Archive for September, 2007

27-09-07

Pasar Ramadan Musim Luruh

Posted in kembara by fajr'

Cuaca semakin menjadi sejuk. Setiap kali keluar dari bangunan akademik ini, bisa membuatkan tangan kebas. Mungkin aku ini kurang lemak agaknya.

Kepala aku sudah pening sahaja. Laporan yang perlu dihantar kepada John minggu depan masih banyak kekurangan. Aku sendiri kurang pasti, adakah apa yang aku catatkan cukup lengkap? Adakah dapat memenuhi jangkaan John? Berdebar juga menantikan reaksi dia pada perjumpaan kami yang berikutnya pada minggu depan.

Dalam pening-pening begini, aku berkira-kira untuk ke pasar Ramadan di George Square pada petang nanti. Boleh juga aku membeli kebab istimewa yang dijual oleh lelaki Pakistan di situ. Atau barangkali, laksa penang istimewa oleh seorang kakak yang cukup menggiurkan. Selalunya, kalau ke pasar Ramadan, mesti terlebih beli dari apa yang sepatutnya. Cukup luar biasa. Apa lagi ye? Barangkali sebungkus air soya panas, kuih muih pencuci mulut dan juga sedikit yong tau fu untuk juadah moreh malam nanti. Oh, mana mungkin dapat melepaskan nikmat ikan bakar yang dicecah dengan air asam! Rasanya tidak perlu membeli lauk ayam - dah biasa sangat makan ayam.

Hmm, pasar Ramadan di George Square - terletak di tengah-tengah lokasi bandar Glasgow. Menarik bunyinya kan? Macam meriah saja. Bayangkan dengan gugusan orang ramai yang terdiri dari muslim dan bukan muslim bersesak-sesak di dalam kesejukan musim luruh untuk membeli makanan di situ.

Huh, bertuah sungguh kalau ada pasar Ramadan di sini. Baik aku hentikan imaginasi ini sebelum ianya melarat dengan lebih teruk dan mengarut!

26-09-07

Baju Buat Pengubat Rindu

Posted in memori by fajr'

Kata orang, tidak dapat berjumpa orangnya, dapat melihat bajunya sudah cukup untuk mengubat rasa rindu. Apabila rasa rindu itu sudah memuncak, segala benda yang dimiliki oleh orang yang kita rindui itu memadai untuk menjadi penawarnya. Benarkah begitu?

Masih aku ingat, suatu ketika dulu, abang aku pergi belayar ke laut untuk bekerja. Saban waktu, masanya terluang di atas kapal, siang dan malam sebagai salah seorang jurutera di situ. Hidupnya banyak dihabiskan di laut. Mujur juga kegemarannya adalah memancing, maka hobi itu dapat juga menggembirakan hatinya yang seringkali rindu pada keluarga.

Tidak dapat aku nafikan bahawa abang aku itu adalah salah seorang anak yang cukup disayangi mak. Pada waktu itu, aku hanyalah sekadar budak sekolah yang mentah. Belum begitu mengenal dan memahami rasa rindu seorang ibu kepada anaknya. Namun, aku masih dapat merasakannya kerana mak sering bercerita tentang abang aku yang seorang itu.

Satu hari Jumaat, aku bersiap-siap untuk pergi menunaikan solat Jumaat. Bapak sudah awal-awal lagi ke masjid. Mak pula sibuk di dapur. Setelah usai mandi, aku pergi ke dalam bilik untuk memakai baju. Bilik di rumah aku pada waktu itu dipenuhi dengan almari dan rak-rak baju yang dikongsi untuk satu keluarga. Ada rak tersusun baju-baju harian aku dan adik aku. Satu rak, pakaian mak dan bapak. Ada juga ruangan di rak itu menempatkan baju-baju dua orang abang aku. Di dalam bilik itu juga diletakkan satu almari kaca yang menyimpan pakaian-pakaian khas yang digunakan untuk hari-hari istimewa seperti hari raya, keluar bandar dan untuk berjalan jauh. Berdekatan dengan almari kaca itu, sebuah katil besi antik orang dulu-dulu. Terdapat satu penyidai baju yang meletakkan baju-baju yang tergantung, termasuklah baju-baju sekolah kami.

Seperti biasa, aku akan mencari baju yang bersesuaian untuk digunakan bersolat di masjid. Satu demi satu lipatan baju dan kain di dalam rak itu aku cari dengan cermat. Mak cukup marah kalau lipatan baju kusut dan tidak tersusun. Satu pesanan yang aku pegang untuk mengelakkan diri dimarahi atau dirotan. Malangnya, tidak ada satu pun yang mencuit hati aku. Selalunya, aku akan terus menyarung baju Melayu. Tetapi pada hari itu, aku terasa ingin memakai pakaian yang lebih segak.

