Archive for September, 2007

11-09-07

Mengharap Teguh

Posted in rasa by fajaril

Setiap kali menzahirkan apa yang kami lalui di sini, bukanlah bermakna aku ingin menagih simpati. Tapi, sekadar berkongsi cerita dan meluahkan apa yang aku rasa. Mahu mencari rakan yang mungkin boleh mencari jalan keluar. Dalam masa yang sama, cukup sekadar doa dari kalian agar kami baik-baik di sini, dipermudahkan dalam segala urusan.

Syukur Alhamdulillah, berkat doa dari keluarga, sahabat dan juga kenalan, sedikit sebanyak dapat melapangkan apa yang menyempitkan di sini. Walau jauh, namun terasa begitu dekat sekali.

Meskipun berita gembira sudah bertebaran ke sana sini, namun mengharap ianya berubah secara drastik adalah tidak semudah itu. Mungkin sebulan dua lagi. Maka, buat masa ini, kami masih begitu ketat mengawal kewangan. Minggu ini kami terpaksa memberhentikan sesi nurseri Najla kerana kami tidak mampu membayar yuran untuk sesi pada minggu-minggu yang berikutnya. Sehinggalah kewangan kami kembali stabil. Tidak dinafikan, dalam masa yang sama terasa begitu sayang dan sedih kerana Najla hanya dapat mengikuti nurseri untuk sebulan lebih sahaja. Tetapi, perubahan yang dialaminya adalah amat besar. Bahkan dia sudah begitu banyak mengucapkan butir bicara dalam bahasa di sini.

Di sini, kami banyak belajar untuk berkorban. Bukan semata-mata kami berdua sahaja, tetapi Najla juga. Berkorban dari segi masa, tenaga dan juga wang. Untuk berkorban, sesungguhnya ia cukup menuntut ketabahan hati ini. Semoga ia teguh sentiasa.

07-09-07

Syukur Pada-Mu

Posted in rasa by fajaril

Semalam aku benar-benar mengharap keajaiban. Hari ini, satu berita singgah memberi satu harapan penuh bercahaya. Tidak disangka sama sekali. Namun begitulah rancangan dari-Nya. Terselit hikmah atas segala apa yang berlaku.

Kenaikan Kadar Biasiswa

Kerajaan sedar bahawa kos sara hidup pelajar telah meningkat. Oleh yang demikian, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa. Peningkatan elaun tersebut adalah di antara 23 peratus sehingga 84 peratus. Kadar baru ini berkuatkuasa mulai semester pertama sesi 2007. Lebih 90,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada kenaikan ini.

Pada masa ini, Kerajaan menaja seramai 17,000 ribu pelajar di universiti luar negeri. Kerajaan telah pun meningkatkan elaun sara hidup di Australia, New Zealand, Mesir dan Korea Selatan pada tahun 2006.

Kini, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007.

Belanjawan 2008.
Sumber: Utusan Malaysia.

Syukur pada-Mu Tuhan. Syukur Alhamdulillah.

Sungguh, aku hampir menangis gembira.
Syukur. Alhamdulillah.
Indahnya nikmat dari-Mu ini.

Setidak-tidaknya, satu perkara telah dipermudahkan.

“Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.â€

06-09-07

Memujuk Jiwa

Posted in rasa by fajaril

Malam itu aku duduk termenung. Fikiran begitu ligat mencari seribu kemungkinan untuk mendapatkan penyelesaian bagi pelbagai masalah yang kami hadapi. Lebih-lebih lagi kedudukan kewangan kami yang cukup meruncing. Si manis Najla sudah lena dibuai mimpi. Berbaring di atas sofa di sebelah aku. Mungkin kerana kepenatan berada di nurseri petang tadi. Wajahnya tenang dan menyejukkan pandangan.

Isteri aku datang menghampiri. Seolah-olah faham apa yang terisi di kotak fikiran aku. Tiba-tiba dia bersuara memecahkan kesunyian malam.

“Kalau susah sangat bang, kita gadaikan rantai emas saya tu”.

