25-03-08

Yang Lebih Baik

Posted in peristiwa by fajr'

Tidak dapat dinafikan, peristiwa dikenakan denda semalam sedikit sebanyak menerbitkan rasa kesal atas kesilapan sendiri. Tapi, mujur juga aku berpegang kepada kata isteri aku, bahawa mungkin Tuhan mahu berikan yang lebih baik. Aku memujuk hati ini agar bersabar.

Hari ini, aku melalui rutin harian seperti biasa. Awal pagi menuju ke tempat kerja. Tamat jam 9 pagi, aku bergegas ke universiti. Hari Selasa, aku akan ke makmal bagi membantu supervisor aku mengendalikan sesi makmal bagi pelajar Sarjana. Boleh dikatakan, hari ini adalah hari yang amat penat kerana terpaksa memerah otak menjawab soalan daripada mereka. Cabarannya, Tuhan saja yang tahu.

Oleh kerana bateri telefon aku sudah melewati tahap minima, maka aku tinggalkan ia di bilik sambil dicaskan. Sebaik tamat kelas, aku terus ke bilik dan bersiap sedia dengan segala nota untuk pertemuan mingguan bersama John. Empat hari bercuti membuatkan daya tumpuan aku juga agak perlahan. Aku terlihat ada satu panggilan tidak berjawab di skrin telefon. Satu pesanan suara ditinggalkan.

Lantas, aku terus mendail peti pesanan suara di talian. Bibir aku mengukir senyuman mendengarkan pesanan yang ditinggalkan. Terasa gembira apabila permohonan aku untuk menjadi cleaner di University of Glasgow diterima. (Huh, diterima jadi cleaner pun gembira?)

Ada beberapa sebab kenapa aku rasa gembira. Bayangkanlah betapa susahnya mahu diterima bekerja sebagai tukang cuci di tempat berkenaan sehingga permohonan aku ditolak beberapa kali. Pada permohonan yang ketiga aku terpaksa mengarang surat bagaikan mahu memohon jawatan eksekutif! Seingat aku, permohonan aku untuk menjadi ahli akademik pun tidak sepayah ini. Dengan tawaran kerja sambilan ini, aku tidak perlu lagi bersusah payah bekerja pada hujung minggu atau cuti umum. Tambahan pula, gaji yang ditawarkan adalah agak tinggi jika dibandingkan dengan tempat lain.

“Percaya tak, abang kena bayar saman semalam, tapi hari ini Allah khabarkan suatu yang menggembirakan? Kan saya cakap Allah mahu beri yang lebih baik. Cuma kena banyak sabar, tak stress, istigfar dan selawat banyak-banyak”. Satu pesanan ringkas darinya yang membuatkan aku lebih insaf.

Hidup di negara orang, banyak yang harus dipelajari. Bukan nilai-nilai akademik sahaja, tetapi nilai-nilai kemanusiaan dan kewajaran. Dan yang pasti, mengharapkan sesuatu yang lebih baik.

You can leave a comment, or trackback from your own site. RSS 2.0

9 comments

  1. aliff says:

    hah!kan betul kata isteri! keep up the good work bro!

    26-03-08 at 3:07 am

  2. Indera says:

    Salam perkenalan buat Saudara Fajar,

    Sudah lama saya mengikuti catatan kembara saudara cuma baru kali saya memberanikan diri menghulurkan salam perkenalan. Saya sangat mengagumi gaya penulisan dan penyampaian saudara Fajar. Semoga Allah memberkati kehidupan Saudara Fajar sekeluarga di bumi Glasgow itu.

    Hmmm… sewaktu saya di sekolah dahulu, selalu saya diajar bahawa jika Allah menginginkan kebaikan bagi hambanya, pasti akan dikurniakanNya dengan rezeki dari sumber yang hambaNya tidak tahu (sumber halal dari arah yang terduga). Kebaikan itu pula akan hadir selepas lenyapnya keburukan.

    Bersamalah kita untuk sentiasa redha dengan segala dugaan dan kurniaan. Moga kita tergolong di kalangan hambanya yang diberkati dan diredhai.

    Walaupun sebagai pencuci, namun tetap besar makna bagi pengembara mencari ilmu seperti anda. Tiada yang cela sebagai pencuci. Rezekinya tetap rezeki yang halal…

    (Berdoa dan mengharapkan agar bintang saya secerah bintang anda)

    26-03-08 at 3:21 am

  3. Chentahati says:

    Ya la Fajar…
    Betul kata Indera itu. Dan sesungguhnya betul kata Anis..
    Tahniah !!

    26-03-08 at 4:26 am

  4. Zulfadli says:

    hehehe.. tahniah!!
    ada hikmahnya bila bersabar..

    26-03-08 at 11:23 am

  5. Azhar Ahmad says:

    Ya, ada hikmahnya setiap satu yang berlaku. Semoga kita lebih bersemangat meneruskan hari-hari berikutnya….

    26-03-08 at 1:36 pm

  6. rudy says:

    Subhanallah!!!!! Sujud styukur Jar. Peluang diberi jangan dipersiakan.

    27-03-08 at 2:11 am

  7. asuhara sue says:

    Saya teringat cerita tentang kata-kata emak seseorang, katanya kerjalah seiklas mungkin walaupun kerja itu cuma sebagai tukang sapu. Itu yang anaknya pegang dan sekarang terus diingati walaupun dia sekarang seorang CEO.

    Jadi, selamat bekerja dengan ikhlasnya ya! Insya Allah semua jadi indah.

    27-03-08 at 11:26 am

  8. Suzana says:

    Ur wife is a very, very wise human being. Lucky you!

    28-03-08 at 2:10 pm

  9. azah says:

    terbayang ke ‘cool’ an anis … cool nyerrr

    02-04-08 at 5:03 pm

Leave a comment