31-01-08
Pening. Entri yang baru aku letakkan tadi, sudah pun hilang semula. Sebelum ini, dua entri hilang begitu saja. Mujur juga dapat bantuan daripada technical support dari internet-webhosting. Tidak sangka, begitu cepat dan pantas sekali mereka memberi respons dan bantuan. Terima kasih.
Harapnya, perkara ini tidak berlaku lagi. Tidak sanggup rasanya menghadapi peristiwa di mana semua entri yang pernah aku tuliskan hilang begitu saja. Kalau terjadi lagi, mungkin aku malas untuk menulis lagi di sini. Tidak sanggup aku menghabiskan masa untuk ini.
Dan tadi, satu entri sudah hilang semula. Macam biskut, kejap ada kejap tiada.
30-01-08
Ada seribu satu sebab kenapa dan mengapa ia hanya berdiam diri. Tanpa sebarang kata dan bicara.
Nanti, akan ada seribu satu sebab kenapa ia berpaling.
Biarkan.
29-01-08
Minggu lepas, aku mengikuti kursus penulisan dan pembentangan yang dikhususkan untuk pelajar post-graduate di universiti. Kursus yang berlangsung selama 3 hari itu bukan saja memberikan banyak input menarik, bahkan turut menyumbangkan 5 kredit. Hari pertama dimulakan bagaimana untuk menulis dengan baik dan struktur tesis yang sebenarnya. Kalaulah menulis teknikal itu semudah menulis blog ini, maka aku kira sudah tentu aku dapat sempurnakan beberapa bab untuk tesis atau laporan aku. Namun, menulis bahan ilmiah adalah satu perkara yang agak mencabar untuk aku. Terutama sekali di dalam dunia kejuruteraan yang penuh dengan pengiraan dan rumus yang kadangkala aku rasa lebih sukar untuk difahamkan berbanding membaca puisi atau prosa klasik. Barangkali, otak aku beroperasi agak berbeza dengan orang lain yang sealiran dengan aku.
Hari kedua lebih menekankan bagaimana untuk memulakan penulisan dan sedikit bengkel. Tapi, yang paling aku ingati adalah pada hari terakhir, iaitu sesi yang dikendalikan oleh seorang jurnalis dan juga pernah menjadi penyampai TV (BBC, ITV dan sebagainya). Seorang wanita yang begitu cergas, aktif dan bijak berkomunikasi dengan pendengar biarpun dia sedang sarat mengandung. Banyak juga maklumat yang dapat aku perolehi tentang ‘rahsia’ dan perbezaan penulisan di akhbar dan juga akademik.
Pun begitu, ada satu perkara yang tidak dapat aku lupakan peristiwa semasa kursus itu berlangsung. Sewaktu sesi kuliah, aku memilih tempat duduk yang agak depan, walaupun berada di sebelah tepi. Nampaknya, tiada sesiapa pun yang mahu duduk di sebelah, memandangkan lebih ramai di kalangan mereka agak selesa duduk belakang. Cuma, apabila ada yang datang lewat, maka mereka terpaksa mencari tempat duduk kosong yang kebanyakannya terletak di bahagian depan.
Waktu itu, datang seorang lelaki India yang memilih tempat duduk kosong di belakang aku. Satu perkara yang agak mengganggu aku sepanjang sesi kuliah itu adalah lelaki berkenaan meletakkan kakinya di sebelah kerusi yang kosong di tepi aku. Kakinya diselunjurkan melalui bawah meja. Maka, berbunyi-bunyilah kerusi itu setiap kali kakinya digerakkan.
Yang paling tidak aku tahan adalah dia telah membuka kasutnya dan menzahirkan stokin yang sudah kehilangan warna putihnya. Aroma yang luar biasa menerawang. Secara perlahan-lahan, bau itu menusuk ke deria hidung ini. Lama-lama aku jadi tidak selesa. Kalaulah stokin itu mampu berkata-kata, mahu saja aku bertanya, sudah berapa lama ia tidak dibasuh. Mujur juga tidak lama selepas itu, sesi masuk ke waktu rehat. Lega!
28-01-08

