Archive for December, 2007

11-12-07

Pulangkan

Posted in bicara by fajaril

Minggu lepas, aku masih berada dalam keadaan sibuk mengemas rumah. Hari Rabu, aku tidak datang ke universiti kerana mahu menguruskan rumah Lorna. Hari itu aku sepatutnya menyerahkan semua kunci rumah seperti yang telah dijanjikan. Namun, sebelum itu, aku harus memastikan hati Lorna gembira melihatkan rumahnya masih cantik dan bersih seperti kali pertama dia menyerahkannya kepada aku.

Dalam masa yang sama, hati aku turut berdebar-debar dengan perundingan kami tempohari. Adakah aku akan kehilangan wang deposit sebanyak £400? Banyak sungguh. Ada kekeliruan dan salah faham antara kami berdua. Namun tidak aku nafikan bahawa aku juga bersalah kerana memberitahu urusan pindah keluar dari rumah tersebut dalam tempoh yang singkat. Wajar juga dia agak tertekan dengan aku. (Tapi kenapa naikkan sewa dalam tempoh yang singkat juga?)

Namun, semua yang berlaku ada hikmahnya. Jika tidak, mungkin kami sekeluarga tidak dapat berpindah ke rumah yang lebih selesa dan cantik. Dan yang paling penting, setidak-tidaknya kami dapat berjimat £20 daripada terus menetap di rumah Lorna. Petang itu, Lorna datang ke rumah tepat jam 5.15 petang seperti yang dijanjikan. Katanya, dia akan terus ke gim di Holyrood Sport Centre yang terletak tidak jauh dari situ.

Dia meninjau setiap ruang dan bilik untuk memastikan keadaan rumahnya dalam keadaan baik. Selepas itu, dia cuba mengeluarkan dokumen tentang perjanjian kami 6 bulan lepas. Cuma yang peliknya, dokumen yang diberikan adalah lain daripada apa yang aku dapat. Malang sekali, dokumen asal itu tertinggal di universiti! Maka bermulalah sesi perdebatan antara kami. Tapi jangan bayangkan kami bertikam lidah, sebaliknya perbincangan itu berjalan dengan baik kerana masing-masing cuba menghormati hak masing-masing.

Pada mulanya, memang Lorna berkata aku akan kehilangan wang deposit berjumlah £400. Tetapi, setelah aku cuba membuat perundingan, akhirnya dia bersetuju untuk menyerahkan separuh dari nilai deposit aku dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan olehnya. Dan aku bersetuju. Baik ada, daripada hilang semuanya!

Sebelum dia beredar, aku berikan sesuatu yang tidak dijangka sama sekali olehnya. Sekotak coklat. Dia agak terkejut dengan pemberian daripada kami. Dari matanya, dapat aku lihat yang dia sebenarnya terharu.

Hujung minggu itu, kami menerima sepucuk surat daripada Lorna. Seperti yang dijanjikan, sekeping cek bernilai £200 dipalangkan atas nama aku. Dan di dalam surat itu, dia melahirkan rasa terima kasih atas hadiah yang diterima olehnya tempohari. Harapnya, dia tidak memberikan persepi buruk terhadap aku mahupun orang-orang Malaysia yang lain.

10-12-07

Surpise!

Posted in kerja ii, peristiwa by fajaril

Hari ini birthday John. Barangkali, dia sendiri tidak ingat tentang hari jadinya pada hari ini. Memandangkan dia ini seorang penyelia yang baik, maka aku ingin berikan sesuatu sebagai tanda ingatan. Lalu, dari minggu lepas aku sudah siapkan sesuatu untuk dia. Satu-satunya benda yang tidak akan dijual di mana-mana.

Pagi tadi, aku bungkus dan letakkan hadiah berkenaan di pintu bilik John. Harapnya, dia gembira menerima hadiah berkenaan.

10-12-07

Di Atas Lantai

Posted in kerja ii by fajaril

Kadang-kadang aku merasakan hidup aku di sini terlalu membosankan. Bayangkan, setiap minggu aku terpaksa keluar pada setiap pagi, 6 hari seminggu. Kadang-kadang, tiada cuti langsung. Rutin yang sedikit sebanyak menahan kebebasan di dalam diri. Aku tidak mampu berjaga malam untuk belajar, membaca ataupun menonton tv kerana terlalu penat dan harus bersedia untuk keesokan paginya.

Tapi, aku cuba berfikiran positif, bahawa ini adalah salah satu cara untuk aku bangun awal pada setiap pagi. Barangkali, bekerja pada setiap pagi itu diumpamakan bersenam dengan mengerakkan setiap sendi dan tulang. Entah bila agaknya aku mahu berjogging atau pergi ke gim. Sebelum datang ke sini pun aku hanya berkira-kira mahu aktif bersenam. Tetapi, selalu saja ada alasan. Rasanya, sejak bulan lepas lagi aku bercadang untuk mengikuti kelas renang. Sampai hari ini, aku tidak pernah pergi pun. Mungkin tiada pendorong.

