Archive for
September, 2007
19-09-07
Memandangkan ada yang bertanya, maka aku ingin berkongsi sedikit apakah cabaran yang sedang aku lakukan di sini. Mengikuti hidup sebagai post-grad di sini banyak membawa aku kepada perspektif yang lebih besar dan luas. Semakin kita cari, semakin banyak yang perlu difahami. Jika terlewat, kita akan dikategorikan sebagai orang yang lambat. Harus pantas dan sentiasa peka kepada apa yang berlaku di dalam dunia penyelidikan yang diikuti. Mujur ada teknologi maklumat yang bisa memudahkan kerja pencarian.
Baiklah, berbalik kepada revolusi yang ingin aku ceritakan. Aku cukup pasti, setiap orang yang berkemampuan memiliki TV, atau paling tidak pun, pernah menonton televisyen. Perkembangan TV tidaklah sepantas teknologi komputer, di mana kelajuan pemprosesnya sentiasa meningkat selang beberapa bulan. Bermula dari hitam putih, TV kemudian menjadi berwarna. (Ya, TV hitam putih banyak memberi kenangan kepada aku dan segenerasi barangkali). Seterusnya daripada analog kepada digital. Melalui era digital, banyak sekali perkongsian di antara komputer dan TV berlaku seperti pemain dvd, cd, playstation, TV satelit dan bermacam-macam lagi. Selepas itu, ramai yang sibuk dengan flat TV, lcd dan plasma. Sudah tentu, setiap teknologi mempunyai kelebihan yang tersendiri terutama dari segi kos dan kualiti. Dan kini, ramai yang begitu teruja dengan kehadiran teknologi yang baru, iaitu HDTV (high definition TV), yang memberikan kualiti piksel yang cukup tinggi dan cantik. Begitu juga dengan harganya.
Namun, tidak lama lagi, kita akan menerima satu lagi teknologi yang terbaru dan bakal membawa deria penglihatan manusia ke dimensi yang baru, iaitu 3D TV. Kali ini, TV itu bukan sekadar memaparkan dalam bentuk 2 dimensi, tetapi 3 dimensi - lebih realistik. Percaya atau tidak, satu hari nanti, cerita kegemaran anda akan keluar dari kaca TV anda. Dan yang lebih menarik, anda tidak perlukan sebarang cermin mata khas untuk melihat paparan 3D ini. Paparan pada TV akan berubah setiap kali anda bergerak dari posisi yang berbeza. Buat masa ini, terdapat beberapa model yang berkemampuan menayangkan imej 3 dimensi ini. Harganya pula sekitar £7500!

Walau bagaimanapun, apa yang menjadi cabaran kepada orang-orang seperti aku, adalah untuk memastikan teknik pengekodan video ini dapat dilakukan dengan sebaiknya. Sebelum ini, siapa pernah sangka yang kita mampu menonton klip video secara streaming di internet memandangkan saiz fail video adalah amat besar. Tetapi, hasil usaha ramai penyelidik, perkara itu menjadi nyata tanpa mengorbankan kualiti video yang ditayangkan.
Berdasarkan kepada perkembangan teknologi untuk beberapa tahun lagi, paparan tv bakal berubah menjadi seperti ini.

Ini adalah sekadar penerangan secara umum. Secara teknikalnya, ia penuh dengan algoritma, teknik, matematik, perkakasan dan bermacam lagi yang mungkin tidak menarik minat atau memeningkan. Dan aku bukanlah melakukan keseluruhan sistem 3DTV ini, kerana ia adalah merupakan satu subjek yang begitu besar. Namun, memperkecilkan skop yang sedia ada juga sudah memberi cabaran. Besar harapan aku agar satu hari nanti, aku dapat menyumbangkan idea yang cukup berguna kepada industri teknologi ini. Lagipun, itulah misi utama aku.
Bagaimana, ada yang berminat?
