Archive for April, 2008

30-04-08

Sebakul Sumpah Di Tepi Tangga

Posted in peristiwa by fajr'

stair.jpg

Berbakul-bakul sumpah bergema di kepala. Mulut pun senada. Menutur kata berbaur keji. Aku begitu marah dan geram. Benar, sabar itu bukan mudah untuk dipertahankan. Nipisnya bagaikan kulit bawang. Bila-bila masa saja bisa terkoyak.

Kesabaran aku bagai disiat-siat apabila melihatkan kotoran yang terbentang di depan mata. Di bawah tangga berdekatan dengan pintu belakang menuju ke tempat membuang sampah di luar rumah, bersepah-sepah dengan kertas-kertas surat khabar dan juga iklan. Selama ini jika ada sampah sekali pun, aku masih mampu bertoleransi untuk membuangkannya bagai pihak orang.

Tapi kali ini sampah yang aku lihat bukanlah sampah biasa. Tapi najis manusia!

Sumpah terus bersambung-sambung. Siapa pula yang tiada otak hingga sanggup melepaskan hajat di tepi tangga rumah ini? Mabuk? Gila?

Patutlah bau busuk terus menerjah deria hidung aku sebaik aku membuka pintu masuk ke flat rumah. Sebelum ini, pernah juga terbau hancing orang membuang air kecil. Tapi tidak pula aku sangka hingga ke tahap ini. Rumah flat 3 tingkat ini menempatkan 8 penghuni rumah. Masing-masing dengan cara yang tersendiri. Ada yang mengambil berat soal kebersihan. Ada yang prihatin. Tapi ada juga yang menyusahkan dan tidak mempedulikan hak orang lain.

Aku sekeluarga menjadi orang yang teraniaya. Mujur juga rumah kami di tingkat satu. Dapat juga menjauhkan diri dari aroma yang tidak menyenangkan. Barangkali orang yang melepaskan hajat itu tidak tahan atau mabuk. Tapi itu tidak langsung mewajarkan dia berbuat sesuka hati di tempat berkenaan. Sungguh, aku berharap agar orang berkenaan tidak mampu membuang hajatnya selama 40 hari!

29-04-08

Pimpinlah Tanganku

Posted in puisi by fajr'

pimpin.jpg

Pimpinlah tanganku sayang,
bersama kita menuju ke sana,
selangkah demi selangkah,
melalui jalan kehidupan.

Jangan lepaskan tanganku sayang,
aku takut kau terjatuh dan tersungkur,
tidak sanggup melihat kau terluka,
pada tanah yang penuh noda.

Pimpinlah tangan ini sayangku,
usah leraikan,
hati ini masih belum mampu
membiarkan kau berjalan sendirian,
di padang dunia penuh kepuraan.

Lihatlah sayang,
nun di sana terbentang alam,
penuh dengan seribu duga,
mampukah kau melaluinya,
apabila aku tiada di sisi?

Satu hari nanti,
akan aku biarkan kau berlari sendiri,
di tengah padang hijau bertabur bunga,
mengharum menghinggapi deria,
kau kan tersenyum dan ketawa,
tanpa nestapa di jiwa,
yang ada hanyalah indah semata.

Pimpinlah tanganku sayang,
agar dapat kuseru kekuatan,
dari elusan tangan kecilmu,
dari tulus kasih sucimu.

Pimpinlah terus tanganku,
jangan kau lepaskan,
aku tetap memerlukanmu
melalui jalan-jalan akhir,
hingga langit hilang dari pandanganku.

28-04-08
12.20 am

[+]

Kredit foto: Ibu Najla
Queen Park, Glasgow
Spring 08.

28-04-08

Satu Berganti Tujuh Ratus

Posted in bicara by fajr'

blossom.jpg

Bayangkan kalau kita membuat satu pelaburan yang menjanjikan pulangan begitu besar. Sangat besar. Katakan, pelaburan sebanyak RM1 itu nanti akan bercambah menjadi RM700. Sudah tentu menarik bukan? Bahkan, nilaian satu kepada tujuh ratus itu adalah nilai yang sudah pasti. Ianya boleh bertambah bila-bila masa sahaja. Barangkali dapat meningkat berkali-kali gandanya. Tempohnya? Hanya akan dinikmati bila tiba masanya.

Sebenarnya, apa yang ingin aku cuba sampaikan di sini adalah satu peluang yang pernah kita dengar, tapi jarang kita ambil kisah. Kita sangka, perkara ini adalah satu yang cukup biasa hinggakan kita selalu terlupa atau tidak ambil peduli. Sesuatu yang telah dicatatkan dalam Al-Quran berhubung dengan kelebihan sedekah. Itulah yang aku katakan sebagai satu pelaburan yang cukup besar. Ini bukan satu skim yang penuh muslihat. Ini satu janji dan kenyataan yang pasti dari-Nya.

