Archive for December, 2007

24-12-07

Pening

Posted in bicara by fajr'

Kepala menjadi terlalu berat. Perut terasa bergelora. Membawa angin hingga ke anak tekak. Aku cuba makan, tetapi tidak mampu menghabiskan sepinggan nasi. Tidak seperti selalu. Mahu dikata tidak makan, pagi tadi perut sudah pun teralas.

Aku telan sebiji ubat untuk membuang angin di dalam badan. Tiba-tiba saja, sesuatu dari perut naik ke tekak. Kemudian, cuba keluar daripada mulut. Segera aku berlari ke bilik air sambil menadah tangan ke mulut.

Di dalam bilik air, segala apa yang telah aku makan dari pagi terhambur keluar. Mata aku basah dan berair menahan kesakitan. Najla mengikuti aku hingga ke bilik air sambil tangan kecilnya mengusap belakang aku perlahan-lahan. Risau agaknya melihat ayahnya dalam keadaan sebegitu.

Kali terakhir aku muntah begini semasa berada sekolah menengah. Itu pun semasa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands. Kepala aku berpusing-pusing tidak tertahan dengan jalan yang berliku menuruni cerun yang curam.

Satu hari yang begitu memenatkan. Dengan kepala yang begitu berat. Dan badan yang lemah.

22-12-07

Erti Pengorbanan

Posted in rasa by fajr'

Salam Aidiladha buat semua.

Impian. Pengorbanan. Setiap impian memerlukan perjuangan. Dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Namun pengorbanan itu memerlukan ketabahan hati.

Kadangkala pengorbanan itu tersimpan di dalam sanubari yang terdalam tanpa mengharap sebarang balasan. Namun sekurang-kurangnya, berikanlah ia secebis pengertian.

Pada lebaran ini, mungkin sudah tiba untuk aku menimbangkan akan erti pengorbanan aku selama ini. Juga menghargai kepada orang yang benar-benar berkorban untuk aku. Tanpa sebarang persoalan. Tanpa sebarang balasan. Setiap masa dan ketika.

[+]

Terima kasih kepada semua yang memberikan ucapan hari lahir. Doakan agar kejayaan yang gemilang menjadi hadiah yang terbaik untuk aku di sini.

Satu petanda bahawa aku ini sudah semakin tua apabila ada orang memanggil aku sebagai pakcik.

18-12-07

Hingga Saat Ini

Posted in peristiwa by fajr'

Syukur, hingga saat ini aku masih lagi bernafas di muka bumi ini. Sama-sama menikmati atas segala pemberian dari-Nya. Lebih-lebih lagi menempuhi kehidupan yang penuh dengan warna.

17-12-07

For You, A Thousand Times Over!

Posted in minat by fajr'

kiterunner.JPG

Kisah ini tentang persahabatan, ikatan kekeluargaan, kesetiaan, pengkhianatan, kekesalan dan kemaafan yang berlatarbelakangkan Kabul, Afghanistan. Sebelum ini, aku hanya mendengar betapa ramainya orang yang telah membaca buku ini memuji kisahnya hinggakan diadaptasikan ke filem. Lalu, suatu hari aku ke kedai buku Waterstones untuk memiliki buku ini, yang sememangnya sudah sekian lama diidamkan, iaitu The Kite Runner.

Ternyata, apa yang diceritakan benar. Aku terus khusyuk ke dunia mereka. Dunia persahabatan yang sungguh menggamit rasa, di antara Amir dan Hassan. Betapa bertuahnya Amir mempunyai sahabat yang begitu setia terhadap dirinya hingga sanggup berbuat apa saja untuk sahabat yang dianggap saudara sendiri. Meskipun Hassan hanyalah sekadar anak kepada pembantu rumah, kehadirannya tetap menyempurnakan diri Amir. Walau bagaimanapun, satu perkara menjadikan mereka tidak disenangi oleh sebahagian masyarakat di situ. Amir adalah anak keluarga ternama dari kalangan Pashtun, puak yang amat disegani. Manakala, Hassan adalah dari kalangan Hazara, puak yang terbuang dan dianggap hina. Namun, Hassan tetap disayangi seperti keluarga sendiri oleh ayah Amir sendiri.

Ikatan erat persahabatan itu terjejas kerana satu peristiwa yang begitu memilukan ketika pertandingan layang-layang di daerah itu. Amir dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan kasih sayang dan perhatian ayahnya sendiri hingga tidak sanggup mempertahankan Hassan yang berkorban untuk dirinya. Biarpun begitu, kesetiaan Hassan terhadap Amir tidak pernah berubah. Amir cuba menjauhkan diri hingga sanggup membuat perkara yang tidak sepatutnya. Hinggalah perang memisahkan mereka.

Berpuluh tahun Amir berpindah ke Amerika bersama ayahnya untuk menempuh hidup baru. Biarpun menikmati kejayaan, Amir tetap merasa kekosongan. Kisah lama membuatkan dia rasa begitu bersalah dan menghantui hidupnya. Hinggalah pada suatu hari apabila dia menerima panggilan daripada pakciknya. Saat itu, bermulalah satu harapan dan tindakan agar tertebus segala kesilapan yang pernah dilakukan suatu ketika dulu.

Sebelum ini, aku selalu membaca kisah yang agak menyentuh jiwa dan juga menusuk sanubari. Tetapi, harus aku akui, novel yang ditulis oleh Khaled Hosseini ini agak begitu tulus. Beberapa plot membuatkan hati aku merusuh, sedih dan terharu. Namun, masih dapat aku tahankan perasaan itu. Khaled begitu bijak bermain kata. Tetapi, satu bahagian membuatkan hati aku seakan dihiris hinggakan tanpa aku sedari air mata aku mengalir membasahi muka surat novel ini. Sepanjang ingatan aku, ini adalah salah satu novel yang bisa membuatkan aku menangis. Memang wajar juga kalau novel ini mendapat pujian daripada pembacanya.

Novel ini membongkarkan sifar sebenar manusia yang mempunyai kelemahan dan keegoan. Kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan tidak mungkin dapat dilupakan sebegitu mudah. Berapa ramai daripada kita yang begitu menyesal akan kesalahan yang pernah kita lakukan pada suatu masa dulu, hinggakan terlintas di benak fikiran kita agar dikembalikan pada masa lalu untuk memperbaikinya?

Jika anda mahukan satu naskah yang begitu indah, maka ini adalah salah satu daripadanya. Hayatilah, nescaya kalian akan mengerti mengapa naskah ini begitu istimewa.

Hingga kini, seolah-olah bagaikan terngiang-ngiang jeritan Hassan kepada Amir, ‘for you, a thousand times over‘.

12-12-07

Glasgow Photo Short-list

Posted in peristiwa by fajr'



Royal Concert Hall

“Hi fajaril,

I am writing to let you know that one of your photos with a Creative Commons license has been short-listed for inclusion in the fourth edition of our Schmap Glasgow Guide, to be published mid-December 2007 …”

Best regards,
Emma Williams,
Managing Editor, Schmap Guides

[+]

Wow. Tidak sangka. Gambar yang aku ambil ‘main-main’ menjadi pilihan mereka rupanya.