Aku terus bergerak dengan penyidai baju besi yang menempatkan baju-baju yang lain. Tiba-tiba aku terpandang satu baju kemeja berwarna biru tua. Kainnya terasa begitu lembut. Hati aku berkata, inilah baju yang paling sesuai. Lantas, segera aku ambil dari penyidai dan terus disarung ke tubuh badan aku. Tidak terlalu kecil atau besar. Aku sendiri kurang pasti baju siapa yang aku pakai. Rasanya itu baju abang aku yang merantau di lautan. Satu rasa puas melekat ke dalam hati. Sekurang-kurangnya, datangnya aku ke masjid pada hari itu dengan pakaian yang bersih dan cantik.

Sebaik tamat solat Jumaat, aku terus pulang ke rumah. Aku segera ke bilik untuk menyalin pakaian. Tidak lama kemudian, mak turut masuk ke dalam bilik untuk menyalin pakaian. Rambutnya basah, tanda baru selesai mandi. Tiba-tiba muka mak seakan berubah tatkala melihat aku.

“La, kenapa pakai baju tu?”

Alamak, ada yang tak kena ke dengan baju ni, bisik hati aku.

“Kenapa mak?”

“Itu kan baju Abang Lukman sebelum dia pergi belayar hari tu. Hilanglah bau dia! Kenapa tak pakai baju lain? Kan ada banyak baju lain. Kenapa baju tu jugak yang dipakai”, balas mak. Jelas ada nada-nada kecewa. Kesal mengenang bau badan anak dia yang seorang hilang dan berganti dengan bau badan aku.

Sungguh, aku tidak tahu langsung yang mak simpan baju terakhir abang aku untuk dijadikan pengubat rindu. Aku sendiri tidak pasti berapa lama bau badan itu boleh melekat kepada baju yang dipakai. Aku juga agak kesal kerana memakainya. Kalau tidak, pasti akan aku biarkan baju itu terus tergantung agar dapat mengubati rasa rindu mak pada abang aku.

Sejak itu, aku turut berhati-hati ketika memilih pakaian. Aku sudah jarang untuk mengacau baju yang bukan milik aku.

Entah mengapa, tiba-tiba saja peristiwa itu kembali menerjah ruang fikiran. Pada waktu ini, pernah juga terdetik, adakah ada tergantung baju aku di penyadai besi di kampung sebagai pengubat rindu? Barangkali, mungkin sebahagian baju-baju lama aku masih tersimpan di dalam almari di bilik atas rumah.

Namun begitu, aku masih dapat merasakan betapa mak dan bapak terasa ‘kehilangan’. Biarpun tidak pernah bercerita tentang baju, dari nada suara yang penuh kesayuan begitu jelas menzahirkan betapa rasa rindu itu tidak pernah padam.

25-09-07

Ikrar

Posted in bicara by fajr'

Selesai usai menikmati sahur, diri tidak terus ke katil untuk menyambung tidur. Masa ada beberapa minit saja lagi sebelum Subuh masuk. Lalu, suis televisyen dipetik untuk mengelakkan diri dari mengantuk. Saluran 4 terpapar satu dokumentari. Satu yang isu yang agak menarik, berani dan cukup kontroversi.

Kalian tahu apa? Satu pengakuan seorang manusia yang berikrar untuk memurtadkan umat Islam seramai yang mungkin! Dan buat masa ini, dia telah berjaya memurtadkan ramai orang Islam. Ada visual yang menunjukkan bagaimana mereka ini dibawa ke gereja untuk dikristiankan. Apakah yang kalian rasa apabila melalui peristiwa sebegini? Marah? Geram?

Satu perang psikologi yang begitu mencabar dan menduga. Apakah perisai yang perlu disediakan jika kadang-kadang iman itu senipis kulit bawang?

Salah satu perkara yang tidak dapat dinafikan apabila berada di sini adalah tentang keberanian media di sini untuk mengutarakan pandangan, kritikan dan apa saja perkongsian. Selama ini, isu itu hanya bermain melalui kiriman emel yang sering memenuhi mailbox. Kali ini, menjadi tatapan di dalam televisyen. Sungguh berani.

22-09-07

Doa Buatnya

Posted in bicara by fajr'

Hati aku cukup tersentuh membaca berita tentang kematian kanak-kanak yang ditemui dalam keadaan yang begitu menyedihkan, iaitu adik Nurin Jazlin yang telah didera secara fizikal dan seksual. Hingga menjadikan fizikalnya itu lain dari apa yang dikenali oleh ibu ayahnya.

Sungguh, dapat aku merasakan betapa sedihnya hati mereka berdua. Tertahan air mata ini apabila membayangkan bagaimana kedua ibu bapa itu melihat mayat anak mereka. Wajah yang comel dan manja sudah berubah menjadi kepada sesuatu yang menyedihkan. Hati mana yang tidak merasa derita? Aku juga punya anak perempuan. Senyum tawa dan tangisnya adalah satu penawar yang cukup istimewa.

