Khabar
Pagi.
Di dalam lab dan jari sedang memetik papan kekunci komputer. Meja pula bersepah dengan fail dan juga paper yang seakan merusuh. Bersepah-sepah walaupun cuba dikemaskan.
Tiba-tiba telefon menerima mesej dari isteri. Tercatat khabar dari Malaysia tentang Mami di Kota Bharu. Hati aku benar-benar terusik. Fikiran terus terganggu. Berita itu turut menghalang aku untuk terus mencari fokus untuk meneruskan tugas seperti biasa. Dan satu perkara yang pasti, isteri aku juga turut terganggu.
Sebelum ini, aku sudah dikhabarkan tentang kesihatan Mami di sana. Sebelum bulan puasa lagi, kesihatannya sedikit merungsingkan. Memang Mami mempunyai sakit yang memerlukan selalu bertemu dengan doktor. Tapi sakit yang ini lain dari biasa. Dengan kata lain, sakit yang dibuat melalui perkara ghaib. Bayangkan, setiap malam begitu sukar untuk tidur. Dapat lena beberapa minit sudah begitu bermakna. Lalu, sudah tentu badan yang semakin berusia itu semakin letih kerana tidak mendapat rehat yang secukupnya. Ada juga orang yang iri hati dan sanggup mengganggu kehidupan orang lain, meskipun di dalam bulan Ramadan. Ini bukanlah kali yang pertama. Sebelum ini, ada banyak barang-barang pelik yang dijumpai tertanam di sekitar rumah. Mujur juga mendapat bantuan orang yang berilmu sebegitu. Hidup di zaman moden, tapi mempunyai sifat jahiliyah.
Isteri aku diganggu oleh orang yang tidak dapat menerima hakikat. Manakala, Mami pula diganggu oleh orang yang cemburu melihat keharmonian kami sekeluarga. Dua individu yang aku sifatkan sangat menyusahkan dan tidak waras.
Petang.
Aku keluar di sekitar bandar untuk membeli barang keperluan. Tiba-tiba telefon berbunyi memohon untuk disambut. Pada mulanya, aku tidak perasan. Kali kedua, aku tidak sempat menjawab. Percubaan yang ketiga, aku biarkan saja sebaik mengetahui siapa yang memanggil. Abang sulung aku dari Malaysia. Sengaja aku menolak panggilan darinya kerana aku ingin menelefonnya sendiri sebaik saja pulang semula ke lab. Kasihan pula jika bil telefonnya naik kerana aku.
Sebaik salam bersambut di antara benua, aku dikhabarkan dengan satu berita yang cukup menggembirakan. Sebak dan terharu bercampur kerana berkongsi apa yang dirasa oleh seluruh keluarga aku di sana. Sungguh, aku merasa begitu bersyukur dengan anugerah yang Allah berikan di penghujung Ramadan ini. Tahun lepas, Ramadan ini membawa kepahitan yang begitu sukar untuk ditelan buat kami sekeluarga. Cukuplah aku katakan, itu adalah dugaan yang hebat kepada kami. Saban waktu, mak dan bapak duduk termenung dan bergenang air mata. Perkara yang cukup peribadi hingga aku tidak sanggup untuk diceritakan kepada sesiapa pun. Seribu rasa yang bersatu, tapi yang aku rasa hanyalah pahit semata-mata. Namun, tetap aku telan kerana aku pasti ada hikmah atas apa yang terjadi.
Ternyata, Ramadan kali ini, Allah memberikan gembira kepada kami sekeluarga setelah melalui rasa pahit sebelumnya. Aku percaya, hari raya kali ini akan menerbitkan rasa gembira kepada mak dan bapak khususnya, biarpun aku tidak dapat berkumpul bersama mereka. Masakan aku lupa, raya tahun lepas mak hanya menangis tanpa sebarang kata sepanjang waktu. Dan tiba-tiba hampir pengsan kerana terlalu mengikut perasaan. Segalanya masih jelas di ingatan.
Syukur, atas anugerah ini. Setidak-tidaknya, raya tahun ini akan menjadi lebih bermakna kepada kami sekeluarga.
Malam.
Termenung seketika mencerna dua berita. Suka dan duka. Bercampur menjadi satu rasa yang begitu sukar untuk dihadamkan. Aku telan. Aku simpan. Dan terus aku adukan kepada-Nya mengharap belas.
Abu Bazli says:
vindicated?
11-10-07 at 8:51 am
Azhar Ahmad says:
Hummm, Allah tu Maha Adil. Dia takkan bagi hambanya selama-lamanya kedukaan. InsyaAllah, kegembiraan akan menyusul. Tak kejap, lama. Tak di dunia, di akhirat sana…
20-10-07 at 2:43 pm