Archive for
November, 2007
29-11-07
Hampir setiap hari, kami terpaksa bangun seawal jam 5 pagi. Pada waktu begini, perkara yang lebih menyeronokkan adalah bersembunyi di dalam duvet. Menjauhkan diri dari rasa sejuk yang mencengkam. Walau bagaimanapun, tubuh tetap dipaksa untuk terus bingkas ke bilik air dan seterusnya menyiapkan diri. Demi mencari rezeki di bumi orang.
Di musim dingin begini, waktu malam dirasakan agak panjang. Oleh itu, waktu subuh masih belum masuk sewaktu kami sudah keluar ke rumah. Kami tinggalkan Najla yang masih lena beradu. Kadangkala, terasa kasihan melihatkan anak kecil yang masih belum mengerti kenapa ayah dan ibunya tidak menemaninya tidur hingga jaga seperti selalu. Namun itulah pengorbanan yang harus dilakukan oleh kami sekeluarga.
Sementara ada orang yang menjaga Najla buat masa ini, kami sama-sama keluar mencari peluang menambahkan duit saku. Duit itu nanti bakal digunakan untuk urusan orang menjaga Najla dan saat-saat terdesak. Aku tidak mahu peristiwa duit simpanan kami habis sama sekali kerana tanggungan kos hidup di sini berulang kembali.
Selalunya, pada waktu pagi, operasi bas tidak banyak seperti biasa. Maka, kami harus mengejar masa. Takut pula kalau ketinggalan bas yang menuju ke pusat bandar. Jika tidak, kami terpaksa menunggu lebih kurang 20 minit lagi. Nescaya kami akan lewat ke tempat kerja.
Sebaik tiba, kami terpisah dengan tugas masing-masing. Aku terus bergegas ke bilik yang menempatkan pelbagai barang-barang untuk proses pembersihan. Aku capai plastik transparen putih baru yang digunakan untuk mengisi sampah dari kotak. Aku persiapkan barang-barang seperti bahan kimia pengilat lantai, pengilat cermin, mesin pengilat lantai dan juga penyapu jenis kain berbentuk huruf T. Apabila lengkap semuanya, aku bawa terus turun ke aras yang sudah ditugaskan untuk aku. Aras ini dipenuhi dengan barang-barang hiasan dan keperluan rumah, serta pakaian tidur wanita.
Aku letakkan barang-barang di satu sudut. Lantas, aku menuju di celah-celah rak baju tidur yang agak tersorok. Aku bentangkan plastik putih sebagai alas untuk aku menunaikan solat. Mujur juga pada awal waktu begini, muzik masih belum berkumandang. Dapat juga aku mencari ketenangan.
Plastik putih itu akhirnya digunakan untuk mengisi sampah-sampah yang ada pada hari itu. Kemudian, ia akan dibuang ke dalam tong sampah di luar bangunan. Esok hari, plastik baru akan diambil untuk dijadikan sejadah terlebih dahulu.
Tidak pernah terlintas di dalam fikiran bahawa aku akan menunaikan solat dalam keadaan begini. Tetapi, ini adalah satu harga pengalaman yang agak bernilai. Mungkin tidak semua orang akan dapat merasainya. Apatah lagi, ini merupakan salah satu siri dan cebisan hidup aku dan keluarga di sini. Demi berjuang mengharungi kehidupan. Di mana-mana saja tidak menjadi persoalan asalkan dapat menunaikan tanggungjawab yang sememangnya satu kewajipan.
Kadang-kadang, aku terasa seperti hidup yang dilalui di sini bagaikan satu rutin yang begitu sama. Namun, mengeluh adalah satu tanda putus asa. Jika aku merasakan diri aku susah, dapat aku lihat ada orang yang lebih susah daripada aku. Maka, pada saat begini, hanya kepada-Nya aku mengharap agar segalanya dipermudahkan.
27-11-07
Aku mahu berkongsi cerita di sini. Tetapi, pada masa ini, aku dihimpit dengan satu masalah yang penuh dilema membuatkan aku jadi kusut. Sangat merusuhkan jiwa. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.
Dalam keadaan kusut begini, segala kerja menjadi tergendala.
21-11-07
Salam buat semua,
Kami sedang mencari individu yang sanggup untuk datang ke Scotland dan tinggal bersama-sama kami untuk menjaga anak perempuan kami yang berusia 2 tahun lebih sepanjang kami berada di universiti. Segala kos pengangkutan seperti tiket kapal terbang, tempat tinggal dan makanan akan ditanggung oleh kami. Insentif bulanan akan diberikan dalam mata wang pound sterling.
