Archive for January, 2008

23-01-08

Menuju ke Aviemore

Posted in kembara by fajr'

Setiap kali rancangan atau iklan di tv memaparkan visual salji, Najla akan berteriak gembira. Betapa dia suka melihat salji meskipun tidak pernah merasai sendiri secara realiti. Mengharap salji turun ke Glasgow, adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka. Aku diberitakan salji pernah menutupi bumi Glasgow beberapa tahun lepas. Tidak pula dipastikan untuk tahun ini. Pernah juga salji turun beberapa minggu lepas, tapi tidaklah tebal. Itupun hanya untuk seketika. Namun, melihatkan salji turun berterbangan perlahan-lahan dan mencair di muka bumi melalui tingkap rumah sudah membuatkan Najla teruja. Bahkan, pertama kali merasai salji menyentuh pipi membuatkan aku tersenyum sendiri.

Apabila ada teman yang mengajak kami keluar bermain salji di kawasan tinggi di utara Scotland, atau dikenali sebagai Highland, maka aku terus menyambutnya! Sudah lama aku berhajat untuk membawa keluarga berjalan keluar dari Glasgow. Sejak mereka datang ke mari, hanya sekitar Glasgow sahaja yang kami jejaki. Melainkan aku, yang mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti. Moga hajat Najla bermain salji juga akan tercapai.

Sebenarnya, dalam masa yang sama, aku seakan sudah tepu dan bosan berada di bandar Glasgow yang tidak memberikan sebarang semangat istimewa ke dalam diri aku. Saban hari, segala rutin hidup adalah sama. Apatah lagi, setiap pagi terpaksa bangun awal dan bekerja, lalu terus ke universiti. Mungkin sesuatu di luar sana dapat memberikan kelainan ke dalam hidup aku.

Perancangan untuk ke Aviemore telah dilakukan seawal mungkin. Lebih-lebih lagi untuk membuat tempahan bilik di sana. Satu perkara yang menarik di sini adalah, sekiranya kita membuat tempahan awal, maka harga yang dikenakan adalah begitu murah. Bukan saja untuk penginapan, malah tiket perjalanan juga begitu. Ada juga tiket bas yang dijual sekadar £1 jika kita bijak membuat perancangan awal. Namun, untuk ke Aviemore, aku hanya menggunakan kenderaan sendiri. Lebih mudah dan fleksibel. Untuk penginapan ini, kami dikenakan sebanyak £20, jika dibandingkan harga yang dikenakan pada hari itu sebanyak £50. Jauh benar bezanya.

avi2.jpg

Seawal pagi lagi, kami sudah berkumpul beramai-ramai. Perjalanan ke Aviemore tidak melalui jalan yang terdekat, tetapi akan melalui jalan yang agak jauh, iaitu melintasi Fort William. Kawasan ini agak terkenal dengan kecantikan pemandangan berbukit dan bergunung. Kami banyak juga berhenti di sekitar perjalanan untuk menikmati keindahan yang ada.

Sesuatu yang agak istimewa adalah pemandangan di sini laksana satu lukisan indah. Di samping itu, terdapat banyak kawasan tasik atau dikenali sebagai loch atau glen, menurut bahasa Gaelic. Adapun nama loch dan glen itu bergantung kepada kedalaman dan luas tasik berkenaan. Jika tasik itu luas dan cetek, maka ia dikenali sebagai loch.

avi3.jpg

Sebaik saja kami melalui kawasan perkampungan di sini, hati aku sudah mula terpana dengan keadaan sekeliling. Betapa berbezanya dengan keadaan yang kami tinggal pada masa kini. Suasana yang damai membuatkan aku terasa begitu tenang dan terharu dalam masa yang sama.

avi1.jpg

Memandangkan kami mengikuti laluan yang agak jauh, maka kami sampai ke destinasi juga pada malam sudah pun melepaskan layarnya. Apatah lagi, keadaan mulai gelap sekitar jam 4 petang. Hari pertama, salji hanya boleh dilihat dari kejauhan. Mungkin esok, aku akan mula mengenggam salji dan bermain di atasnya.

