Archive for
December, 2007
31-12-07

Selama aku berada di bumi Glasgow ini, perkhidmatan bas di sini menjadi satu medium terpenting di dalam hidup aku. Tambahan pula, kadar dan bilangannya mengikut masa yang dibolehharap. Lingkaran perjalanan merentasi bandar Glasgow dan sekitar dengannya amat memudahkan perjalanan. Melalui pas bas yang dibeli mengikut zon laluan sebanyak GBP30 sebulan, kita boleh naik turun mana-mana bas sebanyak mana yang kita mahukan pada bila-bila masa, dengan syarat ianya berada dalam zon yang telah dibayar dan juga pada syarikat bas yang sama.
Syarikat bas yang boleh dikatakan memonopoli hampir semua laluan di sini adalah First. Barangkali, bas ini turut memiliki laluan di seluruh UK. Bas berwarna biru, merah dan putih ini mempunyai jadual yang khusus serta mempunyai banyak pemandu. Depot mereka berdekatan dengan kawasan rumah aku iaitu di Larkfield.
Hampir setengah tahun berada di sini dan menggunakan khidmat bas ini telah memberikan banyak pengalaman berhubung dengan reaksi penumpang-penumpang yang ada di sini. Jika kalian mengikuti blog ini, sudah tentu dapat mengingati satu peristiwa di mana aku dipeluk dan dicium oleh seorang lelaki di dalam bas. Satu peristiwa yang cukup membuatkan aku berhati-hati dengan sesiapa saja pada setiap masa.
Satu perkara yang membuatkan aku tertarik adalah keprihatinan orang-orang di sini sekiranya terdapat kaum ibu yang membawa kereta sorong anak mereka ke dalam bas. Maka, secara automatik satu bahagian hadapan bas itu akan diserahkan kepada mereka. Begitu juga jika ada golongan yang kurang upaya menaiki bas, pasti akan diberi perhatian.
Meskipun begitu, terdapat juga ragam sesetengah individu di sini yang cukup menjengkelkan. Kita tidak dapat mengkategorikan semua orang dalam satu golongan yang sama. Menurut perhatian aku, setiap bas di sini mempunyai pemandu yang terlatih. Barangkali, mereka telah ditetapkan dengan satu polisi bagaimana menangani karenah penumpang bas. Ternyata, bermacam ragam dan karenah yang terpaksa mereka hadapi.
Suatu hari, seorang penumpang bas pernah dihalau keluar dari bas kerana mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada pemandu bas. Biarpun penumpang berkenaan sudah naik ke tingkat atas bas (untuk bas dua tingkat), pemandu berkenaan turut naik dan memanggilnya keluar. Kuasa yang dimiliki oleh pemandu bas tidak boleh dinafikan kerana mereka mempunyai kelengkapan yang sewajarnya seperti sistem video di dalam bas. Dan juga bekas untuk mengumpulkan air liur sekiranya diludah oleh penumpang untuk mengenalpasti DNA bagi rekod polis.
Masih aku ingat satu pagi pada minggu lepas, sewaktu aku ingin bertolak ke bandar untuk bekerja. Seperti selalu, bas 75 akan berhenti setiap kali ditahan oleh penumpang di hentian yang ditetapkan. Pada pagi itu, di satu hentian seorang penumpang lelaki naik. Dari awal dia masuk, nampaknya dia cuba berbincang dengan pemandu bas untuk membenarkan dia menaiki bas kerana dia tidak mempunyai wang tambang. Satu perkara yang pasti, tiada duit tambang atau pas bas, maka anda tidak dibenarkan naik atau bas tidak akan bergerak. Atau, selagi seorang penumpang itu tidak membayar duit tambang yang secukupnya (biarpun beberapa pence) juga akan menyebabkan bas tidak bergerak. Maka, boleh kalian bayangkan betapa perkara tersebut begitu menyusahkan orang lain?
Lelaki itu agak degil. Biarpun dia telah dihalau keluar oleh pemandu bas, dia tetap berdegil tidak mahu keluar daripada bas 75. Dengan selamba dan tanpa malu, dia membuat pengumuman di dalam bas yang dipenuhi penumpang meminta belas ehsan daripada yang ada untuk menolong membayar tambang basnya. Namun begitu, tiada siapa yang ambil peduli. Barangkali melihatkan keadaan lelaki muda itu yang mungkin berada dalam keadaan mabuk membuatkan orang lain tidak ingin membantunya langsung.
