Archive for
October, 2007
31-10-07
Pernahkah kalian merasakan bahawa kalian perlukan setidak-tidaknya satu jam lagi? Di sini, kalian bisa melaksanakannya.
Musim panas dikatakan sudah pun berakhir secara rasminya. Oleh yang demikian, berlakulah satu proses yang tidak pernah aku alami sebelum ini. Barangkali tidak pernah aku ketahui pun, iaitu melewatkan masa sebanyak 1 jam. Ya, lewatkan waktu sejam. Dari pukul 12 malam, dilewatkan kepada pukul 11. Pelik bukan?
Tapi ada juga rasional di sebalik melewatkan masa dalam sejam kerana pada permulaan musim sejuk saja waktu siang sudah dikatakan agak pendek. Jam 5 petang sudah pun seperti senjakala!
Maka, pada minggu terakhir bulan Oktober, orang-orang di sini melewatkan satu jam pada waktu mereka. Begitu juga dengan aku. Tetapi, untuk jam di dalam komputer atau telefon bimbit, waktu itu telah pun dilewatkan secara automatik. Walau bagaimanapun, masa ini akan dipercepatkan 1 jam semula pada bulan Mac bagi menandakan bermulanya musim panas di sini.
Agak menarik juga terhadap perubahan masa ini. Sesuatu yang agak baru kepada aku. Dalam masa yang sama sedikit mengelirukan. Namun, mudah saja untuk mengadaptasikan cara hidup orang-orang di sini. Lagipun, sekejap saja langit sudah bertukar menjadi gelap. Mujur saja bilik aku sekarang tidak berada di tepi tingkap. Jika tidak, mungkin saja hati memberontak mahu segera pulang. Jam 5 petang, keadaan sudah begitu gelap.
Semalam, aku sudah terkeliru dengan masa. Nampaknya aku harus siaga terhadap masa di sini. Terutamanya untuk mempercepatkan solat agar tidak ketinggalan. Entah bagaimana, aku boleh terleka untuk menunaikan solat Zohor. Maka, pada jam 2 lebih, aku ke surau universiti bagi menunaikan solat. Pada waktu itu, solat berjemaah sudah pun tamat. Lalu aku pun bersolat sendirian. Selepas itu, aku masuk kembali ke perut bangunan yang berdinding.
Jam 4 petang, suasana sudah pun gelap. Hati aku tertanya-tanya. Aku masih belum solat Asar lagi. Lalu, aku bersegera melihat kembali jadual solat. Ternyata, aku yang tersilap sendiri. Sepatutnya, tadi aku menunaikan solat Asar, bukannya Zohor!
Nampaknya terpaksa aku menqada’kan solat atas kecuaian aku sendiri. Maklum sajalah, baru mengenal dan berada di tempat yang mempunyai 4 musim serta jadual waktu solat yang berubah secara drastik.
30-10-07

Kata Ziryab di dalam Manikam Kalbu, ’sains itu hanyalah proses sedang seni itu hasilnya’. Mendalam sungguh maksudnya.
Begitulah juga pada setiap hasil seni karya Faisal Tehrani yang boleh dikatakan cukup luar biasa dan juga kadangkala menjentik emosi. Nama Faisal Tehrani sudah tidak perlu lagi diperkenalkan. Terutamanya kepada peminat seni penulisan kreatif di Malaysia. Kesungguhan dan cintanya terhadap dunia penulisan begitu menambat hati. Maka, tidak hairan sekali apabila dia diibaratkan seperti Siti Nurhaliza di dalam bidang penulisan kerana selalu saja memenangi anugerah. Karyanya menambat dan begitu mencuit hati, juga sarat dengan mesej.
Kali pertama mula membaca tulisan darinya adalah melalui ruangan kisah bersiri Dongeng Kingdom of Flowers yang diterbitkan di dalam majalah Al-Wasilah. Itulah tulisan yang menjadi ‘cinta pertama’ lalu membuatkan diri ini terus setia dan melekat kepada setiap penulisan dari saudara Faisal Tehrani. Kisah dongeng yang dituliskan benar-benar membuatkan diri ini tersenyum dan ketawa dengan coretannya. Selepas itu, gandingannya bersama Saharil melalui Lagi Cerpen Cerpen Underground menjadikan kedua-dua mereka antara penulis Melayu yang diminati secara peribadi.
Rasanya ramai yang telah membaca karya beliau seperti 1515, 1511H, Advencer Peniup Ney, Tunggu Teduh Dulu dan sebagainya. Beliau sudah pun meletakkan dirinya sebagai penulis yang agak menonjol serta memiliki peminat yang tersendiri. Terbaru, buku Manikam Kalbu dan Bedar Sukma Bisu yang boleh dibeli secara online di Ujanailmu. (Usah ragu-ragu membuat pembelian melalui Ujanailmu kerana buku yang dipesan akan dihantar dengan sebaiknya. Apatah lagi, setiap buku akan dibungkus dengan plastik).