avi4.jpg

Di satu persinggahan, kami bertuah kerana bertemu dengan rusa liar ini. Tempat ini terletak dekat dengan pergunungan yang dikenali sebagai Munros. Di satu sudut, telah didirikan seakan satu tugu yang dinamakan Cairn memperingati mereka yang telah terkorban sewaktu mendaki Scottish Mountains.

avi6.jpg

Melihatkan keindahan ciptaan Tuhan, membuatkan aku terasa begitu kerdil. Terlintas pula di fikiran, jika ini sudah dikatakan begitu indah, bagaimana pula agaknya syurga yang telah Dia ciptakan?

avi5.jpg

21-01-08

Menghembus Dingin Salji Kepada Kamu

Posted in bicara by fajr'

Suatu hari, aku pergi mencari salji. Jauh ke bahagian utara Scotland. Di Cairngorm, antara kawasan tinggi yang dilitupi ais. Bertebaran warna putih di sekitar. Hawa sejuk menyelubungi.

snow1.jpg

Lalu, aku titipkan pesanan ringkas kepada beberapa orang teman di Malaysia. Bagaikan cuba mengirimkan rasa sejuk dan dingin salji dari puncak kepada yang jauh. Pesanan asal itu, tercatat di sini.

Sedetik kemudian, aku menerima balasan daripada Rudy,

“Ya. Datang bersama sms kau tadi. Beku. Terlalu rindu musim putih - fuyu Fukushima. Bergembiralah Jar. Tapi awas. Telinga, kaki dan tangan mengebas”

Juga dari Kak Elaira,

“…telah tiba dingin dan bayu yang dikirimkan. KL sejuk hujan dan rembulan mengambang. Moga sejahtera kalian sekeluarga.”

snow2.jpg

Oh ya. Nett, itu untuk kau. Bukankah kau berpesan untuk mengirimkan salji? Salji ini dari puncak Cairngorm!

* Prelude untuk entri Kembara Ke Cairngorm.

[+]


View Larger Map

19-01-08

Dari Kamu

Posted in bicara by fajr'

surat.jpg

Sahabat, telah aku terima kiriman darimu. Kandungan di dalamnya membuatkan aku tersenyum dan tertawa. Meski tiada sebarang nota membingkiskan sebarang bicara, ianya sudah cukup bermakna.

Terima kasih sahabat kerana begitu bersusah payah mendapatkannya di sekitar KL dan bandar-bandar lain. Dari SMS yang aku terima, ternyata begitu payah mencari sesuatu yang kita kehendaki.

18-01-08

Sesuatu Yang Pasti

Posted in monolog by fajr'

Catatan ini sudah lama aku tuliskan. Tiga minggu yang lalu. Cuma baru ke hari ini baru aku berkesempatan untuk berkongsi di sini. Kita ini manusia. Sering terkejar dan memandang ke atas hingga terlupa bumi yang kita pijak.

Hari itu aku cukup terkesan dengan khutbah Jumaat yang disampaikan di masjid universiti. Membuatkan aku lebih berfikir panjang ke dalam diri sendiri. Khutbah yang menyentuh tentang kepastian datangnya mati sedangkan ramai manusia di dunia ini sibuk dengan urusan dunia dan mencari kekayaan. Sememangnya kita manusia tidak pernah akan puas dengan apa yang kita ada. Lebih-lebih lagi, kalau ia melibatkan soal kewangan dan kemewahan. Cara hidup masa kini meletakkan material adalah segala-galanya. Kekayaan akan datang bersama tanggungjawab yang lebih besar. Belajar untuk berpuas hati dengan apa yang ada pada ketika ini biarpun terasa sukar dan payah. Tapi, setiap sesuatu pasti ada hikmahnya.