*Hmm, siapa pula sangka yang aku ini adalah lelaki yang terjebak dalam dunia engineering walaupun hakikatnya suka benda-benda seni dan ‘berjiwa-jiwaan’.
18-09-07
Aku memandang John.
John memandang aku.
Untuk seketika aku seperti sukar menyusun kata. Terlalu banyak perkara yang ingin dibincangkan, tetapi seakan keliru mencari kata-kata pembuka. Seminit berlalu, barulah aku membentangkan segala hasil kerja selama 2 minggu yang aku rasakan masih begitu sedikit. Rasa puas itu tidak muncul.
Sepanjang sesi pertemuan itu, banyak tugas lama (yang sepatutnya disempurnakan lagi) dan baru diberikan. Satu demi satu pintu dibuka. Satu pintu pula akan membuka berpuluh-puluh pintu yang lain. Dan aku perlu mencari satu pintu yang dapat merentangkan aku kepada jambatan yang lain. Terlalu banyak yang perlu diselesaikan.
Momentum aku seakan naik turun. Sama seperti cuaca di sini yang tidak menentu. Cabaran ini merupakan misi utama aku ke bumi Scotland. Adalah wajar untuk aku merasa tertekan dan risau yang bukan sedikit.
18-09-07
Bumi Glasgow menyambut kehadiran bulan Ramadan dengan guguran titis hujan. Sejak beberapa hari bermulanya puasa, tanah di sini seringkali basah dengan hujan yang turun. Suhu mengukir paras yang lebih sejuk. Dan rasa sejuk itu sudah mula mencengkam meskipun musim gugur baru sahaja bermula. Daun-daun di pohon sudah mula mewarnakan calitan kuning dan perang.
Hari ini, menurut ramalan cuaca di BBC, suhu berada pada 14 darjah celcius. Dan malam nanti dijangka berada pada 2 darjah celcius! Berada di dalam rumah saja sudah terasa begitu sejuk. Kami terpaksa memakai baju yang berlapis-lapis. Ada ketikanya aku memakai jaket yang sering digunakan di luar rumah untuk mengumpul haba. Mengharap rasa sejuk itu cepat pergi.
Puasa yang jatuh pada musim ini, tidak memberi banyak beza dari segi waktu bersahur dan berbuka seperti di Malaysia. Pada hari pertama berpuasa, kami berbuka pada jam 7.47 petang. Manakala waktu imsak berakhir pada jam 4.34 pagi. Namun, masa berbuka bertukar menjadi lebih cepat pada setiap hari, iaitu awal 2 hingga 3 minit. Di hujung Ramadan, Insya Allah, kami akan berbuka pada jam 6.30 petang. Mujur juga pengalaman pertama puasa kami di sini tidak jatuh pada musim panas, yang mana waktu siangnya lebih panjang daripada malam.
Apa yang membezakan suasana berpuasa di sini adalah keadaannya yang sejuk. Mungkin mengurangkan sedikit rasa haus. Cuma, rasa sejuk itu sering membuatkan perut terasa lapar kerana memerlukan tenaga dan haba. Ketika orang di Malaysia sudah mula dibuai mimpi indah, kami baru saja memulakan iftar. Syukur, buah kurma masih mudah diperolehi di negara orang lantaran ramai orang Arab dan Timur Tengah menghuni di sini. Rasa kejauhan sedikit terubat.
Rutin harian masih berlalu seperti biasa. Tidur terasa semakin pendek kerana bangun awal untuk bersahur dan kemudian bersiap sedia untuk solat Subuh dan keluar untuk bekerja. Sepi pagi ditambah dengan rasa sejuk mengusik satu rasa yang sukar untuk diterjemahkan.
Tiada sebarang poster atau iklan jualan murah sempena menjelang Ramadan atau Hari Raya seperti di sana. Iklan di tv masih berputar dengan bermacam produk yang saban hari dipertontonkan. Tiada juga pasar Ramadan yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka. Mungkin di situ terasa sedikit kelainan berpuasa di negara orang.
