Ketepi
Kadang-kadang sedih juga menjadi orang yang kena reject.
Samada kurang layak atau terlebih layak.
Photo: © Peter Dazeley/Corbis
Kadang-kadang sedih juga menjadi orang yang kena reject.
Samada kurang layak atau terlebih layak.
Photo: © Peter Dazeley/Corbis
Seorang sahabat memaklumkan kepada aku tentang pembentangan yang telah dilaksanakan olehnya semalam. Hasil kajian yang telah dilakukan hampir setahun melalui keringat, curahan fikiran dan daya usaha telah mula menampakkan hasilnya. Harus aku akui, tugas hakiki akademik di dunia penyelidikan peringkat yang sedang aku ikuti bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya memerlukan komitmen, konsentrasi, keazaman, kecekalan, ketabahan, kesabaran dan sewaktu dengannya. Begitu juga dengan tuah. Tidak dapat dinafikan, kadangkala aku hampir saja putus semangat. Namun mengenangkan ini adalah satu titik pusingan dalam hidup, maka aku teruskan juga perjuangan ini.
Mendengar khabar dari sahabat aku ini, menjadikan semangat aku menjadi sedikit bercahaya. Meskipun dia mempunyai kelebihan untuk berkomunikasi dan mempunyai bakat berpidato, aku kira hasil yang diperolehinya selama ini turut memberikan kesan yang besar. Eksperimen yang dilakukan pada saban hari dan malam dengan mengorbankan masa rehatnya kini benar-benar berbaloi.
Dia begitu bekerja keras demi impiannya. Hinggakan hasil pembentangannya semalam disebut oleh salah seorang audien di situ sebagai ‘world class’. Untuk itu, dia diberikan wang geran untuk pembentangan di luar negara yang agak banyak nilainya. Dia ini, aku kategorikan sebagai orang yang memang mempunyai bakat. Tambahan pula dengan kerajinan yang ada dalam dirinya. Sememangnya dia layak atas segala usaha yang telah dicurahkan. Aku yakin, satu hari nanti dia bakal menyinar di dalam bidangnya. Aku tumpang gembira dan berbangga dengannya.
Untuk itu, sahabatku, tahniah atas kejayaan ini. Satu pembuka untuk kejayaan yang seterusnya!
Suasana sudah gelap sewaktu aku melangkah keluar dari pintu universiti. Tidak lama lagi, waktu maghrib akan tamat meskipun jam menghampiri waktu tujuh. Rasa sejuk mencengkam. Sesekali angin kuat bertiup menambahkan lagi kedinginan. Sekitar bandar Glasgow dilimpahi dengan cahaya lampu neon.
Kaki aku terus melangkah ke tempat menunggu bas yang terletak di hadapan sebuah kedai judi. Mujur juga malam ini hujan tidak turun dengan lebat seperti pagi tadi. Langkah diatur dengan hati-hati. Takut terpijak ke dalam takung air. Atau lebih teruk lagi, terpijak najis anjing.
Sebaik tiba di hentian bas, mata aku terpandangan seorang lelaki berdiri membelakangi jalan di satu sudut di antara kedai judi dan sebuah restoren. Pantas otak bertanya dan cuba membuat kesimpulan apakah yang cuba dilakukan olehnya. Rupa-rupanya, dia sedang membuang air kecil di situ! Bayangkan, di tempat terbuka sebegitu tidak menimbulkan rasa malu langsung kepada dirinya. Barangkali dia tidak tertahan dan menanggung tekanan pada pundi kencingnya, benak aku membuat wajaran. Tambahan pula, tempat di situ agak tersorok dan gelap untuk dilihat dengan jelas.
Situasi sebegini bukanlah satu perkara yang baru buat aku di sini. Ia adalah situasi yang jarang berlaku, tapi menjadi satu keadaan yang luar biasa. Masih aku ingat lagi satu peristiwa setelah hampir sebulan lebih aku tiba di Glasgow. Waktu itu, aku menuju ke pasaraya Asda, Toryglen yang terletak berdekatan dengan rumah. Cuaca agak baik dengan limpahan matahari. Aku pergi berjalan kaki bersendirian memandangkan Najla dan ibunya masih lagi di Malaysia pada ketika itu.
Sebaik aku hampir tiba di Asda, aku terlihat dua orang lelaki berdiri di laluan pejalan kaki di antara pasaraya berkenaan dan pondok hentian bas. Pada mulanya, aku fikirkan mereka duduk bersantai sambil merokok. Rupa-rupanya, mereka berdua sedang kencing di situ. Keadaan pada waktu itu cukup terang untuk dilihat oleh sesiapa saja yang melaluinya. Bahkan, tempat yang dijadikan tandas terbuka buat mereka bukanlah di bawah pokok atau tempat yang agak tersorok.
Kencing secara terbuka adalah satu perkara yang agak tidak manis dipandang. Apatah lagi di siang hari. Yang paling mengejutkan aku adalah salah seorang lelaki berkenaan membuang air kecilnya dengan membuat aksi seolah-olah sedang menyiram air di sekitar kawasan berkenaan. Bagaikan membuatkan pusingan 180 darjah. Jadi boleh dibayangkan apa yang telah mata aku lihat. Rasa malu terus menyerkup kepala ini.
Mungkin juga lelaki berdua ini dalam keadaan mabuk yang menyebabkan mereka bertindak sesuka hati. Bahkan di pasaraya Asda mempunyai tandas yang cukup sempurna dan bersih bagi mereka menyelesaikan hajat. Barangkali, mereka lebih selesa untuk memancutkan bahan kumuhan mereka secara alami atau natural. Lebih cepat dan tidak perlu dicuci.