Apabila tiada orang memberikan sebarang respon terhadap permintaannya, dia tidak berhenti di situ sahaja. Bahkan, dia membuat ugutan bahawa bas akan menjadi lambat ke destinasi sekiranya tambang bas tidak dibayar. Seminit demi seminit berlalu, hinggalah ramai yang merungut. Lalu bermulalah pertelingkahan suara bercampur dengan kata carutan. Apatah lagi lelaki itu telah cuba dihalau oleh seorang lelaki berkulit hitam. Baur-baur perkauman bertaburan dari mulutnya. Menyakitkan hati.
Dalam masa yang sama, pemandu bas berkenaan telah membuat laporan kepada pihak yang tertentu. Hati aku membuak-buak. Terasa mahu saja aku ke depan dan menolaknya keluar. Tapi, mengenangkan tubuh aku yang kecil, aku pendamkan saja hasrat yang tidak seberapa kental itu. Betapa aku berharap agar ada seseorang yang boleh menolong.
Permintaan aku termakbul.
Sejurus kemudian, seorang lelaki bertubuh besar datang dari tempat duduk belakang. Dia maju ke depan ke arah lelaki berkenaan. Dengan begitu mudah, dia menolak lelaki itu keluar dari pintu bas meskipun lelaki itu cuba melawan. Sebaik saja lelaki itu terkeluar dari bas, pintu bas ditutup rapat. Keadaan itu membuatkan penumpang lain bersorak tanda sokongan. Namun begitu, dia cuba menahan pintu bas daripada ditutup hingga menyebabkan dia diseret beberapa meter.
Pintu bas dibuka sedikit, lalu tangan lelaki itu terlepas. Dia nampaknya geram hingga menunjukkan simbol lucah pada jarinya. Berakhir sudah satu episod drama pagi di dalam bas 75.
Pernah juga ada penumpang yang cuba mengelakkan diri dari membayar tambang. Dia masuk ke dalam bas sambil sibuk berbual melalui telefon bimbitnya. Tapi itu bukanlah alasan untuk membuatkan dia terlepas. Bas tidak bergerak langsung, menantinya untuk membayar tambang. Rupa-rupanya, dia juga tidak mempunyai wang untuk membayar tambang. Apabila tiada siapa yang ambil peduli sewaktu dia cuba meminta duit dari penumpang lain, maka dia tiada pilihan lain melainkan keluar daripada bas. Itupun dengan bermacam kata-kata caci dan makian.
Kadang-kadang terasa kelakar pula dengan bermacam reaksi penumpang di sini. Ada juga yang tidak cukup wang tambang hingga menyebabkan pemandu enggan menggerakkan bas.
Tetapi, ada juga ketikanya aku agak jengkel dengan sesetengah pemandu mereka yang aku rasakan agak tidak wajar. Sesetengah mereka agak sombong dan tidak mengambil peduli langsung. Aku amat bersimpati pada seorang lelaki yang sedang mendukung anaknya untuk berhenti pada satu hentian. Mungkin kerana tidak begitu puas hati dengan tambang yang dikenakan kepadanya, maka dia cuba berbincang dengan pemandu bas. Malang sekali, suaranya yang sopan santun tidak sama sekali dilayan. Bahkan dimarahi di depan orang lain. Tidak cukup dengan itu, pas mingguannya yang bernilai GBP12.50 turut dirampas. Kasihan sekali.
Secebis kehidupan di sini membuatkan aku lebih mengenali sikap dan ragam manusia itu berwarna warni. Sesekali melihat rona warna yang berbeza membuatkan aku tersenyum sendiri ke dalam diri.
Photo by: Elsie esq.
30-12-07
Pada waktu cuti sebegini, tiada perkara yang lebih menarik melainkan duduk berehat dan bersenang lenang di depan tv. Dan juga internet. Memaksimumkan penggunaan broadband, aku menghabiskan masa dengan menonton filem secara streaming dan juga memuat turun album yang sudah lama dicari. Dapat juga aku simpan album dari Josh Groban, Michael Buble, Eva Cassidy, Andrea Bocelli dan banyak lagi. Termasuk juga album Amy Winehouse. Walaupun dia bermasalah, namun albumnya agak unik dan menarik.