Ramai kawan-kawan di sini mengambil kesempatan untuk berbuka di masjid. Aku dikhabarkan tentang masakan yang hebat dan sedap. Namun, aku masih belum mempunyai peluang untuk ke sana. Buat masa ini, aku lebih selesa untuk berbuka di rumah, ditemani anak dan isteri. Kasihan pula kalau isteri aku hanya berbuka berseorangan di rumah dan ditemani Najla yang suka bermain dengan makanannya.
Mujur juga, aku masih begitu berselera untuk berbuka. Masakan isteri tidak pernah membuatkan aku rasa jauh dengan tanahair. Kiriman ikan kering yang baru sampai beberapa hari sebelum berpuasa menambahkan perisa pada makanan. Daging bakar yang menjadi rebutan sewaktu pulang ke kampung di Kelantan masih dapat dirasa dan dicicah dengan air asam. Begitu juga dengan masakan lain seperti ayam percik. Mungkin kami sedikit rindu untuk menikmati makanan lain seperti yong tau fu, laksa, murtabak dan sewaktu dengannya. Dan sudah tentu, ikan bakar yang mengamit aroma sewaktu singgah di Pasar Ramadan. Tidak dilupa, telur ikan yang sungguh sedap dimasak asam pedas.
Berpuasa di perantauan tidak pernah membuatkan kami rasa terpinggir dalam menyambut Ramadan. Detik yang dilalui ini memberikan satu pengalaman yang baru dan sudah tentu rasa rindu itu tetap menusuk di sanubari. Cuma, sesekali terkenang pada waktu ini, bagaimanakah agaknya keluarga menyambut bulan puasa tanpa kami berada di samping mereka. Pernah, rasa rindu itu bertaut dan dibawa ke dalam mimpi.
13-09-07

Kusambut hadirmu aduhai Ramadan,
dengan tangan dan hati terbuka,
Datangmu ini,
merungkai segala rindu
yang merangkai kalbu,
Sahutlah salam yang merisik syahdu,
yang selalu berbisik pada malammu,
Mengintai pada tabirmu,
mengharap bertemu cahaya jiwamu.
[+]
Alhamdulillah. Syukur kita pada Tuhan. Dengan limpah dan kasih-Nya kita dipertemukan lagi dengan bulan yang penuh keredhaan dan kaya dengan rahmat. Semoga kali ini ianya akan lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya.
*Photo by: Arthur Morris, Corbis
12-09-07
Tanpa disedari, Ramadan menyapa lagi. Terasa begitu cepat masa membawa aku pergi. Seakan baru saja merasai hari raya. Ternyata, kesibukan telah memendekkan masa yang ada.
Tidak dapat aku terjemahkan perasaan ini. Segalanya bercampur baur. Tahun lepas, aku pernah mencoretkan sesuatu tentang kisah puasa di Malaysia. Aku bercerita tentang banyak perkara yang bakal aku rindui, seperti pasar Ramadan, kuih muih, laksa dan bermacam lagi. Sudah tentu, rindu untuk berbuka bersama keluarga tersayang.
Segala jangkaan itu, mungkin bakal menjadi nyata. Rasa-rasa rindu sudah mula melekat. Rasa-rasa rindu sudah mula mengetuk pintu hati. Rasa-rasa rindu sudah mula bertanya, sudah bersedia merasa suasana puasa di negara orang?
Ramadan kali ini pasti menyimpul satu rasa yang berbeza. Satu rasa yang tidak pernah aku jangka.
Namun, hadirnya bulan mulia ini pasti akan aku sambut dengan tangan yang terbuka. Saat ini, segala rasa rahmat melimpah ruah. Pastinya tidak akan aku lepaskan, walaupun aku tercampak jauh ke hujung bumi.
Salam Ramadan buat semua.