Archive for
October, 2007
23-10-07
Baru saja pulang bertemu dengan John. Masih terngiang-ngiang di telinga segala pesan darinya. Mengingatkan semula apa yang dikatakan darinya, sedikit sebanyak membuatkan aku rasa takut. Ternyata, dia begitu menaruh harapan yang tinggi dan percaya akan potensi yang ada dalam diri aku.
Masalahnya, aku pula yang terketar-ketar menerima harapan darinya. Ketika kepala aku mengangguk mengiyakan apa saja yang dicadangkan oleh John, tiba-tiba saja satu suara nakal bermain di telinga. Boleh ke? Mampu ke? Biar betul.
Aku tidak mahu jadi orang yang pesimis. Tapi, sebelum menjadi seorang yang optimis, perancangan haruslah disediakan dengan baik. Takut-takut pula nanti seperti kucing di jalanan yang kehilangan punca dan arah. Banyak kali juga rasanya aku seakan sesat di dalam timbunan buku dan kertas ini. Kalau bukan kerana John, barangkali aku jadi terkapar-kapar kelemasan.
Kepala terasa penat dan pening. Mungkin tiba masanya untuk aku menikmati coklat agar dapat menghilangkan rasa gemuruh ini. Coklat?
13-10-07
Pagi itu aku bangun dengan rasa penat yang masih berbekas. Namun begitu, satu perasaan terbit ke dalam hati yang sukar untuk diungkap dengan perkataan. Akhirnya, kali ini kami sekeluarga berhari raya di rantau tanpa keluarga di sisi. Bagaimanakah agaknya aku zahirkan perasaan itu? Rasa sedih? Rindu? Aku cuba menjauhkan rasa kesayuan itu. Datangnya kami ke sini bukanlah satu paksaan. Demi menggapai cita-cita, ini adalah salah satu pengorbanan yang kecil sahaja.
Segera aku mandi sunat Hari Raya. Kemudian, aku bersiap-siap dengan baju Melayu yang dibawa dari Malaysia. Itupun baju Melayu yang dipakai sewaktu akad nikah aku beberapa tahun dulu. Solat sunat Aidilfitri akan diadakan untuk dua sesi, iaitu pada pukul 8 pagi dan 10 pagi. Aku lebih berhajat untuk menunaikan solat seawal pagi, sama seperti kebiasaan di tanahair.
Pagi itu, langit begitu cemerlang. Bumi Glasgow yang selalunya mendung dan gerimis, menjadi indah disimbah panas mentari. Rasa sejuk seperti kebiasaan seakan lari demi menyambut hari yang mulia ini. Begitulah anugerah pertama yang Allah kurniakan kepada kami di sini. Maka, aku melangkah ke masjid hanya dengan memakai sandal kerana cuaca tidak begitu sejuk. Namun begitu, aku tetap membawa jaket untuk mengelakkan diri dari kesejukan. Hening pagi itu, aku terasa akan kelainan suasana pagi raya di rantau orang.
Nampaknya aku sedikit awal tiba di Masjid Al-Farooq yang terletak tidak jauh dari rumah. Ruang solat masih lagi kosong. Jemaah masih tidak sampai 20 orang. Namun, selepas beberapa minit, barulah orang mula memenuhi ruang yang ada. Jemaah yang datang memakai baju hari raya, tapi bukanlah baju Melayu yang berwarna warni. Kebanyakan mereka adalah orang Arab dan Pakistan yang memakai jubah atau kurta. Ada juga yang sekadar memakai baju kemeja dan jaket seperti kebiasaan. Takbir sudah dimulakan. Tidak seperti di Malaysia, takbir di sini tidaklah begitu mendayu dan syahdu. Aku harus belajar menerima perbezaan di sini. Meskipun begitu, mendengarkan kalimah suci takbir itu tetap menyentuh segenap ruang hati.
Sebaik tamat solat Aidilfitri, khutbah diberikan oleh imam di dalam dua versi, iaitu di dalam bahasa Arab dan Urdu. Terus terang aku katakan, aku tidak memahami langsung apa yang dibicarakan. Cuma sesekali beberapa patah yang disebutkan dapat aku tangkap dan fahami. Di penghujungnya, kami semua bangkit dan bersalam-salaman. Bertemu dengan rakan-rakan Malaysia lain di sini begitu menggamit rasa. Masing-masing merasakan kejauhan dengan keluarga tersayang. Lalu masing-masing cuba meraikan rasa kesyukuran dan kesyahduan Aidilfitri. Aku dan isteri berjalan pulang ke rumah bersama-sama sebaik selesai bersalam-salaman. Tiba di rumah, kami pula yang berkongsi rasa.
