06-02-08

Laksa Buat Kekanda

Posted in minat by fajr'

laksa1.jpg

Masih aku ingat, kali pertama lidah ini merasa kuah laksa sewaktu ada tetamu berkunjung ke rumah dan memberikan kami sekeluarga satu bungkus plastik laksa Penang. Mak memang tidak pernah memasak laksa buat kami. Dan itulah kali pertama dia mengenali apakah yang dinamakan laksa. Memang agak aneh melihatkan mi laksa berwarna putih harus dicampur dengan daun-daun dan kuah ikan. Namun, sebaik saja menikmatinya, ia terus menjadi salah satu makanan kegemaran buat aku. Sejak itu, minat terhadap laksa terus menjadi-jadi.

Setiap kali berkunjung ke pasar malam atau ke mana saja, laksa menjadi menu utama. Pernah sekali, bapak pulang dari sebuah tempat dengan membelikan beberapa bungkus laksa kerana tahu aku begitu suka dengannya. Dan selalunya, semua laksa itu dihabiskan oleh aku seorang kerana tidak ramai yang begitu meminatinya seperti aku. Kuah laksa itu akan selalu dipanaskan sehingga mi laksa itu habis.

Oleh kerana itu, setiap kali mahu memujuk atau mengambil hati aku, mereka belikan laksa untuk aku. Melihatkan saja laksa membuatkan mereka terus ingat kepada aku.

Memandangkan minat terhadap laksa itu jugalah, maka kakak ipar aku sanggup mencuba dan membuat laksa sendiri. Setidak-tidaknya, tidak perlu lagi selalu membeli laksa di pasar malam atau di gerai. Lagipun, bukan semua gerai dapat membuat laksa yang sedap. Ternyata percubaan yang pertama sudah berjaya menambat hati aku. Lalu, setiap kali hati ini begitu teringin menikmati laksa, maka aku hanya perlu berpesan kepada kakak aku agar dapat memasaknya. Paling penting, aku dapat menikmati laksa itu sepuas-puasnya.

Oleh itu, setiap kali pergi ke mana-mana aku pasti akan mencuba laksa yang dijual di gerai dan di mana-mana saja. Laksa yang sedap tidak semestinya ada di tempat yang elit atau mahal. Kadang-kadang hanya dijual di tepi jalan oleh orang-orang yang begitu biasa di pandangan mata. Masih aku ingat, ada laksa yang sedap di sebuah gerai yang dijual di tepi Taman Tasik Taiping. Setiap kali berkunjung mengimbau nostalgia di Taiping, aku akan selalu singgah ke situ. Dan aku tidak lupa laksa yang dijual oleh seorang kakak bertudung labuh di pasar Ramadan Duyong. Dekat-dekat dengan kedai runcit Ranjini. Setiap kali singgah ke pasar itu di bulan puasa, maka laksa itu pasti dibeli dalam sebungkus dua untuk dinikmati selepas solat Terawikh.

Aku pernah menikmati laksa yang sungguh menepati citarasa aku semasa berkunjung ke Ipoh berdekatan dengan stesen bas. Gerainya terletak di tepi dan aku tidak begitu pasti kedudukannya dengan tepat. Itulah kali pertama dan terakhir. Lama sudah, sewaktu aku berumur belasan tahun. Laksa yang pernah aku nikmati di Bukit Bendera tidak kurang hebatnya. Dikelilingi dengan persekitaran yang sejuk menambah lagi citarasa terhadap laksa berkenaan. Hinggakan aku terlupa bahawa aku menikmati laksa yang sememangnya terkenal di tempatnya sendiri, Pulau Pinang.

Masakan boleh aku melupakan rasa laksa Teluk Kechai di Kedah. Dikatakan bahawa kuahnya mempunyai daging belut. Tetapi rasanya begitu istimewa sehingga aku sanggup menikmati dua pinggan laksa di gerai berkenaan. Tidak cukup dengan itu, aku beli beberapa kilo untuk dibawa balik ke rumah abang ipar aku. Dan malam itu, aku makan sehingga seluruh ruang perut aku terasa penuh dengan laksa. Cukup istimewa. Dan laksa ini memang aku rindukan hingga ke sini!

