Archive for November, 2007

16-11-07

Utusan Tuan Rumah

Posted in peristiwa by fajaril

Sebaik aku tiba di makmal, terus aku buka emel. Di kotak emel, terdapat beberapa emel baru. Termasuklah emel daripada Lorna, tuan rumah aku di sini.

Hello,

Saya harap kamu dalam keadaan baik.

Saya akan singgah ke rumah kamu pada minggu depan untuk menandatangani perjanjian sewa rumah yang baru selama 6 bulan. Saya akan meningkatkan sewa kepada £430 sebulan. Malangnya, kenaikan ini adalah disebabkan oleh faktor bil dan saya telah dimaklumkan bahawa kerja penambaikan atap terpaksa dilakukan.

Saya akan datang pada hari Rabu, memandangkan saya akan menghadiri kelas Spanish berdekatan dengan Langside College pada jam 6.30. Oleh itu, saya akan singgah sebentar dalam perjalanan ke sana, lebih kurang 5.45 petang.

Harap dapat maklumkan kepada saya sekiranya masa itu sesuai atau ada cadangan lain.

Jaga diri.

Lorna.

Begitulah lebih kurang isi utusan emel darinya yang telah dialihbahasa. Ternyata kandungan utamanya membuatkan segala mood aku terbang. Sebelum ini, dia tidak langsung memberitahu tentang berita kenaikan sewa yang baru. Hati aku jadi rusuh. Duit lagi.

Kalau diberitahu awal-awal mungkin aku bersedia untuk menghadapinya. Atau barangkali, mencari-cari peluang untuk meninjau rumah yang lain. Tapi sebenarnya, hati aku berat untuk mencari rumah lain memandangkan proses mencari rumah bukanlah satu kerja yang mudah. Leceh dan mengambil masa. Apatah lagi mencari rumah yang benar-benar sesuai untuk keluarga. Lagipun, aku berada dalam keadaan sibuk dan pening dengan dunia akademik yang sedia ada. Mahu bersesak-sesak kepala pula memikirkan soal pindah randah ini. Tambahan pula, dalam keadaan yang bertambah sejuk. Mengharap bantuan dari orang sudah menjadi satu cerita pula.

Kepala aku ligat mencari penyelesaian. Selagi ini tidak terhenti, hati aku tidak mahu tenang. Aku drafkan emel dan baca berulangkali. Kemudian, aku hantar kepada isteri aku meminta pandangan. Terdetik juga untuk meminta pandangan dari seorang rakan yang selalu menolong menambah perisa pada emel khas sebegini. Namun, hati aku terasa berat untuk menganggunya.

Lalu, aku balas emel Lorna lebih kurang begini.

Hello Lorna.

Terima kasih atas emel yang diberikan untuk memaklumkan tentang perjanjian rumah. Walau bagaimanapun, saya agak terkejut dengan kenaikan sewa memandangkan awak tidak pernah memaklumkan kepada saya sebelum ini. Kenaikan sebanyak £30 adalah agak tinggi untuk kami memandangkan elaun saya bukanlah sebanyak mana. Kami telah mengetatkan perbelanjaan harian bagi memastikan kami mampu membayar sewa rumah pada setiap bulan. Saya berharap agar awak dapat memberi pertimbangan kepada saya dan keluarga. Jika tidak, saya terpaksa mencari rumah lain dalam masa yang singkat – dan ia adalah amat sukar untuk berpindah di musim sejuk begini. Lagipun, saya tidak terlintas untuk berpindah pun buat masa ini.

Saya berada dalam keadaan yang agak kritikal dalam pengajian saya, dan berpindah keluar dari rumah adalah satu perkara yang besar. Terlalu banyak yang perlu dibuat, dan proses dari mencari rumah yang sesuai lalu berpindah keluar masuk adalah memenatkan dan mengambil masa.

Sebelum ini, saya baru saja menghabiskan £129 sahaja untuk menyambung talian telefon BT dua bulan yang lepas. Diharap awak dapat mempertimbangkan perkara ini memandangkan kami akan suka dengan rumah awak dan selalu menjaganya dengan baik. Kami selalu memastikan ianya bersih, kemas dan segar. Sebagai orang Malaysia, sudah menjadi kebiasaan agar tidak masuk ke rumah memakai kasut. Jadi, awak boleh jangka betapa begitu beratnya kami menjadi rumah yang diduduki, meskipun ia sekadar rumah sewa.

