Baju Buat Pengubat Rindu
Kata orang, tidak dapat berjumpa orangnya, dapat melihat bajunya sudah cukup untuk mengubat rasa rindu. Apabila rasa rindu itu sudah memuncak, segala benda yang dimiliki oleh orang yang kita rindui itu memadai untuk menjadi penawarnya. Benarkah begitu?
Masih aku ingat, suatu ketika dulu, abang aku pergi belayar ke laut untuk bekerja. Saban waktu, masanya terluang di atas kapal, siang dan malam sebagai salah seorang jurutera di situ. Hidupnya banyak dihabiskan di laut. Mujur juga kegemarannya adalah memancing, maka hobi itu dapat juga menggembirakan hatinya yang seringkali rindu pada keluarga.
Tidak dapat aku nafikan bahawa abang aku itu adalah salah seorang anak yang cukup disayangi mak. Pada waktu itu, aku hanyalah sekadar budak sekolah yang mentah. Belum begitu mengenal dan memahami rasa rindu seorang ibu kepada anaknya. Namun, aku masih dapat merasakannya kerana mak sering bercerita tentang abang aku yang seorang itu.
Satu hari Jumaat, aku bersiap-siap untuk pergi menunaikan solat Jumaat. Bapak sudah awal-awal lagi ke masjid. Mak pula sibuk di dapur. Setelah usai mandi, aku pergi ke dalam bilik untuk memakai baju. Bilik di rumah aku pada waktu itu dipenuhi dengan almari dan rak-rak baju yang dikongsi untuk satu keluarga. Ada rak tersusun baju-baju harian aku dan adik aku. Satu rak, pakaian mak dan bapak. Ada juga ruangan di rak itu menempatkan baju-baju dua orang abang aku. Di dalam bilik itu juga diletakkan satu almari kaca yang menyimpan pakaian-pakaian khas yang digunakan untuk hari-hari istimewa seperti hari raya, keluar bandar dan untuk berjalan jauh. Berdekatan dengan almari kaca itu, sebuah katil besi antik orang dulu-dulu. Terdapat satu penyidai baju yang meletakkan baju-baju yang tergantung, termasuklah baju-baju sekolah kami.
Seperti biasa, aku akan mencari baju yang bersesuaian untuk digunakan bersolat di masjid. Satu demi satu lipatan baju dan kain di dalam rak itu aku cari dengan cermat. Mak cukup marah kalau lipatan baju kusut dan tidak tersusun. Satu pesanan yang aku pegang untuk mengelakkan diri dimarahi atau dirotan. Malangnya, tidak ada satu pun yang mencuit hati aku. Selalunya, aku akan terus menyarung baju Melayu. Tetapi pada hari itu, aku terasa ingin memakai pakaian yang lebih segak.
Aku terus bergerak dengan penyidai baju besi yang menempatkan baju-baju yang lain. Tiba-tiba aku terpandang satu baju kemeja berwarna biru tua. Kainnya terasa begitu lembut. Hati aku berkata, inilah baju yang paling sesuai. Lantas, segera aku ambil dari penyidai dan terus disarung ke tubuh badan aku. Tidak terlalu kecil atau besar. Aku sendiri kurang pasti baju siapa yang aku pakai. Rasanya itu baju abang aku yang merantau di lautan. Satu rasa puas melekat ke dalam hati. Sekurang-kurangnya, datangnya aku ke masjid pada hari itu dengan pakaian yang bersih dan cantik.
Sebaik tamat solat Jumaat, aku terus pulang ke rumah. Aku segera ke bilik untuk menyalin pakaian. Tidak lama kemudian, mak turut masuk ke dalam bilik untuk menyalin pakaian. Rambutnya basah, tanda baru selesai mandi. Tiba-tiba muka mak seakan berubah tatkala melihat aku.
“La, kenapa pakai baju tu?”
Alamak, ada yang tak kena ke dengan baju ni, bisik hati aku.
“Kenapa mak?”
“Itu kan baju Abang Lukman sebelum dia pergi belayar hari tu. Hilanglah bau dia! Kenapa tak pakai baju lain? Kan ada banyak baju lain. Kenapa baju tu jugak yang dipakai”, balas mak. Jelas ada nada-nada kecewa. Kesal mengenang bau badan anak dia yang seorang hilang dan berganti dengan bau badan aku.
Sungguh, aku tidak tahu langsung yang mak simpan baju terakhir abang aku untuk dijadikan pengubat rindu. Aku sendiri tidak pasti berapa lama bau badan itu boleh melekat kepada baju yang dipakai. Aku juga agak kesal kerana memakainya. Kalau tidak, pasti akan aku biarkan baju itu terus tergantung agar dapat mengubati rasa rindu mak pada abang aku.
Sejak itu, aku turut berhati-hati ketika memilih pakaian. Aku sudah jarang untuk mengacau baju yang bukan milik aku.
Entah mengapa, tiba-tiba saja peristiwa itu kembali menerjah ruang fikiran. Pada waktu ini, pernah juga terdetik, adakah ada tergantung baju aku di penyadai besi di kampung sebagai pengubat rindu? Barangkali, mungkin sebahagian baju-baju lama aku masih tersimpan di dalam almari di bilik atas rumah.
Namun begitu, aku masih dapat merasakan betapa mak dan bapak terasa ‘kehilangan’. Biarpun tidak pernah bercerita tentang baju, dari nada suara yang penuh kesayuan begitu jelas menzahirkan betapa rasa rindu itu tidak pernah padam.
chentahati says:
Rasa seperti mau menangis… sedih betul.. betullah..
Saya dulu simpan baju emak.. sekarang pulak? satu baju pun tak mau simpan lagi..tak mau rindu..ha haha
27-09-07 at 11:26 am
fajaril says:
ye ke chentahati? orang kedua beritahu kat saya tentang entri ini agak mengusik jiwa.
27-09-07 at 8:22 pm
Azhar Ahmad says:
Aduh, lagi lama disini, lagi ngeri untuk meninggalkan tanahair….
05-10-07 at 7:47 am