Terkejut aku mendengar kata-katanya. Adakah hidup kami sangat terdesak dan begitu sukar hingga terpaksa bergadai? Tiba-tiba hati aku menjadi sebak.

“Jangan. Berapa sangatlah kalau ditukar dengan nilai duit di sini. Insya Allah, pasti ada jalan lain”.

Walaupun hakikatnya, pada waktu itu aku tidak punya sebarang jawapan yang pasti. Aku sekadar berharap agar muncul satu keajaiban buat kami untuk merungkai kekusutan ini.

[+]

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

“(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Surah Al-Insyirah, Ayat 4-5.

05-09-07

Dugaan

Posted in rasa by fajaril

Kenapa harus ada manusia yang keji sifatnya?
Kenapa ada juga manusia yang di muka bumi ini tidak mengerti mana baik dan buruk?
Kenapa ada manusia yang tidak dapat menerima hakikat takdir dan jodoh yang tertulis?
Kenapa ada manusia yang begitu dengki?
Kenapa ada manusia sanggup menggunakan ilmu hitam kerana tidak bisa memiliki apa yang dihajati?

Selama ini, aku cukup sedar akan wujudnya perkara sebegini di dunia moden. Sejak kecil lagi aku telah didedahkan dengan perkara-perkara ghaib yang sudah tentu segala rahsia diketahui oleh-Nya. Aku sering bertanya, kenapa dan mengapa manusia harus melakukan perkara yang dilarang oleh Allah? Kenapa ada manusia yang begitu dengki dan hina sifatnya?

Hari ini aku jadi terkedu. Sedih dan sebak apabila mengetahui sesuatu yang menimpa isteri aku. Hanya kerana orang itu tidak dapat menerima hakikat bahawa dia tidak dapat memiliki dan menawan isteri aku, maka dia cuba mengenakan dengan cara halus. Rupanya perkara ini sudah lama dilakukan sejak kami belum berkahwin lagi. Tidak puas dengan merosakkan nama isteri aku di laman lucah, kini dia cuba menghancurkan mahligai kami berdua.

Terimalah hakikat dan takdir Tuhan!

Aku mohon agar kau sedar dan insaf sebelum terlewat.

Doakan kami agar terus diberi kekuatan, kecekalan dan keimanan dalam menempuh dugaan ini. Sungguh, ini adalah satu perkara di luar jangkaan kami.

04-09-07

Melangkah Ke Puncak

Posted in kembara by fajaril

Segala apa yang pernah aku lihat di dalam filem dan gambar kini terbentang di depan mata. Menyaksikan sendiri kebesaran Tuhan dengan keindahan alam membuatkan diri ini terasa begitu kerdil sekali. Sungguh, aku jadi terkesima.

Minggu lepas, aku mengikuti aktiviti musim panas yang dianjurkan oleh jabatan yang diketuai oleh supervisor akademik aku. Sebagai salah satu cara untuk menambat hatinya, maka aku turut serta mengikuti aktiviti tersebut, iaitu mendaki satu tempat yang dikenali sebagai The Cobbler Walk, yang terletak di Arrochar. Tempat ini sememangnya begitu terkenal di kalangan pendaki Scottish yang ingin menjalankan latihan pendakian. Arrochar ini mempunyai beberapa puncak seperti Cobbler atau dikenali sebagai Ben Arthur, setinggi 881 meter dan juga Beinn Narnain setinggi 926 meter. Puncak Arrochar ini pula dikelilingi dengan tasik yang begitu indah, iaitu Loch Long. Tasik ini sering menjadi tumpuan kepada para pemancing.

Sebaik sahaja tamat bekerja mencuci lantai, aku terus bergegas ke tempat berkumpul yang telah ditetapkan di hadapan bangunan Royal College Building. Rasa penat bekerja masih belum hilang, tapi aku sudah memulakan larian dalam kesibukan orang ke sana sini untuk memulakan hari baru. Mujur aku tidak terlewat, meskipun di dalam beg penuh dengan peralatan kamera, termasuklah tripod dan juga sandwich sebagai pengalas perut.