Apabila menikmati laksa di gerai atau di mana, satu isyarat menandakan bahawa laksa itu sedap dan memenuhi citarasa aku adalah aku akan menambahnya. Mungkin dua pinggan. Atau barangkali tiga pinggan!

Lantaran kerana minat terhadap laksa ini, maka dulu aku pernah berharap agar nanti isteri aku juga harus pandai memasak laksa. Banyak sudah laksa yang telah aku nikmati, maka sudah dapat aku bezakan mana yang sedap dan mana yang kurang memuaskan. Ada yang kurang ikan, ada yang kurang masam, ada yang terlebih masin dan ada juga yang tidak boleh dikategorikan sebagai kuah laksa pun!

Masih aku ingat, ‘hantaran’ pertama yang diberikan kepada aku oleh si dia di awal perkenalan kami adalah sebekas laksa penang. Rasa laksa itu cukup melekat ke hari ini kerana itulah satu-satunya laksa yang mempunyai rasa yang begitu berbeza pada deria rasa ini. Terlintas di benak ini, barangkali ini adalah laksa versi orang Kelantan. Ada rasa manis-manis.

Aku bagaikan mahu ketawa apabila mengenangkan peristiwa itu semula. Namun, satu perkara yang pasti, si dia memang cuba menambat hati ini dengan memberikan laksa hasil dari buatan air tangannya. Cuma, apabila kami ceritakan semula kisah ini, aku selalu mengusiknya. Masakan tidak, itulah kali pertama dia membuat laksa. Dan kuah laksa itu pula telah diubahsuai mengikut rasa hatinya. Sudah tentu lain daripada yang lain.

Sejak kami berkahwin, memang sudah tidak terkira entah berapa kali laksa yang telah dia masak untuk aku. Cubaan demi cubaan. Bukan mudah untuk memenuhi tahap kesedapan laksa aku. Barangkali aku begitu cerewet apabila ditemukan dengan laksa ini. Namun, aku begitu tetap menghargai kesungguhan dan keazaman dia agar dapat membuat laksa yang paling sedap pernah aku rasakan. Rasa laksa yang membuatkan aku ingat selalu. Dan terliur apabila mengenangkannya semula.

Lama kelamaan, usahanya berjaya. Seperti selalu, resepinya itu sentiasa menjadi rahsia buatnya. Secret recipe!

Bukan saja laksa Penang yang telah dibuat, bahkan segala jenis laksa telah dicuba. Laksa Johor, laksam Kelantan dan terkini laksa Sarawak. Sesekali memang gembira dan seronok dapat mencuba rasa laksa yang berbeza dan tersendiri.

Sebelum datang ke sini, hati aku sedikit gusar. Takut tidak dapat merasa laksa dalam jangkamasa yang panjang. Oleh itu, sewaktu datang ke sini, kami sempat membawa secekak daun kesum untuk ditanam. Kalau boleh, mahu saja aku bawa pokok bunga kantan. Tetapi memandangkan ianya begitu sukar, maka memadailah dengan daun kesum sahaja. Sayang sekali, daun kesum yang kami tanam sudah mati. Barangkali kerana selalu saja dipetik. Mencari mi laksa juga tidak menjadi masalah kerana kami bisa mendapatkannya di kedai runcit yang dimiliki oleh orang Cina. Sekali ke sana, pasti kami beli berbungkus-bungkus sebagai stok simpanan di rumah.

Biarpun jauh dari tanahair, citarasa aku tetap tidak berubah. Setidak-tidaknya, merasakan semula laksa ini dapat membawa aku kembali ke daerah dan suasana yang tidak asing di dalam hidup aku. Membawa cebis-cebis kerinduan pada ruangan yang penuh dengan kenangan dan kasih sayang.