Aku turut diceritakan dengan pengalaman oleh beberapa rakan di sini tentang kisah orang yang membuang sesuka hati. Sesetengah mereka bagaikan tiada ketamadunan hingga merasakan mereka boleh membuat tandas di mana-mana saja pada bila-bila masa. Bayangkan, apakah perasaan kita apabila melihatkan najis manusia di depan pintu rumah? Marah? Terkejut? Geram?
Demikianlah yang diceritakan kepada aku tentang flat mereka yang dijadikan tempat tandas terbuka. Kebanyakan rumah di sini adalah jenis flat 4 tingkat. Satu pintu utama akan dikongsi dengan 8 rumah - 2 buah rumah pada setiap tingkat. Selalunya, rumah begini menawarkan harga sewa yang agak murah dibandingkan dengan rumah sebuah atau rumah berkembar.
Oleh yang demikian, kebiasaannya 8 keluarga akan berkongsi tangga dan pintu utama yang sama. Namun, ada juga penyewa yang menduduki satu rumah secara beramai-ramai. Aku difahamkan, kebanyakan mereka datang dari Republik Czech. Mungkin pada satu malam, tandas yang di rumah berkenaan seringkali penuh. Oleh kerana tidak begitu tahan, maka ada di antara mereka yang terpaksa melepaskan hajat di tangga. Bukannya sekali najis yang dibuang dan dibiarkan begitu saja. Pernah juga ia dalam keadaan cair dan begitu menjijikkan.
Memandangkan tiada siapa yang ambil peduli untuk membuang najis berkenaan, maka rakan aku yang bertungkus lumus membersihkan tangga di pintu rumahnya. Habis sudah disental dengan pencuci. Begitu bertanggungjawabnya kita sebagai orang Malaysia. Tambahan pula, mana mungkin sanggup membiarkan depan pintu rumah mempunyai najis. Baunya saja sudah cukup meloyakan.
Seorang kawan aku yang pernah tinggal di Bangladesh untuk beberapa bulan menceritakan pengalaman hidupnya di sana. Dia berpesan, kalau berjalan di sana, jangan sesekali menyandar atau merapati dinding bangunan kerana selalunya ia dijadikan tandas mereka. Bahkan pembahagi jalan pun boleh dijadikan tempat buangan. Diceritakan juga kepada aku betapa susahnya mahu mencari tandas awam di tempat berkenaan.
Kalau di sini, aku harus juga berhati-hati dengan dinding bangunan dan kaki lima. Sudah menjadi satu hidangan mata bahawa kawasan berkenaan menjadi tempat buangan anjing peliharaan. Terutama sekali di tempat sekitar tempat tinggal yang aku duduki. Barangkali di kawasan lain, penduduknya lebih bertanggungjawab.
Kadang-kadang, sesetengah mereka bagaikan kehilangan akal dan rasional untuk berfikir. Inikah antara harga kemodenan dan pembangunan yang harus dibayar?
Kawan, tidak semuanya indah di sini.
Akhirnya, dapat juga aku siapkan laporan yang berminggu lamanya untuk disempurnakan. Tapi apabila dibaca untuk beberapa kalinya, macam banyak yang kurang. Bukan mudah untuk mencari kesempurnaan. Dan aku harus belajar untuk memperbaikinya. Mudah-mudahan segala urusan selepas ini akan berjalan lancar.
Nampaknya, selepas ini boleh aku tumpukan untuk meninjau-ninjau program C. Terbiar beberapa hari sudah membuatkan aku terkapar-kapar mencari punca!
Hidung ini masih lagi diselaputi lendir hingus. Nampaknya sudah lebih seminggu aku terpaksa menelan dan membuat bunyi menarik mukus dari turun mengalir membasahi. Keadaan menjadi agak rumit apabila aku cuba menyiapkan laporan sebaik mungkin. Sudah berapa kali kepala ini akan beku untuk mencerna bahan-bahan rujukan menjadi satu. Pening kerana selsema. Juga pening kerana proses menulis yang agak tidak sempurna.
Secara tidak disedari, kita sudah berada di penghujung minggu. Nampaknya, bulan Februari sudah masuk ke minggu terakhir. Cepat sekali masa berlalu. Lebih-lebih lagi, terlalu banyak yang perlu disiapkan segera. Mana dia laporan. Mana dia keputusan simulasi. Mana dia program yang tidak berjaya run. Bagaimana aku harus bernafas dengan lega dengan keadaan sebegini.
Buat penat saja aku mengangkut fail tebal yang penuh dengan kertas rujukan yang boleh digunakan untuk menyempurnakan laporan aku. Tapi, begitu sukar rasanya menjalin kata. Badan dan otak aku hanya mahu berehat di hujung minggu.
Aku telan pil jenama Lemsip. Aku terpengaruh dengan iklan di tv yang menunjukkan orang yang mengalami demam dan selsema menjadi baik keesokan paginya setelah menelan pil berkenaan. Sudah habis satu papan pil aku telan. Virus ini masih terlalu manja dan begitu kuat melekat dengan aku. Barangkali kerja-kerja pagi sebagai tukang cuci yang memaksa aku bermain dengan habuk dan debu membuatkan badan aku tidak kebal.
Buat seketika, aku terasa bagaikan terjaga dari mimpi yang panjang. Entah apa yang aku kerjakan sepanjang minggu lepas hingga begitu banyak tugas tidak selesai. Telah aku cuba sedaya yang mungkin. Barangkali aku harus curahkan tumpuan dan semangat lebih berganda.
Graf prestasi aku agak menurun sejak kebelakangan ini. Keadaan ini membuatkan aku jadi tidak gembira. Tiba-tiba aku rasa bersalah kepada diri sendiri.