Menjelang Hari Raya
Jumaat. Sehari sebelum hari raya, aku sudah pun bercuti dari universiti. Mujur juga mendapat seorang supervisor yang cukup prihatin dan memahami. Meskipun begitu, tugas sebagai cleaner masih diteruskan seperti biasa. Dalam seminggu, aku hanya mendapat satu hari cuti. Dan satu-satunya hari yang aku ambil adalah untuk hari raya.
Aku mendapat berita dari rakan aku yang tinggal di sekitar England, yang dia sedang menyambut hari raya pada hari ini. Bererti, dia raya awal sehari daripada kami yang tinggal di Glasgow. Mujur juga kami menyambut hari raya pada hari Sabtu kerana tiada sebarang persiapan yang dibuat langsung oleh kami pada ketika ini. Sehari sebelum hari raya inilah, kami sibuk ke kedai Pakistan untuk membeli ayam dan daging untuk dibuat juadah hari raya pada esok hari.
Sebaik habis membeli daging halal, kami pergi pula ke Asda untuk membeli barang-barang yang lain seperti sayur dan sebagainya. Sebolehnya, kami cuba mendapatkan perasaan menyambut detik lebaran pada esok hari. Kelainan perasaan itu tetap ada, apatah lagi inilah kali pertama kami bakal menyambut Aidilfitri di rantau orang. Tambahan pula, kali ini tiada peluang untuk bersalam dan bermaafan dengan ibu bapa, adik-beradik, sanak saudara dan rakan taulan.
Usai solat Jumaat di Central Mosque Glasgow, aku singgah ke bandar untuk membeli beberapa peralatan yang masih kurang. Termasuklah singgah ke kedai Cina yang menjual rempah ratus yang sukar untuk didapati di kedai Pakistan. Di sini, terjual makanan kering seperti mi laksa, kicap dan sebagainya. Dengan tangan berat menggalas beras pulut, aku berjalan menuju ke pusat bandar untuk mencari barangan yang lain.
Tiba-tiba, aku mendapat panggilan dari isteri aku. Di dalam kepenatan itu, satu berita sampai ke telinga. Mesin pengisar makanan di rumah rosak, begitulah yang dikhabarkan kepada aku. Dalam keadaan terdesak beginilah tiba-tiba ia mahu rosak. Maka, mahu tidak mahu, terpaksa juga aku singgah ke Argos untuk mendapatkan mesin pengisar yang baru. Kali ini, aku pilih yang tidak terlalu murah dan tidak terlalu mahal. Yang penting, ianya berkualiti.
Malam itu, kami berbuka untuk kali yang terakhir bagi Ramadan kali ini. Terasa syahdu menyelubungi sanubari. Terbayang di ingatan, kalau di kampung, sudah pasti penuh satu meja dengan hidangan hari raya untuk esok hari. Selalunya, mak akan mendapat kiriman ketupat dan rendang dari sanak saudara di kampung. Oleh yang demikian, pasti penuh meja dengan rendang yang dimasak oleh orang yang berbeza. Begitu juga dengan juadah yang lain. Kepelbagaian variasi membuatkan pening untuk memilih yang mana satu. Sedangkan pada hari itu, kami hanya menikmati lebihan juadah yang kami masak semalam kerana tidak sempat untuk membuat masakan yang baru.
Selesai solat Maghrib, aku terlantar di atas katil kerana kepenatan yang teramat. Kepala terasa berdenyut-denyut. Maka, malam itu aku terlepas untuk mengikuti warga Malaysia yang lain untuk sama-sama bertakbir dari rumah ke rumah. Namun, isteri aku makin begitu kuat untuk menyediakan rendang dan kuah kacang di dapur. Aku hanya datang membantu untuk mencucuk daging sate.
Oleh kerana kepenatan, kami menyimpan hajat untuk menelefon keluarga di Malaysia pada esok hari. Lalu kami masuk tidur dengan membawa harapan agar Aidilfitri yang bakal dilalui pada esok hari penuh dengan keriangan. Sayup-sayup, takbir raya bergema di dalam kepala hingga aku terlena.
Azhar Ahmad says:
Huh, memang terasa sungguh ya, bila kita di tempat orang… Hummmm
20-10-07 at 2:49 pm
elaira says:
teringat lah ketupat periuk kera! teringinnya lah nak merasa… huhu… esok bila fajar balik malaysia… akak tak kira, fajar mesti buatkan juga ketupat periuk kera tu… huhu =P~
22-10-07 at 11:37 am
mal says:
tak kan tak ada lagi kerja part time yg lain
spt kerja di tesco ke, sainbury ke sebagai cashier baru dpt bergaul dgn org tempatan.setau aku cleaner keja sorang-sorang layan cermin, lantai dan tandas. dulu aku pun dok uk gak dpt je keja dgn royal mail siap bayar 9.98 pound per hour lagi. kawan pun ramai org tempatan then dpt gak phd. tu la org melayu nak keja sendiri-sendiri, duduk rumah pakistan yg sewa murah…….cuba cari perumahan yg anak sekolah ada 24 pelajar biar yg kulit brown 3-4 org je….kalau kat malaysia kita boleh ada stail kenapa bila di uk mesti cleaner, carboot, rumah flat pakistan, sekolah kat uk tapi pelajarnya 90 peratus brown….usaha lagi dan hidup dgn gaya malaysia kelas pertengahan..wasalam
21-11-08 at 8:43 am