Sup Kaki Ayam
“Dari ruang dapur,
teradun ramuan kasih sayang,
mencipta aroma bahagia,
hingga ke akhir hayat…”
“Ala, sup kaki ayam lagi ke mak?”, getus hati lalu terlafaz di bibir. Semalam sup kaki ayam. Hari ini pun sup kaki ayam. Tiba-tiba hilang selera makan. Entah apa silapnya, aku terus bangun dan letakkan pinggan semula. Terlalu ikut rasa muda yang mengada-ngada. Padahal, aku patut bersyukur sahaja dengan rezeki yang terhidang di depan mata.
“Tak makan ke?”, tegur mak. Namun, tiada kata yang terucap. Mungkin dia rasa serba salah. Mungkin juga kecil hati. Dia hanya terdiam. Baginya sup kaki ayam itulah yang menjadi kegemaran suami.
Sejenak, terbetik rasa bersalah dan menyesal tidak terkira. Kurang ajar sungguh aku. Setidak-tidaknya, tak perlulah mulut ini gatal-gatal menyuarakan butir-butir kata sebegitu. Rasa terkilan menyelubungi seluruh jiwa. Aku terbawa-bawa rasa penat dan tekanan bekerja. Satu kesilapan yang cukup nyata. Lama juga aku terdiam menelan rasa. Tidak terlintas di hati untuk melukai hati seorang ibu. Keterlanjuran yang membawa kekesalan yang cukup mendalam. Mencairkan batas-batas keegoan lalu membasahi bibit-bibit peristiwa. Ianya berulang-ulang bagaikan wayang gambar. Ah…, hati ini mengeluh berat sekali.
Esoknya, apabila aku pulang ke rumah, seperti biasa aku menjenguk ke dapur. Perut ini manja dan sering memanggil untuk diisi dek kelaparan. Aku buka tudung saji. Aku nampak lauk itu - sup kaki ayam. Aku terdiam. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya ini adalah rezeki dan juadah yang bisa mengenyangkan. Syukur, bisik hati kecil aku. Apa salahnya kalau aku mengalah hanya kerana perkara yang sekecil ini?
“Eh, mak dah simpankan lauk kat mangkuk yang ada tutup tu untuk kau. Makan ye”, jerit mak dari luar rumah.
Lauk untuk aku? Sekilas pandang aku terlihat sebuah mangkuk berwarna putih tertutup di tepi tudung saji. Aku terkedu sebaik sahaja melihat isi di dalamnya. Sup ayam. Bukan terisi dengan kaki-kaki ayam, tapi bahagian-bahagian ayam yang lain seperti kepak dan peha ayam. Sebak menusuk ke dada. Terasa seperti mahu mengalir air mata. Hingga sebegini sekali ingatan mak untuk aku. Terlintas kembali peristiwa semalam, hanya kerana aku tak mahu makan kerana sup kaki ayam. Dan hari ini, aku disediakan khas sup yang terisi dengan bahagian ayam yang lain, selain dari kaki ayam.
Sebenarnya, aku bukanlah orang yang cerewet dengan soal makanan. Asalkan ianya mengenyangkan, syukur. Cuma hari itu, aku terbawa-bawa perasaan yang remeh ke rumah. Mujur juga hati mak tak kecil hati. Atau mungkin juga hatinya tersentuh dengan gelagat aku, lalu diubatinya dengan menyediakan bahagian khas dalam sup kaki ayam itu. Kesannya bukan sedikit, seolah-olah rasa sup ayam itu laksana kasih yang mengalir ke dalam tubuh aku. Perlahan-lahan mengalir ke liang-liang darah bersama sayang insan yang bernama ibu. Nescaya, hinalah aku kalau aku sengaja menidakkan rasa syukur dan terima kasih ini kepadanya.
Sejak hari itu, setiap kali sup kaki ayam terhidang, pasti akan ada bahagian khas untuk aku. Kadangkala, aku rasa bersalah kerana di’istimewa’kan sebegitu. Aku tak berhak untuk menerimanya, hanya kerana kesilapan pada hari itu. Kalau boleh, aku mahu cakap, “tak payahlah mak..”. Tapi, aku rasa khuatir kalau-kalau aku menyentuh hati mak lagi. Aku cukup kenal dengan sikap mak yang cukup memendam rasa. Tidak akan diluahkan rasa kecewanya, cuma riak wajahnya cukup jelas untuk aku tafsir segala-galanya.
Dari ruang dapur, mak sudah adunkan segala rempah dan bahan-bahan masakan untuk menjadi santapan buat keluarganya. Begitulah rutinnya sehari-hari. Kadangkala, kalau mak sibuk dengan kuih, bapak akan menjadi tukang masak di dapur. Tak kiralah siapa yang memasak, apa yang pasti, mereka pasti akan memasak dengan sebaik mungkin. Cuba menghasilkan hidangan yang menjadi kegemaran buat anak-anak. Dari situlah mengalirnya kasih sayang yang cukup melimpah ruah. Melalui hidangan lauk pauklah berlalulah kasih sayang yang tidak semestinya dibuktikan dengan kata-kata atau perbuatan.
Ada orang berkata pada aku, tak seronok hidup dengan keluarga. Macam anak manja. Aku tak hirau dan peduli dengan kata-kata orang. Kalau nak diikutkan, memang rasa janggal bila sudah biasa hidup berjauhan dengan keluarga. Cuma, biarlah kali ini, aku memberi sedikit masa untuk aku bersama-sama mereka. Selagi masih ada mereka. Biarpun mereka tidak pernah mengharapkannya, tapi aku tahu, saat-saat begini, mereka terlalu ingin sekali di samping anak-anak dan cucu tersayang. Aku sedar, bukan mudah untuk menahan karenah yang menagih seribu kesabaran.
Lagipun, ke mana aku harus lagi mencari sup kaki ayam yang sama rasanya dengan sup kaki ayam mak? Dan, kalau aku dapat menggantikan seperiuk sup kaki ayam dengan seperiuk sup apa sahaja yang lazat sekalipun, mampukah aku menadah kasih sayang yang sama?
*Entri ini memenangi Catatan Terbaik 2003, Anugerah Geng Jurnal.
Azhar Ahmad says:
Hummm… saya no komen…. Hummmm
10-11-07 at 5:34 pm
azra says:
fajar…
kalau kau rasa nak mengalir air mata semasa mak kau siapkan lauk yg special itu utk kau..
aku dah pun menangisi apa yg kau ceritakan ni..
tiba2 terdetik di hati aku…betapa kau tergamak meluahkan kata2 sebegitu pada ibu sendiri..dan aku juga cukup terharu bila kau cepat menginsafi perbuatan kau itu. pada aku, hati ibu mana pun akan terasa..(pi mintak maaf, sure mak akan maafkan).
29-01-08 at 6:42 am
fajaril says:
azra, entri ini sudah lama ditulis. bahkan ia menuntut keberanian di dalam diri untuk mengakui kesilapan dan kekhilafan. entri ini dikongsikan untuk mengajar kita sama-sama menghargai atas apa yang telah kita terima.
30-01-08 at 1:42 pm
amir says:
salam
tersentuh hati sgt baca entry ni..
teringat mak kat kampung..nak balik~
28-04-08 at 1:59 pm
naj says:
astaghfirullah…mungkin mak saya pun kecik ati bila saya ckap sy xsuka makan kari yg mak msak..tp mmg saya xsuka mkn kari…mak…ampun mak..
21-05-08 at 2:16 pm