Menuju ke Aviemore
Setiap kali rancangan atau iklan di tv memaparkan visual salji, Najla akan berteriak gembira. Betapa dia suka melihat salji meskipun tidak pernah merasai sendiri secara realiti. Mengharap salji turun ke Glasgow, adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka. Aku diberitakan salji pernah menutupi bumi Glasgow beberapa tahun lepas. Tidak pula dipastikan untuk tahun ini. Pernah juga salji turun beberapa minggu lepas, tapi tidaklah tebal. Itupun hanya untuk seketika. Namun, melihatkan salji turun berterbangan perlahan-lahan dan mencair di muka bumi melalui tingkap rumah sudah membuatkan Najla teruja. Bahkan, pertama kali merasai salji menyentuh pipi membuatkan aku tersenyum sendiri.
Apabila ada teman yang mengajak kami keluar bermain salji di kawasan tinggi di utara Scotland, atau dikenali sebagai Highland, maka aku terus menyambutnya! Sudah lama aku berhajat untuk membawa keluarga berjalan keluar dari Glasgow. Sejak mereka datang ke mari, hanya sekitar Glasgow sahaja yang kami jejaki. Melainkan aku, yang mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti. Moga hajat Najla bermain salji juga akan tercapai.
Sebenarnya, dalam masa yang sama, aku seakan sudah tepu dan bosan berada di bandar Glasgow yang tidak memberikan sebarang semangat istimewa ke dalam diri aku. Saban hari, segala rutin hidup adalah sama. Apatah lagi, setiap pagi terpaksa bangun awal dan bekerja, lalu terus ke universiti. Mungkin sesuatu di luar sana dapat memberikan kelainan ke dalam hidup aku.
Perancangan untuk ke Aviemore telah dilakukan seawal mungkin. Lebih-lebih lagi untuk membuat tempahan bilik di sana. Satu perkara yang menarik di sini adalah, sekiranya kita membuat tempahan awal, maka harga yang dikenakan adalah begitu murah. Bukan saja untuk penginapan, malah tiket perjalanan juga begitu. Ada juga tiket bas yang dijual sekadar £1 jika kita bijak membuat perancangan awal. Namun, untuk ke Aviemore, aku hanya menggunakan kenderaan sendiri. Lebih mudah dan fleksibel. Untuk penginapan ini, kami dikenakan sebanyak £20, jika dibandingkan harga yang dikenakan pada hari itu sebanyak £50. Jauh benar bezanya.
Seawal pagi lagi, kami sudah berkumpul beramai-ramai. Perjalanan ke Aviemore tidak melalui jalan yang terdekat, tetapi akan melalui jalan yang agak jauh, iaitu melintasi Fort William. Kawasan ini agak terkenal dengan kecantikan pemandangan berbukit dan bergunung. Kami banyak juga berhenti di sekitar perjalanan untuk menikmati keindahan yang ada.
Sesuatu yang agak istimewa adalah pemandangan di sini laksana satu lukisan indah. Di samping itu, terdapat banyak kawasan tasik atau dikenali sebagai loch atau glen, menurut bahasa Gaelic. Adapun nama loch dan glen itu bergantung kepada kedalaman dan luas tasik berkenaan. Jika tasik itu luas dan cetek, maka ia dikenali sebagai loch.
Sebaik saja kami melalui kawasan perkampungan di sini, hati aku sudah mula terpana dengan keadaan sekeliling. Betapa berbezanya dengan keadaan yang kami tinggal pada masa kini. Suasana yang damai membuatkan aku terasa begitu tenang dan terharu dalam masa yang sama.
Memandangkan kami mengikuti laluan yang agak jauh, maka kami sampai ke destinasi juga pada malam sudah pun melepaskan layarnya. Apatah lagi, keadaan mulai gelap sekitar jam 4 petang. Hari pertama, salji hanya boleh dilihat dari kejauhan. Mungkin esok, aku akan mula mengenggam salji dan bermain di atasnya.
Di satu persinggahan, kami bertuah kerana bertemu dengan rusa liar ini. Tempat ini terletak dekat dengan pergunungan yang dikenali sebagai Munros. Di satu sudut, telah didirikan seakan satu tugu yang dinamakan Cairn memperingati mereka yang telah terkorban sewaktu mendaki Scottish Mountains.
Melihatkan keindahan ciptaan Tuhan, membuatkan aku terasa begitu kerdil. Terlintas pula di fikiran, jika ini sudah dikatakan begitu indah, bagaimana pula agaknya syurga yang telah Dia ciptakan?






aliff says:
Masyallah!
24-01-08 at 2:09 am
Azhar Ahmad says:
Hummmm… saya akui sangat2. Ayat terakhir itu…. Syahdu….
24-01-08 at 3:51 am
zahila says:
MasyaAllah…
cantiknya pemandangan……………
syukur Alhamdulillahh ada juga kesempatan ko melihat sendiri keindahan alam ciptaan yang Esa.
Semoga bertambah ‘iman’ kepadaNya……
24-01-08 at 6:28 am
zahila says:
Fajar,
Syurga itu…………..
Indah dan Cantiknya……….
Telah Allah SWT gambarkan terdapat sungai yang mengalir di bawahnya dan punya pohon buah-buahan….
Tetapi…..
Indah dan Cantiknya………..
Tidak Pernah Tergambar Oleh Fikiran Seorang Manusia……
Hebat…….
Cumanya manusia lebih suka pada ’syurga dunia’ berbanding dengan ’syurga yang kekal abadi’……
24-01-08 at 6:33 am
JIMI says:
Fajar, cantiksungguh lanskap di sana. Bilalah saya nak merasa ke sana?
24-01-08 at 2:14 pm
Chentahati says:
Ha…
Cantiknya..! Amiklah gambar banyak-banyak!
Sekurang-kurangnya tak dapat pergi, dapat tengok pun jadilah
25-01-08 at 1:45 am
Abu Bazli says:
macam banjaran makarios…
25-01-08 at 10:34 am
fajaril says:
Aliff & Azhar: memang indah.
Zahila: tidak dapat pula dibayangkan indahnya syurga milik-Nya. moga kita tak leka dengan syurga dunia yg sementara ini.
jimi: insya Allah, mana tahu satu hari nanti dpt dtg ke sini?
Chentahati: ada kat flickr!
Abu Bazli:
25-01-08 at 7:24 pm