21-09-07

Dua Pasang Jeans Biru

Posted in bicara by fajr'

jeans.jpg

Percaya atau tidak, dalam koleksi simpanan baju aku, cuma terdapat sehelai seluar jeans. Satu-satunya jeans yang pernah aku beli, untuk pertama kalinya sewaktu belasan tahun. Masih aku ingat, seluar jeans jenama Puma itu aku beli di salah sebuah kedai di Melaka. Itupun kerana kawan aku bekerja di sana kerana aku begitu naif untuk membeli seluar jeans. Dan aku tidak punya alasan yang jelas kenapa aku tidak begitu gemar memakai jeans. Usah ditanya tentang jenis potongan jeans kepada aku, memang aku tidak arif langsung.

Seluar jeans yang satu itu aku tinggalkan di rumah mak. Seingat aku, kali terakhir aku memakainya adalah pada bulan Ramadan yang lepas iaitu semasa kami sekeluarga sibuk mengacau dodol. Bagi mengelakkan rasa panas dan kotor, aku gunakan jeans yang lusuh itu. Aku tidak pasti sekiranya mak ada mencucinya selepas itu atau terus digunakan sebagai lap kaki.

Kebanyakan seluar yang aku miliki adalah seluar slack dan juga seluar khakis yang berwarna coklat. Semua seluar slack aku ditempah kerana aku begitu selesa dengan potongan dan jahitan yang dihasilkan oleh kedai berkenaan. Rasanya sudah bertahun-tahun aku ke kedai itu, sejak ia beroperasi di sebuah plaza yang mempunyai nama yang sama dengan aku, kemudian ke Mahkota Parade hinggalah ke stesen bas utama lama di Melaka. Itulah gaya dan citarasa aku yang sebenarnya. Bukan mengharap ’smart’ tetapi selesa. Kadang-kadang teringin juga memakai seluar jeans, tapi mengenangkan harganya yang agak ‘boleh-tahan’, maka aku pendamkan hasrat itu.

Aku pernah terbaca di dalam satu artikel majalah yang mengatakan bahawa lelaki yang tidak mempunyai seluar jeans adalah seorang lelaki yang romantik. Aduhai, tidak dapat aku pastikan samada aku ini tergolong dalam kategori lelaki itu. Mungkin harus dirujuk kepada mereka yang begitu mengenali aku dengan rapat.

Sewaktu datang ke sini, aku hanya membawa 5 helai seluar. Maka, seluar itulah yang aku digunakan hingga terasa seakan lusuh. Dalam masa yang sama, cuaca yang sejuk di sini begitu mudah menembusi kain pada seluar itu. Ada ketikanya, aku mahu menyelimuti kaki ini dengan kain yang tebal.

Setelah sekian lama membeli dan memiliki seluar jeans tunggal yang lusuh, akhirnya semalam aku membeli dua pasang seluar jeans untuk kegunaan harian. Aku begitu cermat memilih agar seluar itu tidak terlalu ketat untuk dipakai atau ditanggalkan. Dalam masa yang sama, aku agak pening dengan variasi dan potongan yang tersedia. Maklumlah, orang yang tidak pernah beli seluar jeans, tiba-tiba datang membeli. Rasanya seperti sebelum ini aku diasingkan dari dunia yang lain. Cuma, yang aku tahu ada terdapat banyak jeans yang berjenama. Di sini, aku tidak begitu memandang kepada jenama. Mujur ada kedai baju yang menjual pakaian dengan harga yang sangat berpatutan.

Sepasang seluar jeans yang tidak berjenama glamor, hanya berharga 4 pound. Maka, setelah puas memilih dan mencuba, maka dua pasang jeans berwarna biru itu aku bayar di kaunter. Itupun bersaiz lebih besar dari pinggang aku yang sepatutnya. Mahu mencari saiz yang kurang dari 30, tidak terjumpa langsung. Bahkan itulah saiz yang paling kecil yang dijual oleh kedai berkenaan. Barangkali saiz pinggang aku kecil sangat.

Dan pada hari ini, aku mencuba imej yang baru. Cuba ingin menjadi ‘cool’ dan ‘hip’ dengan seluar jeans ini. Sekurang-kurangnya rasa sejuk di tempat ini dapat dikurangkan sedikit dengan memakai jeans biru ini. Walaupun kadangkala terasa janggal kerana seluar ini seringkali melurut dari paras keselesaan pinggang aku.

*Photo by: Hans Neleman, Corbis.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

5 comments

  1. yginsaf says:

    Kalau tuan muda teruna,
    Pakai seluar dengan gayanya,
    Kalau tuan bijak laksana,
    Biji diluar apa buahnya?

    21-09-07 at 7:43 am

  2. JIMI says:

    Fajar, terima kasih berkongsi perkara ni. Aku pun kurang gemar berseluar jeans. Jarang benar memakainya.Nampaknya, kita berdua ni bukan jenis ROMANTIK lah ya. :)

    21-09-07 at 4:46 pm

  3. Azhar Ahmad says:

    Huhuhu, dahulu, tiada jeans dalam kamus pakaian saya. Sehinggalah saya mengenali bundle… Kini, seluar slack ngan khakis pula saya jarang pakai. Memanjang je dengan jeans, walopon cuacanya panas… Huhuhu

    21-09-07 at 5:30 pm

  4. rudy says:

    Hahaha, fajar, ko memang romantik…. Aku mula belajar pakai seluar jeans masa di universiti disebabkan aku tak mampu nak beli dulu masa zaman sekolah menengah. Ko nak jeans murah? Aku rasa ko sesuai pakai straight-cut. Longgar dan tidak ketat. Kalau kau balik KB ko kena beli banyak2.Aku boleh tolong guide ko. Tapi, masalahnyam bilalah ko nak balik bercuti di Malaysia…. huhuhuhuhu

    24-09-07 at 8:20 am

  5. fajaril says:

    yginsaf: Alahai, nak kena jawap berpantun ke? Anyway, terima kasih sudi singgah ke sini.

    Jimi: Sbb takde jeans la, jadi lelaki romantik gitu. Katanya laa..

    Azhar: Kat sini la baru belajar nak guna jeans. Hehe

    Rudy: Ok gak, bole la ajar aku pattern dan fashion mana yg sesuai. ;)

    27-09-07 at 8:29 pm

Leave a comment