19-11-07

Utusan Tuan Rumah ii

Posted in peristiwa by fajaril

Setelah aku puas menulis kata-kata manis untuk Lorna, tuan rumah aku, petang itu juga aku menerima balasan darinya.

Hi X,

Terima kasih atas emel kamu.

Saya menghargai pandangan kamu tentang kenaikan sewa itu. Harus saya tegaskan bahawa kos penyambungan semula talian telefon tidak berkait langsung dengan tuan rumah. Jika kamu memilih untuk mendapatkan talian telefon, itu adalah sesuatu yang kamu pilih sendiri.

Saya begitu gembira yang kamu sukakan rumah berkenaan. Ia adalah rumah saya beberapa tahun yang lepas dan saya dapat lihat bagaimana kamu menjaganya dengan baik. Harap kamu faham bahawa kenaikan kadar bunga untuk pajakan telah meningkat sebanyak 5 kali dalam masa 12 bulan. Saya baru saja menerima bil sebanyak £180 untuk penyelenggaran dan pembersihan bangunan. Tambahan lagi, kerja pembaikan atap yang akan dilakukan dalam beberapa bulan lagi adalah sebanyak £500 bagi setiap flat.

Kamu akan bersusah payah mencari rumah yang hampir sama untuk keluarga kamu. Kita boleh berbincang tentang sewa ini sekiranya kamu boleh membayar sebanyak £417 sebulan.

Apa pandangan dari kamu?

Salam,
Lorna

Kepala aku sudah jadi tepu untuk memujuk rayu. Mungkin penat memikirkan kata-kata yang terbaik. Lalu aku balas emel itu seperti begini.

Hi Lorna,

Terima kasih atas balasan.

Saya begitu gembira dengan pertimbangan awak dan amat sedar dengan situasi awak. Saya akan lega jika saya juga dapat mengembirakan awak, sebagai tuan rumah saya.

Adakah kemungkinan untuk kami membayar sewa sebanyak £410 daripada £417? Sekurang-kurangnya, lebihan £7 itu dapat kami gunakan untuk membeli susu dan makanan. Dan kami akan pastikan rumah itu berada dalam keadaan baik.

Diharap mendapat balasan dari awak.

Salam hormat,
Fxx.

Jawapan aku kali ini seakan terlalu ‘pathetic’. Tapi, kalau kalian berada di tempat aku, nilai £1 itu sudah cukup besar. Apatah lagi kalau bernilai £10. Melainkan kalau kalian memang orang yang kaya dan tidak begitu kisah tentang duit ini.

Esoknya, peti emel aku terisi dengan balasan dari Lorna. Berdebar pula aku menantikan jawapan darinya.

Saya menghargai tentang keadaan wang yang agak ketat, tetapi bukanlah satu kebiasaan untuk awak meminta mengurangkan lagi sewa rumah itu. Saya akan terima £410, tetapi saya sangat-sangat tidak gembira dengannya memandangkan saya terpaksa menampung kos lain. Saya akan poskan perjanjian berkenaan untuk kamu tandatangani dan menghantar kembali kepada saya. Maka, berapa tempoh yang kamu mahukan? 6 atau 12 bulan?

Salam,
Lorna.

Lihat saja cara penyampaian darinya. Agak ’straight to the point’. Tiada berkias untuk menjaga hati atau sebagainya seperti orang kita. Dan dari jawapannya itu saja, aku boleh baca betapa dia tidak gembira dengan apa yang berlaku buat masa ini. Tidak aku nafikan, dia memang seorang yang agak profesional. Sebarang masalah yang berlaku di dalam rumah itu akan diuruskan olehnya dengan cepat. Pernah sekali, jiran di bawah rumah mengadu tentang kebocoran air yang datangnya dari rumah kami. Petang itu, dia datang ke rumah kami meskipun dia baru pulang dari London dan masih lagi berbaju pejabat.

Hati aku rasa tidak sedap apabila membaca reaksi darinya, maka aku balas emelnya dengan pendek. Hari itu kata mahu singgah ke rumah, sekarang mahu gunakan pos.

Buat Lorna,

Terima kasih atas makluman dari awak. Kami berasa amat tidak selesa sekiranya awak tidak gembira dengan pertimbangan tersebut. Setelah kami berbincang, dan demi menjaga hubungan kita selaku tuan rumah dan penyewa, maka kami bersedia untuk membayar sebanyak £415 sebulan. Meskipun, ianya akan mengubah bajet bulanan kami secara keseluruhannya. Apa kata awak?

Salam,
X.

Hingga ke hari ini, Lorna masih tidak memberi sebarang jawapan. Dan aku kira, bermula 6 bulan dari sekarang aku akan terpaksa mencari rumah yang lain. Mungkin yang lebih sesuai dan agak murah dari apa yang kami duduki sekarang. Dalam masa yang sama, kami juga terpaksa mencari pengasuh untuk Najla.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

7 comments

  1. aliff says:

    semoga Allah SWT memberikan kemudahan buat abang fajar sekeluarga

    19-11-07 at 7:40 pm

  2. badril says:

    Ya, semoga Allah melapangkan urusan kita semua. Aamin.

    19-11-07 at 9:50 pm

  3. Azhar Ahmad says:

    Susah ya, hidup di sana… Nak pula bekeluarga…..

    19-11-07 at 11:41 pm

  4. tini says:

    Semoga deme berjumpa dengan rumah yang berpatutan dengan kemampuan..

    20-11-07 at 8:17 am

  5. Aini says:

    mak aku selalu pesan, nak dipermudahkan rezeki, bacalah surah al waqiah. insya allah

    20-11-07 at 3:04 pm

  6. zahila says:

    cool… bwk relaks dulu.. nnt dptlah ilham tu

    21-11-07 at 1:06 pm

  7. ihsan says:

    Fajar, mat salleh mmg straight forward. & diorang bukan mcm kita, suka round2kan nombor. 417 will always be 417. Msia normally 410,415, or 420.

    aku tak sure la tempat ko duduk, tapi rasanya kalau keluar sket area glasgow tu lagi murah. arlington street ramai melayu… tak sure pulak si naza dok kat mana hari tu.quite cheap jugak + free gas bill sbb meter tak jalan!!

    23-11-07 at 4:57 pm

Leave a comment