12-03-08
Aku sedang cuba bersiap sedia untuk pembentangan esok. Insya Allah, moga dapat memberikan yang terbaik.
Lewat petang, aku terima satu emel yang sudah cukup membuatkan aku menjadi debar. Tiba-tiba saja, terasa sesuatu menyekat nafas dan menyebabkan jantung aku berdegup dengan lebih kencang.
Ada masa sebulan untuk menyiapkan laporan tahunan pertama. Dan sebulan selepas itu, pembentangan penilaian. Sekejapnya!
11-03-08
Beberapa hari ini, aku jadi pembaca yang setia. Melompat dari satu tempat ke satu tempat untuk mendapatkan maklumat. Sudah pasti tentang peristiwa yang baru berlaku di negara tercinta. Aku cukup suka membaca analisis dan pandangan yang berintelektual ditulis oleh ramai pemberita dan blogger. Rasanya, tidak perlu aku ulas. Dari jauh, aku tersenyum dan ternanti-nanti setiap perkembangan yang ada dari tanahairku itu.
Sesuatu yang berlaku, pasti ada sebab dan hikmahnya. Moga diberikan petunjuk kepada para pemimpin yang ada. Jangan lupa amanah yang diberi. Laksanakan dengan sebaik-baiknya.
*Maaflah, tidak boleh menulis panjang. Lusa ada pembentangan projek di kalangan panel industri. Sibuk, tapi buat-buat cool.
10-03-08
Dari kejauhan aku sibuk mendapatkan berita terkini dari Malaysia. Melihat satu percaturan politik yang telah berubah. Sudah pasti, ini satu perkara yang cukup mendebarkan dan mengejutkan.
Aku jarang berbicara tentang politik. Tapi itu tidak bermakna aku tidak pernah ambil kisah. Aku sangat peduli. Aku sangat kisahkan tentang tanahairku. Segala apa yang berlaku dan berputar di sekelilingnya tidak pernah lekang dari minda ini. Di situ tempat yang aku panggil kampung halaman.
Sudah beberapa lama aku mengikuti perkembangan pilihanraya yang baru saja berlalu. Panasnya masih dirasa. Gelombangnya menerjah jauh hingga ke sini. Harus diakui, pilihanraya pada kali ini agak menarik perhatian aku memandangkan terdapat beberapa calon yang memang cukup aku kenali. Salah seorang calon yang bertanding di kawasan aku adalah jiran di depan rumah aku sendiri. Aku cuba membayangkan betapa hebatnya perang poster di depan rumah itu.
Banyak yang mahu aku katakan, tapi buat sementara waktu, biar aku simpan dahulu. Sebagai rakyat, aku mengharapkan kebaikan, kemakmuran dan keamanan.
Itu, tanahairku. Tidak pernah sekali dilupa.
06-03-08

Daffodil sudah mula berkembang di sekitar Glasgow. Satu petanda bahawa musim bunga sudah pun bermula. Melihatkan transisi perubahan dari satu musim ke musim adalah satu perkara yang menyedarkan diri bahawa betapa teraturnya hukum alam mengikut apa yang telah diciptakan-Nya. Dalam masa yang sama, aku menjadi tidak sabar untuk mengharap agar datangnya musim panas. Moga dapat membawa pergi kedinginan yang ada selama ini. Melihatkan warna-warna kuntuman bunga sedikit sebanyak menawarkan rasa hangat ke dalam diri. Setidak-tidaknya, mengubat kerinduan kami kepada keluarga dan teman yang jauh di mata.
Namun begitu, hari Isnin yang lalu, secara tiba-tiba salji berguguran di Glasgow dan sekitar Scotland. Alangkah terkejutnya aku melihatkan laluan pejalan kaki di depan pintu rumah menjadi putih diselaputi salji. Seingat aku, ini adalah kali kedua salji mewarnai rona putih di persekitaran di musim sejuk ini. Tidak dapat aku nafikan bahawa rona putih ini memberikan satu cetusan rasa yang berbeza. Jika tidak, yang terbentang di depan mata hanyalah warna suram. Seolah-olah warna putih membersihkan kecelaruan yang ada, biarpun untuk seketika.
Memandangkan hari itu aku terpaksa melalui rutin harian seperti biasa, maka niat untuk bermain salji dipendamkan saja. Tambahan pula, banyak perkara yang harus diselesaikan. Lagipun hari berkenaan aku berada dalam mood yang lain daripada biasa.
Salji kali ini lebih lebat daripada sebelumnya. Salji berguguran agak lebat hingga ke tengahari. Namun, ianya tidak terus menutupi muka bumi dengan warna putihnya. Sebaik saja gugur, ianya sudah terus mencair.
Barangkali cair bersama semangat aku pada hari itu.
Photo: © Craig Tuttle/Corbis
05-03-08
Cukup. Demikianlah hati aku memujuk akal dan fikiran. Barangkali ramai lagi yang mengalami breakdown seperti ini. Apatah lagi, kalau melalui hidup sebagai pelajar post graduate. Bezanya adalah bagaimana untuk menanganinya. Aku harus mewajarkan keadaan. Dan hanya aku saja yang mampu menyelesaikan masalah ini. Apabila berada dalam keadaan tertekan dan penat, semua perkara boleh menjadi isu. Masalah dari kecil hingga ke besar menjadi satu.
Aku tidak mahu menjadi lemah dan menyerah kalah. Ini perjuangan yang tidak seharusnya dipersiakan. Barangkali, aku harus pinjam semangat Artakus. Hati mesti cekal. Jiwa mesti kental.