Aku cukup terkesan sewaktu melalui kelas agama yang dianjurkan oleh komuniti yang berdekatan dengan tempat tinggal aku. Kelas ini dianjurkan oleh kalangan komuniti Melayu di sini, iaitu kelas Tajwid dan Al-Quran. Kehadiran seorang Ustaz yang baru saja menetap di Glasgow memberikan satu kelebihan di dalam kelas ini, iaitu tafsiran Al-Quran secara terus bersama dengan penjelasan. Semalam, kami baru saja menghabiskan Surah Al-Baqarah. Pengakhiran surah tersebut banyak menekankan tentang sedekah, riba’ dan hutang.

Di dalam kehidupan manusia, harta merupakan satu perkara yang penting di dalam kehidupan. Bahkan aku sendiri mengakui bahawa harta yang dicari titik peluh sendiri adalah sesuatu yang amat aku hargai. Baik dalam bentuk material, mahupun dalam bentuk kasih sayang. Namun, aku harus mengingatkan bahawa sejauh mana sayang yang diberikan kepada harta dunia ini, ianya tidak akan berkekalan. Beribu-ribu wang yang akan kita simpan dan pelbagai barangan indah yang kita beli, tidak satu pun akan menjadi hak milik kita yang kekal. Harta yang kita sayang itu nanti hanya akan diwarisi oleh keluarga. Bagaikan menanam pokok durian yang mengambil masa bertahun untuk berbuah. Hasilnya itu nanti akan dinikmati oleh anak cucu.

Hakikatnya, harta yang kekal kepada kita nanti adalah harta yang telah kita sedekahkan. Itulah harta yang paling bernilai, walaupun sekecil mana kita berikan. Yang penting, memberi dengan penuh keikhlasan dan tidak mengharapkan sebarang balasan. Insya Allah, balasan yang akan diberikan berkali-kali ganda.

Semoga kalian yang membaca turut mendapat sedikit manfaat dari ilmu yang sudah sedia dimaklumi. Aku juga insan yang penuh kealpaan. Moga rezeki yang dikurniakan kepada kita akan terus melimpah ruah berkat sedekah yang kita berikan.

Satu berganti tujuh ratus. Itu janji-Nya!

* Photo: Blossom (Diambil semalam, sewaktu bumi Glasgow dilimpahi cahaya matahari. Hari yang indah)

25-04-08

Kunjungan

Posted in peristiwa by fajr'

Semalam aku menerima kunjungan ‘hormat’ delegasi dari Malaysia, yang juga merangkap ‘bos’ aku. Mereka datang untuk tujuan lawatan akademik. Penat juga dibuatnya.

Bermula dari mengambil mereka di Central Station Glasgow, lalu dibawa mereka untuk ke hotel sebelum memulakan perjumpaan. Sebelum itu, sempat pula singgah membeli belah di sekitar Buchanan Street. Kedai yang dikunjungi bukanlah setaraf untuk orang seperti aku. Walaupun dikatakan sale, harganya masih tetap mahal untuk aku. Maka, aku hanya sekadar menemani.

Seharian berjalan ke hulu hilir membuatkan diri aku penat. Hujung minggu datang bersama bayangan aku berehat sepuas-puasnya.

24-04-08

Lagu

Posted in bicara by fajr'

Entah bila agaknya Najla mendengar lagu itu. Tiba-tiba saja, dia menyanyikan korus lagu No One dari Alicia Key. Lirik yang berulang-ulang membuatkan dia cepat mengingati lagu itu. Semasa kami menonton American Idol, dia turut sama menyanyikan lagu Jolene. Begitu cepat sekali dia menyerap.

Satu hari, semasa di dalam kereta, radio Clyde memutarkan lagu terbaru Mariah Carey, Touch My Body. Tajuk dan liriknya saja sudah memberikan persepi yang cukup luar biasa. Bahkan begitu kontroversi, biarpun dikatakan oleh penyanyinya lirik dan muziknya adalah sekadar suka-suka. Sebaik tamat lagu itu, Najla terus mengulangi korus lagu itu.

Nampaknya lagu sebegitu harus ditahan terus masuk ke deria Najla dan persekitarannya. Selepas ini, aku harus berusaha kuat untuk memperbanyakkan lagu-lagu dari Al-Quran. Biar meresap terus ke akar hati dan mindanya.

Berat sungguh tanggungjawab seorang ayah.