Di Atas Lantai
Kadang-kadang aku merasakan hidup aku di sini terlalu membosankan. Bayangkan, setiap minggu aku terpaksa keluar pada setiap pagi, 6 hari seminggu. Kadang-kadang, tiada cuti langsung. Rutin yang sedikit sebanyak menahan kebebasan di dalam diri. Aku tidak mampu berjaga malam untuk belajar, membaca ataupun menonton tv kerana terlalu penat dan harus bersedia untuk keesokan paginya.
Tapi, aku cuba berfikiran positif, bahawa ini adalah salah satu cara untuk aku bangun awal pada setiap pagi. Barangkali, bekerja pada setiap pagi itu diumpamakan bersenam dengan mengerakkan setiap sendi dan tulang. Entah bila agaknya aku mahu berjogging atau pergi ke gim. Sebelum datang ke sini pun aku hanya berkira-kira mahu aktif bersenam. Tetapi, selalu saja ada alasan. Rasanya, sejak bulan lepas lagi aku bercadang untuk mengikuti kelas renang. Sampai hari ini, aku tidak pernah pergi pun. Mungkin tiada pendorong.
Maka, lantai di tempat aku bekerja sajalah menjadi gelanggang untuk aku bersenam. Bermula dengan mengumpulkan sampah-sampah menggunakan penyapu kain berbentuk T, kemudian diteruskan dengan kerja-kerja mengilat lantai menggunakan mesin. Hinggakan jari kiri aku terasa sakit mungkin kerana tersalah urat sewaktu menggunakan mesin pengilat lantai. Mana mahu cari orang yang pandai mengurut di sini. Kalau di kampung, harus aku segera berjumpa dengan bapak.
Satu perkara yang pasti sewaktu membersihkan lantai adalah memastikan bahawa tiada sebarang sampah atau kotoran di atasnya. Maka, apa saja yang jatuh, baik besar ataupun kecil yang boleh dilihat dengan mata kasar dikira sampah. Ada juga barang-barang kaca yang terjatuh dan pecah pada hari sebelumnya. Itu juga sudah dikira sampah. Yang paling aku tidak suka adalah membersihkan kepingan-kepingan kecil polisterin. Menjadikan kerja aku lembab.
Satu hari, sedang membersihkan lantai di kawasan yang ditetapkan, aku terjumpa duit syiling 10 pence. Sayang betul kalau aku tolak dan masukkan ke dalam kumpulan sampah. Besar nilainya. Maka, aku simpan ke dalam kocek. Satu hari yang lain pula, aku terjumpa pula duit syiling £1. Wah, lagi besar nilainya.
Pernah satu ketika, sedang asyik membersihkan kawasan yang terletak di celah-celah susunan pinggan mangkuk, terdampar sekeping not bernilai £5. Bayangkan, nilai itu sudah menyamai gaji aku untuk separuh hari. Dan hari ini, di antara kepingan kertas-kertas sampah, aku terjumpa dengan not bernilai £20. Pada mulanya, aku rasa tidak percaya melihat not kertas berkenaan. Adakah ianya duit benar atau palsu. Nilainya lebih besar dari gaji yang diterima untuk sehari!
Dalam waktu begini, kadangkala aku cuba ingin menjadi seorang yang jujur. Pulangkan duit kepada tuannya. Masalahnya, kepada siapa harus dipulangkan? Kalau aku serahkan pada penyelia, belum dapat dipastikan ke mana perginya duit itu nanti. Jadi, aku anggap itu adalah rezeki untuk seorang pembersih lantai yang kerjanya banyak mengutip sampah dan buangan orang. Atau juga apa yang dicicirkan orang.
Itu belum lagi aku kisahkan orang di sini yang bekerja membersihkan kawasan di dalam panggung wayang. Bayangkan, mereka terjumpa ipod, kamera digital, telefon bimbit dan bermacam-macam lagi barangan yang tercicir di dalam panggung.
rudy says:
Haha. Tu rezeki y tuhan beri. Tercicir ipod? hahahaha.. ko harapkan ipod aku y saharil bagi tercicir ek fajaaarrrr~ kuang3x ;p
12-12-07 at 8:27 am
ayobkelubi says:
kira nasib baik lah jumpa barang-barang macam tu.
aku dulu jumpa useable kondom dlm panggung.macam harammmm.hahahaha.
12-12-07 at 2:07 pm