*foto dari arkib lama: Laksa Teluk Kechai.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

17 comments

  1. elaira says:

    perghhh…. satu entri yang sungguh lazat… kecur liur laa pajar… teringat kunjungan akak ke rumahmu di melaka dulu… laksa yang sungguh enak dihidangkan… air tangan anis memang mengena lah :D huhuhu

    06-02-08 at 12:21 pm

  2. fajr' says:

    kak elaira, spt ada orang bgtau kak saya, bertuah saya dapat anis yang pandai masak. ;)

    06-02-08 at 12:31 pm

  3. HE says:

    suka gambar2 di sini…cantik

    06-02-08 at 1:35 pm

  4. WaWa says:

    saya baca sampai perenggan 5. lepas tu terus komen. tak sanggup la en fajar. air liur dah nak meleleh-leleh. kita ni dah lah duduk jauh kan, mana lah nak cari laksa oi kat sini. hihi. macam begini saya nak datang rumah en fajar lah, makan laksa. jemput lah saya. :P

    06-02-08 at 6:36 pm

  5. rudy says:

    cik anis boleh pos laksa ke KL tak? hahahahaa! cepatlah balik korang…pasni leh buat open house laksa anis.

    07-02-08 at 8:08 am

  6. syia says:

    uikz.. aaa teringin lak laksa. eh taman tasik taiping?? kat mana? dekat area parking lot ke?

    07-02-08 at 11:07 am

  7. FIR says:

    Oh, laksa Teluk Kechai memang best. Hardly ever miss it everytime I went back to my hometown in Perlis. :-P

    07-02-08 at 7:40 pm

  8. megat says:

    Alamak kecur la pulak. Dh lama x pekena laksa uhuhu.

    08-02-08 at 10:45 am

  9. fajr' says:

    HE: terima kasih.

    wawa: kalau ada peluang nk dtg ke sini, bgtau la ye. takpe, kami boleh masakkan laksa dan mcm2 lagi! bgtau je bila.

    rudy: insya Allah. doakan agar semuanya berjalan lancar.

    syia: yup, kat parking lot. rasanya jalan nk menuju ke library tu. tp x sure la sedap lg ke tak.

    FIR: betul! setuju sangat. blk nanti, nk singgah dan beli byk2.

    megat: apa lagi, cepat2 cari. jgn terkecur lama2.

    08-02-08 at 10:55 am

  10. napang says:

    hahaha.. laksa kat tmn tasik tepeng tuh memang kat parking lot. dekat ngan court tennis… mmg depan library… hahahahah…

    ader lagi ker laksa situ? nanti balik aku check…

    09-02-08 at 5:16 am

  11. aliff says:

    oh laksa penang! lima tahun duduk di minden, laksa menu wajib tiap minggu dibeli di pasar malam sungai dua

    11-02-08 at 1:59 am

  12. lina says:

    fajar…
    bertuahnye badan anis pandai masak… aku pun buleh masak laksa gaks.. balik m’sia nanti jemput datang makan kat rumah aku di png.. makan laksa.. aku buat spesel. ada nenas n telor (wajib), daun salom, daun salad, daun jangus, daun colgate.. rasa lain dari yg lain. aku guna ikan kembong gemok yg segar, fresh from the sea.. kontek aku kalo ko datang png.

    11-02-08 at 1:28 pm

  13. khairnaj says:

    kat taiping ada gerai cendol. sedap gak…
    betul2 kkadang kedai yg jual laksa semangjkuk 50sen lagi sedap dari laksa RM3 semangkuk.

    17-02-08 at 9:11 am

  14. che su says:

    abg dan akak bile nk balik niiii bile aibu mask laksa penang kan adik mesti igt abg fjar suke lksa penang niii haa klu lksa lemak akak jek yg suke hehehe nti blik ke mesia leh mkn byk2 kan…kt mesia lg byk mknn yg best2

    21-07-08 at 9:25 am

  15. che su says:

    emm 2 ari lepas ibu wat lksaa sedappnyaaa!!!!! huhuhuhu cepat la blikkk akak wat tak sedap heheeheh ibu wat sedap hehheh

    24-07-08 at 5:07 pm

  16. che su says:

    emm selain laksa abg fajar suke buah nam-nam heheheeh td mik kt pokok byk heeheh sedap…then mkn limau bali..sedapnyaaa!!!! kt sana tak dekk kt mesia nii adeee hehehh tokmi ckp mkn buah nam-nam nii trigt kat abg fajar hehehh

    25-07-08 at 3:05 pm

  17. che su says:

    abg fajarrrrrrr sedapnyaaa ibu wat som tammm….ibu dh pndai buattt heheheh sedap sgt2 hehehh cepatla blikkkk nk mkn hehehehheh

    13-08-08 at 6:06 am

Leave a comment