Perjalanan ke Arrochar mengambil masa lebih kurang 45 minit. Satu perkara yang pasti, ianya bukanlah satu perjalanan yang membosankan kerana keindahan Scotland terbentang di depan mata. Dengan kehijauan alam yang begitu mempesonakan sudah melalaikan aku untuk seketika hingga terlupa untuk mengambil gambar.

Tiba di Arrochar, aku sudah mula tertarik dengan keindahan alam yang terbentang. Hijau dan sayup mata memandang bagai menjanjikan seribu kedamaian. Nampaknya sudah ramai yang menanti di situ untuk memulakan perjalanan. Tanpa melengahkan masa, kami terus memulakan perjalanan menuju ke puncak Ben Arthur. Menurut peta yang aku rujuki, terdapat banyak laluan yang boleh digunakan untuk ke puncak, samada melalui jalan yang mudah, tetapi lewat tiba atau jalan yang sedikit sukar tapi cukup cepat untuk ke puncak. Buat sementara waktu, aku memilih jalan yang mudah.

Di awal perjalanan, nampaknya tidaklah begitu sukar. Segalanya nampak begitu menyeronokkan. Cuma pendakian di sini tidaklah seperti di Malaysia kerana tidak begitu banyak pokok-pokok besar melitupi kawasan yang kami daki. Kebanyakannya dilitupi dengan rumput-rumput dan bunga-bunga liar yang berwarna warni. Menoleh ke belakang, maka tasik Loch Long menyeluruhi pandangan.

Semakin lama, pendakian ke puncak menguji kekuatan fizikal dan mental. Setelah separuh perjalanan, aku sudah mula menghentikan kegiatan mengambil gambar kerana penat dan lebih menumpukan terhadap laluan yang semakin berbatu. Jaket tebal yang aku simpan di dalam beg nampaknya sudah terpaksa membaluti tubuh badan kerana keadaan semakin sejuk. Tambahan pula angin sering menyapa dan menyambut kehadiran kami di situ.

Namun, sebaik mata memandang ke atas, aku sudah terpegun dengan ciptaan Tuhan. Keadaan yang dipenuhi dengan rumput kuning seakan mengingatkan aku kepada suasana Middle Earth LOTR kerana keadaannya yang berbatu dan seperti dataran yang luas. Aku terasa dibawa ke alam mimpi. Seakan apa yang aku saksikan bagaikan satu keindahan yang hanya wujud dalam lukisan atau mimpi. Garis-garis warna melakari setiap inci bumi di sini. Indahnya! Subhanallah. Buat seketika, rasa penat menghakis sedikit demi sedikit.

Walau bagaimanapun, rasa itu begitu teruji apabila melihat puncak yang sudah berada di depan mata. Puncak yang tinggi dan dipenuhi dengan batu bagaikan mencabar diri yang sudah keletihan. Aku cuba mengikuti mereka yang cuba mengambil jalan pintas. Apakan daya, sebaik beberapa ratus langkah, aku sudah begitu penat. Kaki aku sudah mula sakit.

Pandangan aku sudah mula kabur. Mungkin kerana tekanan udara yang semakin berkurangan membuatkan aku cepat letih, pening dan lapar. Mujur juga sandwich yang dibekalkan oleh isteri aku menjadi penambah tenaga. Aku tidak ingin pulang tanpa ke puncak! Maka, aku turun semula dan mengikuti jalan yang lebih mudah, walaupun jauh.

Keadaan yang seakan hamparan di situ adalah begitu lapang dan membolehkan angin sejuk bertiup kuat. Tiada himpunan pohon-pohon besar yang melindungi, melainkan batu-batu yang bersaiz besar. Tangan aku menjadi kebas. Badan aku terhoyong hayang untuk melangkah ke depan kerana ditiup angin. Topi yang aku pakai sudah beberapa kali tercampak ke tanah. Apatah lagi, angin yang datang tidak reda-reda.

Sejurus kemudian, seorang kenalan yang turut sama-sama mendaki berjalan dari arah yang bertentangan.