Sebaik sahaja pesanan buku dari Ujanailmu tiba ke rumah pada minggu lepas, diri ini jadi keliru untuk memilih. Mana satu yang harus dibaca? Dalam banyak-banyak buku yang ada, nampaknya buku Manikam Kalbu menjadi pilihan pertama kerana ternyata ilustrasi seekor kucing yang gemuk sedang menjahit oleh Sinaganaga begitu menarik perhatian. Rasanya, sejak mula-mula diperlihatkan muka depan buku ini di laman web Faisal Tehrani, Manikam Kalbu sudah pun memikat. Ingat penerbit, muka depan buku adalah antara faktor yang penting untuk menarik pembaca selain dari isinya. Rata-rata buku yang dijual di UK mempunyai muka depan yang sangat menarik.
Berbalik kepada karya Manikam Kalbu. Bab 1 saja sudah menambat hati pembaca. Lalu, menjadi kita terus-terusan untuk menamatkan cerita. Ternyata, sejak beberapa lama mengikut penulisan Faisal, kita akan dapati bahawa dia seorang penulis yang rajin membuat kajian terhadap apa yang ditulisnya. Dalam masa kita membaca dan cuba menerima mesej yang disampaikan, pelbagai ilmu dapat diserap bersama. Sebagai contoh, dalam Manikam Kalbu ini saja, ada ilmu tentang kain, fesyen, seni jahitan, aurat dan adat yang disampaikan. Hinggakan dahi ini jadi berkerut apabila mengetahui nama kain-kain yang tidak pernah didengar langsung. Bukan itu saja, cara untuk menjaga kucing juga turut diselitkan. Rasanya, banyak benda yang boleh dipelajari melalui buku ini.
Sebelum ini, Faisal telah membawa pembaca tentang dunia tanaman melalui karyanya Kerana Manisnya Epal dan Tunggu Teduh Dulu. Bahkan, setiap karya yang dihasilkan mempunyai mesej dan ilmu untuk dikongsikan. Yang peliknya, diri ini jadi teringin mahukan epal selepas membaca cerpen Kerana Manisnya Epal. Juga mahukan buah betik yang sedap ketika membaca Tunggu Teduh Dulu. Begitu sekali penangan karya darinya. Membaca Manikam Kalbu, seakan mendorong untuk memiliki kucing di dalam rumah pula rasanya.
Nampaknya Manikam Kalbu turut sama membuat diri ini tersenyum dan ketawa seorang diri. Banyak betul kisah yang cukup mencuit hati. Sewaktu membaca kisah Tun Matin dikejar pengawal istana, diri ini menahan dari tergelak besar. Maklum sajalah, membaca bacaan selain dari buku akademik di dalam makmal. Itu pun untuk menghilangkan rasa kantuk yang begitu memuncak. Begitu juga gaya manja kucing sakti yang bijak bercerita. Namun begitu, mesej yang turut diketengahkan adalah amat besar. Wajar sekali buku ini dimiliki oleh pereka dan peminat dunia fesyen. Tidak lupa juga kepada yang meminati kucing.
Apabila membaca Manikam Kalbu, gambaran tentang dunia yang diceritakan begitu jelas. Suasana dua dunia yang dibentangkan seakan terpapar di seluruh benak kepala lalu menjadikan kisah ini seakan-akan benar. Tambahan pula, plot cerita yang tidak membosankan dan agak unik. Berselang seli antara dunia moden dan tradisional, disinambungkan oleh si kucing Madura. Meskipun berada di dalam keadaan sibuk dan tertekan dengan dunia akademik di sini, ternyata Manikam Kalbu dapat mengendurkan ketegangan dan kesakitan di dalam kepala. Bahkan diri jadi terhibur.
Terngiang-ngiang pula suara si kucing Madura di dalam Manikam Kalbu. Miau miau. Manja sekali.
Nampaknya Manikam Kalbu begitu menikam kalbu ini!
[+]
Imej muka depan Manikam Kalbu merupakan hasil seni oleh Sinaganaga. Oh ya, melihatkan koleksi kreatif Sinaganaga begitu mengujakan. Rasanya seperti mahu menulis buku sendiri dan meminta dia menghasilkan kulit bukunya.
[-]
Tiba-tiba Kak Elaira mengingatkan pula tentang cerpen Faisal di dalam Kekasih Sam Bo Po, iaitu Kucing Gemuk Di Masjid Biru. Adakah kucing ini kucing yang sama?
29-10-07
Ketika kali pertama aku membaca berita tentang kenaikan elaun sebanyak 97%, aku merasa amat gembira dan begitu bersyukur. Setidak-tidaknya, terlepas sedikit beban kewangan yang terpaksa ditanggung di sini. Namun, beberapa minggu selepas keluarnya kenyataan berkenaan, banyak khabar angin yang diberitakan berhubung kenaikan tersebut. Kenaikan sebanyak 97% dikatakan diberikan untuk kawasan yang tertentu sahaja.
