30-10-07

Manikam Kalbu

Posted in minat by fajr'

manikamkalbu.gif

Kata Ziryab di dalam Manikam Kalbu, ’sains itu hanyalah proses sedang seni itu hasilnya’. Mendalam sungguh maksudnya.

Begitulah juga pada setiap hasil seni karya Faisal Tehrani yang boleh dikatakan cukup luar biasa dan juga kadangkala menjentik emosi. Nama Faisal Tehrani sudah tidak perlu lagi diperkenalkan. Terutamanya kepada peminat seni penulisan kreatif di Malaysia. Kesungguhan dan cintanya terhadap dunia penulisan begitu menambat hati. Maka, tidak hairan sekali apabila dia diibaratkan seperti Siti Nurhaliza di dalam bidang penulisan kerana selalu saja memenangi anugerah. Karyanya menambat dan begitu mencuit hati, juga sarat dengan mesej.

Kali pertama mula membaca tulisan darinya adalah melalui ruangan kisah bersiri Dongeng Kingdom of Flowers yang diterbitkan di dalam majalah Al-Wasilah. Itulah tulisan yang menjadi ‘cinta pertama’ lalu membuatkan diri ini terus setia dan melekat kepada setiap penulisan dari saudara Faisal Tehrani. Kisah dongeng yang dituliskan benar-benar membuatkan diri ini tersenyum dan ketawa dengan coretannya. Selepas itu, gandingannya bersama Saharil melalui Lagi Cerpen Cerpen Underground menjadikan kedua-dua mereka antara penulis Melayu yang diminati secara peribadi.

Rasanya ramai yang telah membaca karya beliau seperti 1515, 1511H, Advencer Peniup Ney, Tunggu Teduh Dulu dan sebagainya. Beliau sudah pun meletakkan dirinya sebagai penulis yang agak menonjol serta memiliki peminat yang tersendiri. Terbaru, buku Manikam Kalbu dan Bedar Sukma Bisu yang boleh dibeli secara online di Ujanailmu. (Usah ragu-ragu membuat pembelian melalui Ujanailmu kerana buku yang dipesan akan dihantar dengan sebaiknya. Apatah lagi, setiap buku akan dibungkus dengan plastik).

Sebaik sahaja pesanan buku dari Ujanailmu tiba ke rumah pada minggu lepas, diri ini jadi keliru untuk memilih. Mana satu yang harus dibaca? Dalam banyak-banyak buku yang ada, nampaknya buku Manikam Kalbu menjadi pilihan pertama kerana ternyata ilustrasi seekor kucing yang gemuk sedang menjahit oleh Sinaganaga begitu menarik perhatian. Rasanya, sejak mula-mula diperlihatkan muka depan buku ini di laman web Faisal Tehrani, Manikam Kalbu sudah pun memikat. Ingat penerbit, muka depan buku adalah antara faktor yang penting untuk menarik pembaca selain dari isinya. Rata-rata buku yang dijual di UK mempunyai muka depan yang sangat menarik.

Berbalik kepada karya Manikam Kalbu. Bab 1 saja sudah menambat hati pembaca. Lalu, menjadi kita terus-terusan untuk menamatkan cerita. Ternyata, sejak beberapa lama mengikut penulisan Faisal, kita akan dapati bahawa dia seorang penulis yang rajin membuat kajian terhadap apa yang ditulisnya. Dalam masa kita membaca dan cuba menerima mesej yang disampaikan, pelbagai ilmu dapat diserap bersama. Sebagai contoh, dalam Manikam Kalbu ini saja, ada ilmu tentang kain, fesyen, seni jahitan, aurat dan adat yang disampaikan. Hinggakan dahi ini jadi berkerut apabila mengetahui nama kain-kain yang tidak pernah didengar langsung. Bukan itu saja, cara untuk menjaga kucing juga turut diselitkan. Rasanya, banyak benda yang boleh dipelajari melalui buku ini.

Sebelum ini, Faisal telah membawa pembaca tentang dunia tanaman melalui karyanya Kerana Manisnya Epal dan Tunggu Teduh Dulu. Bahkan, setiap karya yang dihasilkan mempunyai mesej dan ilmu untuk dikongsikan. Yang peliknya, diri ini jadi teringin mahukan epal selepas membaca cerpen Kerana Manisnya Epal. Juga mahukan buah betik yang sedap ketika membaca Tunggu Teduh Dulu. Begitu sekali penangan karya darinya. Membaca Manikam Kalbu, seakan mendorong untuk memiliki kucing di dalam rumah pula rasanya.