“Where are you from?”
“I’ve done. I just walk down from the top. And I’m going back”

Aduh, bunyinya seakan lagak. Sememangnya dia sudah biasa dengan aktiviti mendaki di Pakistan, maka perkara sebegini adalah tidak begitu asing buat dirinya. Dan ini bukanlah juga kali pertama aku mendaki. Sebelum ini, aku begitu kerap mendaki Bukit Larut di Taiping sewaktu zaman persekolahan. Yang membezakannya adalah, mendaki di Bukit Larut dilitupi oleh pokok-pokok yang merimbun. Di Arrochar ini, tiada pohon besar dan terpaksa mengharungi rasa sejuk dan deruan angin sekaligus!

Setelah beberapa lama aku bertemu dengan tangga batu menuju ke puncak Ben Arthur. Di sebelah kanan, puncak yang lebih tinggi iaitu Beinn Narnain. Selangkah demi selangkah aku aturkan kaki. Terasa aku seakan berperang dengan diri aku sendiri. Bagaikan puncak itu adalah satu destinasi yang harus aku jejaki biarpun rasa penat, sejuk dan pening sudah menerjah. Sama seperti dengan hidup yang aku lalui sekarang, penuh dugaan. Namun perjuangan harus diteruskan dan aku tidak boleh mengalah.

Akhirnya, puncak yang aku lihat dari jauh sudah berada di depan mata. Tapi aku ingin berada ke puncak yang paling tinggi. Aku terus mendaki perlahan biarpun digesa oleh angin untuk berhenti berehat. Sebaik saja tiba di atas, aku diterpa rasa takjub. Keindahan yang dihamparkan membuatkan aku rasa kerdil dan begitu kecil. Rasa penat dan lelah hilang lalu berganti dengan kepuasan. Akhirnya, puncak ini dapat juga aku takluki.

Aku mengambil masa untuk menikmati saat ini. Melayari keindahan yang bagaikan mimpi. Biarpun angin menderu-deru mengasak aku untuk segera turun. Aku terpaksa meniarap untuk mengambil gambar. Sungguh, rasa berdebar itu tetap ada kerana takut juga kalau-kalau aku diterbangkan angin!

Usai sudah menikmati suasana di puncak, aku mula bergerak untuk turun semula. Biarpun kaki sudah terasa sakit, aku tetapkan meneruskan perjalanan. Melihatkan lorong yang aku lalui sebelum itu begitu kecil dari pandangan mata seolah menzahirkan betapa jauhnya perjalanan ini untuk ke puncak. Apatah lagi apabila berseorangan. Teman-teman lain sudah jauh meninggalkan aku.

Di pertengahan jalan, rupa-rupanya aku dinanti oleh supervisor aku yang begitu prihatin melihat keadaan aku yang kesejukan di puncak. Mungkin dia takut aku tidak dapat turun atau hilang. Maklum sajalah, masing-masing berjalan mengikut rentak sendiri. Terasa begitu bertuah memiliki seorang supervisor yang baik hati sebegini. Biarpun dilanda kepayahan dan kesukaran, bertemu dengan seseorang yang begitu mengambil berat bagaikan satu motivasi kepada diri sendiri.

Perjalanan pulang dari puncak tidaklah sebegitu sukar. Tambahan pula, badan aku seolah-olah ditiup angin pada arah yang sama. Patutlah ketika naik ke puncak tadi seakan begitu payah, menentang arah angin rupanya. Hadirnya angin di situ bukanlah satu perkara yang tidak diingini kerana angin itulah yang membawa awan gelap berarak dari puncak Arrochar.

Selepas aku berada di separuh perjalanan pulang, langit biru sudah mula kelihatan. Cahaya mentari sudah melimpah di dataran sekitar Ben Arthur dan Beinn Narnain.

Dan aku pulang bersama satu kenangan yang cukup istimewa biarpun rasa penat itu masih terasa untuk beberapa hari.

*Untuk melihat gambar dalam saiz yang besar - di sini.