Antara syarat utama adalah individu berkenaan mestilah penyayang, penyabar dan lemah lembut terhadap kanak-kanak. Tempoh penjagaan adalah selama 6 bulan dan dijangka akan bermula pada hujung Mac 2008. Untuk maklumat lanjut, bolehlah terus menghubungi saya di alamat emel: fajaril@yahoo.com.
Sekiranya terdapat di kalangan anda yang berkeinginan untuk merasai kehidupan di UK, maka ini adalah salah satu peluang yang amat berharga.
Diharapkan juga kepada rakan-rakan yang lain dapat membantu saya menghebahkan makluman ini. Segala jasa baik dan bantuan daripada kalian, adalah amat dihargai.
Sekian, wassalam.
20-11-07
Hari Sabtu yang lalu berlangsungnya satu perlawanan bolasepak di antara Scotland dan Itali. Aku bukanlah seorang peminat atau pemain bolasepak. Jauh sekali dikenali sebagai fanatik. Letakkanlah aku dalam kumpulan mereka yang bercerita tentang bola, nescaya aku hanya akan duduk terdiam dan sekadar memasang telinga. Apabila selalu berada dalam keadaan begitu, aku jadi seperti orang asing atau mungkin makhluk asing.
Apabila berada di sini, aku dapat rasakan betapa fanatiknya orang-orang di sini dengan dunia bolasepak. Di Scotland, dua pasukan yang sering menjadi tumpuan adalah pasukan Ranger dan Celtic. Apabila berlangsungnya perlawanan bolasepak di sini, maka kami sama-sama turut merasai kemeriahannya. Tanpa disedari, aku turut mengikuti perkembangan sukan bolasepak ini.
Mungkin perkara yang sama dapat dirasai di sekitar England dan negara lain. Barangkali, apa yang menarik di sini adalah kebanyakan peminat dan penyokong hadir dengan memakai baju atau jersi yang serupa serta dengan kilt kebanggaan warga Scottish. Hari itu, sokongan terhadap pasukan Scotland begitu ketara dengan paparan bendera di mana-mana. Warga tua hinggalah muda sama-sama meraikan dan memberikan sokongan yang padu terhadap pasukan mereka. Maka, kalian boleh bayangkan betapa meriahnya suasana mereka menikmati perlawanan bolasepak ini.
Meskipun perlawanan berlangsung pada waktu petang, orang sudah mula datang awal ke stadium yang letaknya tidak jauh dari rumah kami. Maka, kami dapat saksikan pelbagai gelagat dan fesyen yang begitu mencuit hati. Barangkali sesuatu yang jarang aku lihat apabila berada di Malaysia. Mungkin juga kerana aku tidak pernah ambil tahu mengenainya sebelum ini. Dalam kesejukan dan hujan turun renyai-renyai, semangat mereka tidak pernah luntur. Malah tidak rasa sejuk langsung menyarungkan tartan kilt mereka. Dalam masa yang sama berkumandanglah suara-suara mereka menyanyi di sepanjang jalan.
Sekitar jam 1 petang, aku sekeluarga singgah ke Asda untuk membeli belah stok makanan bulanan kami. Di pintu masuk, terdapat satu kaunter yang sibuk mempromosikan untuk menyokong pasukan Scotland. Tidak lama kemudian, satu kumpulan wanita yang terdiri dari orang tua dan kanak-kanak berkumpul dan menari mengikut lagu ceria yang melaungkan semangat sebagai tanda sokongan.

Apabila diperhatikan, terasa sangat mencuit hati. Tambahan pula, tarian itu dipersembahkan oleh kumpulan wanita yang rata-ratanya warga emas tapi masih kuat bertenaga.

Tiba-tiba, entah bagaimana, seorang anak Melayu tidak segan silu datang menghampiri mereka. Hadirnya dia, disambut oleh seorang kanak-kanak kecil bertopi merah jambu, lantas dipegangnya tangan anak Melayu itu. Dia tidak sekadar mahu melihat, tapi ingin turut serta!

Apabila lagu dimulakan sekali lagi, mereka semua menari lagi. Bertepuk dan bergaya mengikut irama. Dan yang menghairankan, dengan spontan saja, anak Melayu itu cuba mengikut gaya yang ditunjukkan oleh mereka semua meskipun dia baru berumur 2 tahun lebih.

Sewaktu melihat anak kecil itu beraksi, bapanya pula terdetik di dalam hati, ‘aduhai, anak aku ini…”
Oh ya, sayang sekali, Scotland tewas di tangan Itali dengan 1-2.
19-11-07
Setelah aku puas menulis kata-kata manis untuk Lorna, tuan rumah aku, petang itu juga aku menerima balasan darinya.