Selepas itu, timbul pelbagai versi kenaikan yang sebenar. Sampai aku menjadi ragu-ragu. Dalam masa yang sama, segala harapan yang pernah muncul sebelum ini, terpadam sedikit demi sedikit. Akhirnya, di hujung minggu yang lepas terjawab sudah berapa kenaikan yang aku sepatutnya terima. Berada di dalam kawasan yang dikategorikan sebagai kadar C, aku telah membuat kira-kira bahawa kenaikan yang diterima adalah lebih kurang 56%. Dengan jumlah itulah, kami sekeluarga akan sama-sama berkongsi untuk menempuh kehidupan di negara orang ini.
Sebenarnya, banyak perkara yang terbuku di dada. Namun, semua itu terpaksa dipendamkan. Apatah lagi untuk dikongsikan dengan orang-orang yang tidak memahami selagi mereka sendiri tidak pernah merasai. Kenyataan ikhlas dan pandangan terbuka aku pernah disalahertikan.
Syukur. Ada juga kenaikan meskipun sedikit adalah lebih baik daripada tiada kenaikan langsung. Namun begitu, kerja sampingan yang aku lakukan harus diteruskan demi memastikan kami tidak pening berhubung urusan menjaga Najla kelak.
25-10-07

Orang kata, teknologi semakin mendekatkan manusia yang jauh. Contoh yang termudah, adalah pentas yang kita gunakan sekarang. Paling tidak, mungkin orang yang membaca blog ini sama-sama dapat berkongsi apa yang aku rasakan di sini. Barangkali, sama-sama merasa suasana sejuk di sini. Apatah lagi, titipan emel mampu dihantar beberapa saat sahaja. Begitu juga medium lain yang bisa membuatkan kita bercerita dan berkongsi jenaka bersama.
Walau bagaimanapun, teknologi pada masa ini belum mampu untuk membawa benda material untuk dihantar jauh. Dulu, aku pernah bercerita tentang konsep ‘teleport’. Kadang-kadang, di dalam telefon aku selalu bergurau dengan mak berkenaan masakan yang dimasak di rumah pada waktu itu. Setiap kali aku mengutarakan rasa teringin, mak atau bapak akan berkata, kalaulah makanan ini boleh dihantar melalui telefon, nescaya mereka akan berbuat begitu pada waktu itu juga.
Aku percaya, benda ini mungkin boleh direalisasikan. Aku dulu bercita-cita untuk menerokainya, tetapi memandangkan terlalu banyak risiko yang harus aku depani, maka aku padamkan saja niat itu. Lebih baik aku tumpukan untuk menghantar data dalam bentuk digital sebelum mencuba menghantar benda material!
Oleh yang demikian, apabila menerima kiriman dari tanahair, tentu saja hati ini berbunga riang. Sebelum ini, kami menerima bungkusan dari keluarga di Kota Bharu yang mengandungi makanan kering, keropok, ikan bilis, ikan kering dan sebagainya. Tidak dilupakan, tiga pasang baju kurung untuk Najla (seperti di dalam gambar pada entri sebelum ini). Bungkusan itu kami terima sebelum bulan puasa. Orang yang paling gembira menerima bungkusan sebegitu, adalah Najla. Barangkali, dia dapat merasakan ada sesuatu untuk dirinya.
Sempena hari raya yang lalu, kami turut menerima beberapa kiriman berupa biskut hari raya daripada kenalan. Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada 3 orang rakan sekerja yang bersusah payah mendapatkan pesanan dari kami walaupun berada di dalam kesibukan. Dapat juga merasa tart mangga yang selalu dimakan sewaktu di sana. Tidak dilupakan, kawan sekampung aku (yang dulu sama-sama ke sekolah menaiki basikal), Lena, yang menawarkan diri untuk menghantar biskut raya versi ‘tahan lasak’ ke bumi Scotland. Ianya begitu bermakna. Setidak-tidaknya, aroma Malaysia masih melekat pada kiriman yang dihantar. Terubat juga rasa rindu ini.
Tidak dilupa, kepada rakan-rakan yang mengirimkan kad hari raya kepada kami. Tidak dinafikan kad yang dihantar secara pos dan bertulis tangan lebih menitipkan rasa nostalgia. Terima kasih sekali lagi. Juga kepada semua, yang tidak pernah jemu mengirim doa dan pesan agar hidup kami di sini dipermudahkan. Insya Allah, doa kalian akan mendapat rahmat yang setimpal dari-Nya.
[+]
Hari ini satu lagi bungkusan yang sememangnya dinanti dari Malaysia telah pun selamat sampai. Pesanan buku dari ujanailmu sememangnya memerlukan pengorbanan wang yang agak banyak jika dibandingkan pembelian di dalam negara. Namun, demi cinta pada karya istimewa pada tanahair, sudah tentu aku tidak mahu melepaskannya. Membeli koleksi buku yang agak banyak sekaligus (terutama karya dari Faisal Tehrani), membuatkan diri ini jadi bingung, yang mana satu hendak dibaca dulu?
Selepas ini, diri tidak akan lagi cemburu mendengar kisah rakan atau kenalan yang telah membaca karya-karya ini. Terima kasih ujanailmu!
24-10-07

Lokasi: Central Mosque, Glasgow.