Sejauh mana pun kita,
tetap memandang pada bulan yang sama,
jika ada terkenang-kenang,
maka lihatlah ke atas sana.
*Gambar diambil semasa di Cairngorms National Park.
25-01-08
Awal pagi lagi kami bertolak dari tempat penginapan menuju ke Cairngorms National Park. Perjalanan agak lancar dan tenang memandangkan keadaan jalan yang tidak sibuk. Walau bagaimanapun, sebaik memasuki kawasan pergunungan berkenaan, kereta sudah mula berderet-deret menuju ke destinasi yang sama. Dalam masa yang sama, suasana sekeliling berubah dengan muka bumi yang dilitupi salji. Satu rasa yang berbeza muncul di dalam hati. Barangkali rasa teruja melihat salji yang penuh di situ.

Mujur juga kami sampai agak awal, maka agak mudah untuk meletakkan kenderaan. Meskipun jam menghampiri pukul 9, sudah banyak kenderaan bertapak di sekitar kawasan. Untuk ke puncak Cairngorms, kami akan menaiki keretapi yang lebih kurang sama seperti kereta kabel di Bukit Bendera. Harga yang dikenakan, boleh tahan juga, sekitar £9 untuk seorang dewasa. Memandangkan ingin berada di puncak, maka terpaksa juga aku korbankan duit demi ingin merasai satu pengalaman baru.

Sebaik tiba di puncak, angin bertiup agak kuat dengan membawa butir-butir ais. Melihatkan salji di sekeliling, rasa gembira terpancar terus di muka Najla. Niat kami hanyalah sekadar bermain-main di sekitar kawasan berdekatan dengan bangunan utama yang menempatkan stesen keretapi dan restoran. Kebanyakan orang yang naik ke sini lengkap dengan pakaian dan peralatan bermain ski. Manakala, kami hanya sekadar cukup untuk menutup badan dari kesejukan.

Kali pertama memegang salji, adalah sama seperti memegang ais yang dikisar untuk ABC! Tidak pernah terlintas di fikiran aku, bahawa aku dapat memegang salji seperti ini. Keadaan yang sejuk dan berangin membuatkan kami tidak dapat bertahan lama di luar. Maka, setelah bermain beberapa minit, kami akan segera masuk ke dalam bangunan mengelakkan kebas. Di restoran, menikmati minuman coklat panas di dalam kesejukan adalah satu nikmat yang tidak terkata.

Setelah beberapa ketika berada di puncak, barulah kami turun semula ke stesen bawah. Di situ, kami berehat dengan makan tengahari dan menunaikan solat. Selepas itu, kami terus bersambung bermain salji. Keadaan di bawah adalah sedikit tenang dan kurang sejuk berbanding di atas. Mungkin kerana angin tidak bertiup sebegitu kuat seperti di atas. Walau bagaimanapun, keadaan salji di bahagian bawah agak keras. Seumpama ais yang keras. Jatuh di atasnya sudah cukup membuatkan badan sakit. Tambahan pula, keadaannya adalah agak licin. Beberapa kali juga aku tergelincir dan jatuh.

Namun, yang paling lama bertahan bermain salji adalah Najla. Setidak-tidaknya, kami dapat menunaikan hasratnya yang seringkali terucap dari bibirnya. Ternyata, dia begitu teruja. Melihatkan dia gembira, sudah cukup membuatkan diri ini terasa puas dan bahagia.

Lewat petang itu, barulah kami semua pulang ke Glasgow dengan rasa penat tetapi puas. Meskipun banyak juga duit yang keluar, namun pengalaman yang dilalui adalah tidak ternilai. Insya Allah, moga satu hari nanti kami akan ke sini semula. Barangkali, dengan kamu teman?


Koleksi foto.