Hi X,
Terima kasih atas emel kamu.
Saya menghargai pandangan kamu tentang kenaikan sewa itu. Harus saya tegaskan bahawa kos penyambungan semula talian telefon tidak berkait langsung dengan tuan rumah. Jika kamu memilih untuk mendapatkan talian telefon, itu adalah sesuatu yang kamu pilih sendiri.
Saya begitu gembira yang kamu sukakan rumah berkenaan. Ia adalah rumah saya beberapa tahun yang lepas dan saya dapat lihat bagaimana kamu menjaganya dengan baik. Harap kamu faham bahawa kenaikan kadar bunga untuk pajakan telah meningkat sebanyak 5 kali dalam masa 12 bulan. Saya baru saja menerima bil sebanyak £180 untuk penyelenggaran dan pembersihan bangunan. Tambahan lagi, kerja pembaikan atap yang akan dilakukan dalam beberapa bulan lagi adalah sebanyak £500 bagi setiap flat.
Kamu akan bersusah payah mencari rumah yang hampir sama untuk keluarga kamu. Kita boleh berbincang tentang sewa ini sekiranya kamu boleh membayar sebanyak £417 sebulan.
Apa pandangan dari kamu?
Salam,
Lorna
Kepala aku sudah jadi tepu untuk memujuk rayu. Mungkin penat memikirkan kata-kata yang terbaik. Lalu aku balas emel itu seperti begini.
Hi Lorna,
Terima kasih atas balasan.
Saya begitu gembira dengan pertimbangan awak dan amat sedar dengan situasi awak. Saya akan lega jika saya juga dapat mengembirakan awak, sebagai tuan rumah saya.
Adakah kemungkinan untuk kami membayar sewa sebanyak £410 daripada £417? Sekurang-kurangnya, lebihan £7 itu dapat kami gunakan untuk membeli susu dan makanan. Dan kami akan pastikan rumah itu berada dalam keadaan baik.
Diharap mendapat balasan dari awak.
Salam hormat,
Fxx.
Jawapan aku kali ini seakan terlalu ‘pathetic’. Tapi, kalau kalian berada di tempat aku, nilai £1 itu sudah cukup besar. Apatah lagi kalau bernilai £10. Melainkan kalau kalian memang orang yang kaya dan tidak begitu kisah tentang duit ini.
Esoknya, peti emel aku terisi dengan balasan dari Lorna. Berdebar pula aku menantikan jawapan darinya.
Saya menghargai tentang keadaan wang yang agak ketat, tetapi bukanlah satu kebiasaan untuk awak meminta mengurangkan lagi sewa rumah itu. Saya akan terima £410, tetapi saya sangat-sangat tidak gembira dengannya memandangkan saya terpaksa menampung kos lain. Saya akan poskan perjanjian berkenaan untuk kamu tandatangani dan menghantar kembali kepada saya. Maka, berapa tempoh yang kamu mahukan? 6 atau 12 bulan?
Salam,
Lorna.
Lihat saja cara penyampaian darinya. Agak ’straight to the point’. Tiada berkias untuk menjaga hati atau sebagainya seperti orang kita. Dan dari jawapannya itu saja, aku boleh baca betapa dia tidak gembira dengan apa yang berlaku buat masa ini. Tidak aku nafikan, dia memang seorang yang agak profesional. Sebarang masalah yang berlaku di dalam rumah itu akan diuruskan olehnya dengan cepat. Pernah sekali, jiran di bawah rumah mengadu tentang kebocoran air yang datangnya dari rumah kami. Petang itu, dia datang ke rumah kami meskipun dia baru pulang dari London dan masih lagi berbaju pejabat.
Hati aku rasa tidak sedap apabila membaca reaksi darinya, maka aku balas emelnya dengan pendek. Hari itu kata mahu singgah ke rumah, sekarang mahu gunakan pos.
Buat Lorna,
Terima kasih atas makluman dari awak. Kami berasa amat tidak selesa sekiranya awak tidak gembira dengan pertimbangan tersebut. Setelah kami berbincang, dan demi menjaga hubungan kita selaku tuan rumah dan penyewa, maka kami bersedia untuk membayar sebanyak £415 sebulan. Meskipun, ianya akan mengubah bajet bulanan kami secara keseluruhannya. Apa kata awak?
Salam,
X.
Hingga ke hari ini, Lorna masih tidak memberi sebarang jawapan. Dan aku kira, bermula 6 bulan dari sekarang aku akan terpaksa mencari rumah yang lain. Mungkin yang lebih sesuai dan agak murah dari apa yang kami duduki sekarang. Dalam masa yang sama, kami juga terpaksa mencari pengasuh untuk Najla.