Nampaknya Manikam Kalbu turut sama membuat diri ini tersenyum dan ketawa seorang diri. Banyak betul kisah yang cukup mencuit hati. Sewaktu membaca kisah Tun Matin dikejar pengawal istana, diri ini menahan dari tergelak besar. Maklum sajalah, membaca bacaan selain dari buku akademik di dalam makmal. Itu pun untuk menghilangkan rasa kantuk yang begitu memuncak. Begitu juga gaya manja kucing sakti yang bijak bercerita. Namun begitu, mesej yang turut diketengahkan adalah amat besar. Wajar sekali buku ini dimiliki oleh pereka dan peminat dunia fesyen. Tidak lupa juga kepada yang meminati kucing.

Apabila membaca Manikam Kalbu, gambaran tentang dunia yang diceritakan begitu jelas. Suasana dua dunia yang dibentangkan seakan terpapar di seluruh benak kepala lalu menjadikan kisah ini seakan-akan benar. Tambahan pula, plot cerita yang tidak membosankan dan agak unik. Berselang seli antara dunia moden dan tradisional, disinambungkan oleh si kucing Madura. Meskipun berada di dalam keadaan sibuk dan tertekan dengan dunia akademik di sini, ternyata Manikam Kalbu dapat mengendurkan ketegangan dan kesakitan di dalam kepala. Bahkan diri jadi terhibur.

Terngiang-ngiang pula suara si kucing Madura di dalam Manikam Kalbu. Miau miau. Manja sekali.

Nampaknya Manikam Kalbu begitu menikam kalbu ini!

[+]

Imej muka depan Manikam Kalbu merupakan hasil seni oleh Sinaganaga. Oh ya, melihatkan koleksi kreatif Sinaganaga begitu mengujakan. Rasanya seperti mahu menulis buku sendiri dan meminta dia menghasilkan kulit bukunya.

[-]

Tiba-tiba Kak Elaira mengingatkan pula tentang cerpen Faisal di dalam Kekasih Sam Bo Po, iaitu Kucing Gemuk Di Masjid Biru. Adakah kucing ini kucing yang sama?

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

7 comments

  1. elaira says:

    ya… akak dah baca 3 perenggan pertama :D yang lain simpan sampai akakhabis baca Mnikam Kalbu nanti, sekarang masih mengulit Tuhan Manusia… huhu

    31-10-07 at 8:50 am

  2. Azhar Ahmad says:

    Ahhhhh, jangan goda saya….. Tgh menghabiskan tuhan manusia ni….

    31-10-07 at 3:58 pm

  3. badril says:

    the last book that I read was Detektif Indigo or something. Now I’m reading John Grisham’s Innocent Man. Dah tiga bulan, tak habis-habis.

    31-10-07 at 6:03 pm

  4. ayobkelubi says:

    serius, cerpen kerana manisnya epal tu mmg aku ingat sampai skang. disebabkan epal yang ditanam oleh nenek moyang sapa nama awek mat salleh tu,vyonne kot?.majlis perbandaran tak jadi amik ladang atuk nya.

    mmg respek sama faisal tehrani. orang melaka mmg kreatif belaka ek? :)

    02-11-07 at 11:49 am

  5. cahaya says:

    eh…bkn ke yvonne & mazlina tu dua2 anak angkat Buchanan….tuan punya ladang tu…epal tu bkn ditanam oleh nenek moyang la…tapi hasil titik peluh buchanan dan mendiang isterinya…mcm mana boleh salah ni ayob…hehehe…

    ada 4 buku faisal…3 da dibaca..cinta hari2 rusuhan, 1515 & 1511H (Kombat)…tapi buku PEREMPUAN POLITIKUS MELAYU tu 2x baca tapi smp sparuh je…x abis2…harap kali ktiga boleh habis la…

    mcm best je buku manikam kalbu ni…sy suka karya faisal yg sperti 1515 & 1511 tu…buku ni pun mcm tu ke???

    02-11-07 at 12:22 pm

  6. endang says:

    memang da lama minat ngn tulisan faisal tehrani ni…ms spm dlu slalu bli mjlh skor sb nk bca artikel faisal tp ble da lma2 artikel 2 da xda..manikam kalbu ni antara novel yg terbaru sy bca ms cuti sek bru ni….bes sgt…xsangka bole dpt mcm2 ilmu psl agama,adat,fesyen dn kucing….go faisal go!!!

    28-03-08 at 4:56 pm

  7. SAFURA says:

    Assalamualaikum… bagaimana ek kalau saya pun nak berkongsi pengalaman juga. Bgaimana nak memaparkan di sini. Harap dapat memberikan jawapannnya..

    15-11-08 at 3:19 pm

Leave a comment