Kami menghormati rumah ini seperti rumah kami sendiri. Kami telah pun melakukan apa yang awak inginkan seperti meletakkan kain cadar di atas sofa setiap masa, membuka tingkap bilik air dan sebagainya. Sepanjang pengetahuan saya, awak adalah antara tuan rumah yang baik pernah saya kenali (berdasarkan kepada pengalaman kawan-kawan saya). Barangkali yang terbaik. Hampir semua kawan saya kagum bagaimana awak menguruskan masalah kami, seperti insiden lampu, gas dan urusan kebocoran di dalam bilik air.

Walau bagaimanapun, adakah awak akan mempertimbangkan untuk menukar tingkap kepada ‘double glaze’? Jika ya, kami mungkin akan menimbangkan kos tambahan berkenaan. Tetapi, saya amat berharap agar kita masih boleh berbincang lagi tentang perkara ini. Sejujurnya, saya amat senang berurusan dengan awak. Saya dan keluarga akan lebih menghargai dan lega dengan keprihatinan dan bantuan awak dalam isu ini.

Sekali lagi, diharap mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari awak.

Terima kasih.

Salam hormat,
X & keluarga.

Puas aku karang. Segala ayat ‘luar biasa’ dan seakan ‘mengampu’ aku keluarkan. Harapnya, hati perempuan eksekutif minah saleh ini akan cair.

13-11-07

Que Sera Sera

Posted in rasa by fajaril

Que Sera, Sera,
Whatever will be, will be,
The future’s not ours to see,
Que Sera, Sera,
What will be, will be.

Apa juga yang akan terjadi, akan aku tempuhi dengan ketabahan. Biar pun pedih. Mahu pun pahit.

11-11-07

Pura-pura

Posted in rasa by fajaril

Walaupun hati rasa sedih,
buat-buat gembira.

Walaupun hati rasa kecewa,
buat-buat tiada apa.

Walaupun diri terasa luka,
buat-buat tabah.

Entah bila agaknya,
kepura-puraan ini akan berakhir.

08-11-07

Duit Raya

Posted in bicara by fajaril

duitraya.jpg

Satu hari, kami menerima kiriman surat dari Malaysia. Aku kira, posmen memang sudah cukup kenal dengan nama aku barangkali kerana setiap minggu pasti ada surat untuk aku (ceh!). Itu pun setelah dicampur dengan surat-surat kad kredit, bil dan sebagainya. Dan hari itu, surat yang kami terima adalah kad raya dari seorang kawan yang berada di selatan Malaysia.

Cuma, yang membuatkan aku rasa tersentuh adalah bersama kad ucapan hari raya itu, terselit satu sampul berisi duit raya untuk Najla. Kalau kalian mahu tahu, inilah satu-satunya duit raya yang Najla terima untuk raya kali ini. Terharu pula atas ingatan orang.

Terima kasih Azra. Moga Allah memberi rezeki yang berpanjangan untuk kau sekeluarga.

07-11-07

Rasa

Posted in rasa by fajaril

Aku akan beritahu satu rahsia. Mengenai beberapa entri yang pernah aku tulis sebelum ini (sejak awal 2001 dulu). Sebahagian entri banyak ditulis secara spontan. Ada juga yang mengambil masa berhari-hari untuk dikarang. Namun tulisan yang paling dekat dengan aku, adalah tulisan yang menzahirkan apa yang aku rasa. Sesuatu yang agak peribadi.

Terus terang aku katakan, sesetengah tulisan aku adalah terlalu jelas menerangkan apa yang bergelora di dalam jiwa ini. Oleh yang demikian, ada tulisan yang dihasilkan bersama air mata. Mungkin ada yang merasa apabila membacanya.

Oh ya, antara entri yang aku hasilkan sambil menahan sebak adalah sewaktu pertemuan aku bersama Najla dan ibunya, juga tentang kisah sup kaki ayam (boleh klik pada ikon anugerah catatan terbaik Geng Jurnal 2003 di sebelah). Dan ada beberapa yang lain seperti entri nostalgia sewaktu kecil (arkib dulu-dulu), kisah baju penawar rindu dan beberapa yang lain.

Entahlah, terasa terlalu banyak catatan yang berjiwa dari yang membawa minda pembaca ke atas tulisan yang lebih kritis.

Panggillah aku jiwang, melankolik, lelaki blues dan sewaktu dengannya. Sememangnya, aku memang begitu. Barangkali aku harus memanifestasikan rasa itu dalam bentuk yang berbeza. Apa pula yang kalian rasa?

Bad Behavior has blocked 42 access attempts in the last 7 days.