Setelah menikmati juadah hari raya di rumah, kami bersiap untuk melawat rumah rakan taulan di sini. Hari ini saja, sudah ada 7 jemputan rumah terbuka! Pertama kali melalui detik raya di sini, dapat aku rasakan kemeriahannya. Mungkin kerana begitu ramai warga Malaysia di sini, lalu rasa kesunyian itu dapat kami hilangkan. Berkumpul beramai-ramai sambil menikmati juadah yang dihidangkan bisa mengubat kerinduan. Dari pagi hinggalah ke petang, acara menziarah diteruskan. Berbaju indah di hari raya turut menarik perhatian dengan orang-orang di sini. Mungkin mereka seakan tertanya-tanya, apakah gerangan yang berlaku melihatkan kumpulan orang Malaysia nampak ceria dan berjalan beramai-ramai dari rumah ke rumah.
Di penghujung hari, perut kami menjadi begitu penuh kerana puas menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah. Malam itu, masih ada rumah yang terbuka menanti kehadiran tetamu. Namun begitu, rasa penat membuatkan kami lebih selesa berada di rumah. Tambahan pula, esok hari kami pula bakal menerima tetamu untuk berkunjung ke rumah bagi meneruskan tradisi kami sekeluarga seperti di tanahair. Cahaya lebaran ini begitu istimewa. Masih begitu terasa kemeriahannya meskipun kami berada jauh di rantau orang. Syukur, di hari ini kami merasa bahagia biarpun kerinduan itu tetap ada. Setidak-tidaknya, kami tidak rasa terasing di hari lebaran ini.
12-10-07
Jumaat. Sehari sebelum hari raya, aku sudah pun bercuti dari universiti. Mujur juga mendapat seorang supervisor yang cukup prihatin dan memahami. Meskipun begitu, tugas sebagai cleaner masih diteruskan seperti biasa. Dalam seminggu, aku hanya mendapat satu hari cuti. Dan satu-satunya hari yang aku ambil adalah untuk hari raya.
Aku mendapat berita dari rakan aku yang tinggal di sekitar England, yang dia sedang menyambut hari raya pada hari ini. Bererti, dia raya awal sehari daripada kami yang tinggal di Glasgow. Mujur juga kami menyambut hari raya pada hari Sabtu kerana tiada sebarang persiapan yang dibuat langsung oleh kami pada ketika ini. Sehari sebelum hari raya inilah, kami sibuk ke kedai Pakistan untuk membeli ayam dan daging untuk dibuat juadah hari raya pada esok hari.
Sebaik habis membeli daging halal, kami pergi pula ke Asda untuk membeli barang-barang yang lain seperti sayur dan sebagainya. Sebolehnya, kami cuba mendapatkan perasaan menyambut detik lebaran pada esok hari. Kelainan perasaan itu tetap ada, apatah lagi inilah kali pertama kami bakal menyambut Aidilfitri di rantau orang. Tambahan pula, kali ini tiada peluang untuk bersalam dan bermaafan dengan ibu bapa, adik-beradik, sanak saudara dan rakan taulan.
Usai solat Jumaat di Central Mosque Glasgow, aku singgah ke bandar untuk membeli beberapa peralatan yang masih kurang. Termasuklah singgah ke kedai Cina yang menjual rempah ratus yang sukar untuk didapati di kedai Pakistan. Di sini, terjual makanan kering seperti mi laksa, kicap dan sebagainya. Dengan tangan berat menggalas beras pulut, aku berjalan menuju ke pusat bandar untuk mencari barangan yang lain.
Tiba-tiba, aku mendapat panggilan dari isteri aku. Di dalam kepenatan itu, satu berita sampai ke telinga. Mesin pengisar makanan di rumah rosak, begitulah yang dikhabarkan kepada aku. Dalam keadaan terdesak beginilah tiba-tiba ia mahu rosak. Maka, mahu tidak mahu, terpaksa juga aku singgah ke Argos untuk mendapatkan mesin pengisar yang baru. Kali ini, aku pilih yang tidak terlalu murah dan tidak terlalu mahal. Yang penting, ianya berkualiti.