Maka, lantai di tempat aku bekerja sajalah menjadi gelanggang untuk aku bersenam. Bermula dengan mengumpulkan sampah-sampah menggunakan penyapu kain berbentuk T, kemudian diteruskan dengan kerja-kerja mengilat lantai menggunakan mesin. Hinggakan jari kiri aku terasa sakit mungkin kerana tersalah urat sewaktu menggunakan mesin pengilat lantai. Mana mahu cari orang yang pandai mengurut di sini. Kalau di kampung, harus aku segera berjumpa dengan bapak.

Satu perkara yang pasti sewaktu membersihkan lantai adalah memastikan bahawa tiada sebarang sampah atau kotoran di atasnya. Maka, apa saja yang jatuh, baik besar ataupun kecil yang boleh dilihat dengan mata kasar dikira sampah. Ada juga barang-barang kaca yang terjatuh dan pecah pada hari sebelumnya. Itu juga sudah dikira sampah. Yang paling aku tidak suka adalah membersihkan kepingan-kepingan kecil polisterin. Menjadikan kerja aku lembab.

Satu hari, sedang membersihkan lantai di kawasan yang ditetapkan, aku terjumpa duit syiling 10 pence. Sayang betul kalau aku tolak dan masukkan ke dalam kumpulan sampah. Besar nilainya. Maka, aku simpan ke dalam kocek. Satu hari yang lain pula, aku terjumpa pula duit syiling £1. Wah, lagi besar nilainya.

Pernah satu ketika, sedang asyik membersihkan kawasan yang terletak di celah-celah susunan pinggan mangkuk, terdampar sekeping not bernilai £5. Bayangkan, nilai itu sudah menyamai gaji aku untuk separuh hari. Dan hari ini, di antara kepingan kertas-kertas sampah, aku terjumpa dengan not bernilai £20. Pada mulanya, aku rasa tidak percaya melihat not kertas berkenaan. Adakah ianya duit benar atau palsu. Nilainya lebih besar dari gaji yang diterima untuk sehari!

Dalam waktu begini, kadangkala aku cuba ingin menjadi seorang yang jujur. Pulangkan duit kepada tuannya. Masalahnya, kepada siapa harus dipulangkan? Kalau aku serahkan pada penyelia, belum dapat dipastikan ke mana perginya duit itu nanti. Jadi, aku anggap itu adalah rezeki untuk seorang pembersih lantai yang kerjanya banyak mengutip sampah dan buangan orang. Atau juga apa yang dicicirkan orang.

Itu belum lagi aku kisahkan orang di sini yang bekerja membersihkan kawasan di dalam panggung wayang. Bayangkan, mereka terjumpa ipod, kamera digital, telefon bimbit dan bermacam-macam lagi barangan yang tercicir di dalam panggung.

07-12-07

Nanti Dulu

Posted in puisi by fajaril

Nanti,
jangan pergi dulu,
belum lama bersama,
belum juga bersua.

Tunggu,
usah berlalu,
bertahanlah di situ.

03-12-07

Hijrah Musim Sejuk

Posted in bicara by fajaril

Pada waktu begini, aku buat satu keputusan yang tidak sama sekali dijangka. Berpindah keluar dari rumah Lorna ke rumah lain. Sangat kebetulan, seorang kawan aku di sini ingin keluar dari rumahnya. Dalam masa yang sama, rumah itu adalah agak baik dan selesa jika dibandingkan dengan rumah sekarang. Sudah tentu, keputusan untuk keluar rumah ini tidak disenangi oleh Lorna pada mulanya memandangkan aku tidak memberikannya notis selama 1 bulan.

Tapi, aku juga agak geram kerana dia turut memberikan notis kenaikan sewa apabila tinggal 2 minggu kontrak tamat. Sekarang, aku dan dia bertarik tali untuk mendapatkan semula deposit rumah. Mudah-mudahan pintu hatinya terbuka untuk menyerahkan semula wang deposit itu. Secara bertulis, aku ternyata tidak melanggar sebarang kontrak yang ditandatangani.

Sayang juga sebenarnya melepaskan rumah berkenaan yang sememangnya cantik. Cuma, tingkap yang sekadar satu lapis cermin menjadikan rumah itu sangat sejuk walaupun dipasang pemanas. Hinggakan posmen pun sudah begitu mengenali pintu rumah kami untuk menghantar sebarang urusan surat dan pos. Sekiranya berpindah, banyak urusan yang perlu diselesaikan berhubung dengan soal bil, tukar alamat dan sebagainya.

Semalam, aku bertungkus lumus mengemas barang untuk berpindah ke rumah yang baru. Tidak jauh pun, hanya di sebelah pintu. Dan sememangnya urusan berpindah bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Dari barang besar hinggalah ke barang yang kecil. Segalanya perlu cermat agar tidak ada yang ketinggalan.

Cuma satu saja perkara yang terpaksa aku hadapi - berurusan dengan tuan rumah Sikh yang penuh putar belit. Mujur juga rumah dia sangat cantik dan selesa. Setidak-tidaknya, hati ini agak terpujuk.

Penat semalam masih belum hilang. Nanti-nanti, akan aku kongsikan gambar. Barang di rumah masih belum dikemaskan.

Yang penting, hati terasa lapang dan tenang. Sekurang-kurangnya buat masa ini.