Buat seketika, rasa bahagia dapat bersama keluarga. Apatah lagi melihat karenah dan gelagat Najla yang tidak pernah membosankan. Jika marah sekalipun, hati ini pasti tersentuh setiap kali si kecil itu tidur di pangkuan aku.
Di kelapangan ini juga, sempat juga rakan-rakan yang dekat mahu pun jauh datang bertandang. Mujur juga isteri aku sudah baik sedikit dari demam yang panjang sejak minggu lepas. Dapat juga dia menyediakan juadah untuk tetamu dan juga keluarga. Walaupun kejauhan dari tanahair, sempat juga dia menyiapkan lauk yang istimewa hari demi hari. Pada hari raya yang lalu, dia bertegas ingin menyediakan nasi dagang. Beberapa hari yang sudah, dia menyediakan laksam Kelantan. Katanya, sudah lama teringin menikmatinya. Kelmarin, tiba-tiba saja nasi kerabu berlaukkan daging panggang menjadi menu utama. Aduhai, betapa istimewanya dirasa. Hari ini, tomyam ketam pula menjadi hidangan. Mana mungkin aku mahu berjalan keluar.
Dalam kesedapan menikmati setiap juadah itu, sempat juga isteri aku menuntut janji.
“Abang, kata nak masakkan sup ayam? Dari demam sampailah dah baik demam. Ni terasa nak demam lagi, tak dapat-dapat juga sup ayam yang abang janji nak buat”
Aduhai, memang aku ingat tentang itu. Semasa si dia demam, aku ada berjanji yang aku ingin masakkan sup ayam buatnya. Entah bagaimana, aku tidak berpeluang menyediakannya. Tiba-tiba saja, dia sendiri yang menyediakan sup ayam untuk dimasak bersama nasi ayam. Waktu itu pula, aku yang menjadi tidak sihat hingga pening dan muntah.
Nanti abang buatkan ya.
Kemudian,
“Bang, bila nak buat tomyam abang pulak? Kawan abang kata sedap. Saya sampai sekarang masih belum lagi merasa tomyam abang tu.”
Wah, nampaknya aku terpaksa mencungkil kembali bakat lama yang telah lama aku tinggalkan. Bisakah aku melebihi kesedapan tomyam isteri sendiri?
29-12-07
Dia: Aku rasa seperti dia sudah menjadi orang yang lain. Seseorang yang tidak aku kenali. Yang tidak lagi mesra. Hilang sudah tawa manisnya. Tidak seperti dulu.
Aku: Barangkali benar kata sahabat aku, dia sudah tawar hati.
Dia: Aku sudah cuba jadi yang terbaik, sedaya upaya aku. Aku cuma mengharap dia mengerti keadaan aku.
Aku: Barangkali dia cuba. Cuma keadaan yang tidak mengizinkan kau mengetahuinya.
Dia: Haruskah aku sahaja yang perlu menzahirkan apa yang aku rasa sedangkan dia hanya berdiam diri? Seolah-olah hanya aku yang mengharap sesuatu darinya. Aku rindukan dia yang dulu.
Aku: Ini soal hati. Tapi, kalau sememangnya dia masih sayangkan semua ini, pasti dia akan kembali kepada kau. Percayalah.
Dia: Kalau tidak?
Aku: Maka, bebaskanlah dia pergi.
Dia: Sanggupkah aku?
Aku: Jangan hidup dalam kenangan. Tidak semua orang mampu hidup dalam keadaan begitu. Aku takut, hanya engkau seorang yang bermimpi tentang keindahan kenangan silam. Sedangkan dia, berlalu pergi melalui hidup ini tanpa membawa cebisan kenangan.
[+]
Berbicara tentang rasa hati dengan seorang teman kadangkala sukar untuk memberi satu jawapan pasti. Namun, hidup ini harus diteruskan. Teman, usah biarkan hidup ini terus mendung dengan gerimis. Lihat di atas sana, barangkali ada sejalur warna pelangi untuk dirimu.