Patah tumbuh hilang berganti tidak akan sama rasanya. Ke manakah menghilang rasa perikemanusiaan? Adakah kita berada di zaman yang dipenuhi dengan manusia berhati binatang? Kejam.

Namun, itu adalah takdir dari-Nya. Rancangan yang penuh hikmah dan rahsia dari Yang Maha Mengetahui. Semoga roh si kecil itu dilimpahi rahmat oleh-Nya.

21-09-07

Dua Pasang Jeans Biru

Posted in bicara by fajr'

jeans.jpg

Percaya atau tidak, dalam koleksi simpanan baju aku, cuma terdapat sehelai seluar jeans. Satu-satunya jeans yang pernah aku beli, untuk pertama kalinya sewaktu belasan tahun. Masih aku ingat, seluar jeans jenama Puma itu aku beli di salah sebuah kedai di Melaka. Itupun kerana kawan aku bekerja di sana kerana aku begitu naif untuk membeli seluar jeans. Dan aku tidak punya alasan yang jelas kenapa aku tidak begitu gemar memakai jeans. Usah ditanya tentang jenis potongan jeans kepada aku, memang aku tidak arif langsung.

Seluar jeans yang satu itu aku tinggalkan di rumah mak. Seingat aku, kali terakhir aku memakainya adalah pada bulan Ramadan yang lepas iaitu semasa kami sekeluarga sibuk mengacau dodol. Bagi mengelakkan rasa panas dan kotor, aku gunakan jeans yang lusuh itu. Aku tidak pasti sekiranya mak ada mencucinya selepas itu atau terus digunakan sebagai lap kaki.

Kebanyakan seluar yang aku miliki adalah seluar slack dan juga seluar khakis yang berwarna coklat. Semua seluar slack aku ditempah kerana aku begitu selesa dengan potongan dan jahitan yang dihasilkan oleh kedai berkenaan. Rasanya sudah bertahun-tahun aku ke kedai itu, sejak ia beroperasi di sebuah plaza yang mempunyai nama yang sama dengan aku, kemudian ke Mahkota Parade hinggalah ke stesen bas utama lama di Melaka. Itulah gaya dan citarasa aku yang sebenarnya. Bukan mengharap ’smart’ tetapi selesa. Kadang-kadang teringin juga memakai seluar jeans, tapi mengenangkan harganya yang agak ‘boleh-tahan’, maka aku pendamkan hasrat itu.

Aku pernah terbaca di dalam satu artikel majalah yang mengatakan bahawa lelaki yang tidak mempunyai seluar jeans adalah seorang lelaki yang romantik. Aduhai, tidak dapat aku pastikan samada aku ini tergolong dalam kategori lelaki itu. Mungkin harus dirujuk kepada mereka yang begitu mengenali aku dengan rapat.

Sewaktu datang ke sini, aku hanya membawa 5 helai seluar. Maka, seluar itulah yang aku digunakan hingga terasa seakan lusuh. Dalam masa yang sama, cuaca yang sejuk di sini begitu mudah menembusi kain pada seluar itu. Ada ketikanya, aku mahu menyelimuti kaki ini dengan kain yang tebal.

Setelah sekian lama membeli dan memiliki seluar jeans tunggal yang lusuh, akhirnya semalam aku membeli dua pasang seluar jeans untuk kegunaan harian. Aku begitu cermat memilih agar seluar itu tidak terlalu ketat untuk dipakai atau ditanggalkan. Dalam masa yang sama, aku agak pening dengan variasi dan potongan yang tersedia. Maklumlah, orang yang tidak pernah beli seluar jeans, tiba-tiba datang membeli. Rasanya seperti sebelum ini aku diasingkan dari dunia yang lain. Cuma, yang aku tahu ada terdapat banyak jeans yang berjenama. Di sini, aku tidak begitu memandang kepada jenama. Mujur ada kedai baju yang menjual pakaian dengan harga yang sangat berpatutan.

Sepasang seluar jeans yang tidak berjenama glamor, hanya berharga 4 pound. Maka, setelah puas memilih dan mencuba, maka dua pasang jeans berwarna biru itu aku bayar di kaunter. Itupun bersaiz lebih besar dari pinggang aku yang sepatutnya. Mahu mencari saiz yang kurang dari 30, tidak terjumpa langsung. Bahkan itulah saiz yang paling kecil yang dijual oleh kedai berkenaan. Barangkali saiz pinggang aku kecil sangat.

Dan pada hari ini, aku mencuba imej yang baru. Cuba ingin menjadi ‘cool’ dan ‘hip’ dengan seluar jeans ini. Sekurang-kurangnya rasa sejuk di tempat ini dapat dikurangkan sedikit dengan memakai jeans biru ini. Walaupun kadangkala terasa janggal kerana seluar ini seringkali melurut dari paras keselesaan pinggang aku.

*Photo by: Hans Neleman, Corbis.