuk telefon ke Malaysia bagi bertanyakan status yang sebenarnya pada minggu depan. Dalam masa yang sama, terasa sedikit tertekan. Bayangkan, kalau dua-dua sambung belajar, elaun yang diterima adalah SAMA jika seorang sambung belajar dan seorang lagi hanya ikut pasangan. Adil tak? Kalau tiada anak, boleh tahan lagi. Tapi, kalau ada anak, sudah tentu perlu uruskan hal penjagaan anak. Kos sudah menanti di situ. Kalau dua-dua pergi ke universiti menaiki bas, sudah tentu perlukan kos tambahan untuk pengangkutan. Kemudian, tidak galakkan kami untuk bekerja supaya tumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.

Kemudian, yang menanggung kepayahan, kami juga.

Kecewa. Tapi, aku percaya, rezeki Allah terbentang luas. Mungkin kepayahan ini, memberikan laluan yang mudah dalam perjalanan dunia yang kami tempuhi nanti. Insya Allah.

15-08-07

Beg Paip Berlagu & Tartan Kilt

Posted in kembara by fajr'

*Sambungan bagi entri sebelum ini*

Apabila memperkatakan tentang Scotland, pasti terlintas beberapa perkara yang begitu sinonim dengannya seperti beg paip dan tartan kilt. Ia merupakan satu keunikan yang cukup mencuit hati, apatah lagi melihatkan seorang lelaki memakai pakaian lengkap yang cukup segak dan digayakan dengan tartan kiltnya, sambil bermain beg paip. Dan pada minggu lepas, begitu banyak orang yang menggayakan pakaian ini berikutan berlangsungnya satu pesta yang agak menarik di sini iaitu Glasgow International Piping Festival. Selama satu minggu pelbagai acara diadakan yang melibatkan beg paip ini.

Setiap hari, pada tengahari, akan berlangsung acara muzik yang dimainkan secara live di George Square yang berada di tengah-tengah bandar Glasgow. Di samping itu, terdapat gerai yang mempamerkan peralatan yang digunakan untuk sebuah band piping dan juga perkara yang berkaitan dengannya. Sebenarnya, ia merupakan acara pemanas bagi menyambut acara kemuncak yang diadakan pada hari Ahad, iaitu pertandingan beg paip antarabangsa yang disertai oleh ramai pasukan dari serata dunia seperti Sweden, Holland, Rusia, Pakistan dan bermacam lagi, termasuklah pasukan dari Scotland sendiri. Suasana bagaikan pesta kerana muzik dari beg paip sering berkumandang dan kadangkala diiringi dengan gesekan biola.

Pada hari jumaat yang lepas, satu perarakan yang terdiri dari semua pasukan yang bertanding telah diadakan di George Square bagi menandakan bermulanya pertandingan beg paip yang diadakan pada hari Ahad. Semua pasukan bersatu menjadi satu kumpulan dan memainkan lagu yang sama sebagai pembuka acara. Kemudian, setiap pasukan akan mengadakan persembahan secara berkumpulan. Memandangkan begitu ramai orang berkumpul di sekeliling pagar di tempat persembahan, aku lebih banyak menghabiskan masa melihat mereka berlatih.

Aku agak tertarik melihat satu pasukan yang terdiri dari golongan lelaki dan perempuan, dari usia muda hinggalah ke usia emas. Ada juga pasukan yang menyerahkan drum major kepada kanak-kanak perempuan. Tapi, dia tampak hebat dan cool.

Dulu aku begitu skeptikal dengan muzik beg paip. Tetapi, semenjak berada di sini, aku terpaksa mengakui bahawa aku sudah mula jatuh cinta dengan muzik beg paip ini. Lebih-lebih lagi jika ia dimainkan secara berkumpulan. Pernah sekali, aku leka di tepi jalan melihat sekumpulan pemuda bermain beg paip, string dan drum. Muzik yang dialunkan secara kontemporari agak memikat.

Satu perkara yang begitu menarik perhatian aku adalah, pada kebiasaannya, apabila memainkan beg paip ini, mereka lengkap dengan set pakaian tradisi dan kebanggaan mereka iaitu sut yang lengkap dengan tartan kilt. Kilt ini mempunyai corak yang tersendiri yang menandakan clan atau kumpulan mereka. Walaupun warnanya kadangkala hampir sama, tetapi ia sebenarnya berbeza. Aku difahamkan, harganya bukanlah murah. Ada yang berharga RM10,000. Pakaian ini sudah menjadi satu trend yang agak hip kerana ramai selebriti Hollywood memakainya untuk acara rasmi seperti Sean Connery (rasanya dia memang Scottish pun). Dan jangan lupa, filem Mel Gibson Braveheart yang banyak memaparkan kilt tradisional. Terdapat banyak kedai yang menjual tartan kilt ini. Ada juga terpampang gambar Mel Gibson dan tartan kiltnya.

Seorang teman memberitahu pada aku bahawa mereka yang memakai kilt tidak memakai seluar dalam. Pada mulanya aku seakan tertanya-tanya, benarkah begitu. Maklum sajalah, kilt itu seakan skirt, dan cuaca di sini pula sejuk. Angin pula kadang-kadang kuat bertiup. Patutlah, ada suatu ketika seorang perempuan (barangkali pelancong asing), beria-ria cuba mengintai kilt seorang pemain beg paip jalanan. Gila!

Di sini, aku kongsikan beberapa gambar yang sempat diambil semasa acara beg paip ini berlangsung. Menurut berita BBC Scotland, pemenang utama kali ini adalah pemenang pada tahun lepas, iaitu pasukan dari Belfast. Oh ya, aku tidak mengikuti langsung acara kemuncak pesta ini kerana beberapa faktor. Pertama, cuaca tidak begitu mengizinkan dan yang paling utama, aku malas mengeluarkan duit untuk bayaran tiket masuk. Oh ya, satu-satunya kumpulan yang tidak memakai kilt adalah pasukan dari Pakistan.

13-08-07

Piping

Posted in bicara by fajr'

dsc_0208-wince.JPG
….