Malam itu, kami berbuka untuk kali yang terakhir bagi Ramadan kali ini. Terasa syahdu menyelubungi sanubari. Terbayang di ingatan, kalau di kampung, sudah pasti penuh satu meja dengan hidangan hari raya untuk esok hari. Selalunya, mak akan mendapat kiriman ketupat dan rendang dari sanak saudara di kampung. Oleh yang demikian, pasti penuh meja dengan rendang yang dimasak oleh orang yang berbeza. Begitu juga dengan juadah yang lain. Kepelbagaian variasi membuatkan pening untuk memilih yang mana satu. Sedangkan pada hari itu, kami hanya menikmati lebihan juadah yang kami masak semalam kerana tidak sempat untuk membuat masakan yang baru.
Selesai solat Maghrib, aku terlantar di atas katil kerana kepenatan yang teramat. Kepala terasa berdenyut-denyut. Maka, malam itu aku terlepas untuk mengikuti warga Malaysia yang lain untuk sama-sama bertakbir dari rumah ke rumah. Namun, isteri aku makin begitu kuat untuk menyediakan rendang dan kuah kacang di dapur. Aku hanya datang membantu untuk mencucuk daging sate.
Oleh kerana kepenatan, kami menyimpan hajat untuk menelefon keluarga di Malaysia pada esok hari. Lalu kami masuk tidur dengan membawa harapan agar Aidilfitri yang bakal dilalui pada esok hari penuh dengan keriangan. Sayup-sayup, takbir raya bergema di dalam kepala hingga aku terlena.
12-10-07

10-10-07
Seakan tidak percaya apabila menyedari Ramadan sudah hampir melabuhkan tirainya. Tempoh sebulan yang dilalui dirasakan begitu cepat sekali. Adakah aku yang terlalu sibuk membuatkan masa berlari dengan cepat? Setiap pagi bergegas ke tempat kerja dan selepas itu terus ke universiti. Meskipun terasa letih, aku tetapkan kuatkan semangat untuk mencari nikmat Ramadan dengan berterawikh di malam hari. Begitulah rutin harian. Sesekali, ada juga menerima jemputan untuk berbuka di rumah teman-teman di sini. Namun, sudah menjadi tradisi, kami turut mengundang orang datang ke rumah untuk berbuka.
Pasti ada di kalangan kita merasa muak melihat promosi Hari Raya yang dipaparkan setiap tahun. Bagaikan pesta besar-besaran yang memanggil sekalian insan untuk membeli belah bagi menyambut hari yang gembira. Di kepala berfikir-fikir apakah hiasan baru, baju baru atau hidangan kuih raya yang patut disediakan. Tambahan pula, perasaan untuk menyambut lebaran itu akan lebih melonjak dengan dendangan lagu-lagu raya yang menusuk hati dan telinga melalui radio dan televisyen. Sudah tentu, di mana-mana saja iklan raya membanjiri mata dan telinga kita. Tapi, itu salah satu kemeriahan yang ada dalam menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Adakah perkara yang sama berlaku di negara orang? Kalian sudah boleh mengetahui sendiri jawapannya. Sudah tentu tidak. Mana mungkin kami di sini melalui detik-detik yang sama seperti di tanahair. Di kaca tv, radio dan kedai-kedai di sini tidak mengendahkan langsung bulan Ramadan atau pun Syawal yang bakal tiba. Kalau ada pun, kedai-kedai milik orang Islam. Meskipun begitu, suasana itu tetap dirasa apabila kita mengunjungi masjid dan surau.
Kesibukan di bandar Glasgow masih berjalan seperti biasa. Dengan kesesakan kenderaan dan orang ramai yang berpusu-pusu menuju ke destinasi masing-masing. Tiada promosi jualan kuih raya, baju raya dan yang sewaktu dengannya. Yang ada hanyalah jualan sempena musim luruh dan juga musim dingin tidak lama lagi. Juga, jualan untuk menyambut Halloween dan juga Krismas.
Kadang-kadang aku terasa seperti bersalah kerana tidak menikmati bulan Ramadan ini seperti kebiasaan. Walau bagaimanapun, pengalaman melalui puasa di tempat orang adalah sesuatu yang bermakna. Maka, setiap detik tetap aku hargai kerana satu hari nanti, pasti akan aku rindui.