Andai Stokin Itu Bisa Berbicara
Minggu lepas, aku mengikuti kursus penulisan dan pembentangan yang dikhususkan untuk pelajar post-graduate di universiti. Kursus yang berlangsung selama 3 hari itu bukan saja memberikan banyak input menarik, bahkan turut menyumbangkan 5 kredit. Hari pertama dimulakan bagaimana untuk menulis dengan baik dan struktur tesis yang sebenarnya. Kalaulah menulis teknikal itu semudah menulis blog ini, maka aku kira sudah tentu aku dapat sempurnakan beberapa bab untuk tesis atau laporan aku. Namun, menulis bahan ilmiah adalah satu perkara yang agak mencabar untuk aku. Terutama sekali di dalam dunia kejuruteraan yang penuh dengan pengiraan dan rumus yang kadangkala aku rasa lebih sukar untuk difahamkan berbanding membaca puisi atau prosa klasik. Barangkali, otak aku beroperasi agak berbeza dengan orang lain yang sealiran dengan aku.
Hari kedua lebih menekankan bagaimana untuk memulakan penulisan dan sedikit bengkel. Tapi, yang paling aku ingati adalah pada hari terakhir, iaitu sesi yang dikendalikan oleh seorang jurnalis dan juga pernah menjadi penyampai TV (BBC, ITV dan sebagainya). Seorang wanita yang begitu cergas, aktif dan bijak berkomunikasi dengan pendengar biarpun dia sedang sarat mengandung. Banyak juga maklumat yang dapat aku perolehi tentang ‘rahsia’ dan perbezaan penulisan di akhbar dan juga akademik.
Pun begitu, ada satu perkara yang tidak dapat aku lupakan peristiwa semasa kursus itu berlangsung. Sewaktu sesi kuliah, aku memilih tempat duduk yang agak depan, walaupun berada di sebelah tepi. Nampaknya, tiada sesiapa pun yang mahu duduk di sebelah, memandangkan lebih ramai di kalangan mereka agak selesa duduk belakang. Cuma, apabila ada yang datang lewat, maka mereka terpaksa mencari tempat duduk kosong yang kebanyakannya terletak di bahagian depan.
Waktu itu, datang seorang lelaki India yang memilih tempat duduk kosong di belakang aku. Satu perkara yang agak mengganggu aku sepanjang sesi kuliah itu adalah lelaki berkenaan meletakkan kakinya di sebelah kerusi yang kosong di tepi aku. Kakinya diselunjurkan melalui bawah meja. Maka, berbunyi-bunyilah kerusi itu setiap kali kakinya digerakkan.
Yang paling tidak aku tahan adalah dia telah membuka kasutnya dan menzahirkan stokin yang sudah kehilangan warna putihnya. Aroma yang luar biasa menerawang. Secara perlahan-lahan, bau itu menusuk ke deria hidung ini. Lama-lama aku jadi tidak selesa. Kalaulah stokin itu mampu berkata-kata, mahu saja aku bertanya, sudah berapa lama ia tidak dibasuh. Mujur juga tidak lama selepas itu, sesi masuk ke waktu rehat. Lega!
badril says:
Ya Rabbi, Ya Tuhan… I’d a similar experience last semester.
30-01-08 at 12:08 am
badril says:
Ya Rabbi, Ya Tuhan… I had a similar experience last semester.
30-01-08 at 12:08 am
syia says:
huwahahhaha.. heheh kene la eh tahan bau stokin .. berape lama la dia tak basuh tu hehe
30-01-08 at 12:22 am
Azhar Ahmad says:
Hadehhhh… pengitior sungguh,.,,
30-01-08 at 5:12 am
JP says:
Kalau dicampak dalam kolam, mesti banyak ikan yang akan ‘timbul’ tu.. hehehe!
30-01-08 at 5:54 am
Azhar Ahmad says:
kamu dah fofuler… tu yang kena hack tuhhh
31-01-08 at 9:18 pm
rudy says:
buat sup stokin tuh n bagi dia minum! muhahahahaa!
05-02-08 at 6:07 am