27-02-08

Membuang Hajat

Posted in kembara by fajr'

Suasana sudah gelap sewaktu aku melangkah keluar dari pintu universiti. Tidak lama lagi, waktu maghrib akan tamat meskipun jam menghampiri waktu tujuh. Rasa sejuk mencengkam. Sesekali angin kuat bertiup menambahkan lagi kedinginan. Sekitar bandar Glasgow dilimpahi dengan cahaya lampu neon.

Kaki aku terus melangkah ke tempat menunggu bas yang terletak di hadapan sebuah kedai judi. Mujur juga malam ini hujan tidak turun dengan lebat seperti pagi tadi. Langkah diatur dengan hati-hati. Takut terpijak ke dalam takung air. Atau lebih teruk lagi, terpijak najis anjing.

Sebaik tiba di hentian bas, mata aku terpandangan seorang lelaki berdiri membelakangi jalan di satu sudut di antara kedai judi dan sebuah restoren. Pantas otak bertanya dan cuba membuat kesimpulan apakah yang cuba dilakukan olehnya. Rupa-rupanya, dia sedang membuang air kecil di situ! Bayangkan, di tempat terbuka sebegitu tidak menimbulkan rasa malu langsung kepada dirinya. Barangkali dia tidak tertahan dan menanggung tekanan pada pundi kencingnya, benak aku membuat wajaran. Tambahan pula, tempat di situ agak tersorok dan gelap untuk dilihat dengan jelas.

Situasi sebegini bukanlah satu perkara yang baru buat aku di sini. Ia adalah situasi yang jarang berlaku, tapi menjadi satu keadaan yang luar biasa. Masih aku ingat lagi satu peristiwa setelah hampir sebulan lebih aku tiba di Glasgow. Waktu itu, aku menuju ke pasaraya Asda, Toryglen yang terletak berdekatan dengan rumah. Cuaca agak baik dengan limpahan matahari. Aku pergi berjalan kaki bersendirian memandangkan Najla dan ibunya masih lagi di Malaysia pada ketika itu.

Sebaik aku hampir tiba di Asda, aku terlihat dua orang lelaki berdiri di laluan pejalan kaki di antara pasaraya berkenaan dan pondok hentian bas. Pada mulanya, aku fikirkan mereka duduk bersantai sambil merokok. Rupa-rupanya, mereka berdua sedang kencing di situ. Keadaan pada waktu itu cukup terang untuk dilihat oleh sesiapa saja yang melaluinya. Bahkan, tempat yang dijadikan tandas terbuka buat mereka bukanlah di bawah pokok atau tempat yang agak tersorok.

Kencing secara terbuka adalah satu perkara yang agak tidak manis dipandang. Apatah lagi di siang hari. Yang paling mengejutkan aku adalah salah seorang lelaki berkenaan membuang air kecilnya dengan membuat aksi seolah-olah sedang menyiram air di sekitar kawasan berkenaan. Bagaikan membuatkan pusingan 180 darjah. Jadi boleh dibayangkan apa yang telah mata aku lihat. Rasa malu terus menyerkup kepala ini.

Mungkin juga lelaki berdua ini dalam keadaan mabuk yang menyebabkan mereka bertindak sesuka hati. Bahkan di pasaraya Asda mempunyai tandas yang cukup sempurna dan bersih bagi mereka menyelesaikan hajat. Barangkali, mereka lebih selesa untuk memancutkan bahan kumuhan mereka secara alami atau natural. Lebih cepat dan tidak perlu dicuci.

Aku turut diceritakan dengan pengalaman oleh beberapa rakan di sini tentang kisah orang yang membuang sesuka hati. Sesetengah mereka bagaikan tiada ketamadunan hingga merasakan mereka boleh membuat tandas di mana-mana saja pada bila-bila masa. Bayangkan, apakah perasaan kita apabila melihatkan najis manusia di depan pintu rumah? Marah? Terkejut? Geram?

Demikianlah yang diceritakan kepada aku tentang flat mereka yang dijadikan tempat tandas terbuka. Kebanyakan rumah di sini adalah jenis flat 4 tingkat. Satu pintu utama akan dikongsi dengan 8 rumah - 2 buah rumah pada setiap tingkat. Selalunya, rumah begini menawarkan harga sewa yang agak murah dibandingkan dengan rumah sebuah atau rumah berkembar.

