Lewatkan Sejam Detik Itu
Pernahkah kalian merasakan bahawa kalian perlukan setidak-tidaknya satu jam lagi? Di sini, kalian bisa melaksanakannya.
Musim panas dikatakan sudah pun berakhir secara rasminya. Oleh yang demikian, berlakulah satu proses yang tidak pernah aku alami sebelum ini. Barangkali tidak pernah aku ketahui pun, iaitu melewatkan masa sebanyak 1 jam. Ya, lewatkan waktu sejam. Dari pukul 12 malam, dilewatkan kepada pukul 11. Pelik bukan?
Tapi ada juga rasional di sebalik melewatkan masa dalam sejam kerana pada permulaan musim sejuk saja waktu siang sudah dikatakan agak pendek. Jam 5 petang sudah pun seperti senjakala!
Maka, pada minggu terakhir bulan Oktober, orang-orang di sini melewatkan satu jam pada waktu mereka. Begitu juga dengan aku. Tetapi, untuk jam di dalam komputer atau telefon bimbit, waktu itu telah pun dilewatkan secara automatik. Walau bagaimanapun, masa ini akan dipercepatkan 1 jam semula pada bulan Mac bagi menandakan bermulanya musim panas di sini.
Agak menarik juga terhadap perubahan masa ini. Sesuatu yang agak baru kepada aku. Dalam masa yang sama sedikit mengelirukan. Namun, mudah saja untuk mengadaptasikan cara hidup orang-orang di sini. Lagipun, sekejap saja langit sudah bertukar menjadi gelap. Mujur saja bilik aku sekarang tidak berada di tepi tingkap. Jika tidak, mungkin saja hati memberontak mahu segera pulang. Jam 5 petang, keadaan sudah begitu gelap.
Semalam, aku sudah terkeliru dengan masa. Nampaknya aku harus siaga terhadap masa di sini. Terutamanya untuk mempercepatkan solat agar tidak ketinggalan. Entah bagaimana, aku boleh terleka untuk menunaikan solat Zohor. Maka, pada jam 2 lebih, aku ke surau universiti bagi menunaikan solat. Pada waktu itu, solat berjemaah sudah pun tamat. Lalu aku pun bersolat sendirian. Selepas itu, aku masuk kembali ke perut bangunan yang berdinding.
Jam 4 petang, suasana sudah pun gelap. Hati aku tertanya-tanya. Aku masih belum solat Asar lagi. Lalu, aku bersegera melihat kembali jadual solat. Ternyata, aku yang tersilap sendiri. Sepatutnya, tadi aku menunaikan solat Asar, bukannya Zohor!
Nampaknya terpaksa aku menqada’kan solat atas kecuaian aku sendiri. Maklum sajalah, baru mengenal dan berada di tempat yang mempunyai 4 musim serta jadual waktu solat yang berubah secara drastik.
aliff says:
pengalaman itu amat bermakna, dikongsi pula dengan orang lain insyaallah, ada faedah dikemudian hari buatmu.
01-11-07 at 8:23 am
Azhar Ahmad says:
Owh ini lah yang dipanggil daylight saving tu yerrrr?
01-11-07 at 11:33 am
elaira says:
tulis lagi… tulis semuanya… sekurangnya boleh lah akak menumpang pengalaman fajar ni.
kalau ke luar negeri sekadar menziarah seminggu dua mungkin tidak dapat melalui apa yang fajar lalui ini kan… melainkan kalau tinggal lama dan melalui empat musim itu… sungguh berharga.
01-11-07 at 1:21 pm
JIMI says:
Pertama kali Jimi tahu mengenai jam yang dilewatkan ni. Im new just like you. Thanks Fajar.
01-11-07 at 5:46 pm
rudy says:
he he he… pengalaman qadha solat gara2 kekeliruan waktu mmg saban tahun aku alami. musim sejuk…malam yang sungguh panjanggg…
02-11-07 at 9:21 am
WaWa says:
encik fajar,
nampaknya encik mendahului saya untuk entri pasal tambah tolak masa ni. haha.
dan, sekadar mengingatkan, zohor pukul 11.30am (ikut kawasan saya).
03-11-07 at 10:03 am