Archive for March, 2008

26-03-08

Cinta Yang Tidak Mencukupi

Posted in rasa by fajr'

Seseorang meluahkan rasa hatinya kepada aku. Katanya, penat sungguh memberikan rasa cinta kepada orang yang tidak sedikit pun membalasnya. Dalam erti kata lain, bertepuk sebelah tangan.

Aku hanya mampu berkata, ’sometimes love just ain’t enough’. Seperti lagu Patti Smith dan Don Haley itu.

25-03-08

Yang Lebih Baik

Posted in peristiwa by fajr'

Tidak dapat dinafikan, peristiwa dikenakan denda semalam sedikit sebanyak menerbitkan rasa kesal atas kesilapan sendiri. Tapi, mujur juga aku berpegang kepada kata isteri aku, bahawa mungkin Tuhan mahu berikan yang lebih baik. Aku memujuk hati ini agar bersabar.

Hari ini, aku melalui rutin harian seperti biasa. Awal pagi menuju ke tempat kerja. Tamat jam 9 pagi, aku bergegas ke universiti. Hari Selasa, aku akan ke makmal bagi membantu supervisor aku mengendalikan sesi makmal bagi pelajar Sarjana. Boleh dikatakan, hari ini adalah hari yang amat penat kerana terpaksa memerah otak menjawab soalan daripada mereka. Cabarannya, Tuhan saja yang tahu.

Oleh kerana bateri telefon aku sudah melewati tahap minima, maka aku tinggalkan ia di bilik sambil dicaskan. Sebaik tamat kelas, aku terus ke bilik dan bersiap sedia dengan segala nota untuk pertemuan mingguan bersama John. Empat hari bercuti membuatkan daya tumpuan aku juga agak perlahan. Aku terlihat ada satu panggilan tidak berjawab di skrin telefon. Satu pesanan suara ditinggalkan.

Lantas, aku terus mendail peti pesanan suara di talian. Bibir aku mengukir senyuman mendengarkan pesanan yang ditinggalkan. Terasa gembira apabila permohonan aku untuk menjadi cleaner di University of Glasgow diterima. (Huh, diterima jadi cleaner pun gembira?)

Ada beberapa sebab kenapa aku rasa gembira. Bayangkanlah betapa susahnya mahu diterima bekerja sebagai tukang cuci di tempat berkenaan sehingga permohonan aku ditolak beberapa kali. Pada permohonan yang ketiga aku terpaksa mengarang surat bagaikan mahu memohon jawatan eksekutif! Seingat aku, permohonan aku untuk menjadi ahli akademik pun tidak sepayah ini. Dengan tawaran kerja sambilan ini, aku tidak perlu lagi bersusah payah bekerja pada hujung minggu atau cuti umum. Tambahan pula, gaji yang ditawarkan adalah agak tinggi jika dibandingkan dengan tempat lain.

“Percaya tak, abang kena bayar saman semalam, tapi hari ini Allah khabarkan suatu yang menggembirakan? Kan saya cakap Allah mahu beri yang lebih baik. Cuma kena banyak sabar, tak stress, istigfar dan selawat banyak-banyak”. Satu pesanan ringkas darinya yang membuatkan aku lebih insaf.

Hidup di negara orang, banyak yang harus dipelajari. Bukan nilai-nilai akademik sahaja, tetapi nilai-nilai kemanusiaan dan kewajaran. Dan yang pasti, mengharapkan sesuatu yang lebih baik.

24-03-08

Cuti & Penalti

Posted in kerja ii, peristiwa by fajr'

Cuti selama empat hari, termasuk hari Sabtu dan Ahad bersempena hari Easter. Sejak minggu lepas lagi, bermacam-macam bentuk hiasan dan coklat berbentuk telur dijual untuk meraikan hari Easter ini. Ramai yang menggunakan kesempatan cuti yang agak panjang ini untuk berjalan-jalan. Tetapi, aku dan keluarga hanya banyak meluangkan masa di rumah. Lagipun, keadaan yang agak sejuk membuatkan kami agak malas untuk menawarkan badan digigit kedinginan.

Meskipun ada cuti untuk merehatkan badan dan minda, namun tugas sebagai pencuci sambilan di gudang membeli belah itu tidak terhenti. Dalam masa setahun, mereka hanya menutup kedai selama 2 hari! Mereka memang mengutamakan keuntungan maksima. Oleh yang demikian, mahu atau tidak, aku terpaksa juga bekerja pada hari-hari berkenaan kecuali hari Sabtu memandangkan cuti aku jatuh pada hari berkenaan.