“Knew the signs
Wasn’t right
I was stupid for a while
Swept away by you
And now I feel like a fool
So confused,
My heart’s bruised
Was I ever loved by you?”
Out Of Reach, Gabrielle.
26-12-07
Mereka namakan hari ini sebagai ‘Boxing Day’. Hari ini jatuh pada 26 Disember, sehari selepas Krismas. Pada mulanya, aku sendiri kurang pasti apa istimewanya ‘Boxing Day’ ini. Sebelum ini pun, aku kurang ambil berat tentang cuti-cuti yang tidak mempunyai persamaan di Malaysia. Namun begitu, berada di rantau orang, cuti yang mereka lalui perlu juga aku ketahui.
Pada mulanya, aku terjemahkan ‘boxing’ itu sama seperti gusti. Apa kaitan dan istimewanya hari gusti kepada mereka? Apatah lagi sehari selepas Krismas. Maka, aku gigih mencari makna di sebalik ‘Boxing Day’ ini. Melalui wikipedia, ia bermaksud:
“Boxing Day is a traditional celebration, dating back to the Medieval Ages, and consisted of the practice of giving out gifts to employees, the poor, or to people in a lower social class… to give a Christmas-box; whence boxing-day.”
Tetapi dalam masa yang sama, rupa-rupanya hari ini adalah hari yang dinantikan oleh ramai orang-orang di sini, khususnya buat mereka yang suka membeli belah atau ingin mendapatkan barang-barang dengan harga yang murah. Hari ini, semua kedai mahupun pusat membeli belah menawarkan harga yang rendah. Kebanyakannya kedai memberikan potongan 50%. Hampir semua!
Lalu, berduyun-duyun orang datang mengunjungi kedai dan pusat membeli belah seawal pagi. Bahkan mereka datang sebelum kedai itu dibuka. Setia menanti di depan pintu kedai. Ternyata, hari ini bagaikan pesta bagi mereka. Tawaran yang diberikan sudah pasti menarik untuk mereka memilih dan mencapai apa saja yang menarik perhatian. Apatah lagi harga yang diberikan sudah dianggap murah. Suasana menjadi sibuk pada hampir setiap kedai. Hinggakan ada kedai yang dipenuhi dengan ramai pelanggan yang beratur di kaunter bayaran turut memberikan minuman percuma kepada pelanggan. Sampai begitu sekali.
Hari ini, kami turut keluar awal dari rumah. Segera menuju ke pusat bandar Glasgow. Namun begitu, bukan sibuk bersama-sama mereka menunggu di pintu kedai tetapi menuju ke pintu belakang kedai untuk menunaikan kerja harian, sebagai cleaner. Sebaik sahaja tamat waktu bekerja, maka kami turut mengikuti kesibukan orang-orang di sini iaitu menjelajah kedai-kedai yang ada di sini. Tetapi, akal mewajarkan untuk beli yang perlu. Lagipun, di fikiran aku tidak merancang untuk membeli barangan tertentu.
Penat juga meninjau barang-barang yang ada. Kalau ada banyak duit, seronok betul membeli belah di sini. Seperkara lagi, aku tidak berdaya bersesak-sesak dengan orang ramai yang begitu sibuk ke sana sini. Kehadiran mereka lebih banyak daripada biasa. Namun dalam kesibukan itu sempat juga kami membeli sedikit barang yang kebanyakannya adalah baju-baju Najla.
25-12-07
Di sana sini, orang ramai begitu sibuk membeli belah. Pusat membeli belah menawarkan harga yang begitu mencuit jiwa mereka di sini untuk terus berbelanja. Hebat sungguh kemeriahan mereka menyambut krismas di sini.
Kami akan bercuti selama seminggu hinggalah kehadiran tahun 2008. Buat masa ini, tiada sebarang perancangan untuk ke mana-mana. Lagipun, cuti bekerja sebagai cleaner hanya sehari cuma. Nampaknya, lebih banyak menghabiskan masa di rumah untuk berehat.
Tiba-tiba, jiwa aku juga terasa ingin berehat. Dari kesibukan. Dari kesesakan akal dan fikiran.