Oleh yang demikian, kebiasaannya 8 keluarga akan berkongsi tangga dan pintu utama yang sama. Namun, ada juga penyewa yang menduduki satu rumah secara beramai-ramai. Aku difahamkan, kebanyakan mereka datang dari Republik Czech. Mungkin pada satu malam, tandas yang di rumah berkenaan seringkali penuh. Oleh kerana tidak begitu tahan, maka ada di antara mereka yang terpaksa melepaskan hajat di tangga. Bukannya sekali najis yang dibuang dan dibiarkan begitu saja. Pernah juga ia dalam keadaan cair dan begitu menjijikkan.

Memandangkan tiada siapa yang ambil peduli untuk membuang najis berkenaan, maka rakan aku yang bertungkus lumus membersihkan tangga di pintu rumahnya. Habis sudah disental dengan pencuci. Begitu bertanggungjawabnya kita sebagai orang Malaysia. Tambahan pula, mana mungkin sanggup membiarkan depan pintu rumah mempunyai najis. Baunya saja sudah cukup meloyakan.

Seorang kawan aku yang pernah tinggal di Bangladesh untuk beberapa bulan menceritakan pengalaman hidupnya di sana. Dia berpesan, kalau berjalan di sana, jangan sesekali menyandar atau merapati dinding bangunan kerana selalunya ia dijadikan tandas mereka. Bahkan pembahagi jalan pun boleh dijadikan tempat buangan. Diceritakan juga kepada aku betapa susahnya mahu mencari tandas awam di tempat berkenaan.

Kalau di sini, aku harus juga berhati-hati dengan dinding bangunan dan kaki lima. Sudah menjadi satu hidangan mata bahawa kawasan berkenaan menjadi tempat buangan anjing peliharaan. Terutama sekali di tempat sekitar tempat tinggal yang aku duduki. Barangkali di kawasan lain, penduduknya lebih bertanggungjawab.

Kadang-kadang, sesetengah mereka bagaikan kehilangan akal dan rasional untuk berfikir. Inikah antara harga kemodenan dan pembangunan yang harus dibayar?

Kawan, tidak semuanya indah di sini.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

8 comments

  1. Azhar Ahmad says:

    Saya baca setiap bait kata yang encik tulis… Ya, hujan emas dinegeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri…

    27-02-08 at 3:10 pm

  2. FIR says:

    That’s one of the complaints I had when visiting Europe. Kotor la dia punya sidewalk… Lucky the condition is waaay much better in most public places in the States. Here, people tend to behave because if they don’t, they can easily get sued by everybody… :-)

    28-02-08 at 12:05 am

  3. kak sue says:

    patut ler selalu komen tandas kita kotor. mmg ler tempat dia bersih sbb tak digunakan.

    yap..satu alasan yg relevan.

    28-02-08 at 7:00 am

  4. rudy says:

    pengalaman aku ketika di jepun dan korea, kalau mabuk tandas awam ialah dimana2 sahaja. ya mcm abg azhar ckp…ujan batu di negeri sendiri…:)

    28-02-08 at 9:16 am

  5. Megat says:

    “Hujan batu dinegara sendiri”

    Carilah kesenangan di negara sendiri. Pengalaman mengajar erti kehidupan.

    28-02-08 at 10:13 am

  6. Abu Bazli says:

    kau letak je kala jengking sekor dua kat tempat dorang selalu melepas tu… biar dia rasa kena sengat hahaha

    28-02-08 at 12:30 pm

  7. cyberdad says:

    dan mereka masih gah mengaku mereka orang dari negara maju?

    negara maju tu betullah. pemikiran dan tabiat je yang tak maju-maju.

    28-02-08 at 5:39 pm

  8. fajr' says:

    Azhar: memang rindu.

    Fir: mmg ada tempat dan kawasan yg kotor. rimas! tapi, ada kawasan yg sgt bersih. selalunya, bila org putih yang duduk situ. kalau campur2 dgn etnik lain, hmmmm.

    rudy: nanti aku letak gambar tandas kat bandar. hik hik.

    megat: satu pengalaman. ambil yang positif.

    abu bazli: masalahnya, dapat sengat ke? nak letak camera la.

    cyberdad: mostly yg buat peel org2 kurang educated atau bkn penduduk tempatan.

    29-02-08 at 10:49 am

Leave a comment