Kebiasaannya, pada hari Ahad, aku akan bawa kereta ke tempat kerja kerana parking adalah percuma pada hari berkenaan. Jika tidak, bayaran yang dikenakan adalah agak mahal. Bayangkan, bayaran untuk parking itu saja sudah boleh digunakan untuk membeli seekor ayam. Lagipun, pada hujung minggu, bas kurang kerap seperti biasa.

Hari ini, Isnin - masih lagi hari cuti buat kami di sini. Lalu aku bawa kereta seperti semalam. Tiba di tempat parking, hati aku berkira-kira adakah bayaran parking dikenakan pada hari cuti? Aku mula membuat wajaran. Untuk menyedapkan hati, aku bayar juga bil parking di mesin automatik yang berdekatan. Notis berupa pelekat dikeluarkan untuk diletakkan di cermin hadapan kereta. Satu saja masalah, masa yang dicatatkan pada pelekat itu kurang beberapa minit dari masa aku tamat bekerja. Maka, aku tawakal sahaja. Moga-moga tidak dikenakan apa-apa.

Sebaik tamat saja bekerja, aku terus menuju ke kereta. Tanpa disedari, salji berguguran. Patutlah rasa sejuk saja kebelakangan ini.

Tiba di kereta, aku terlihat satu helaian bersalut dengan plastik diselitkan pada pengelap cermin hadapan kereta. Ah, sudah. Aku kena denda!

penalty.jpg

Di notis berkenaan, dicatatkan kesalahan kerana ‘parked after expiry of paid for time’. Huh!. Hati sudah mula menyumpah.

“The owner of the vehicle is required to pay the penalty charge of £60 before the end of the period of 28 days beginning with the date of Notice. The penalty charge will be reduced by one half to £30 if payment is received before the end of the period of 14 days beginning with the date of the Notice.”

Aku pulang ke rumah dengan hati yang muram. Diiringi dengan rintik-rintik salji yang berguguran. Isteri aku hanya berkata, “Bayar sajalah bang. Jangan sedih. Mungkin Allah nak beri benda yang lebih baik.”

Maka, aku terus buka internet dan buat bayaran secara online. Nampaknya gaji 3 hari aku selama cuti ini digunakan untuk membayar penalti parking sahaja!

18-03-08

Cenderamata Skrotum?

Posted in bicara by fajr'

Tahu apa itu scrotum? Er, mula-mula aku sudah berkira-kira untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan skrotum. Tapi, rasanya ramai yang boleh meng-google sendiri tentangnya.

Hari ini, aku baru saja tersedar akan kewujudan satu cenderamata yang diambil daripada skrotum. Dulu, sewaktu aku berkunjung ke Australia, tidak pernah pula aku terjumpa dengan cenderamata sebegitu. Adakah ini satu trend baru di sana? Iya, skrotum kangaroo!

Sampai hati mereka buat kangaroo macam itu’kan? Dijadikan pembuka botol pula. Ada yang digunakan sebagai karung kecil. Dikatakan dapat memberi tuah. Aku membayangkan pula kalau-kalau ada orang yang terlampau kreatif menjadikan skrotum lembu atau kambing sebagai cenderamata.

17-03-08

Campak

Posted in kerja i by fajr'

Tugasan itu cuba disiapkan dengan sebaiknya. Harus diakui, ianya tidak sempurna. Dalam masa yang sama, terpaksa juga melihat tugasan orang untuk mencari jalan keluar agar tidak buntu. Setelah bersusah payah menyiapkannya, maka tugasan itu dicetak dengan sebaiknya.

Akhirnya, tugasan itu dihantar secara by-hand kepada pensyarah berkenaan.

Tapi, apakah yang kau rasa, sekiranya tugasan itu hanya diselak sepintas lalu dan dia berkata bahawa tugasan itu tidak menepati kehendaknya. Kemudian, tugasan itu dicampak di muka pintu hingga terkoyak beberapa helaian muka suratnya. Lebih menyedihkan, tindakan di luar dugaan itu bagaikan menjadi tontonan orang. Semua mata memandang. Dapatkah kau menahan perasaan dan memujuk hati agar bersabar?

Ini bukan fiksyen. Ini satu pengalaman yang aku lihat di depan mata. Mujur bukan di sini. Tapi, suatu ketika dulu, sewaktu aku sedang menjalani dunia master. Aku begitu kasihan dengan pelajar berkenaan. Secara terang-terangan dia dimalukan. Aku cukup tersentak dengan tindakan dia. Patut sungguhlah dia menjadi bahan cerita oleh pelajar-pelajar kerana panas barannya. Entah berapa bakul sumpah telah dicampakkan kepadanya. Kalau benar pun tidak suka atau tidak puas hati, ada lebih banyak cara yang tidak memalukan.

Entah kenapa, secara tiba-tiba peristiwa ini timbul di ingatan. Yang pasti, ini bukan satu inspirasi.