19-02-08
Umbel ini,
dari tiada warna,
jadi putih,
jadi kuning,
jadi hijau.
Likat dan pekat,
Lekit dan lekat.
Umbel ini,
menutup ruang rasa,
menjadi tidak biasa.
Tersekat nafasku,
pening kepalaku,
pabila umbel menerjah hidungku.
[+]
Ada yang boleh agak apa itu ‘umbel’ (dari bahasa Jawa)? Sewaktu kecil dulu, pernah merasa umbel yang mengalir. Rasa masin-masin. (Euuw!)
18-02-08
Bayangkan, apa yang kau mahu lakukan dengan duit sebanyak £7.1 juta? Usah ditanya kepada aku, sudah bermacam-macam benda yang ingin aku lakukan dengan duit sebanyak ini. Satu anganan yang bisa membunuh jiwa aku!
Tapi, ada juga orang yang memanifestasikan duit sebanyak itu untuk membeli sesuatu yang cukup luar biasa. Kau tahu apa dia? Nombor plat kereta berangka ‘1′. Dan jumlah yang dibayar untuk mendapatkan nombor berkenaan adalah £7.1 juta!
Kata pemilik nombor yang juga seorang ahli perniagaan di Abu Dhabi,
‘I bought it because it’s the best number,’ said Saeed Khouri, 25, whose family made its fortune in property development. ‘I bought it because I want to be the best in the world.’

Begitulah petikan kata-katanya dari akhbar Metro percuma yang diedarkan di sini.
Ketika ada orang yang kelaparan dan dihambat sengsara kemiskinan, ada juga orang lain yang hidup dalam kemewahan melampau. Ironi sekali. Benar, itu duit dia. Dia boleh buat apa saja demi memenuhi kehendak hatinya. Meskipun hanya untuk satu nombor itu. Kegilaan apakah ini?
17-02-08
Tiba-tiba saja perut aku bagaikan memasuki satu daerah yang asing sekali. Sejurus kemudian, kepala mula berpusing-pusing. Tekak menjadi kembang. Tanda-tanda awal, sesuatu yang memenuhi ruang perut sudah memberontak mahu keluar.
Angin keluar sedikit demi sedikit melalui kerongkong. Jangan. Nanti dulu. Tahan. Namun, tewas juga akhirnya. Dan tidak lama selepas itu, segala apa yang ada di dalam perut dipaksa keluar.
Satu hari, dua kali aku memuntahkan segala apa yang ada. Badan aku terus jadi lemah. Dan aku terus menyerah di wilayah angin ini.
14-02-08
Hari ini, tiba-tiba aku didorong untuk membuka semula ruangan guestbook sejak blog ini mula-mula ditulis. Secara teknikalnya, bukanlah yang pertama. Walau bagaimanapun, ruangan tersebut telah ditutup kerana pihak yang memberikan khidmat ingin menamatkannya secara rasmi. Sedih juga apabila diberitakan tentang penutupan itu kerana banyak sungguh nostalgia yang telah diukir di dalam guestbook berkenaan. Mujur juga beberapa minggu sebelum servernya ditutup, semua pemilik guestbook dapat memuat turun segala entri yang ada di dalamnya.
Hari ini, kebetulan pula ingin mencari nama insan mulia di dalamnya. Secara tidak langsung, aku dapat mengimbas kembali coretan yang pernah orang tuliskan kepada aku. Apabila membacanya semula, dapatlah aku mengerti kenapa dan mengapa aku tidak pernah berhenti menulis blog ini. Kata-kata semangat yang pernah diberikan merupakan satu hadiah yang agak istimewa. Barangkali, sesetengah mereka sudah terlupa apa yang pernah dituliskan di dalamnya. Dan sebahagian besar daripada mereka sudah ‘hilang’ bersama masa.
Aku tersenyum membaca reaksi yang pernah dituliskan di dalamnya. Dalam masa yang sama, terfikir juga apakah yang telah aku tuliskan hingga mencetuskan kata-kata sebegitu daripada orang yang membacanya. Dan aku tidak pasti samada gaya tulisan aku sekarang mempunyai warna yang sama seperti dulu. Barangkali sudah jauh.
Seperti perjalanan hidup ini, semakin hari semakin jauh. Meninggalkan begitu banyak cebisan memori. Dalam meneruskan kehidupan ini, tidak semua kenangan dapat dibawa. Ada yang dapat disimpan. Ada yang terbang bersama angin. Ada juga yang hilang. Ada juga menjadi usang.
Namun begitu, yang usang itu mampu menjadi bara apabila diingati semula.
Adakah kamu bisa mengingati kembali setiap detik yang telah dilalui? Atau masa telah mencurinya dari kamu?
12-02-08
Kalau diberi pilihan mempunyai kuasa di dalam siri Heroes itu, aku mahukan kuasa yang mampu menyalin kepakaran atau kebolehan orang. Terdesak saja bunyinya.
Masakan tidak, pelajar di dalam kelas John mampu menyiapkan coding yang agak kompleks dalam seminggu sahaja. Aku pula mahu memahamkan coding hampir 2 minggu! Tertekan.
Tapi, coding yang cuba aku fahami ada lebih seribu baris. Mula-mula aku di permukaannya. Aku berenang perlahan-lahan mencari sesuatu. Lama-kelamaan, aku tenggelam ke dalam. Jauh sekali dasarnya.
Dan aku jadi lemas.