Aku ini manusia yang mudah terlupa. Maka, aku harus mengingatkan diri ini selalu. Kita selalu berkata, bahawa mati itu pasti. Tapi, sejauh mana kita bersedia untuk menghadapinya? Sedangkan kita sendiri tidak pasti, bilakah detiknya malaikat datang menjemput kita. Saat itu, akan ditinggalkan segala-galanya kecuali amal yang telah kita kerjakan.

Amal? Berapa banyakkah amal yang aku simpan selama ini? Terasa masih tidak mencukupi.

Imam meninggalkan satu soalan akhir yang cukup memberi impak yang amat besar kepada aku hingga ke saat ini catatan ini ditulis.

Are you ready?

Terasa gugup pula hati ini dengan soalan itu. Bersediakah aku menghadapi mati apabila tiba masanya?

16-01-08

Bukan Yang Terbaik

Posted in kerja i by fajr'

rpd.jpg

Akhirnya, selesai sudah pembentangan yang berlangsung kelmarin. Tidak dinafikan, ianya merupakan satu pendedahan yang agak baik terutama sekali kepada golongan pelajar (seperti aku). Waktu begini, kemahiran komunikasi harus dipraktikkan dengan sebaiknya. Oleh itu, bagi mengelakkan diri dari kehilangan fokus dan idea, sudah aku persiapkan awal-awal lagi skrip kasar tentang isi-isi utama yang akan digunakan apabila berdepan dengan panel penilai.

Malang sekali, dua orang panel penilai aku tidak begitu arif dalam bidang yang aku laksanakan. Satu cabaran, adalah ingin membuatkan mereka berminat dan memahami konsep yang akan diberikan. Jika tidak, mereka pasti menganggap apa yang aku buat tidak memberikan signifikan di dalam dunia teknologi. Namun, tidak dapat aku nafikan, adalah terlalu awal untuk aku memberikan sesuatu keputusan yang jelas pada masa ini. Yang terbentang adalah sekadar perancangan dan bukanlah hasil yang boleh dibanggakan. Apatah lagi ingin bersaing dengan pelajar lain yang ternyata sudah matang dan lebih senior daripada aku.

Pada waktu begini, aku merasakan diri ini agak kerdil. Tapi, aku tidak mahu ia menyelubungi diri aku secara terus menerus. Untuk menjadi yang terbaik, sudah tentu memerlukan sedikit masa. Dan yang paling penting, ia memerlukan ketekunan, usaha dan semangat yang jitu!

Namun begitu, aku agak gembira menerima respons positif daripada beberapa pelawat yang terdiri daripada professor (atau pensyarah) yang agak berminat dengan aktiviti yang sedang aku laksanakan. Sekurang-kurangnya, ia memberikan satu impak kepada kumpulan yang tertentu. Sudah pasti, ia akan menjadi satu batu loncatan untuk aku menghasilkan yang terbaik bagi meletakkan diri di dalam kelompok yang terbaik.

“The poster already explains everything. Good. Well done! I will look forward to see you next year for some result.”

Komentar itu sudah cukup membuatkan aku tersenyum. Namun, dalam masa yang sama membuatkan aku sangat gementar kerana menerima high expectation daripada mereka. Sedangkan buat masa sekarang ini, terlalu banyak perkara yang harus aku kejar.

Hari ini, aku terpaksa membuat pembentangan yang kedua. Kali ini, di depan pelawat industri yang datang membuat kunjungan khas. Aku kira, sesi ini agak sukar berbanding semalam kerana tumpuan hanya diberikan kepada aku semasa pembentangan bermula. Lima orang pelawat dan empat orang rakan semakmal. Namun, yang lebih membuatkan aku lebih gementar adalah adanya John, penyelia aku sendiri di situ. Selalu saja aku jadi kalut dengan adanya dia.

Tiada sebarang masalah pada pembukaannya. Cuma, di tengah-tengah aku sudah banyak tersasul dan merapu yang bukan-bukan. Idea aku sudah mula tersekat kerana melihatkan pelawat utama aku tertidur!

Bosan? Atau barangkali dia sudah begitu kepenatan dan lapar.

Oh, sorry John!